Tiada
jurang bezakan hak golongan wanita dan lelaki dalam kehidupan
Peguam
Syarie Menulis, Berita Harian
Rabu 28
Ogos 2013
MUSA AWANG
Penulis
tertarik dengan ucapan YAB Perdana Menteri semasa merasmikan Majlis Sambutan
Hari Wanita Kebangsaan 2013 pada Ahad lalu, yang memetik teks khutbah terakhir
Nabi Muhammad SAW.
Khutbah
terakhir Nabi SAW pada 9 Zulhijjah tahun ke 10 hijrah di Lembah Uranah, Gunung
‘Arafah berbunyi, antaranya berbunyi - “Wahai manusia, sebagaimana kamu
mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya
mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk
diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita
kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya
mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka
ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke
dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”
Peranan
wanita sebagai ‘tulang rusuk lelaki’ iaitu anggota yang paling rapat dengan
hati dan jantung manusia, bermula sejak awal kewujudan manusia di atas muka
bumi ini lagi. Hawa dijadikan oleh Allah s.w.t sebagai peneman kepada kesunyian
Nabi Adam a.s di dalam syurga.
Sayyadatina
Khadijah r.a pula mententeramkan dan menyelimutkan Rasulullah SAW sewaktu
baginda dalam keadaan amat tertekan dan ketakutan selepas menerima wahyu Allah
SWT yang pertama di gua Hira’.
Hormat-menghormati
dalam keluarga bukan berlaku sebelah pihak sahaja, tetapi ia berjalan secara
timbal-balik. Bukan saja isteri perlu menghormati suami, malah suami juga perlu
menghormati isteri.
Bukan
saja isteri perlu menunaikan hak suami, malah suami juga perlu menunaikan hak
isteri dengan memberi nafkah dalam suasana kasih sayang, melayan isteri dengan
baik dan berlemah lembut dengan mereka kerana isteri adalah teman serta
pembantu yang setia.
Penghormatan terhadap wanita
Dalam
Islam, penghormatan kepada wanita bukan sekadar tidak berlaku kasar atau tidak
memukul sahaja, tetapi penghormatan terhadap status dan peranan wanita diangkat
besar dan mulia lebih daripada itu.
Rasulullah
SAW bersabda, “Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang
mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina.”
(HR Ibnu ´Asakir)
Kasih
dan rahmat Allah SWT kepada wanita sama tidak pernah dibezakan dengan kaum
lelaki kerana kedua-duanya berasal dari penciptaan yang sama.
Firman
Allah s.w.t yang bermaksud : “Dialah
(Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia
mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk
bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain...” - (Surah
al-A’raf : 189).
Wanita diperintahkan
solat lima waktu sama seperti lelaki. Wanita juga diperintahkan berpuasa
Ramadhan, walaupun dalam keadaan tertentu wanita diberikan peringanan, namun
ibadat yang ditinggalkan perlu diganti pada masa yang lain atau dengan cara
yang lain.
Wanita
juga diperintahkan mengerjakan haji dan berzakat, sama seperti lelaki. Tiada
beza kadar zakat antara lelaki dan wanita. Masing-masing akan perolehi pahala
yang sama apabila melakukan amal ibadat, dan akan menanggung dosa yang sama atas
kesalahan yang dilakukan.
Hukuman tak beza jantina
Oleh
sebab itu, dalam undang-undang jenayah Syariah, pesalah dihukum tanpa
membezakan jantina. Penzina lelaki dan penzina wanita dihukum dengan hukuman
yang sama sebagaimana firman Allah SWT “Perempuan
yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang
dari keduanya seratus kali sebat...” -(Surah
al-Nuur : 2)
Pencuri wanita atau pencuri
lelaki juga dikenakan hukuman yang sama. Firman Allah SWT - “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang
perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu
balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu
hukuman pencegah dari Allah...” - (Al-Maaidah :38)
Islam memberikan kepada wanita
hak untuk menuntut ilmu sepertimana lelaki, kerana menuntut ilmu adalah fardhu
ke atas setiap individu, bukan berasaskan kepada gender atau jantina. Allah SWT
akan mengangkat darjat dan kedudukan orang berilmu dalam masyarakat, tidak
kiralah samada dia lelaki atau wanita.
Islam menghormati
wanita Islam dengan cara memelihara kecantikan tubuh dan aurat wanita Islam
daripada dipertontonkan kepada bukan mahram, jauh sekali untuk dijadikan bahan
pertandingan.
Firman Allah SWT
bermaksud : “Dan katakan kepada perempuan
beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan
memelihara kehormatan mereka dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh mereka
kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher
bajunya dengan tudung kepala dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh
melainkan kepada suami atau bapa atau bapa mentua atau anak atau anak tiri atau
saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara
mereka yang perempuan atau perempuan Islam atau hamba atau orang gaji daripada
lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak
yang belum mengerti mengenai aurat perempuan dan jangan mereka menghentakkan
kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan
bertaubat kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, supaya kamu
berjaya.” (Surah An-Nur, ayat 31).
Pelbagai fakta diketengahkan sebagai faktor berlakunya
keganasan terhadap wanita namun ia masih boleh dipersoalkan kesahihannya,
kerana tiada istilah dan penjelasan yang mudah bagi mengulas faktor keganasan
terhadap wanita.
Islam
angkat martabat wanita
Hakikatnya, Islam membela nasib wanita dan mengangkat
martabat wanita bukan sekadar larangan daripada melakukan keganasan terhadap
mereka, tetapi lebih dari itu mencakupi asas iman dan akhlak seseorang.
Hanya orang yang beriman dan berakhlak mulia yang akan
memuliakan wanita, sebaliknya orang yang menghina wanita atau melakukan
kekerasan terhadap wanita adalah orang yang hina di sisi Allah SWT.
Maka, dalam
mengembalikan ‘respek’ atau hormat kaum lelaki terhadap wanita, perkara utama
yang perlu dilakukan ialah mendekatkan jurang
yang semakin melebar antara sikap dan tingkahlaku umat Islam pada hari ini berbanding
ajaran Islam sebenar yang suci dan murni, yang diwasiatkan oleh Baginda SAW
dalam khutbah haji terakhir tersebut di atas. Wallahu’alam.
-
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat email :
sekretariatpgsm@yahoo.com.