Saturday, December 29, 2012

Ibu lebih sesuai jaga anak


Oleh Musa Awang

Minda, Mymetro
27 Disember 2012

Sebahagian daripada kes hadanah (hak jagaan) anak-anak di Mahkamah Syariah difailkan oleh bapa, walaupun dalam sesetengah kes, anak yang dituntut masih di bawah umur mumayyiz (umur kecerdikan). Mahkamah tidak boleh menghalang seseorang membuat tuntutan, namun sebelum sesuatu tindakan dibuat, bapa perlu tahu adakah mereka berhak terhadap hadanah anak-anak yang masih kecil.

Dari sudut bahasa, hadanah diambil dari perkataan al-hidn yang bererti rusuk atau dada, kerana kebiasaannya kanak-kanak akan didukung pada rusuk atau dada. Dari sudut Syara’, mazhab al-Shafie mendefinisikan hadanah sebagai menjaga orang yang tidak boleh bersendirian menguruskan dirinya daripada perkara yang menyakitkannya kerana dia tidak mumayyiz, seperti kanak-kanak dan orang besar yang gila. Juga dengan mendidik orang tersebut dengan perkara yang memberi maslahah kepadanya sama ada berkaitan pemeliharaan makanan, minuman dan sebagainya.

Hukum hadanah ke atas kanak-kanak adalah wajib, kerana mengabaikannya bererti membiarkannya kepada bahaya dan kebinasaan. Sebab itu apabila ibu dan bapa telah tinggal berasingan atau telah berlaku perceraian, adalah menjadi kewajipan kepada Mahkamah Syariah untuk memutuskan berkenaan hadanah kepada salah seorang daripada ibu atau bapa atau kepada seorang yang lain.

Menurut Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh As-Sunnah (Juzuk 8) menyatakan bahawa sesungguhnya setiap penjaga dan anak jagaan masing-masing mempunyai hak. Akan tetapi hak anak atau maslahah anak lebih penting dari hak penjaganya.

Maka atas dasar kemaslahatan anak, Islam telah menetapkan hak hadanah kepada seorang ibu, selama mana dia belum berkahwin lain. Dalam hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawa seorang wanita pernah datang kepada Baginda s.a.w dan bertanya “Ya Rasulullah, anakku ini, perutkulah yang mengandungnya, susu akulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku”. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda, “Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain”.- (HR Ahmad dan Abu Dawud)

Ibu diberi keutamaan untuk mendapat hadanah, kerana ibu mempunyai ciri-ciri dan sifat yang lebih sesuai untuk tujuan pengasuhan jika dibandingkan dengan bapa. Ibu lebih tahu bagaimana mendidik anak, lebih sabar, dan ibu mempunyai lebih masa berdampingan dan bermanja dengan anak-anak berbanding dengan bapa yang sibuk mencari nafkah untuk keluarga.

Hak dan tanggungjawab ibu akan berterusan sehingga kanak-kanak tersebut mencapai umur mumayyiz (umur kecerdikan). Seksyen 84 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan [Akta 303] memperuntukkan - Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.

Meskipun syara’ menetapkan ibu orang yang paling berhak terhadap hadanah, tetapi hak tersebut tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya seorang ibu itu tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka hak dan tanggungjawab hadanah tersebut akan jatuh kepada orang yang seterusnya mengikut turutan yang telah ditetapkan.

Ibu yang telah berkahwin dengan lelaki lain yang tidak mempunyai hubungan mahram dengan anak itu akan menggugurkan hak hadanah baginya. Menurut mazhab Syafi’i, seseorang penjaga (hadinah) mestilah seorang Islam kerana seorang ibu yang kafir atau murtad tidak berhak mengasuh kanak-kanak kecil. Penjaga juga mestilah berakal waras. Orang gila tidak boleh menjadi pengasuh kecuali gilanya itu terlalu sedikit, seperti sehari dalam masa setahun. Ibu yang mempunyai sifat khianat juga tidak berhak menjadi penjaga, kerana dia tidak akan menjaga kanak-kanak itu dengan sebaik mungkin.

Penjaga juga mestilah baliqh, merdeka dan wanita yang baik serta bermoral tinggi. Perempuan fasik, seperti penzina, peminum arak, pencuri dan sebagainya tidak berhak menjadi pengasuh. Kanak-kanak juga tidak boleh diserahkan kepada ibu jika mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap, sama ada milik sendiri atau rumah sewa. 

Seksyen 82 Akta 303 memperuntukkan bahawa - "syarat-syarat menjadi hadinah ialah -
(a) dia adalah seorang Islam ;
(b) dia adalah sempurna akal ;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak itu '
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah ; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani." 

Mempunyai akhlak yang mulia adalah menjadi keutamaan kepada orang yang memelihara kanak-kanak pasangan yang bercerai, bertujuan untuk memelihara kanak-kanak tersebut daripada sifat-sifat buruk yang boleh merosakkan akhlak. Jika ibu telah hilang kelayakan untuk hadanah atau meninggal dunia, hak tersebut akan berpindah kepada nenek sebelah ibu. Jika nenek juga tidak layak, barulah berpindah kepada bapa.

Jika ibu atau nenek masih hidup dan tidak hilang kelayakannya di sisi Syarak untuk hadanah, maka bapa usahlah membuang masa mereka dan masa mahkamah menuntut sesuatu yang bukan hak mereka. Cukuplah bapa menuntut hak melawat (haqqul ziarah) anak-anak tersebut. Yakinlah dengan Syarak kenapa kaum ibu diberikan keutamaan menjaga anak-anak.

Apabila sampai umur mumayyiz anak-anak tersebut boleh berfikir dan membuat pilihan sendiri mana yang terbaik untuk mereka, samada tinggal bersama ibu atau bapa. Seksyen 84 (2) Akta yang sama memperuntukkan - Setelah tamatnya hak hadinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

Dalam satu hadith riwayat Imam Ahmad, dikisahkan bahawa Rasulullah s.a.w telah menyuruh seorang anak yang sudah mumaiyyiz memilih sama ada ibu atau bapa yang dia suka tinggal. “Wahai anak! Ini bapamu dan ini ibumu, peganglah tangan siapa yang kamu suka antara mereka berdua. Lalu anak itu memegang tangan ibunya, lantas ibunya membawa ia pergi.” (HR Imam Ahmad)

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Sunday, December 23, 2012

Mualaf perlu tukar status agama dalam kad pengenalan

Elak masalah semasa meninggal dunia

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian
12 Disember 2012

MUSA AWANG

Menurut Sayyid Qutb, muallaf ialah golongan manusia yang kembali kepada Islam serta kekal dan beramal kepada Islam. Dikatakan kembali kepada Islam kerana fitrah kelahiran seseorang manusia itu semasa bayi adalah ibarat sehelai kain putih bersih. Ibubapa yang mencorak dan mewarnakan agama bayi itu. Seorang bayi yang dibesarkan dengan agama bukan Islam, dan akhirnya mengambil keputusan memeluk Islam setelah beliau baligh dan berakal, dianggap kembali kepada fitrah kejadiannya semasa bayi.

Golongan muallaf adalah golongan istimewa yang disebut beberapa kali di dalam al-Quran. Antaranya firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah.” – [Surah At-Taubah : 60].

