Wednesday, February 23, 2011

Keratan Akhbar - Standard tak mantap

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendapati pelbagai kerenah masih berlanjutan tanpa penyelesaian di Mahkamah Syariah, malah turut membabitkan unsur pilih kasih terhadap pihak peguam.

Timbalan Presidennya, Musa Awang, berkata pihaknya memang sedia maklum mengenai beberapa masalah yang dibiarkan terus berlaku dan dihadapi peguam apabila berurusan di Mahkamah Syariah.

Menurutnya, masalah berkenaan walaupun dilihat sesetengah pihak tidak begitu serius, ia sedikit sebanyak memberi kesan kerana merumitkan urusan peguam dalam proses mendapatkan keadilan kepada anak guam.
“Berlaku pilih kasih antara kes yang tidak diwakili peguam dengan kes yang diwakili peguam, sebagai contoh permohonan ex-parte.

“Permohonan itu mudah saja diluluskan oleh hakim jika difailkan sendiri pihak terbabit walaupun hanya membuat tiga perenggan afidavit dan tidak dikemukakan salinan dokumen sokongan yang kuat. “Tetapi apabila kes difailkan peguam, bermacam-macam dokumen diminta, dirumitkan dan kadang-kadang kes tidak diluluskan,” katanya. Beliau berkata, standard bukti dan tafsiran hakim juga berbeza mengenai undang-undang dan prosedur, yang secara tidak langsung menimbulkan kekeliruan kepada pihak peguam. “Di hadapan hakim ini tafsirannya lain manakala lain pula di hadapan hakim yang berbeza,” katanya.

Musa berkata, ketika ini juga masih wujud perbezaan pada peruntukan dan ketidakseragaman undang-undang di antara negeri, walaupun ada usaha menyeragamkannya dilakukan sebelum ini. “Contohnya di Selangor sudah menerima pakai Undang-Undang Keluarga Islam Tahun 2003 (terbaru), namun Wilayah Persekutuan masih memakai Undang-Undang Keluarga Islam tahun 1984 yang lapuk dan ketinggalan zaman.
“Bilangan hakim syarie juga masih kurang. Sebagai contoh di Mahkamah Syariah Selangor hanya ada dua orang Hakim Mahkamah Tinggi untuk menghakimi kes bagi seluruh daerah di negeri itu.

“Wilayah Persekutuan hanya tiga orang Hakim Mahkamah Tinggi untuk keseluruhan kawasan di wilayah,” katanya.
Menurutnya, masalah yang belum selesai itu belum mengambil kira faktor sampingan seperti kekurangan kakitangan dan kemudahan di mahkamah yang sepatutnya dipertingkatkan untuk keselesaan semua pihak.

Keratan Akhbar - Siapa pun tak terlepas

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kesal apabila pegawai kehakiman syariah turut terpalit dengan kes bersekedudukan sedangkan ia tidak wajar berlaku.

Timbalan Presidennya, Musa Awang, berkata pihaknya memandang serius isu itu kerana seseorang hakim syarie sepatutnya menjaga etika dan tatatertib selaras dengan pandangan tinggi masyarakat. Namun, katanya, tangkapan yang dibuat oleh penguat kuasa jabatan agama menunjukkan pihak terbabit tidak memilih bulu dan orang tertentu sekali gus membuktikan penguatkuasaan dilakukan secara adil dan saksama. “Hakim juga tidak akan terlepas daripada sebarang tindakan jika melakukan kesalahan. Jika perkara berkenaan betul berlaku, ia perlu didakwa di mahkamah dan menghadapi pengadilan sewajarnya. “Tetapi perkara ini biarlah diselesaikan mengikut proses undang-undang dan bukan disensasikan supaya ia tak disalah erti masyarakat awam.

“Ini juga bagi mengelakkan masyarakat memandang rendah pada institusi agama. Seorang yang melakukan sesuatu kesalahan tak bermakna semua yang melakukannya juga.
“Dalam kes ini, PGSM berpegang kepada prinsip Al-ashlu baraatulzimmah iaitu seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan dia bersalah,” katanya, mengulas kes hakim syarie dicekup khalwat yang disiarkan Harian Metro, semalam. Laporan itu menyebut, seorang hakim Mahkamah Tinggi Syariah ditahan pengkuatkuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang kerana disyaki bersekedudukan dengan seorang wanita di sebuah kuarters awam di Georgetown, Ahad lalu. Dia yang berusia 40-an ditangkap ketika bersama pasangannya kira-kira jam 2 pagi, ketika isteri dan anaknya tiada di rumah.

