Thursday, September 22, 2016

KONTROVERSI RUU355 - AHLI PARLIMEN ISLAM SEPATUTNYA SEPAKAT

Oleh Tuan Musa Awang

Cadangan Rang Undang-Undang Ahli Persendirian mengenai pindaan Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (RUU 355) telah dibenarkan untuk dibahas di sidang Dewan Rakyat.

Tetapi usul tersebut tidak dibentangkan kerana Pengusul iaitu Ahli Parlimen Marang memohon  supaya usul itu ditangguhkan dengan alasan untuk memberi peluang masa kepada ahli-ahli Parlimen. Dan perancangannya ialah untuk dibahaskan pada sidang Parlimen yang akan datang pada bulan Oktober ini.

Adalah sesuatu yang tidak mengejutkan dan memang dijangka, ada di kalangan kaum bukan Islam dan di kalangan beragama Islam sendiri yang menolak keras usul pindaan tersebut, kerana ia datang dari sebuah parti pembangkang dalam Parlimen, dan bukan usul gabungan pembangkang atau gabungan parti komponen kerajaan.

Di antara RUU Akta 355 Akta Mahkamah Syariah 1965 yang menjadi perbualan rakyat ialah:

Seksyen 1. Tajuk ringkas dan pemakaian.

(1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965.

(2) Akta ini hendaklah terpakai hanya bagi semua Negeri di Semenanjung Malaysia.
 
Seksyen 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah. 
Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis: 
Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Jika merujuk kepada handsard di web Parlimen, di bawah adalah keterangan Ahli Parlimen Marang :

15. Dato’ Seri Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] akan mencadangkan:- 
“Bahawa Dewan ini memberikan kebenaran menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1) kepada Yang Berhormat Ahli bagi kawasan Marang untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 seperti berikut:- 
i. menggantikan Seksyen 2 dengan seksyen berikut: 
2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan. dan 
ii. memasukkan selepas seksyen 2 dengan seksyen berikut: 
2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan diatas, selain dari hukuman mati. 

Yang jelas ialah :

1. RUU355 yang akan dibentangkan itu bukan undang-undang baharu tetapi hanya pindaan kepada undang-undang yang sedia ada, iaitu Akta 355.

2. Undang-undang ini hanya melibatkan umat Islam dan baharu diperingkat cadangan sahaja. 

3. RUU355 ini hanya melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah Syariah di dalam Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah sahaja, tidak melibatkan kesalahan-kesalahan sivil di bawah Kanun Keseksaan.

4. RUU355 bukan hukuman hudud atau hukuman qisas.

Usaha pihak-pihak tertentu dengan menakut-nakutkan kaum bukan Islam adalah suatu tindakan yang tidak berasas kerana sekiranya RUU 355 ini diluluskan sekalipun, ia tidak terpakai atau terkena kepada kaum BUKAN ISLAM. 

Cadangan RUU355 ini sepatutnya dibahas, dikupas serta diperincikan secara profesional dan ilmiah di dalam Parlimen, bukan secara menakut-nakutkan kaum bukan Islam.

Ahli Parlimen beragama Islam sepatutnya memahami dan mendalami apakah kebaikan dan perkara positif yang akan bakal berlaku sekiranya RUU355 tersebut diluluskan. Sudah tentu ia akan memperkasakan bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah yang ada hari ini dalam kekangan kadar hukuman serendah denda tidak lebih RM5000.000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau sebatan (Syariah) tidak lebih 6 kali SAHAJA. Pada masa yang sama, pemerkasaan bidangkuasa jenayah di Mahkamah Syariah ini langsung tidak akan mengambil atau memberi kesan kepada peruntukan kesalahan jenayah di mahkamah sivil berdasarkan Kanun Keseksaan. Jadi kenapa mereka perlu gusar dan khuatir?

Dengan kefahaman yang mendalam oleh Ahli Parlimen beragama Islam terhadap usul dan kebaikan pindaan RUU355 ini terhadap Mahkamah Syariah, sudah pasti RUU tersebut lebih mudah untuk diluluskan. Dengan sokongan simple majority ahli Parlimen sahaja, maka RUU355 tersebut dapat diluluskan dengan jayanya. Jika kita perhatikan, jumlah ahli Parlimen beragama Islam adalah seramai 135 orang manakala hanya 86 orang adalah ahli Parlimen Barisan Nasional. Sekiranya mereka semua bersatu hati dan bulat sepakat, sudah pasti RUU355 ini tidak menjadi polemik yang cukup besar untuk dibahaskan. 

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...