Wednesday, April 4, 2012

Usaha memartabatkan profesion Peguam Syarie

Peguam Syarie Menulis
Berita Harian
4 April 2012

Matlamat PGSM wujud akta perbaiki kelemahan

Oleh Musa Awang

Mewujudkan undang-undang atau akta Profesion Guaman Syarie adalah menjadi matlamat utama penubuhan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) pada tahun 2001, bertujuan menaik taraf profesion Peguam Syarie seiring dan sejalan dengan peguam sivil, seterusnya memperbaiki kelemahan yang wujud, selain menjamin kesinambangunan profesion Peguam Syarie di Negara ini, seterusnya ke persada antarabangsa.

Profesion Peguam Syarie bukanlah satu profesion yang baru, malah telah bermula di zaman Rasulullah s.a.w lagi, walaupun pada waktu itu ia bukanlah suatu profesion yang khusus sebagaimana pada masa kini. Sayyidina Ali r.a pernah bertindak sebagai peguam Syarie dalam kes seorang perempuan yang mengaku berzina di hadapan Khalifah Umar r.a, sedangkan sebenarnya wanita itu telah dirogol oleh seorang lelaki. Selain itu, Ibn Abbas r.a telah membela perempuan yang telah pun disabitkan melakukan zina dan hendak direjam oleh Khalifah Othman r.a, di mana dengan pembelaan tersebut, Khalifah Othman r.a telah membetulkan hukumannya dan membebaskan perempuan tersebut.

Selaras dengan ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia pada Konvensyen Peguam Syarie Kali ke-2 pada 1 Julai 2011 di Hotel Grand Seasons Kuala Lumpur, PGSM amat komited dan memandang serius terhadap komitmen yang ditunjukkan Kerajaan. PGSM terlibat dari awal dalam merangka konsep undang-undang dan mendraf Akta tersebut. Beberapa siri mesyuarat telah dihadiri oleh wakil PGSM bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Peguam Negara serta wakil Negeri dan lain-lain, untuk mencari penyelesaian terbaik dalam memastikan Akta tersebut menjadi kenyataan, dengan mengambilkira pandangan dari pelbagai pihak termasuk dari Negeri-negeri.

Sesetengah pihak mempertikaikan masa yang lama diambil, daripada tarikh ucapan YAB Perdana Menteri pada Julai 2011 sehingga sekarang belum menampakkan Akta tersebut akan dibentangkan di Parlimen. Perlu ditegaskan bahawa usaha mengadakan sesuatu undang-undang yang belum ada adalah lebih sukar dan memerlukan lebih banyak masa serta tenaga, berbanding meminda undang-undang yang telah sedia ada.

Tambahan pula, Akta ini akan melibatkan usaha mengharmonikan bidangkuasa kerajaan persekutuan dan bidangkuasa kerajaan negeri-negeri, merujuk kepada kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Malaysia, Jadual Sembilan, Senarai 2, Senarai Negeri yang meletakkan segala hal-hal berkaitan dengan agama Islam adalah di bawah bidangkuasa negeri masing-masing.

Pada masa kini, undang-undang yang terpakai bagi mengawal selia hal ehwal peguam syarie dari aspek kemasukan, kelayakan dan hal tatatertib adalah ditentukan oleh kaedah-kaedah negeri yang diwujudkan berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri. Negeri-negeri yang mempunyai kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan seperti - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Negeri Selangor) 2008, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Melaka 1989, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Johor 1982, Kaedah-Kaedah Peguam Syariah Perak 1980, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Pulau Pinang 1997, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Perlis 1991, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Pahang 1995, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1988, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Terengganu 1986, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Sarawak 1992, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Kelantan 1983.

Sehingga Akta tersebut direalisasikan, pada masa ini, semua Peguam syarie adalah di bawah kawalan Kaedah atau Peraturan Peguam Syarie negeri-negeri, yang mengawal kelayakan, penerimaan masuk, fee, etika, disiplin dan sebagainya.

Dalam pada itu, PGSM juga dalam usaha untuk mendapatkan mandat daripada majoriti Peguam Syarie seluruh Negara, yang memperakui bahawa mereka bersetuju dengan kewujudan Akta tersebut. Sebilangan kecil di kalangan Peguam Syarie tidak bersetuju dengan kewujudan Akta tersebut dan lebih selesa untuk kekal dengan keadaan mereka sekarang, yakni berada di bawah Peraturan atau Kaedah-kaedah Peguam Syarie Negeri.

Program-program diatur untuk mendapatkan mandat tersebut, dan juga mengadakan siri-siri bengkel bagi mengadakan perbincangan secara terperinci bagi mendapatkan pandangan atau input di kalangan Peguam Syarie, terhadap deraf awal Akta tersebut, sebelum ianya dimuktamadkan.

- Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Email : maa46050@yahoo.com.

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...