Bagaimanapun, kes berkenaan difahamkan masih di peringkat siasatan dan belum didakwa, sebaliknya dia dibebaskan dengan jaminan penguat kuasa agama terbabit.

Musa berkata, mana-mana kes kesalahan syariah tidak perlu disembunyi dan ditutup, sebaliknya dibicarakan secara adil walaupun ia membabitkan seorang yang berjawatan.
“Cuma bagi mereka yang bergelar hakim, lebih-lebih lagi hakim syarie, malah peguam syarie juga seharusnya memelihara etika profesionalisme masing-masing dan jangan sampai menjatuhkan imej.

“Apabila menjadi hakim syarie harapan dan pandangan masyarakat lebih tinggi, jadi kenalah dijaga sebaik mungkin.
“Namun, sekiranya melakukan kesalahan, baik hakim syarie mahupun peguam syarie sendiri, bentuk tindakan undang-undang sama juga seperti orang lain, tidak boleh lari,” katanya.

Saturday, February 19, 2011

Hari kekasih bukan ajaran Islam



Oleh Tuan Musa Awang

Adalah menjadi suatu yang ironis apabila ada sebahagian masyarakat Islam negara ini menyambut hari kekasih pada 14 Februari. Lebih menyedihkan lagi, ada pihak yang mempromosikan hari kekasih di kaca televisyen, di dada akhbar dan media lain, tanpa mengetahui asal usul dan sejarahnya.

Valentine adalah kisah sejarah seorang Pendeta agama Nasrani bernama St. Valentine yang hidup zaman Raja Romawi Claudius II (268 - 270 M). Valentine telah menentang beberapa perintah Claudius II termasuk mengajak manusia kepada agama Nasrani, lalu Cladius II memerintahkan untuk menangkapnya dan menghukumnya mati pada tanggal 14 Februari 270M. Untuk mengagungkan dia, maka para pengikutnya memperingati tarikh kematian St. Valentine sebagai 'upacara keagamaan'. Dalam versi yang lain, diceritakan bahawa semasa dalam penjara, Valentine berkenalan dengan putri seorang penjaga penjara yang diserang penyakit. Dia berusaha merawatnya sehingga sembuh dan jatuh cinta kepadanya. Sebelum dihukum mati, dia mengirim sebuah kad yang bertulis “Dari yang tulus cintanya, Valentine.”

Valentine juga dikaitkan dengan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol, iaitu pada 14 Februari 1492. Merayakan hari kekasih boleh diibaratkan memperingati tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol. Terdapat beberapa lagi riwayat tentang asal usul hari kekasih. Namun, walau apa pun sejarahnya, kita sebagai umat Islam harus sedar bahawa amalan hari kekasih ini bukanlah tradisi atau amalan Islam. Allah s.w.t telah melarang kita mengikut sesuatu perkara secara membuta tuli, melainkan sesuatu yang bersumber dari Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah Al-An’am : 116)

Dalam surah yang lain, Allah s.w.t berfirman, “Dan janganlah kamu megikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawabnya”. (Surah Al-Isra : 36). Hadis Rasulullah s.a.w pula bermaksud “Barang siapa yang meniru atau mengikuti suatu kaum (agama) maka dia termasuk kaum (agama) itu”.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 November 2005 telah membincangkan hukum orang Islam menyambut hari kekasih, dan memutuskan bahawa amalan merayakan hari kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Islam amat mementingkan kasih sayang. Bahkan Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud “Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga ia cinta kepada saudaranya seperti cintanya kepada diri sendiri”. Islam bukan agama yang menyekat atau menghalang untuk penganutnya meluahkan kasih sayang tetapi apa yang disekat adalah perbuatan maksiat yang dilakukan semasa menyatakan kasih sayang itu.

