Monday, August 17, 2009

Tiada Had Tuntutan

Tiada had tuntutan
Metro Ahad, 16 Ogos 2009

KUALA LUMPUR: Walaupun belum mencapai ‘tahap Hollywood’ yang ada kalanya membabitkan angka tidak masuk akal, tuntutan perceraian di negara ini jelas menunjukkan peningkatan berdasarkan ‘dengan siapa aku berkahwin’.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata tuntutan nafkah mencecah jutaan ringgit oleh bekas isteri bukan perkara luar biasa.

“Ini kerana, selain hak membuat tuntutan, tidak wujud had atau garis panduan berkaitan berapa jumlah yang boleh dituntut oleh seorang wanita daripada bekas suami.

“Contoh paling mudah ialah nafkah semasa. Bagi individu biasa, mereka menuntut RM10 sehari untuk makanan, tetapi bagi golongan berada ia boleh mencecah RM300,” katanya.

Berkaitan ketidak seragaman itu, Musa memaklumkan, tuntutan nafkah tidak tetap kerana ia bergantung kepada pendapatan bulanan bekas suami.
Biasanya, mahkamah syariah hanya membenarkan tuntutan nafkah semasa berjumlah satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan bulanan orang yang dituntut.

“Asas nafkah semasa ada tiga, iaitu keperluan tempat tinggal, makanan serta pakaian. Oleh itu, biasanya nafkah semasa jumlahnya kecil kerana ia diberi dalam bentuk bulanan, tetapi berlainan dengan nafkah tertunggak.

“Nafkah tertunggak boleh mencecah ratusan ribu ringgit kerana bekas suami gagal menjelaskan nafkah semasa yang perlu dibayar setiap bulan untuk tempoh lama seperti bertahun-tahun,” katanya.

Musa berkata, jika bekas suami gagal melunaskan nafkah mengikut perjanjian dan ia kali pertama berlaku, mahkamah akan mengarahkan bekas suami membuat bayaran mengikut kadar atau cara yang diterima kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, jika bekas suami masih ingkar, mahkamah ada kuasa untuk memutuskan cara pembayaran dibuat sama ada bayaran penuh, walaupun ia mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit, atau bayaran bulanan.

“Bayaran bulanan juga boleh dilakukan melalui potongan gaji daripada majikan bekas suami. Ia bergantung kepada kata putus mahkamah.

“Ada juga contoh di mana bekas suami mempunyai rumah sewa dan sewa kediaman berkenaan dimasukkan terus ke akaun anak sebagai bayaran nafkah,” katanya.

Berkaitan penyelesaian mutaah pula, Musa berkata, ia sagu hati perceraian yang wajib dibayar bekas suami kepada bekas isteri yang diceraikan tanpa sebab wajar menurut syarak.

Kerana itu ada di kalangan wanita membuat tuntutan mutaah dalam jumlah besar mencecah jutaan ringgit kerana berasakan hak mereka tidak dibela.

“Bagaimanapun, jumlah jutaan ringgit yang dituntut itu bukan jaminan untuk wanita memperoleh keseluruhannya. Ini kerana ia juga bergantung kepada kemampuan bekas suami,” katanya.

Dalam masa sama Musa mengingatkan, nafkah yang diberi bekas suami setiap bulan tidak boleh digunakan oleh bekas isteri kecuali untuk anak.

Menurut beliau, kerana itu, anak berumur 12 tahun ke atas boleh meminta wang nafkah berkenaan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing.

“Jika ibu makan duit anak, ibu terbabit perlu menjawab di akhirat atas perbuatannya yang tidak amanah,” katanya.

ISA Wajar Dipinda Selari Keadilan Dituntut Islam



Artikel ini disiarkan di Berita Harian pada 12 Ogos 2009)

Oleh Musa Awang*




Kajian dari perspektif Islam bantu kerajaan perbaiki Akta Keselamatan Dalam Negeri

AKTA Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 adalah undang-undang tahanan pencegahan yang berkuat kuasa di negara ini dan mutakhir ini kedengaran desakan oleh pelbagai pihak supaya dimansuhkan.