Secara dasarnya, peruntukan tentang muallaf dan tatacara masuk Islam disebut secara khusus dalam Bahagian IX Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), iaitu berkenaan kehendak-kehendak masuk Islam, tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan seorang muallaf, pendaftaran Muallaf, Perakuan Masuk Islam, pengiktirafan muallaf sebagai orang Islam, kaedah menentukan sama ada orang yang tak didaftarkan ialah seorang muallaf, dan sebagainya.

Seksyen 95 Akta 505 tersebut memperuntukkan bahawa seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan mencapai umur lapan belas tahun. Jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya telah mengizinkan kemasukannya.

Seksyen 85 (1) Akta 505 tersebut mensyaratkan seseorang yang masuk Islam mestilah mematuhi kehendak-kehendak berikut, iaitu :-
(a) orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahasa Arab secara semunasabahnya jelas; (b) pada masa mengucap dua kalimah itu, orang itu mestilah sedar bahawa ia bermakna "Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W ialah Pesuruh Allah"; dan (c) pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.



Seseorang yang tidak dapat bercakap boleh mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan cara isyarat yang menunjukkan makna yang dinyatakan dalam perenggan (b) di atas.

Seseorang itu akan dianggap menjadi seorang Islam sebaik sahaja dia habis mengucapkan dua kalimah Syahadah, dan orang itu hendaklah selepas itu disebut sebagai seorang muallaf, dan tertakluk dengan tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang sama seperti orang Islam yang lain.
Seksyen 88 Akta 505 memberikan kuasa kepada Pendaftar Muallaf untuk menyelenggarakan suatu Daftar Muallaf dalam bentuk yang ditetapkan. Pendaftar Muallaf boleh mendaftarkan kemasukan Islam seseorang muallaf dengan mencatatkan nama dan butir-butir lain dalam Daftar Muallaf, termasuk tarikh masuk Islam.

Pendaftar Muallaf kemudiannya akan mengeluarkan Perakuan Masuk Islam kepada muallaf berkenaan, sebagai bukti dan rekod untuk simpanan muallaf berkenaan, serta untuk rekod simpanan pihak Jabatan Agama Islam.

Sebaik sahaja didaftarkan, maka muallaf itu adalah disifatkan sebagai seorang Islam, bagi maksud mana-mana undang-undang Persekutuan atau Negeri. Dan bagi menepati maksud dalam Perlembagaan, sebaik sahaja memeluk Islam dan didaftarkan, muallaf tersebut boleh dikategorikan sebagai berbangsa Melayu menurut tafsiran Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan. Dia juga berhak menerima keistimewaan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan. Ini kerana Perkara 160 memperuntukkan bahawa "Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu. Seorang muallaf juga akan tertakluk di bawah Enakmen atau undang-undang Syariah yang di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Seorang muallaf berhak untuk mendapat pendidikan, keselamatan, dan perlindungan, berhak mendapat bantuan kewangan atau zakat, berhak untuk menuntut penjagaan anak jika berlaku masalah dalam perkahwinan atau jika berlaku perceraian, mempunyai hak untuk meninggalkan dan diberikan harta pusaka, dan lain-lain sepertimana hak seorang yang Islam sejak lahir.

Memang tidak dinafikan, tiada sebarang peruntukan undang-undang yang mewajibkan mualaf untuk menukar nama kepada nama Islam dan menukar kad pengenalan dengan maklumat baharu setelah memeluk Islam. Namun, mereka perlu dinasihatkan untuk berbuat demikian di Jabatan Pendaftaran Negara, supaya tidak timbul masalah kemudian hari, terutama apabila berlaku perkahwinan atau kematian.  

Sekiranya pindaan maklumat Islam tidak dipinda dalam kad pengenalan, akan menjadi kesukaran untuk menentukan status agama muallaf sekiranya mereka memohon sebarang bantuan kewangan, zakat atau bantuan-bantuan lain. Tambahan pula dalam sesetengah kes, seseorang mullaf pada asalnya mungkin masuk Islam di Wilayah Persekutuan, tetapi kemudiannya berhijrah ke negeri lain. Maka rekod asal kemasukan Islamnya berada dengan Pendaftar Muallaf di Wilayah Persekutuan. Kemungkinan besar rekodnya tidak berada di negeri tempat bermastatutinnya yang baru itu. Penulis percaya perlu diujudkan satu sistem pendaftaran muallaf di peringkat pusat (center) yang mengawalselia dan menyimpan rekod pendaftaran serta maklumat semua muallaf di seluruh Negara. 

Masalah juga akan timbul untuk menentukan hak keistimewaan orang tersebut sebagai seorang Melayu sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sekiranya maklumat dalam kad pengenalan masih beragama bukan Islam.

Masalah selanjutnya akan timbul untuk menentukan bidangkuasa Mahkamah ke atas orang tersebut. Jika muallaf itu ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah, maka dia boleh mendakwa sebagai bukan Islam supaya tidak dikenakan dakwaan, kerana butiran dalam kad pengenalannya tidak menyatakan status beragama Islam.

Walaupun Seksyen 92 Akta 505 tersebut menyatakan jika timbul pertikaian tentang status seorang muallaf, dan orang itu tidak didaftarkan dalam Daftar Muallaf atau di bawah mana-mana undang-undang Negeri lain sebagai seorang muallaf, akan tetapi persoalan itu hendaklah diputuskan berdasarkan kepada tatacara kemasukan Islam di peringkat awal. Masalah akan timbul jika rekod-rekod tentang kemasukan itu tidak dikemaskini, hilang atau saksi semasa upacara masuk Islam tersebut juga tidak dapat dikesan.

Justeru, walaupun tidak diwajibkan untuk meminda maklumat baru dalam kad pengenalan, kerajaan perlu menggalakkan muallaf untuk berbuat demikian sebaik sahaja Perakuan Masuk Islam dikeluarkan. Walaupun bukan menjadi kewajipan untuk menukarkan nama, asalkan nama tersebut mempunyai maksud yang baik, namun sekurang-kurangnya maklumat tentang agama baharu perlu dimasukkan dalam kad pengenalan muallaf berkenaan. Suatu tindakan kecil pada masa sekarang, yang boleh mengelakkan mudarat yang lebih besar pada masa akan datang. Wallahu’alam.

-Penulis ialah Presiden PGSM dan boleh dihubungi melalui email sekretariatpgsm@yahoo.com

Saturday, December 22, 2012

Mangsa perceraian tiada pembelaan


Modul kursus khas patut ada perjelas tanggungjawab terhadap anak

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian 

19 Disember 2012

MUSA AWANG

Apabila sesuatu perkahwinan berakhir dengan perceraian, tidak dapat dinafikan ia akan memberi kesan kepada bapa, ibu dan anak-anak hasil perkahwinan. Namun kesan kepada anak-anak adalah lebih besar berbanding kepada ibu atau bapa.

Statistik pendaftaran cerai mengikut negeri-negeri bagi 10 tahun (2000-2010) menunjukan jumlah perceraian terkumpul bagi sepuluh tahun ialah 197,120 pasangan. Secara purata, perceraian bagi sepuluh tahun ialah sebanyak 19,712 pasangan. Empat negeri yang mempunyai kadar tertinggi perceraian dalam tempoh 10 tahun ialah Selangor,(34,302) diikuti Kelantan (20,880), Johor 19,946 dan Kedah 18,954 pasangan.

