Tuesday, September 14, 2010

Aidilfitri menyatukan semula insan dilanda krisis



Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian 15/09/2010

Jadikan bulan mulia untuk bermaafan, kembali bermuhasabah diri dan renung kesilapan

PERNAHKAH anda menyambut lebaran tanpa isteri tersayang di sisi atau menyambut lebaran dalam keadaan hubungan dengan pasangan bagai telur di hujung tanduk? Adakah lebaran kali ini disambut tanpa suami atau anak-anak di sisi?

Keadaan ini mungkin dirasai pasangan yang sudah bercerai atau sedang menghadapi krisis rumah tangga dan mungkin akan bercerai. Keadaan ini sudah atau akan dialami isteri yang suaminya mengamalkan poligami dan lebaran tahun ini bukan gilirannya.

Keadaan ini juga pernah dan mungkin dialami ibu atau bapa terpaksa berpisah dengan anak kerana berlaku perceraian. Bagi anda yang pernah melalui pengalaman ini, walaupun pahit, namun ia mempunyai hikmah tersembunyi yang hanya dalam pengetahuan Allah.

Menyusuri sejarah Aidilfitri, ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Baginda melihat masyarakat di sana merayakan dua hari raya diwarisi sejak zaman jahiliah iaitu ‘Nairus’ dan ‘Nahrajan’ dengan mengadakan pesta, majlis tari-menari, minum arak serta hidangan juadah mewah.

Rasulullah SAW tidak menghalang terus masyarakat berhari raya tetapi Baginda mengubah sambutan perayaan ke arah lebih bermanfaat dan menjadi suatu ibadah kepada Allah.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasai yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah menukar kedua-dua hari raya dengan hari besar yang lebih baik iaitu Aidiladha dan Aidilfitri.”

Nilai baik daripada kedua-dua hari raya ini ialah mewujudkan hubungan antara hamba dengan Tuhan Yang Maha Pencipta dengan bertakbir dan silaturahim sesama makhluk melalui amalan bermaafan.

Pada hari raya juga kita menunjukkan simpati kepada golongan tidak bernasib baik dengan membayar zakat fitrah, bersedekah, bermaafan antara satu sama lain supaya manusia terhindar daripada perpecahan dan permusuhan.

Allah berfirman yang bermaksud : “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang menciptakanmu dari seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya dan dari kedua-duanya Allah mengembang biak lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang (dengan nama-Nya) kamu saling meminta satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah sentiasa menjaga dan mengawasimu.” (Surah An-Nisa’, ayat 1)

Sempena hari yang mulia ini, marilah bersama bermaafan, buang yang keruh ambil yang jernih. Biarlah keruh di hulu kita jernihkan di muara. Bagi pasangan yang sudah bercerai, usahlah jadikan perceraian sebab untuk terus membenci satu sama lain.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredai akhlaknya yang lain.” – (Hadis riwayat Muslim)

Pasangan yang sedang menghadapi krisis, jadikanlah Aidilfitri sebagai pencetus untuk bermaafan antara satu sama lain, kembali bermuhasabah diri dan merenung kesilapan dilakukan serta berusaha untuk mengubahnya. Masih belum terlambat untuk memulihkan kerukunan dan menyelamatkan rumah tangga yang sedang diuji Allah.

Menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain adalah salah satu ciri ketakwaan kepada Allah. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa; iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang berbuat perkara baik.” – (Surah Ali Imran, ayat 133-134)

Isteri yang suami tiada di sisi sewaktu lebaran, bersabarlah dan anggaplah ini suatu ujian Allah. Hakikatnya, anda kuat untuk menerima ujian Allah s.w.t.

Kepada yang membenci wanita lain dikatakan ‘merampas’ suami anda, tidak akan rugi apa-apa jika di Aidilfitri ini anda beri kemaafan kepada wanita itu.
Dendam terhadap perkara lampau sehingga menjejaskan hubungan sebenarnya menyalahi perintah Allah untuk mencintai sesama muslim.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) seperti mana dia mencintai dirinya sendiri.” – (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Buat ibu bapa yang sebelum ini menjadi pemutus atau penghalang bapa dan ibu anak anda berjumpa, jadikanlah Aidilfitri sebagai titik noktah. Usahlah anda jadi pemutus silaturahim kerana hubungan ibu bapa dengan anak tidak terputus.

Hindarkan diri menjadi rakan kepada Iblis Dasim yang sangat benci kepada rumah tangga yang rukun dan bahagia, sebaliknya mengajak suami isteri melakukan kemaksiatan terhadap Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” – (Surah al-An’am)

Marilah bersama mencipta sejarah kebaikan pada hari lebaran mulia ini.
Setidak-tidaknya untuk kita kenang di usia tua, diceritakan kepada anak apabila mereka besar kelak dan paling penting, mendapat keampunan dan keredaan Allah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh dihubungi di talian sekretariat PGSM 03-2274 1499 atau email ke sekretariatpgsm@yahoo.com

SALAM AIDILFITRI - Saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua pelanggan, rakan2 dan seluruh masyarakat Islam. Maaf zahir dan batin.

Raja - Pemegang Amanah Kedaulatan Watan

Harian Metro 15 March 2017 Oleh Musa Awang Sistem pemerintahan beraja atau ‘monarki’ merupakan sistem pemerintahan yang tertua di du...