Menurut akta ini, sesiapa saja boleh ditahan polis 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan atas tindak-tanduk yang dianggap mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya.

Seseorang yang ditahan ISA 60 hari pertama tidak dibenarkan berkomunikasi dengan dunia luar. Tambahan pula, peguam dan keluarga tidak dibenar melawat tahanan. Selepas 60 hari, tahanan boleh ditahan lagi dua tahun jika diluluskan Menteri Dalam Negeri dan sekali gus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.

Jika perintah penahanan dua tahun ditandatangani, tahanan dibawa ke Pusat Tahanan Kamunting, Perak untuk tempoh ditetapkan dan baru keluarga dibenarkan melawat.
ISA dirangka RH Hickling dan dijadikan undang-undang pada 1960. Sejak akta itu digunakan, ia dipinda lebih 20 kali. ISA adalah undang-undang tahanan pencegahan.Dalam masyarakat pelbagai agama dan kaum, undang-undang seperti ini perlu bagi membendung tindak-tanduk yang mengancam atau menggugat keselamatan negara.
Pada 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau mengatakan ISA adalah undang-undang yang perlu dan mengemukakan hujah: “Kami (kerajaan) tidak pernah menyalahgunakan ISA. “Semua mereka yang ditahan di bawahnya terbukti mengancam masyarakat secara umum.”

Dalam keadaan kestabilan kaum di negara ketika ini seperti bom jangka dengan bukan Bumiputera lantang menyuarakan ketidakpuasan hati dan membelakangkan kontrak sosial serta prinsip jus soli, sejarah yang makin dilupakan, apakah jaminan yang boleh memastikan bom itu tidak meletup. Bukankah ISA antara jaminannya?Perkara 149, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang bagi mencegah kegiatan subversif.

Kuasa menangani kegiatan dan anasir subversif ini terlalu luas sehingga boleh merangkumi apa saja keadaan yang dianggap mengancam ketenteraman awam termasuk yang belum berlaku.

Ada pihak yang mengemukakan hujah penahanan tanpa perbicaraan adalah kezaliman. Nada suara mereka selari dengan perjuangan menegakkan hak asasi manusia yang dipelopori Amerika Syarikat dan Britain.

Realitinya sekarang, Amerika Syarikat dan Britain ada juga undang-undang pencegahan yang hampir sama iaitu Patriot Act dan Terrorist Act di Britain yang membenarkan kerajaan menahan sesiapa saja tanpa perbicaraan jika disyaki menjadi anasir atau penyokong keganasan.

Walaupun ISA diwujudkan untuk membendung unsur komunis selepas merdeka, kita perlu melihat sejarah. Selepas dikuatkuasakan akta ini mengalami 20 pindaan.

Cadangan dan perkara yang perlu dipinda dalam ISA.

• Pindaan kepada Seksyen 73 (1) ISA yang menyatakan sesiapa pun boleh ditahan polis 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Tahanan 60 hari adalah tempoh lama dan tidak munasabah. Dalam kes membabitkan keselamatan negara, ia sepatutnya segera disiasat polis dan diberi keutamaan. Adakah adil dan wajar seseorang ditahan tanpa perbicaraan 60 hari sedangkan polis mempunyai bukti dan menjalankan siasatan berlaku tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara, sebelum tangkapan?

• Seseorang yang ditahan di bawah ISA juga perlu dibenar mendapatkan khidmat peguam dalam tempoh tahanan itu dan perlu dibenar berjumpa keluarga sesuai dengan kehendak Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan.

