Oleh Musa Awang
Harian Metro, Selasa 30 Julai 2013
(Teks asal)
Terbaru, dua daripada empat gadis Muslim yang digugurkan daripada senarai finalis pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013 mempertikai dan mempersoalkan keputusan melarang penglibatan mereka dalam pertandingan itu.
Ini berikutan teguran Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan
Teh, yang kecewa dengan sikap mereka.
Mereka berpendapat keputusan itu satu diskriminasi berlandaskan agama, kerana
pertandingan ratu cantik itu adalah dibolehkan kerana pertandingan akhir diadakan
di Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Mereka mendakwa tidak akan memakai pakaian renang atau bikini sebaliknya
akan memakai pakaian sukan yang bersesuaian.
Malangnya, ada pula pertubuhan yang menyokong gadis-gadis ini, dan turut
mempertikaikan fatwa mufti yang telah diwartakan itu.
Polemik ini bukan suatu perkara yang baru kerana pada tahun 1997, tiga
gadis Melayu menyertai pertandingan itu di Selangor. Tahun 2011, lima wanita
Islam menyertai pertandingan Ratu Cantik Borneo (MBB) 2011 di Kuching, Sarawak,
walaupun sudah diberi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Sarawak dan mendapat
bantahan pelbagai pihak.
Di Wilayah Persekutuan, fatwa pengharaman wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik telah diwartakan pada 8 Februari 1996. Fatwa menyatakan adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai dan menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik.
Pengharaman penyertaan wanita-wanita Islam dalam pertandingan ratu
cantik bukan semata-mata disebabkan memperagakan pakaian mandi atau pakaian
renang, tetapi haram kerana pendedahan kecantikan serta aurat wanita di hadapan
lelaki yang bukan mahram.
Keputusan pengharaman tersebut bukan dibuat secara sembrono, tetapi
setelah kajian dan perbahasan ulama’ dalam jawatankuasa fatwa berkenaan.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan katakan kepada perempuan beriman supaya
menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara
kehormatan mereka dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang
zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan
tudung kepala dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada
suami atau bapa atau bapa mentua atau anak atau anak tiri atau saudara mereka
atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang
perempuan atau perempuan Islam atau hamba atau orang gaji daripada lelaki yang
sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum
mengerti mengenai aurat perempuan dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk
diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubat
kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah
An-Nur, ayat 31)
Pelihara kecantikan wanita
Inilah bukti Islam berbeza dengan agama-agama lain kerana memelihara
kecantikan tubuh wanita Islam daripada dipertontonkan atau dijadikan bahan
pertandingan.
Kecantikan wanita Islam bukan terletak pada raut wajah, lentuk tubuh
atau lenggok semasa berjalan, tetapi ketaatan agama, kemuliaan hati, kelembutan
tutur kata dan tindak-tanduk.
Secara simboliknya, acara ratu cantik ini merupakan satu penghinaan ke
atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya wanita Islam apabila anggota
badan mereka dengan senangnya ditonton oleh orang ramai tidak kira agama atau
jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri, dan di antara juri adalah dari
kalangan lelaki.
“Sebagai perbandingan, jika terdapat dua biji gula-gula, satu yang
dibuka pembalutnya dan satu lagi tidak dibuka pembalutnya, lalu kedua-duanya
dicampakkan ke lantai yang berdebu. Yang mana satukah yang akan kita ambil untuk
dimakan? Sudah tentu gula-gula yang masih berbalut dengan kemas.”
Jika ulama’ sudah membuat ketetapan sedemikian, siapa pula pihak yang
hendak mempertikaikan? Tinggi sangatkah ilmu syariah mereka? Sedangkan ulama’
adalah pewaris nabi sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud : “Ulama adalah pewaris
para nabi.” (HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda r.a).
Hujah logik akal
Usah dilayan pihak yang cuba menegakkan menegakkan benang basah, dengan
mengemukakan pelbagai alasan dan hujah secara logik akal. Kenapa tidak
menggunakan logik akal untuk mengkaji kenapa Islam mementingkan aurat wanita
dipelihara?
Suasana mutakhir ini membabitkan ancaman pihak yang menaja hak asasi dan
individu secara terbuka, menggunakan alasan diskriminasi gender dan agama
sebagai hujah mereka. Apabila timbul isu-isu seperti ini, maka puak-puak ini
akan bersuara.
Keadan-keadaan sebegini memerlukan tindakan segera pihak berkuasa agama.
Penulis mengucapkan tahniah kepada para ulama’ yang bertegas mempertahankan
fatwa yang telah diwartakan tersebut. Jika para ulama leka atau bisu, maka
semakin banyaklah orang bodoh yang bercita-cita untuk menjadi ulama akan
bersuara menyokong perkara yang sudah terang-terangan salah di sisi Syarak.
Fatwa yang sudah diwartakan akan menjadi undang-undang yang boleh
dikuatkuasa. Orang yang melakukan tindakan bertentangan dengan fatwa yang telah
diwartakan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang jenayah syariah
negeri.
Seksyen 9, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan)
1997, memperuntukkan bahawa – “Mana-mana orang yang bertindak
dengan cara yang menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau
mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama
Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah
melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi
tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau
kedua-duanya.”
Pada masa sama, penganjur bukan Islam seharus belajar memahami kehendak
ajaran agama Islam, sebagaimana orang Islam tidak pernah mempertikaikan amalan
dalam agama mereka, walaupun kelihatan tidak logik pada akal. Kalian dengan
agama kalian, dan kami orang Islam dengan agama kami.
Saling memahami dan menghormati pegangan agama kaum lain adalah elemen
terpenting dalam memastikan keharmonian agama dan keserasian kaum di Negara
ini.
Kita tidak menghalang wanita untuk menyertai apa sahaja bentuk
pertandingan, asalkan pertandingan itu tidak bertentangan dengan apa yang telah
Islam gariskan. Begitu juga dengan isu pertandingan ratu cantik. Jika
pesertanya wanita menutup aurat, tidak mempertandingkan kecantikan semata-mata,
ditonton oleh wanita juga, dan jurinya juga dari kalangan wanita juga, maka ia
adalah harus.
- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam
Syarie Malaysia (PGSM). Email : sekretariatpgsm@yahoo.com