Jika secara puratanya setiap pasangan yang bercerai di atas mempunyai sekurang-kurangnya 2 orang anak, maka seramai 394,240 adalah anak-anak mangsa perceraian. Pernahkah suatu kajian dibuat terhadap anak-anak mangsa perceraian ini? Bagaimana nasib mereka, perkembangan pendidikan mereka. Daripada jumlah itu berapa ramaikah yang berjaya dan sebaliknya.

Setakat ini kita tidak ada suatu tindakan atau mekanisme khusus untuk ibu atau bapa atau anak-anak mangsa perceraian ini. Kita sekadar mengumpulkan statistik tanpa apa-apa tindakan drastik.

Anak-anak mangsa perceraian menjalani kehidupan tanpa sokongan dan rangsangan dari ibu bapa, mendorong mereka untuk melakukan perkara negatif seterusnya terlibat dengan gejala sosial. Prestasi belajar anak-anak juga boleh terjejas lantaran gangguan mental kesan dari penceraian.

Hakikatnya, walaupun perkahwinan telah berakhir, ibu atau bapa masih perlu menjaga dan mendidik anak-anak. Sebahagian besar ibu atau bapa masih bergelut dengan perasaan sedih, marah dan dendam masing-masing, hingga terbawa-bawa ke dalam proses penjagaan dan pendidikan anak-anak. Ada sesetengah ibu atau bapa menghasut anak-anak supaya membenci antara satu sama lain dan meletakkan kesalahan terhadap pasangan masing-masing, yang akhirnya mencetuskan hubungan yang tidak baik dan permusuhan yang berpanjangan antara ibu atau bapa dengan anak-anak. Masalah dan konflik yang dialami oleh ibu bapa menjadikan anak-anak sebagai mangsanya.

Sebahagian yang lain mengheret sama anak-anak ke kancah pertelingkahan dan tuntutan mereka di Mahkamah Syariah, dengan membawa sekali anak-anak setiap kali pendengaran kes di Mahkamah Syariah. Ada pula yang menjadikan anak-anak sebagai saksi kepada tuntutan mereka.
Sebahagian ibu pula bergelut dengan tanggungjawab mencari nafkah untuk diri sendiri dan anak-anak, kerana bapa melupakan terus tanggungjawab nafkah selepas berpisah dengan ibu. Krisis kewangan bertambah serius tatkala bilangan anak yang ramai dan masih kecil.
Sebahagian yang lain menjadikan alasan bapa tidak memberikan nafkah untuk menghalang atau menafikan hak bapa untuk melawat dan bersama anak-anak. Sementelahan pula, bapa juga menggunakan alasan tidak dapat berjumpa anak-anak bagi menidakkan pemberian nafkah kepada anak-anak.

Sebahagian yang lain pula cuba membeli kasih sayang anak-anak dengan memberikan apa sahaja yang diminta, menjadikan anak-anak manja dan besar kepala. Tanpa disedari, keadaan-keadaan ini merperkotak-katikkan hidup anak-anak.

Kalau dahulu ibu, bapa dan anak berada di bawah satu bumbung. Selepas bercerai, ibu atau bapa pasti akan tinggal di dua rumah yang berasingan. Salah satu pihak akan menjaga anak dan salah satu pihak tidak. Dalam sesetengah keadaan, anak-anak dibahagi-bahagikan antara ibu atau bapa, menyebabkan anak-anak juga terpisah antara satu sama lain. Sebahagian ibu atau bapa juga akan mempunyai keluarga yang baru.

Memang lazim bagi seorang ibu atau bapa untuk cuba berbaik-baik dan menambat hati anak-anak apabila bercerai. Satu pihak akan menjaga anak-anak dan pihak satu lagi hak melawat atau hak bersama pada hujung minggu. Keadaan ini pastu menyukarkan pihak untuk mendisiplinkan dan menetapkan peraturan bagi anak-anak. Cerita-cerita bersama ibu akan sampai kepada bapa. Begitu juga sebaliknya cerita-cerita bersama bapa akan sampai kepada ibu. Cerita-cerita ini juga sebahagiannya akan digunakan untuk memburuk-burukkan atau melaga-lagakan antara satu sama lain.

Lambat-laun ibu bapa dan anak-anak perlu menyedari wujudnya kasih sayang yang berbeza. Walaupun ibu bapa tidak lagi saling menyayangi, namun hubungan ibu bapa dengan anak tetap tidak akan terputus. Anak-anak mungkin akan bersikap negatif sekiranya mereka tidak dijelaskan perkara sebenar dan betul. Mereka mungkin beranggapan perhubungan mereka dengan ibu atau bapa juga akan berakhir.

Pastinya sekiranya keadaaan-keadaan yang disebutkan ini gagal diatasi dengan baik, dibimbangi akan menjerumuskan masa hadapan negara kepada isu-isu sosial yang lain. Berkemungkinan besar juga masalah-masalah sosial yang kita sedang hadapi sekarang ini sedikit sebanyak ada hubungkait dengan fenomena ini?

Hasil tinjauan penulis mendapati sukar bagi pasangan yang bercerai untuk mendapatkan ilmu tentang teknik dan tanggungjawab selepas berlaku perceraian. Kalau kursus sebelum perkahwinan ada disediakan oleh semua jabatan agama Islam mahupun ada yang diswastakan, tetapi tidak bagi kursus untuk pasangan selepas perceraian.

Maka pihak-pihak yang berkenaan perlu mencari satu modul kursus khas untuk menyampaikan ilmu-ilmu tentang teknik keibubapaan, disiplin waktu dan tanggungjawab sebagai ibu atau bapa kepada pasangan yang bercerai. Kursus ini mungkin boleh diadakan secara tertutup dan diwajibkan kepada mereka yang telah selesai kes perceraian mereka di Mahkamah Syariah, juga kepada anak-anak kepada pasangan ini.

Perceraian telah berlaku, bukan lagi masanya untuk mencari siapa salah. Namun kehidupan perlu diteruskan, anak-anak perlu dibesarkan dengan cara yang baik dan sihat menurut kehendak hukum Syarak. Kesan akibat kesilapan ibu atau bapa tidak seharusnya dibebankan kepada anak-anak. Wallahu’alam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Sunday, December 9, 2012

Urusan agama serah pada yang ahli


Peguam Syarie Menulis, Berita Harian

MUSA AWANG


Semasa bertitah pada majlis Ambang Hijrah dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1434H di Shah Alam minggu lepas, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan ahli politik di negara ini supaya tidak menyalahgunakan hukum agama dan tafsiran al-Quran sebagai modal politik bagi meraih sokongan. Baginda juga melarang mereka mencampur adukkan hal ehwal agama dengan permasalahan politik kerana ia boleh mengeliru dan memecahbelahkan masyarakat.

Penulis amat bersetuju dengan titah baginda, kekeliruan yang timbul sejak akhir-akhir ini berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya menterjemah ayat suci al-Quran tanpa mempelajarinya. Ada orang yang tidak berilmu atau orang tidak layak mentafsir ayat-ayat al-Quran atau perkara berkaitan hukum Allah melakukan tafsiran mengikut fahaman dan kehendak masing-masing yang tidak menepati makna yang sebenarnya.