Malangnya apa yang berlaku, hari kekasih telah dipromosikan di negara ini dan telah berjaya mempengaruhi jiwa sebahagian kecil rakyat Muslim negara ini. Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan hari kekasih ini membuka pintu perzinaan. Dalam satu laporan media sekitar Februari 2007, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”

Di hari kekasih, ramai di kalangan golongan muda ingin membuktikan tanda cinta sejati kepada pasangan masing-masing dengan membeli bunga dan coklat sebagai tanda cinta. Tidak cukup dengan itu, maruah diri pula digadaikan bagi membuktikan cinta. Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 anak tak sah taraf yakni anak yang didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Secara purata, 2,500 kes anak tak sah taraf direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari, atau 1 kes dalam setiap 17 minit. Menurut statistik tersebut, 44 % atau sebanyak 30,978 pendaftaran kelahiran anak tak sah taraf dari 1999 hingga 2003 adalah melibatkan anak orang Islam. Suatu angka yang perlu direnungkan bersama dan dicarikan jalan penyelesaiannya.

Mana-mana orang Islam yang masih mengamalkan atau merayakan hari kekasih boleh didakwa menurut peruntukan Seksyen 9, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), iaitu kesalahan menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama, yang memperuntukkan bahawa :- “Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Penguatkuasaan undang-undang mungkin bukanlah jalan terbaik untuk membanteras amalan segelintir umat Islam yang menyambut hari kekasih, lantaran kadar hukumannya yang rendah dan tidak mampu memberi keinsafan atau mendidik pesalah. Alternatifnya adalah pemberi pengajaran dan pendidikan kepada remaja sejak dibangku sekolah, bahawa amalan merayakan hari kekasih tersebut bukanlah dari ajaran Islam dan ia adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Sehari selepas hari Kekasih pada tahun ini, kita akan menyambut hari kelahiran Bapa Kasih Sayang umat Islam, iaitu hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Semoga dengan sambutan maulidurrasul sejurus selepas hari kekasih pada tahun ini akan melupakan kita terus kepada nama dan sambutan perayaan hari kekasih. Wallahu’alam.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Sunday, February 6, 2011

Nikah ikut undang-undang jamin hidup harmoni



Oleh Musa Awang

Berita Harian 02/02/2011

Lelaki, wanita yang ingin berkahwin perlu patuh prosedur elak rumah tangga berantakan

MINGGU lalu, dilaporkan isteri kedua menyerang isteri pertama. Sebelum itu, berlaku kejadian isteri pertama menyerang isteri kedua dan meminta cerai dari suaminya yang bernikah seorang lagi di selatan Thailand.

Kemudian ada pula laporan isteri kedua dipukul dan dicederakan suami yang dinikahinya pertengahan tahun lalu di selatan Thailand tetapi tidak didaftarkan sehingga sekarang.

Inilah beberapa insiden akibat pernikahan dilangsungkan tanpa melalui proses undang-undang negara dan pernikahan dilangsungkan dengan mengambil jalan singkat bernikah di selatan Thailand atau di Indonesia.

Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW yang sangat dituntut. Matlamat perkahwinan untuk mencapai kebahagiaan hidup berkeluarga yang berkekalan dan mendapat rahmat serta keredaan Allah mengikut garis panduan ditetapkan hukum syarak.

Hikmah perkahwinan juga untuk mencegah daripada melakukan perkara haram, memelihara kesucian keturunan, menghubungkan silaturahim, membentuk keluarga dan menyusun masyarakat.

Namun apa yang berlaku, dalam kes dipaparkan atau ditatap di dada akhbar setiap hari, terbukti perkahwinan bertentangan undang-undang tidak memenuhi kehendak dan matlamat perkahwinan diharuskan dalam Islam.

Oleh itu, atas dasar menjaga maslahah ummah dan kepentingan masyarakat terutama wanita, maka undang-undang memperuntukkan perkahwinan poligami, perkahwinan bawah umur, perkahwinan bagi perempuan yang tidak mempunyai wali nasab, wali ghaib atau wali enggan, hendaklah melalui proses mahkamah.

Mereka yang menghadapi masalah begitu perlu mendapat kebenaran dari Mahkamah Syariah terlebih dulu sebelum melangsungkan pernikahan.

Seksyen 23 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan: “Tiada seorang pun lelaki, semasa wujudnya sesuatu perkahwinan, boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dulu secara bertulis daripada mahkamah, membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain atau perkahwinan yang dikontrakkan tanpa kebenaran sedemikian boleh didaftarkan di bawah akta ini.”

