Musa Awang
Berita Harian, 27 Mac 2013
Kehadiran peguam syarie di
Mahkamah Syariah adalah menjalankan tugas yang pernah dijalankan oleh sahabat
Nabi SAW. Saidina Ali pernah membantu Khalifah Umar membuat keputusan yang
betul dalam kes seorang wanita datang kepada Khalifah Umar dan membuat ikrar
telah melakukan zina.
Melalui peranan dimainkan oleh
Saidina Ali, Khalifah Umar telah membebaskan wanita itu, yang sebenarnya telah
diperkosa sebagai balasan sedikit susu yang diminta daripada seorang lelaki
dalam keadaan beliau terlalu dahaga.
Saidina Ali juga pernah menjadi
peguam dalam kes seorang perempuan yang menuduh seorang pemuda cuba mencabul
kehormatannya dengan mendakwa ada kesan air mani di tubuh serta di atas
kainnya.
Saidina Ali telah menyiram air
mendidih kepada kesan cecair atas kain perempuan itu dan cecair berkenaan
menjadi beku serta putih seperti putih telur. Akhirnya perempuan berkenaan
mengaku perbuatan tipu dayanya untuk mengenakan pemuda itu.
Abdullah bin Ja’far pernah
menjadi peguam kepada Ali bin Abi Talib dengan Talhah bin Ubaidullah pada zaman
pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan. Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman
bin Affan, Abdullah bin Abbas pernah menjadi peguam kepada Hassan bin Thabit,
(seorang penyair terkenal pada zaman Nabi SAW).
Walaupun Hassan seorang
penyair, dia tidak mahir berhujah dalam perbicaraan. Ibnu Abbas sebagai seorang
yang faqih dan petah berhujah telah bertindak sebagai peguam membela Hassan.
Lencana Sahabat Mahkamah
Syariah
Kehadiran peguam syarie di
Mahkamah Syariah adalah berpaksikan kepada undang-undang, bukan semata-mata
mencari rezeki. Kewujudan dan fungsi peguam syarie diiktiraf dan disebut dalam
Enakmen Pentadbiran Agama Islam atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri.
Seksyen 59 Enakmen Pentadbiran
Agama Islam Wilayah Persekutuan 1993 menyebutkan majlis boleh menerima sesiapa
yang mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai hukum syarak menjadi peguam
syarie bagi mewakili pihak-pihak dalam prosiding di Mahkamah Syariah.
Pelancaran lencana Sahabat
Mahkamah Syariah yang disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah
Malaysia (JKSM), Tan Sri Dr Ibrahim Lembut, pada 18 Mac lalu sebagai simbolik
hubungan peguam syarie membantu Hakim Syarie membuat keputusan adil, cepat,
betul dan tepat berdasarkan hukum syarak serta undang-undang.
Sahabat adalah orang yang
merasa bertanggungjawab terhadap satu sama lain, walaupun tidak memiliki
hubungan darah. Sahabat bukan adik-beradik, tetapi berupaya mewujudkan hubungan
persaudaraan seperti adik-beradik.
Sahabat adalah orang yang
banyak memberi manfaat dan kebaikan antara satu sama lain. Sahabat juga
membantu apabila berada dalam kesusahan, meredakan kesedihan, menghilangkan
kebimbangan dan sanggup berjuang demi kebaikan bersama.
Sahabat seorang yang mampu
menyimpan rahsia dan keaiban, sentiasa melindungi dan semangat mereka sentiasa
bersama. Sahabat membuatkan seseorang berasa selamat apabila mereka bersama.
Sahabat tidak semestinya memiliki minat atau pendapat sama, tetapi mereka
saling memerlukan.
Diriwayatkan oleh al-Hakim,
Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang
terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang
terbaik terhadap jirannya.”
Pelancaran lencana Sahabat
Mahkamah Syariah oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) adalah salah satu
usaha menjadikan peguam syarie sebagai sahabat baik kepada Mahkamah Syariah.
Lencana itu akan dipakai oleh
peguam syarie ketika berurusan di Mahkamah Syariah, sebagai satu simbolik
pengiktirafan peranan peguam syarie sebagai sahabat baik kepada Mahkamah
Syariah.
Pupuk hubungan baik
Lencana itu juga bertujuan
memupuk serta meneruskan hubungan baik berpanjangan antara peguam syarie dengan
Mahkamah Syariah, di samping memudahkan orang awam mengenali peguam syarie bagi
mencegah berlakunya penyamaran oleh orang tidak berkelayakan.
Hubungan baik antara peguam
syarie dan Mahkamah Syariah perlu ditingkatkan, diiktiraf serta dihormati oleh
semua pihak sama ada dari pihak Mahkamah Syariah sendiri dan kalangan peguam
syarie.
Peguam syarie serta kakitangan
mahkamah berada dalam satu barisan dan tujuan yang sama untuk menjadikan
Mahkamah Syariah sebagai institusi dipandang tinggi serta dihormati masyarakat.
Jika ada kekurangan di pihak
peguam syarie, ia wajar ditegur dengan cara berhemah dan berhikmah, bukan
memperlekehkan, memperkecilkan, memalukan atau menjatuhkan maruah mereka di
hadapan pelanggan.
Begitu juga peguam syarie, jika
ada sebarang kekurangan di pihak mahkamah, aduan perlu disalurkan melalui
saluran yang betul kepada Mahkamah Syariah. Menceritakan mengenai kes Mahkamah
Syariah dan tindakan hakim laman sosial akan mengundang masalah seperti
mengundang komen dan perbahasan kalangan mereka yang tidak faham serta mahir
mengenai undang-undang.
Sedar atau tidak, tindakan
segelintir hakim dan peguam syarie itu secara tidak langsung telah menjatuhkan
kredibiliti serta kewibawaan institusi Mahkamah Syariah, hakim syarie, peguam
syarie dan memburukkan Islam.
Go to link -
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Imejterkinipeguamsyarie/Article/
Go to link -
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Imejterkinipeguamsyarie/Article/