Lebih malang lagi, beberapa pemimpin politik dari kalangan bukan Islam pun dilihat cuba mentafsirkan al-Quran, lantaran melihat orang Islam sendiri tidak kira latarbelakang pendidikan begitu mudah mentafsirkan kitab suci itu.

Kitab suci Al-Quran bukan untuk sekadar dibaca begitu sahaja, malahan perlu diberikan tafsiran dan dihayati sewajarnya. Namun bagaimanakah cara tafsiran sebetulnya yang patut dilakukan? Adakah seorang doktor perubatan atau doktor gigi atau seorang pakar ekonomi, pakar undang-undang atau pakar politik boleh mentafsirkan al-Quran mengikut pandangan atau tafsirannya sendiri?

Ilmu agama termasuk berkaitan dengan hukum hudud tidak boleh ditafsir hanya berpandukan buku atau sebaran maklumat di internet atau youtube sahaja, tetapi perlu merujuk dan bertalaqqi dengan ulama, menelaah lembaran dan helaian kitab secara langsung di hadapan guru.

Islam tidak melarang seseorang untuk memberikan pandangan atau berhujah, tetapi bukanlah bermaksud bebas mentafsirkan kalam Allah dan hukum Allah dalam al-Quran dengan menggunakan logik akal semata-mata tanpa sebarang ilmu. Bukan semua orang mempunyai kelayakan untuk mentafsir al-Quran. Serahkanlah kepada ulamak atau orang yang layak sahaja untuk berbuat demikian.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud : ‘Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (alim ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya.’ (Surah al-Nahl: Ayat 43)

Ulama bermaksud seseorang yang menguasai ilmu Allah SWT dengan sangat mendalam dan memiliki akhlak terpuji dengan syarat-syarat tertentu sebagai ulama. Berbeza dengan perkataan alim yang beerti orang yang mengetahui akan tetapi belum tentu orang itu mendalami.

Ulama ialah mereka yang mampu menyingkap dan memahami dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW dengan sempurna, memahami dalil-dalil dan penjelasan daripada ulama silam, bahkan ada di antara mereka menghafal ratusan ribu hadis, matan-matan ilmu dan sebagainya lagi untuk melayakkan mereka diistilahkan sebagai seorang ulama. Mereka juga istiqamah dengan ilmu-ilmu yang mereka perolehi itu dan tidak cenderong kepada mana-mana pihak yang berkepentingan dalam menyatakan kebenaran dan hak.

Ulama sebeginilah yang diiktiraf sebagai pewaris para nabi oleh Rasulullah SAW sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis yang bermaksud – ‘Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna’. (HR Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Dalam hadith yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud – ‘Sesungguhnya Allah Taala tidak mencabut ilmu dengan menghilangkan ilmu daripada manusia akan tetapi Allah Taala mencabut ilmu dengan mematikan para ulama’. (HR al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi)

Menurut Imam Syatibi, hadis ini menjadi hujah bahawa guru adalah kunci bagi ilmu dan keperluan mempelajari ilmu terus daripada dada-dada guru. Sebarang persoalan yang tidak difahami boleh terus secara langsung bertanya kepada guru atau ulama untuk mendapatkan penjelasan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud - Ilmu itu seperti gudang dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga kamu diberikan rahmat oleh Allah Taala. Maka sesungguhnya dari satu pertanyaan itu diberikan pahala akan empat orang. Pertamanya orang yang bertanya. Keduanya guru yang menjawab. Ketiganya orang yang mendengar jawapan itu. Keempatnya orang yang cinta kepada mereka’.  (HR Abu Nuaim)

Ilmu syariat atau agama Islam dan kefahamannya perlu dirujuk kepada ahli ilmu berkenaan yang boleh dipercayai. Ilmu agama adalah sesuatu yang sangat rumit dan memerlukan penjelasan daripada ulama berbanding dengan ilmu-ilmu keduniaan lain. Seseorang yang tidak berilmu dalam mentafsir cuba mentafsir al-Quran mengikut kecenderungannya, sedangkan tidak ada kelayakan untuk berbuat demikian, boleh merosakkan kesucian al-Quran, mencemarkan kesucian Islam, dan mengharubirukan masyarakat Islam.


Golongan yang hanya membaca beberapa buku atau buku hadis, tetapi mendakwa mereka sudah pakar dan mampu berijtihad di dalam urusan agama, tanpa bimbingan daripada pakar agama, bukan sahaja akan terus sesat dengan kefahamannya, apabila dia berbicara dan mengeluarkan pendapat boleh menyesatkan orang lain pula. Lebih-lebih lagi jika dia bercakap sesuatu yang bukan dalam bidangnya. Inilah bahaya besar yang sedang menghantui umat Islam mutakhir ini.

Orang ini boleh didakwa menurut Seksyen 9 atau 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, iaitu kesalahan Mempersendakan, dll, ayat Al-Quran dan Hadith atau kesalahan Menghina atau menyebabkan dipandang hina, dll., agama Islam.



Seksyen 9 Enakmen memperuntukkan bahawa : "Mana-mana orang yang, dengan kata-katanya atau perbuatannya, mempersendakan,   menghina, mencemuh atau menyebab-kan dipandang hina ayat-ayat Al-Quran atau Hadith adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Manakala Seksyen 10 Enakmen sama memperuntukkan : "Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain :- menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina; (b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau  (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya."
Wallahu’alam.

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Tuesday, November 6, 2012

Tangani isu murtad


Ambil iktibar daripada Perjanjian Hudaibiyah antara Nabi dengan musyrikin Makkah

Oleh Musa Awang


KES permohonan keluar Islam atau murtad adalah isu yang sensitif kerana menyentuh kaum dan agama lain di Malaysia. Namun dalam masyarakat majmuk di negara ini, ia tidak dapat dielakkan untuk dibicarakan. Penulis percaya bahawa rakyat Malaysia sudah cukup matang untuk membicarakan isu itu dengan fikiran terbuka.

Sebagai peguam syarie, penulis tidak dapat mengelak daripada didatangi pelanggan yang mahukan penulis mewakili mereka dalam permohonan keluar Islam. Tinggal tepuk dada tanya iman. Pernah dilaporkan oleh Harian Metro pada 5 Oktober lalu, membabitkan segelintir peguam syarie yang dikatakan menggadaikan prinsip dan agama sendiri dengan mewakili pemohon yang ingin keluar Islam kerana wang ringgit.

Penulis percaya yang terbabit hanya sebahagian kecil saja dan yakin majoriti peguam syarie masih berpegang kepada hukum syarak dan meletakkan Islam sebagai prinsip yang teratas dan tertinggi. Memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika jawapan lisan kepada soalan daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) di Dewan Rakyat, Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010.


Sejumlah 168 orang yang memohon untuk meninggalkan agama Islam diluluskan. Pada pandangan penulis, masyarakat dan institusi Islam di negara ini perlu tahu betapa serius atau tidaknya perkara itu dan mengambil tindakan pencegahan yang sewajarnya.

