Wednesday, March 7, 2012

Kecurangan boleh dielak jika pasangan saling memahami



Oleh Tuan Musa Awang

Peguam Syarie Menulis
Berita Harian
07/03/2012

Berpisah jasad, jiwa punca utama rumah tangga musnah

REKOD Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencatatkan 28,035 pasangan bercerai sepanjang 2010. Statistik itu bermakna, secara purata 77 kes perceraian sehari atau tiga kes bagi setiap jam didaftarkan di Malaysia berbanding 135,548 pasangan yang berkahwin tahun sebelumnya. Angka itu mencatatkan peningkatan 144 kes berbanding 27,891 pasangan bercerai sepanjang 2009.

Curang atau kehadiran orang ketiga dikatakan antara punca utama berlaku perceraian di kalangan umat Islam. Faktor lain ialah poligami, kerenah dan campur tangan keluarga yang keterlaluan, masalah kesihatan pasangan seperti kesuburan, masalah hutang, ekonomi, pengangguran, peluang kerja terhad, komitmen kerja, kerjaya terlalu tinggi, cemburu buta, kurang didikan moral, penderaan dan pengabaian. Kecurangan dapat dikesan melalui perubahan awal pasangan. Perubahan yang berlaku pada pasangan akan dapat dilihat dan dirasa dalam hati suami atau isteri kerana suami dan isteri adalah satu jiwa yang memiliki naluri dan empati antara satu sama lain. Isteri dapat mengenal pasti perubahan yang berlaku pada suaminya, begitu juga dengan suami. Cinta jarak jauh, iaitu berpisah jasad dan jiwa punca paling utama boleh merosak alam perkahwinan dan menyebabkan berlaku kecurangan. Boleh jadi suami dan isteri terpisah kerana tuntutan kerjaya, pendidikan atau campur tangan keluarga yang mahukan mereka berpisah atas sebab tertentu.

Keadaan ‘weekend couple’ perlu ditangani dengan baik. Pada permulaannya perpisahan mungkin manis, apatah lagi jika masa bertemu hanya di hujung minggu, tetapi jika tidak ditangani dengan baik, lama kelamaan boleh merenggut kemanisan cinta dan kasih sayang suami isteri.

Kecurangan juga disebabkan seks yang diabaikan. Bagi pasangan muda dan sihat, masalah seks menjadi keutamaan yang mesti dipenuhi kedua-duanya. Jika salah satu pihak mengabaikannya, maka ada pihak yang akan merajuk, putus asa dan berasa tidak disayangi.

Kemudian pasangan ini mencari alternatif untuk melupakan masalah dengan pasangan. Alasan kerja atau terbabit dengan hobi baru dijadikan alasan untuk menjauhkan diri daripada pasangan, pada masa sama menjalin cinta dengan kekasih baru.

Kita perlu sedar, perkahwinan ialah sebuah tanggungjawab. Tanggungjawab pada diri sendiri, pada pasangan dan pada keluarga. Jika salah satu pihak mengabaikan tanggungjawab, tidak mustahil pasangan akan berlaku curang. Suami yang tidak memberikan nafkah boleh menyebabkan isteri bergantung harap kepada orang lain untuk sumber kewangan.

Pergaduhan kecil dalam rumah tangga jika dibiarkan akan menjadi barah yang merosakkan perkahwinan. Bibit awal pertengkaran mungkin boleh mengakibatkan tidur berpaling muka atau berjauhan dan jika terus dibiarkan akan membawa kepada tidur berasingan. Sebumbung, tetapi hati semakin jauh, tinggal di bilik berasingan. Akhirnya, boleh merosakkan alam rumah tangga.

Sesetengah orang berlaku curang akibat terlalu dikongkong oleh pasangan, hidupnya diatur atau dikawal ketat kebebasannya. Orang seperti ini berlaku curang kerana mahu membuktikan kepada pasangan bahawa dia masih berharga atau menjadi rebutan di mata orang lain dan pada masa sama mahu memberi pelajaran berguna kepada pasangan. Kecurangan dimulai dengan berbohong kepada pasangan.

Kecurangan juga mungkin disebabkan rasa marah yang lama dipendam dalam diri pasangan. Dia mungkin tidak meluahkan untuk mengelak berlaku sengketa, tetapi kemarahan itu dibebaskan dengan melakukan kecurangan. Masalah komunikasi boleh membuatkan percintaan menjadi hambar. Terlalu pendiam, tidak sama matang, kurang berjenaka, kurang bercerita masalah atau peristiwa dan kurang mengucap kata cinta dengan pasangan. Pada masa sama, muncul orang lain yang dapat mengisi kebejatan komunikasi ini dengan pandai berbicara, mengambil hati, berlawak dan berkongsi idea dan pendapat.

Kebahagiaan berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Setiap pasangan perlu tahu membahagiakan antara satu sama lain. Memberi dan menerima, bukan menerima saja. Bila si dia berasa tidak bahagia bersama, boleh jadi dia akan mencari pengganti lain untuk mendapatkan kebahagiaan, yang definisi kebahagiaan yang dicarinya mungkin berbeza dan kadang-kadang tidak jelas.

Syarak mengharamkan isteri menyimpan rasa suka apatah lagi rasa cinta kepada lelaki selain suami. Jika isteri bercinta dengan lelaki lain, isteri ini boleh dikategorikan sebagai curang. Kegagalan suami menunaikan tanggungjawab bukanlah alasan untuk isteri beralih kasih.

Jika isteri berlaku curang terhadap suami, maka isteri perlu keluar daripada perkahwinan. Begitu juga dengan suami. Jika isteri tidak dapat dipegang dengan cara makruf, maka perlu dilepaskan mereka secara baik. Firman Allah SWT bermaksud: “...maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan baik, atau lepaskan mereka dengan baik...” (Surah al-Baqarah: 231)

Kecurangan dalam rumah tangga dapat dielakkan sekiranya kedua-dua pasangan mempunyai niat yang ikhlas ketika berkahwin dan bersedia menerima pasangan seadanya, susah senang bersama, saling memperbaiki diri demi keharmonian rumah tangga, bukannya berterusan melakukan kesilapan sama.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat emel maa46050@yahoo.com.

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...