• Pindaan juga perlu kepada Seksyen 8 Akta ini yang sebelum ini menyatakan selepas 60 hari, tahanan boleh ditahan dua tahun jika diluluskan Menteri Dalam Negeri sekali gus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Seksyen ini perlu dipinda dengan kuasa menahan seseorang oleh mahkamah saja.Kuasa diberi kepada Menteri Dalam Negeri yang membolehkan beliau menangkap sesiapa pun, tanpa merujuk mahkamah dibatas atau dimansuhkan.

• Peruntukan dimansuhkan pada 1989 yang membolehkan mahkamah menyiasat kuasa menteri di bawah peruntukan ini perlu diadakan semula dengan beberapa pindaan.Kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara teknikal berkenaan penahanan di bawah ISA, tanpa melihat apakah rasional tangkapan sama ada benar demi keselamatan awam atau bermotifkan politik.

Suatu badan atau suruhanjaya bebas yang terdiri daripada kerajaan, pembangkang, aktivis masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu dibentuk bagi mengkaji apakah ISA sinonim dengan kestabilan dan ketenteraman awam?

Adakah kestabilan negara ini berpunca daripada undang-undang seperti ISA? Suruhanjaya bebas ini juga perlu mengkaji apakah benar penganiayaan di bawah ISA berlaku?

Suatu kajian dari perspektif Islam oleh pakar Islam dan mufti juga perlu dijalankan adakah ISA ini bercanggah atau tidak dengan justifikasi di sisi Islam sebagai agama rasmi negara.

Adakah Islam membenarkan seseorang ditahan sedemikian jika wujud unsur yang disyaki membahayakan Islam dan penganutnya?

Bukankah Islam membenarkan rakyat mengkritik pemerintah? Tetapi bagaimanakah cara kritikan yang boleh dibuat menurut Islam? Mengapa ada pihak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan Islam tidak pula ditangkap mengikut ISA?

Penulis adalah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www.peguamsyarie.org

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi Penulis, bukan pendirian PGSM.

Monday, August 10, 2009

Isu Arak Di Selangor-PGSM turut kesal

Utusan Malaysia 8 Ogos 2009
PGSM turut kesal

KUALA LUMPUR 7 Ogos -Tindakan Exco Selangor, Ronnie Liu yang mencampuri urusan penguatkuasaan undang-undang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengundang kemarahan banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.
Terbaru, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM) melahirkan kekesalan terhadap tindakan Ronnie yang dianggap tidak sepatutnya berlaku.
Timbalan Presidennya, Musa Awang berkata, sebagai individu yang diberi amanah memimpin kerajaan, Ronnie seharusnya menjalankan tanggungjawab secara bijaksana dengan mengambil kira sensitiviti majoriti rakyat.

"Sensitiviti umat Islam selaku penganut agama rasmi negara ini perlu dijaga dan dipertahankan. Selama ini masyarakat Islam banyak bertolak ansur tetapi dalam isu arak, ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dikompromi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

"Sama ada sedikit atau banyak kandungan alkohol, minuman itu tetap haram di sisi Islam. Justeru, tindakan yang diambil seharusnya tidak mengutamakan kepentingan peribadi atau individu tertentu kerana ia mengguris sensitiviti masyarakat Islam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ronnie yang mengarahkan MBSA memulangkan semula minuman keras dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8, Shah Alam setelah merampasnya dalam satu operasi 30 Julai lalu.

Rampasan oleh Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.
Dalam pada itu, Musa turut menggesa agar pemberian lesen penjualan arak diperketatkan dan dikawal di samping penguatkuasaan terhadap mana-mana pekedai yang melanggar undang-undang dibuat dengan lebih kerap.

Isu Arak Di Selangor- PGSM mahu tindakan tegas

Sinar Harian 8 Ogos 2009
PGSM mahu tindakan tegas

KUALA LUMPUR - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa pihak berkuasa tempatan bertindak tegas dalam pemberian lesen penjualan arak.