Berdasarkan Jadual Sembilan, Senarai II Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan seseorang itu masuk Islam, menentukan seseorang itu masih lagi beragama Islam atau sudah meninggalkan agama Islam dan mengambil tindakan atas kesalahan keluar agama Islam. Ini disebut dengan jelas di dalam kebanyakan enakmen pentadbiran agama Islam negeri-negeri di Malaysia. Sebenarnya, tiada istilah permohonan untuk murtad atau keluar daripada agama Islam di dalam mana-mana enakmen negeri. Permohonan yang ada ialah permohonan pengisytiharan status agama sama ada seseorang itu masih beragama Islam atau tidak. Anggapan bahawa Mahkamah Syariah mengesahkan atau membenarkan seseorang itu murtad adalah silap. Mahkamah Syariah tidak pernah membenarkan seseorang itu murtad, tetapi membuat pengisytiharan status agama seseorang itu bukan lagi orang Islam.

Umumnya, terdapat tiga pendekatan bagi mereka yang murtad di Malaysia mengikut undang-undang. Pertama dengan didakwa sebagai kesalahan jenayah syariah yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat sehingga enam sebatan atau campuran mana-mana daripada ketiga-tiga bentuk hukuman ini. Kedua dengan tahanan mandatori di Pusat Pemulihan Aqidah sehingga tempoh 36 bulan. Ketiga, tiada sebarang bentuk hukuman, tetapi diwajibkan melalui sesi kaunseling sebelum kebenaran keluar Islam diluluskan.

Hasil pengamatan penulis, terdapat tiga kategori pihak memohon pengisytiharan status agama di Mahkamah Syariah. Kategori pertama ialah golongan yang sejak kecil tinggal bersama dan dibesarkan dalam keluarga bukan Islam, mengamalkan agama bukan Islam, hanya tinggal nama dan status Islam dalam kad pengenalan. Sejak kecil, mereka tidak pernah mendapat didikan agama Islam atau bimbingan daripada ibu bapa, tidak mendapat kasih sayang atau diabaikan oleh ibu bapa atau keluarga bercerai. Kategori kedua ialah mereka yang menganut agama Islam selepas berumur 18 tahun, tetapi kemudian ingin kembali semula ke agama asal atas sebab tertentu. Antaranya disebabkan memeluk Islam kerana berkahwin dan kemudian berlaku perceraian, saudara baru yang memeluk Islam dengan tujuan mendapat kemudahan atau simpati apabila gagal mendapat bantuan berterusan, kurang perhatian orang Islam terhadap saudara baru bermasalah dan tiada tempat berlindung menyebabkan mereka putus asa, atau saudara baru yang tidak mendapat bimbingan agama atau mendapat bimbingan agama, tetapi hanya separuh jalan.

Ketiga ialah golongan yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam, tetapi memilih untuk keluar daripada agama Islam atas faktor seperti tuntutan cinta atau berkahwin dengan bangsa asing, terpengaruh dengan ajaran sesat, ‘black metal’, dadah dan gejala bersifat negatif, pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa kawalan daripada ibu bapa, kejahilan dalam ilmu tauhid, tidak mendapat didikan agama dan bimbingan daripada ibu bapa sendiri yang juga jahil dan tidak mahu belajar agama. Namun, tidak ramai daripada kategori ini yang memohon pengisytiharan di Mahkamah Syariah berbanding kategori pertama dan kategori kedua. Kebiasaannya, permohonan untuk pengisytiharan agama akan diikuti sekali dengan permohonan untuk menukar nama dan status agama di dalam kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara. Peraturan 14 Peraturan Pendaftaran Negara 1990 mengkehendaki setiap permohonan menukar status agama mestilah mendapat Perintah dari Mahkamah Syariah. Penulis percaya, jika tidak ada peraturan sebegini, bayangkan sudah berapa ramai orang Islam bertukar nama dan status dalam kad pengenalan mereka dengan mudah.


Suatu kajian perlu dibuat bagi mengenal pasti berapa ramai saudara baru atau mualaf kembali ke agama asal mereka, dan mengapa terjadi demikian. Banyak usaha perlu dibuat untuk mencegah pencemaran akidah yang boleh membawa kepada gejala murtad.

Pendekatan dakwah perlu dikemas kini di semua peringkat dan lapisan masyarakat, memperkukuhkan institusi kekeluargaan, mengadakan program keluarga angkat saudara baru, menghapuskan program hiburan melampau di media tempatan, memperkukuhkan jati diri masyarakat Islam, mempamerkan contoh teladan yang baik kepada bukan Islam. Murtad akan berlaku sama ada diisytiharkan atau tidak oleh mahkamah. Catatan agama Islam dalam kad pengenalan bukan penentu sebenar akidah seseorang. Mengembalikan mereka ke pangkuan Islam adalah kejayaan besar bagi kita.

Penulis percaya bahawa pakar perundangan dan cendikiawan Islam perlu melihat kepada roh Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani oleh Nabi s.a.w dengan orang musyrikin Makkah pada tahun keenam Hijrah (628 Masihi). Antara isi kandungan perjanjian itu ialah sesiapa di antara orang musyrikin Quraisy yang menganuti agama Islam tanpa izin walinya iaitu ibu bapa atau penjaganya hendaklah dikembalikan kepada kaum keluarganya atau kembali kepada agama asalnya.

Bagi orang Islam yang memihak kepada musyrikin atau menganut agama lain tidak perlu dihantar balik. Baginda bersetuju mengembalikan orang musyrikin yang menganut Islam tanpa izin walinya kerana baginda yakin mereka adalah golongan yang dibuka hatinya menerima hidayah Allah s.w.t, sanggup meninggalkan keluarga demi Islam dan tidak akan berubah hati mereka.

Apabila mereka dikembalikan kepada keluarga, mereka boleh pula berdakwah di kalangan keluarga masing-masing. Hikmah daripada kebijaksanaan baginda Rasulullah ini, dakwah Islam semakin tersebar, program dakwah Islamiyah digerakkan ke seluruh pelosok Semenanjung Tanah Arab secara aman dan umat Islam semakin bertambah. Penulis boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Disiarkan dalam Harian Metro, Rabu 7/11/2012

Wednesday, October 31, 2012

Isu nusyuz bukan senjata ampuh suami


Berita Harian 31/10/2012

Oleh Musa Awang

Mahkamah Syariah tentukan hukum isteri tak dapat nafkah

Kebanyakan suami masih keliru atau kabur dan sebahagian besarnya tidak faham langsung maksud nusyuz. Ramai suami mentafsirkan sendiri istilah 'nusyuz' dengan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada ulama muktabar.

Nusyuz dijelaskan dalam firman Allah SWT: “Dan wanita-wanita (isteri-isteri) yang kamu khuatir nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahlah diri dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari untuk menyusahkan mereka sesungguhnya Allah Maha Tinggi Lagi Maha Besar.” (Surah Al-Nisa’, ayat 34)

Suami tidak boleh memandai-mandai menghukum isteri sebagai nusyuz dengan menghentikan pemberian nafkah kepada isteri atas andaian isteri telah nusyuz. Sebaliknya suami perlu mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah untuk mensabitkan isterinya nusyuz.

Isu isteri nusyuz ini dijadikan senjata ampuh bagi suami dan dibangkitkan mereka dalam semua kes termasuk tuntutan mutaah, hadanah, fasakh serta harta sepencarian. Walhal nusyuz hanya memberi kesan kepada nafkah isteri.