Seksyen 18 (1) (a) akta sama memperuntukkan: “Dalam mana-mana kes berikut, iaitu (a) jika salah satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu adalah di bawah umur yang dinyatakan dalam Seksyen 8, maka pendaftar hendaklah, sebagai ganti bertindak di bawah seksyen 17 merujukkan permohonan itu kepada hakim syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat perempuan itu bermastautin.”

Seksyen 18 (2) akta sama memperuntukkan: “Hakim syarie apabila berpuas hati mengenai kebenaran perkara disebutkan dalam permohonan itu dan mengenai sahnya perkahwinan yang dicadangkan dan bahawa kes itu adalah kes yang mewajarkan pemberian kebenaran bagi maksud seksyen 8, atau kebenaran bagi maksud seksyen 14 (3), atau persetujuannya terhadap perkahwinan itu diakad nikahkan oleh wali Raja bagi maksud seksyen 13 (b), mengikut mana yang berkenaan, hendaklah, pada bila-bila masa selepas permohonan itu dirujukkan kepadanya, dan setelah dibayar fi ditetapkan, mengeluarkan kepada pemohon kebenaran untuk berkahwin dalam borang ditetapkan.”

Jika perkahwinan bakal dilangsungkan adalah perkahwinan biasa, bukan poligami, wali perempuan masih hidup dan bersetuju dengan pernikahan itu, prosesnya amat mudah di mana pihak berkenaan hanya perlu memohon kebenaran daripada Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam di daerah tempat bermastautin, tidak perlu melalui proses mahkamah.

Ada pihak termasuk cerdik pandai agama memberi ulasan kononnya peraturan itu menyusahkan orang yang hendak mendirikan rumah tangga. Mungkin mereka lupa atau terlepas pandang, adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk membuat undang-undang atau peraturan demi menjaga kepentingan rakyat, keharmonian dan kerukunan masyarakat Islam, supaya tidak berlaku insiden seperti dipaparkan.

Seseorang lelaki atau perempuan yang bernikah tidak mengikut undang-undang sebenarnya bukan mengambil jalan pintas, tetapi jalan jauh, berliku-liku dan memenatkan. Suka atau tidak, undang-undang memperuntukkan pernikahan tidak mengikut undang-undang tidak boleh didaftarkan.

Melainkan, perkahwinan itu sudah disahkan oleh Mahkamah Syariah bahawa ia sah menurut hukum syarak dan diperintahkan oleh hakim syarie untuk didaftarkan. Perintah mendaftarkan juga tertakluk kepada hukuman penalti sama ada denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Jadi, mana jalan singkat yang dikatakan itu? Selagi pernikahan tidak disahkan dan tidak didaftarkan, maka tidak ada rekod di negara ini bahawa mereka pernah berkahwin. Apabila berlaku insiden seperti isteri dipukul, tidak diberikan nafkah, dilacurkan dan sebagainya, isteri tidak berhak membuat tuntutan menurut undang-undang.

Begitu juga jika isteri ingin memohon cerai kerana seksyen 45 (a) atau (b) akta memperuntukkan takat kuasa Mahkamah Syariah untuk membuat sesuatu perintah perceraian adalah jika perkahwinan itu didaftarkan atau disifatkan sebagai didaftarkan mengikut undang-udang dan hukum syarak.

Bagaimana perkahwinan itu sah mengikut hukum syarak jika Mahkamah Syariah belum mengesahkannya?

Isteri berada dalam keadaan terkontang-kanting. Ada kala apabila tuntutan dibawa ke Mahkamah Syariah, mahkamah dipersalahkan padahal ia berpunca kesilapan sendiri lantaran buta kerana cinta menurut kehendak kekasih. Akhirnya, diri sendiri yang merana. Hakim syarie hanya mengikut peruntukan undang-undang dan perlu meletakkan hukum syarak sebagai undang-undang tertinggi sebelum membuat apa-apa perintah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Raja - Pemegang Amanah Kedaulatan Watan

Harian Metro 15 March 2017 Oleh Musa Awang Sistem pemerintahan beraja atau ‘monarki’ merupakan sistem pemerintahan yang tertua di du...