Timbalan Presidennya Musa Awang berkata, dalam usaha bagi memastikan umat Islam dikawal dan dijauhi dari terlibat dengan arak, pihak berkuasa perlulah memastikan penjualan arak terkawal dan tidak melibatkan orang Islam secara langsung atau tidak langsung.

“Orang Islam sama sekali perlu dilarang bekerja dimana-mana kedai yang menjual arak. Bagaimana pun, penjualan arak di 7-Eleven secara jelas telah melibatkan orang Islam kerana kebanyakan pekerja di kedai 24 jam itu, adalah
terdiri daripada orang Islam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, PGSM turut kesal dengan tindakan Exco Selangor Ronnie Liu yang didakwa campur tangan dalam urusan penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkaitan penjualan arak.

“Ini tidak sepatutnya berlaku. Sebagai orang yang diberi amanah untuk memimpin kerajaan, beliau sepatutnya menjalankan tanggungjawab secara bijaksana dengan mengambil kira sensitiviti rakyat dan majoriti penduduk, tanpa mengutamakan kepentingan peribadi atau individu tertentu,” katanya.

Musa berkata PGSM turut menyokong sepenuhnya peraturan larangan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Melayu.

“Soal penduduk bukan Islam yang terpaksa ke kawasan lain bagi mendapatkan bekalan arak adalah tidak timbul kerana sensitiviti umat Islam perlu dijaga dan dipertahankan,” katanya.

Monday, August 3, 2009

PGSM kesal kenyataan Shahrizat, Lo' Lo'

Utusan Malaysia
23/07/2009

KUALA LUMPUR 22 Julai - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kesal dengan kenyataan dua ahli politik yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman sebatan ke atas model wanita kerana meminum arak.
Timbalan Presidennya, Musa Awang berkata, adalah tidak wajar kedua-dua tokoh berkenaan mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia seolah-olah cuba mencabar dan menghina keputusan mahkamah.

''Sebarang ketidakpuasan hati dengan keputusan mahkamah hendaklah dibuat melalui tatacara dan prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ahli Parlimen Titiwangsa dari Pas, Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali hari ini yang melahirkan perasaan terkejut dengan hukuman sebatan enam kali yang dikenakan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang disifatkan mereka sangat keras.
Keputusan yang dibuat oleh Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus turut melibatkan hukuman denda RM5,000 selepas model pelancongan yang berasal dari Sungai Siput, Perak mengaku bersalah.

Musa berkata, apa yang diputuskan oleh Abdul Rahman masih ringan berbanding hukuman sebenar menurut hukum syarak yang membolehkan pesalah dihukum sehingga 40 sebatan sebagaimana pada zaman Nabi Muhammad SAW dan sahabat- sahabat.

''Kami tidak menafikan bahawa tidak terdapat hukuman sebat di Mahkamah Sivil untuk pesalah wanita, lelaki berumur 50 tahun (kecuali atas kesalahan rogol) atau pesakit mental, tetapi perlu ditegaskan bahawa dalam Islam tiada beza antara pesalah lelaki dan wanita.

''Walaupun kedua-dua tokoh ini berniat baik untuk memperjuangkan nasib wanita, tetapi mereka perlu faham bahawa kaedah dan cara pelaksanaan hukuman sebat yang ditetapkan oleh Mahkamah Syariah amat berbeza dengan Mahkamah Sivil," katanya.
Kata beliau, prosedur untuk menjalankan hukuman sebat di Pahang ada diperincikan secara jelas dalam Seksyen 125 dan Seksyen 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 iaitu:
- Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat daripada rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.
- Kalau pesalah itu hamil, hukuman hendaklah dilaksanakan selepas dua bulan dia melahirkan anak.
- Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh pegawai kesihatan kerajaan.
- Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran pegawai perubatan kerajaan.
- Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
- Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk.
- Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat tidak mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
- Pegawai perubatan kerajaan akan memperakukan sama ada pesalah itu masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan.

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...