Suami juga keliru dalam membezakan antara berkelakuan buruk (fahisyah) dengan nusyuz. Sesetengah suami cukup mudah menghukum isteri yang meninggikan suara, tidak memasak atau tidak membasuh baju sebagai isteri nusyuz.

Sedangkan dari sudut undang-undang, nusyuz adalah kes yang sukar untuk dibuktikan dan memerlukan beban pembuktian yang berat. Bukan hak suami untuk mengatakan isterinya nusyuz, tetapi ia adalah kuasa Mahkamah Syariah.

Mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, perkataan nusyuz disebutkan sebanyak tiga kali, dua kali disebutkan dalam Seksyen 60 dan sekali disebutkan dalam Seksyen 66. Seksyen 60 menyebut hak isteri untuk mendapat nafkah daripada suaminya semasa dalam pernikahan, serta kesan nusyuz terhadap hak nafkah itu. Manakala Seksyen 66 mengenai hak isteri mendapatkan nafkah ketika dalam edah serta kesan nusyuz terhadap hak nafkah edah itu.

Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan, seorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya.

Antaranya, apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya; meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya atau enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah tanpa sebab sah mengikut hukum syarak.

Selepas isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz. Ringkasnya, sabitan nusyuz perlu kepada pengesahan dari Mahkamah Syariah. Suami tidak boleh memandai-mandai menghukum isteri sebagai nusyuz dengan menghentikan pemberian nafkah kepada isteri atas andaian isteri telah nusyuz. Sebaliknya suami perlu mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah untuk mensabitkan isterinya nusyuz.

Kebanyakan kes nusyuz yang dibangkitkan di mahkamah adalah berkaitan tindakan isteri meninggalkan rumah disediakan oleh suami. Namun, sejak kebelakangan ini, semakin banyak muncul kes nusyuz yang mana suami mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Kes nusyuz boleh didaftarkan melalui prosedur kes mal atau jenayah kerana tiada prosedur khusus. Tuntutan nusyuz juga boleh dibuat semasa pembelaan dan tuntutan balas suami dalam kes tuntutan perceraian isteri.
Apabila suami mendapati isterinya nusyuz, suami perlu memulakan tindakan proaktif iaitu dengan membuat aduan di Pejabat Agama Islam untuk satu sesi kaunseling bagi menasihati pihak-pihak menyelesaikan krisis yang dihadapi.

Suami juga perlu mengambil tindakan memujuk isteri kembali ke pangkuannya dan kembali mentaatinya menurut hukum syarak. Jika suami tidak mengambil sebarang tindakan wajar, kemungkinan isteri tidak dapat disabitkan sebagai nusyuz.

Nusyuz juga biasanya akan dimulakan dengan tuntutan taat terlebih dulu yang dikemukakan suami. Jika selepas perintah isteri taat dikeluarkan, isteri masih lagi enggan, maka isteri boleh disabitkan nusyuz.
Isteri nusyuz juga boleh didakwa menggunakan prosedur jenayah dengan menggunakan peruntukan isteri tidak menurut perintah (Seksyen 129) dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Kesilapan suami ialah menimbulkan isu nusyuz sebagai pembelaan diri.

Kesilapan suami juga, masih ingin menimbulkan isu nusyuz dalam kes tuntutan selepas perceraian sedangkan pengisytiharan atau sabitan nusyuz tidak pernah dimohon suami sebelum berlaku perceraian.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Tuesday, October 30, 2012

Jaga hukum ketika berlakon


Oleh Musa Awang


Lelaki berpakaian wanita tetap berdosa walaupun untuk kebaikan


TENTU seronok menyaksikan drama atau rancangan bersiri bersama anak pada waktu malam atau hujung minggu sama ada secara percuma atau melalui saluran berbayar. Ini lebih-lebih lagi dengan kemunculan rancangan realiti bagai cendawan tumbuh selepas hujan yang tidak dinafikan banyak melahirkan bakat baru dalam lakonan.

Namun, sama ada kita perasan atau tidak, beberapa rancangan yang menjadi kesukaan kanak-kanak kerap menggunakan pelakon lelaki untuk membawa watak wanita dan memakai pakaian wanita. Dikhuatiri jika keadaan ini dibiarkan, ia akan mempengaruhi pemikiran dan perwatakan kanak-kanak yang gemar menonton rancangan itu.

Walaupun niat mereka mungkin ingin menyampaikan mesej yang baik tetapi banyak lagi cara boleh dilakukan, bukan dengan melanggar hukum yang ditetapkan Islam. Apatah lagi majoriti pelakon terbabit adalah Melayu beragama Islam. 

Dalam Islam hukumnya jelas haram seorang lelaki berpakaian perempuan, maka ia tetap tidak boleh dilakukan dan tetap berdosa walaupun dengan alasan untuk kebaikan. Majoriti ulama bersepakat bahawa Islam melarang perbuatan tersebut sama seperti wanita dilarang menyerupai lelaki.

Pakaian yang khusus untuk lelaki tidak boleh dipakai oleh wanita, begitu juga sebaliknya. Rasulullah mengingatkan hal ini dengan tegas menerusi sabdanya yang bermaksud: “Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan.” (HR Bukhari dan Muslim).

Maksud menyerupai dalam konteks hadis di atas, termasuk menyerupai gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya. Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menerusi bukunya Fatawa wa Rasai’il Lil Nisa’ menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai kaum wanita sama ada dari aspek tingkah laku, percakapan, perhiasan, cara berpakaian dan sebagainya dalam perkara yang dikhususkan untuk wanita. Begitu juga sebaliknya, haram ke atas wanita menyerupai kaum lelaki.

Menurut pandangan dikeluarkan oleh Sheikh Yusuf Qardhawi, penerbitan dan dunia lakonan yang harus hendaklah memenuhi beberapa syarat, antaranya :
  • Filem dan lakonan mestilah bersih daripada pengaruh kegila-gilaan, fasik atau yang menjejaskan akidah dan akhlak serta syariat Islam ; apa jua filem dan lakonan mengajak masyarakat kepada dosa dan maksiat atau menjurus kepada kriminal atau keganasan dan kebatilan adalah haram.
  • Lakonan dan perfileman tidak boleh berlaku percampuran bebas keterlaluan dan persentuhan antara lelaki dan wanita serta pendedahan aurat wanita dan lelaki, ini untuk menjaga fitnah dan syubhah. 
  • Ia ada kepentingan kesedaran kepada masyarakat (ada unsur pengajaran, iktibar dan keagamaan). Jika sesuatu produk filem atau lakonan memenuhi syarat minimum di atas, maka ia adalah harus dan halal. 
Orang Islam lelaki yang berlagak seperti perempuan boleh didakwa di bawah kesalahan jenayah syariah negeri-negeri. Sebagai contoh, Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan – “Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.”

