Wednesday, February 23, 2011

Keratan Akhbar - Standard tak mantap

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendapati pelbagai kerenah masih berlanjutan tanpa penyelesaian di Mahkamah Syariah, malah turut membabitkan unsur pilih kasih terhadap pihak peguam.

Timbalan Presidennya, Musa Awang, berkata pihaknya memang sedia maklum mengenai beberapa masalah yang dibiarkan terus berlaku dan dihadapi peguam apabila berurusan di Mahkamah Syariah.

Menurutnya, masalah berkenaan walaupun dilihat sesetengah pihak tidak begitu serius, ia sedikit sebanyak memberi kesan kerana merumitkan urusan peguam dalam proses mendapatkan keadilan kepada anak guam.
“Berlaku pilih kasih antara kes yang tidak diwakili peguam dengan kes yang diwakili peguam, sebagai contoh permohonan ex-parte.

“Permohonan itu mudah saja diluluskan oleh hakim jika difailkan sendiri pihak terbabit walaupun hanya membuat tiga perenggan afidavit dan tidak dikemukakan salinan dokumen sokongan yang kuat. “Tetapi apabila kes difailkan peguam, bermacam-macam dokumen diminta, dirumitkan dan kadang-kadang kes tidak diluluskan,” katanya. Beliau berkata, standard bukti dan tafsiran hakim juga berbeza mengenai undang-undang dan prosedur, yang secara tidak langsung menimbulkan kekeliruan kepada pihak peguam. “Di hadapan hakim ini tafsirannya lain manakala lain pula di hadapan hakim yang berbeza,” katanya.

Musa berkata, ketika ini juga masih wujud perbezaan pada peruntukan dan ketidakseragaman undang-undang di antara negeri, walaupun ada usaha menyeragamkannya dilakukan sebelum ini. “Contohnya di Selangor sudah menerima pakai Undang-Undang Keluarga Islam Tahun 2003 (terbaru), namun Wilayah Persekutuan masih memakai Undang-Undang Keluarga Islam tahun 1984 yang lapuk dan ketinggalan zaman.
“Bilangan hakim syarie juga masih kurang. Sebagai contoh di Mahkamah Syariah Selangor hanya ada dua orang Hakim Mahkamah Tinggi untuk menghakimi kes bagi seluruh daerah di negeri itu.

“Wilayah Persekutuan hanya tiga orang Hakim Mahkamah Tinggi untuk keseluruhan kawasan di wilayah,” katanya.
Menurutnya, masalah yang belum selesai itu belum mengambil kira faktor sampingan seperti kekurangan kakitangan dan kemudahan di mahkamah yang sepatutnya dipertingkatkan untuk keselesaan semua pihak.

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...