Bagaimanapun terdapat sedikit pengecualian atau klausa selamat (safety clause) dalam peruntukan tersebut, di mana terdapat perkataan ‘atas tujuan bermoral’, yakni seseorang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam tidak boleh dikenakan tindakan melainkan dia berpakaian sedemikian untuk tujuan tidak bermoral atau untuk tujuan maksiat. Jika seseorang lelaki saja-saja memakai pakaian perempuan di tempat awam, atau berlagak seperti perempuan di tempat awam, tanpa tujuan melakukan maksiat, maka dia tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Peruntukan yang hampir sama juga terdapat di Negeri Selangor, Johor, Perak, Terengganu, Pulau Pinang, Sarawak, walaupun terdapat sedikit perbezaan dari segi tempoh hukuman penjara. Penulis berpandangan peruntukan ini perlu dipinda kerana ia berlawanan dengan kehendak Hukum Syarak yang mengharamkan lelaki menyerupai perempuan tidak kira untuk tujuan apa sekalipun.

Peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sembilan, Kedah, Sabah, dan Kelantan lebih bertepatan dengan Hukum Syarak. Sebagai contoh, Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 memperuntukkan: “Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”

Hukuman bagi kesalahan berlagak seperti perempuan di Perlis lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain. Seksyen 7 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991 memperuntukkan bahawa “(1) Mana-mana orang lelaki yang berlagak seperti perempuan (tasyabbuh) di mana-mana tempat awam adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

Merujuk kepada kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dr Wahbah al-Zuhaili menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya, haram wanita menyerupai lelaki. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Daripada Ibn Anas r.a berkata Rasulullah melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita (HR al-Bukhari).

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan yang bersidang pada 18 Disember 2008 bersamaan 20 Zulhijjah 1429H memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki menyerupai wanita (mak nyah/ pondan) sama ada dari segi pakaian, penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah haram di sisi Islam.

Jawatankuasa Fatwa juga menggesa ibu bapa dan masyarakat Islam supaya memberi perhatian serius terhadap gejala ini serta menekankan pendidikan, tunjuk ajar sebaik-baiknya kepada anak mereka khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.

Ramai ibu bapa sekarang sibuk dengan kerjaya. Tidak mahu diganggu anak dan serahkan anak kepada televisyen. Lebih mudah dan murah. Kita tidak mahu ibu bapa terpaksa membayar harga yang mahal untuk memulihkan kembali personaliti dan disiplin anak yang tercemar akibat pengaruh televisyen. 

- Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Penulis boleh dihubungi sekretariatpgsm@yahoo.com. 

Artikel ini disiarkan dalam MyMetro pada 31/10/2012

Saturday, October 6, 2012

Keluar fatwa rasmi


Keluar fatwa rasmi

Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PUTRAJAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyarankan Jabatan Mufti Negeri mengeluarkan fatwa rasmi sama ada peguam syarie dibenarkan syarak atau tidak untuk mewakili saudara baru yang mahu kembali ke agama asal di Mahkamah Syariah.

Presidennya, Musa Awang berkata, pihaknya turut menyarankan supaya syarat dan kelayakan menjadi peguam syarie diperketatkan dengan mengambil kira asas syariah yang kukuh. Menurutnya, langkah itu perlu bagi membendung kes peguam syarie didakwa sanggup menjual agama demi keuntungan dunia. “Dalam perkara ini masyarakat awam perlu faham, bukan semua peguam syarie daripada lulusan syariah, malah ada juga kalangan peguam bela dan peguam cara yang diberi tauliah sebagai peguam syarie. “Justeru, ada di kalangan peguam syarie yang tidak mempunyai asas syariah yang kukuh,” katanya dalam kenyataan menerusi e-mel kepada Harian Metro, semalam. Harian Metro semalam melaporkan dek kerana mengejar keuntungan, ada peguam syarie dikatakan sanggup menggadaikan prinsip dan maruah agama sendiri dengan ‘membantu’ saudara seagama, terutama golongan mualaf yang ingin memohon pengisytiharan keluar daripada Islam.

Dengan bayaran lumayan sehingga RM10,000 bagi setiap kes, membuatkan peguam terbabit tidak teragak-agak memberikan kesanggupan mewakili golongan berhasrat keluar daripada Islam disebabkan beberapa faktor seperti ingin berkahwin dengan kekasih bukan Islam dan masalah kewangan.

Perkara itu didedahkan Pegawai Mualaf Islam, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Hafiz Ng Abdullah yang mendakwa peguam terbabit sanggup mencari jalan atau bukti secukupnya untuk memastikan anak guam mereka dapat diisytiharkan keluar Islam oleh mahkamah, sebelum menerima imbuhan dijanjikan.

Musa berkata, laporan itu hanya membabitkan segelintir peguam syarie saja dan bukan semuanya bertindak seperti itu. “Saya percaya sehingga kini majoriti peguam syarie masih berpegang kepada hukum syarak dan prinsip dengan meletakkan Islam sebagai yang teratas dan tertinggi. Segelintir yang melakukan, janganlah dilabelkan seperti semua melakukannya,” katanya. Sementara itu, beliau meminta bahagian dakwah dan jabatan berkenaan menyiasat dan melakukan muhasabah mengenai kes saudara baru atau mualaf yang kembali murtad selepas memeluk Islam. “Jabatan berkenaan perlu mempergiatkan usaha mendidik saudara baru supaya tidak kembali ke agama asal mereka. Jika benar seperti didakwa, PGSM melahirkan rasa kesal apa yang berlaku. “Kita juga menyarankan Hafiz Ng atau sesiapa saja mempunyai maklumat mengenai kegiatan peguam syarie terbabit melaporkan secara rasmi kepada Jawatankuasa Peguam Syarie Perak untuk diambil tindakan,” katanya.




Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06

Wednesday, September 19, 2012

Tangani provokasi secara waras


Berita Harian

Rabu, 19 September 2012


Musa Awang


Perlu bijaksana menangkis isu filem burukkan Rasulullah


Saya sempat menonton filem Innocence of Muslims di youtube, membuat saya terfikir betapa jahatnya musuh-musuh Islam yang berada dalam ‘ketakutan’ kerana semakin ramai umat manusia memilih Islam sebagai jalan hidup. 


Filem yang di sunting di California, Amerika Syarikat, dibuat semata-mata untuk mereka cerita buruk yang tidak benar mengenai Nabi Muhammad SAW khususnya, dan Islam umumnya. Maka wajarlah apabila saudara-saudara Islam yang lain marah dan geram dengan pembikinan filem ini. 


Demonstrasi menentang filem ini yang dilakukan oleh saudara-saudara Muslim seluruh dunia bertujuan memberitahu bukan Islam supaya tidak mempersendakan agama Islam dan penganutnya. 


Bagaimanapun, kemarahan dan kecaman itu jangan sampai melakukan tindakan yang merugikan atau tindakan menggambarkan seolah-olah apa yang didakwa dalam filem itu benar. Kemarahan dan kecaman boleh dilakukan dengan pelbagai cara, termasuk demonstrasi secara damai. 


Kecaman secara damai dan tidak membawa sebarang kerosakan atau kemusanahan, secara tidak langsung sudah menjawab mesej jahat dari filem itu. Islam agama sejahtera, damai dan cintakan keamanan. 


Islam bukanlah agama yang membenarkan kemungkaran ditangani dengan cara yang mungkar juga. Islam mengajar supaya mengawal perasaan. 


Sabda Rasulullah SAW : “Orang yang kuat itu bukanlah yang dikenali dengan hebatnya berkelahi, tetapi orang yang kuat adalah yang mampu menguasai (menahan) dirinya ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari)


Sebelum melakukan tindakan protes, fahami isu sebenar, tontonilah filem itu terlebih dahulu, bagi mengelakkan kita bersuara dalam keadaan diri yang jahil. 


Allah SWT telah mengingatkan dalam firman-Nya, “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta bertanggungjawab.” (Surah al-Isra’, 17: 36)


Filem Innocence of Muslims adalah sebuah provokasi terbaru dari musuh Islam, dan perkara seumpama ini tidak akan berhenti sehingga berlaku kiamat. Di sinilah kedewasaan kita diuji, adakah umat Islam masih boleh berfikir waras dan bertindak dengan baik. 
Atau hanya menuruti nafsu amarah saja, dengan melakukan tindakan di luar batas yang akhirnya mengiyakan apa yang disampaikan dalam filem Innocence of Muslims tersebut. 


Dakyah dan persepsi negatif yang cuba dipaparkan dalam filem tersebut perlu dijawab dengan cara lebih matang, melalui karya seperti tulisan, filem, atau siri rencana tentang keperibadian, kebaikan dan kemurnian ajaran Rasulullah SAW serta kehebatan para sahabat yang mendampingi baginda.


Hasan Bin Ali meriwayatkan "Saya pernah bertanya kepada bapa saudaraku, Hindun bin Abu Halah yang sangat pandai menggambarkan sesuatu. Saya katakan kepadanya, `gambarkanlah kepadaku bagaimana cara Rasulullah saw berbicara!' Ia berkata, `Rasulullah adalah seorang yamg nampak selalu prihatin dan sentiasa berfikir. Beliau lebih banyak diam dan berbicara hanya seperlunya. Beliau memulai dan mengakhiri pembicaraan beliau dengan menyebut nama Allah. Ucapan beliau selalu padat, terperinci dan jelas, tidak lebih dan tidak kurang, tidak kasar dan tidak merendahkan. Beliau selalu mensyukuri nikmat walaupun sedikit dan sama sekali tidak pernah mencelanya. Beliau tidak pernah mencela dan memuji makanan. Urusan dunia beserta isinya tidak pernah membuatkan beliau marah. Jika kebenaran dilanggar, beliau tidak akan diam hingga kebenaran itu ditegakkan. Beliau juga tidak pernah marah dan tidak pula memperjuangkan kepentingan peribadi. Ketika menunjuk sesuatu, beliau selalu menggunakan seluruh tangannya. Dalam keadaan ta'jub atau terkejut, beliau selalu membalik (tapak tangannya). Ketika berbicara terbiasa menggunakan tangan untuk memperjelas perkataan dengan cara memukul-mukul tapak tangan kanan ke tapak jempol kiri. Ketika marah, beliau berbalik dan berpaling. Ketika senang, beliau menundukkan pandangan. Ketawa beliau adalah senyuman dan gigi beliau nampak seperti butiran salji." (Riwayat Tirmizi)

Aisyah meriwayatkan : "Saya sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah saw berusaha untuk membalas kezaliman yang beliau terima, selama hal itu tidak menyebabkan larangan Allah dilanggar. Jika larangan Allah dilanggar, maka beliaulah yang paling keras mengungkapkan kemarahan. Jika beliau dihadapkan kepada dua pilihan, maka beliau akan memilih yang paling mudah selama (hal yg lebih mudah itu) tidak menyebabkan dosa." (Riwayat Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad)


Peribadi Rasullulah adalah contoh paling ideal, paling sempurna dan paling bertepatan dengan kehendak dan tuntutan Syariat Islam, yang perlu ditauladani oleh umat Islam. 
Firman Allah SWT : "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)" – (Surah al Ahzab : 21)


Rasulullah SAW adalah sebaik-baik manusia dalam berakhlak dan beretika, dan orang yang paling mulia, bertaqwa dalam berinteraksi. 


Allah SWT berfirman sambil memuji nabi saw yang bermaksud “Sungguh dalam dirimu terdapat akhlaq yang mulia”. (Surah Al-Qalam : 4)

Sekadar menyebutkan beberapa keperibadian murni Rasulullah s.a.w yang boleh dijadikan karya bagi menjawab tuduhan tidak berasas musuh Islam tersebut – 


Wajah baginda sentiasa ceria yang menyejukkan setiap mata memandangnya; 

baginda memiliki perasaan yang halus ; 
suka makan beramai ramai daripada berseorangan ; 
baginda bencikan kemegahan dan perhiasan yang cantik yang melambangkan kesombongan dan kemegahan ; 
baginda makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang ; 
baginda tidak pernah mengumpat, mencerca atau menghina orang lain ; 
baginda suka memakai serban diatas kopiahnya ; 
baginda suka membalas hadiah ; 
baginda suka mengucapkan salam kepada ahli rumah ketika keluar atau masuk ; 
baginda sangat berlemah lembut dengan isteri dan ahli keluarga ; 
baginda sentiasa memulakan salam kepada orang lain ; 
baginda bersalaman dengan sahabatnya dan memeluk mereka ketika berjumpa ; 
ketika berjabat tangan, baginda tidak akan melepaskan tangan orang itu sehinggalah orang itu melepaskan tangan terlebih dahulu ; 
apabila melepasi kumpulan kanak-kanak, baginda mengangkat tangannya sebagai tanda hormat kepada mereka ; 
tidak menatap atau merenung wajah orang lain lama-lama ; 
baginda tidak bangun dari sesuatu majlis sehingga orang lain bangun terlebih dahulu ; 
tidak pernah menjulurkan kaki baginda didepan para sahabat ; 
baginda suka bercakap lambat-lambat agar orang lain memahami apa yang baginda katakan; baginda sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang sedang bercakap dengan baginda ; 
tidak pernah ketawa terbahak-bahak hanya tersenyum lembut ; 
sangat fasih dan manis dalam bertutur kata ; 
tersangat sabar dan tabah bila menghadapi ujian ; 
baginda amat kasih kepada umatnya ; 
baginda tidak pernah mengambil rezeki kurniaan Allah melebihi keperluan makan dan minum baginda ; 
rezeki yang melebihi keperluan baginda akan didermakan ; 
sentiasa membantu orang lain walaupun baginda sendiri dalam kesusahan ; 
tidak pernah menghina orang miskin dan tidak pernah rasa terhina bergaul dengan orang miskin ; 
suka menziarahi orang sakit ; 
tangannya tidak pernah menyentuh kulit wanita ajnabi ; 
Bersikap tegas, pemaaf dan pengasih dalam perjuangan ; 
sangat menghormati orang2 tua dan mengasihani orang-orang muda dan jua kanak-kanak.

Dan Aisyah pernah berkata ketika ditanya kepadanya tentang akhlaq nabi saw, Baginda s.a.w. berkata: “Akhlaq nabi adalah Al-Qur’an”. (Riwayat Muslim)

Dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w masuk ke kota Madinah dengan mengangkat bendera perdamaian. Ketika masuk kota Madinah Baginda s.a.w. berkata : “Wahai sekelian manusia, tebarkanlah salam, berilah makan, solat malamlah ketika orang lain tidur lelap nescaya masuk surga dengan selamat”. (Riowayat Tirmidzi dari Abdullah bin Salam)

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...