Wednesday, February 25, 2015

Menimbang mudarat peraturan muallaf



Harian Metro, Selasa 24 Februari 2015

Oleh Musa Awang

Dua peraturan baharu berkaitan muallaf yang akan diperkenalkan oleh kerajaan negeri Sembilan perlu diteliti semula dengan mengambilkira pandangan pelbagai pihak.

Dua peraturan tersebut ialah seorang bukan Islam perlu membubarkan perkahwinannya yang terdahulu sebelum dibenarkan berdaftar sebagai mualaf di Negeri Sembilan dan mereka juga perlu membuat akuan berkanun yang menyatakan telah memeluk Islam.

Urusan perkahwinan dan perceraian bukan Islam dikawal selia Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Menurut Seksyen 51 Akta tersebut, apabila salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam itu memeluk Islam, hanya pihak yang tidak memeluk Islam sahaja boleh memfailkan petisyen untuk perceraian di mahkamah sivil selepas tiga bulan dari tarikh memeluk Islam.

Ketidakadilan berlaku apabila Seksyen 51 itu hanya memberi hak kepada pihak tidak memeluk Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya di mahkamah, manakala pihak yang memeluk Islam tidak mempunyai hak membubarkan perkahwinan.

Walaupun pihak memeluk Islam boleh memohon membubarkan perkahwinannya di mahkamah syariah melalui Seksyen 46 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, malangnya perintah mahkamah syariah tidak mengikat pihak yang tidak memeluk Islam. Perkahwinan asal mereka didaftarkan melalui kaedah sivil dan mahkamah sivil yang berhak membubarkan perkahwinan itu dan bukan mahkamah syariah. Yang menjadi mangsa ialah pihak yang memeluk Islam, terutama jika si isteri yang memeluk Islam.

Kita faham niat kerajaan negeri Sembilan mengadakan peraturan baharu itu untuk mengelakkan mudarat lebih besar dengan mengambil mudarat yang lebih kecil, berdasarkan kaedah fiqh yang berbunyi - "Kemudaratan yang lebih berat atau besar dihilangkan dengan melaksanakan kemudharatan yang lebih ringan". Satu lagi kaedah fiqh yang hampir sama iaitu "Bila harus memilih antara dua mudarat maka pilih yang paling ringan"

Ia adalah kerana mutakhir ini, kes-kes perebutan anak yang melibatkan pasangan memeluk Islam telah mengheret institusi agama dan Islam ke kancah perebutan tersebut, yang akhirnya Islam dipersalahkan.

Walaubagaimanapun dari sudut yang lain, peraturan baharu tersebut berkemungkinan membawa mudarat yang lebih besar daripada niat asal. Seorang yang memeluk Islam tidak dibenarkan berdaftar sebagai muallaf selagi belum mendapat perintah membubarkan perkahwinannya yang terdahulu di mahkamah sivil, sedangkan realitinya proses untuk membubarkan perkahwinannya di mahkamah sivil akan mengambil masa yang lama dan melibatkan banyak perkara antaranya harta sepencarian dan hak penjagaan anak.

Apa akan jadi sekiranya muallaf tersebut meninggal dunia semasa dalam proses menyelesaikan proses perceraian di mahkamah sivil? Bagaimana dengan urusan pengebumiannya? Tidakkah ia akan membanyakkan lagi kes perebutan mayat?

Dalam kes Nora Teoh Abdullah di Pulau Pinang (2014), ibu berusia 38 tahun yang memeluk Islam terpaksa diperintahkan untuk dipulangkan semula kepada saudara mara untuk dikebumi mengikut agama asal mereka kerana mahkamah mendapati proses pemelukan dan pendaftaran muallaf tersebut tidak mematuhi kehendak undang-undang dan operasi operasi standard (SOP) JAIPP.

Masalah juga akan timbul berkenaan hak pembahagian harta pusakanya. Jika pihak yang memeluk Islam meninggal dunia semasa dalam proses menyelesaikan proses perceraian di mahkamah sivil, tentu pihak yang tidak memeluk Islam boleh mengatakan dia juga berhak ke atas harta pusaka yang ditinggalkan, kerana pemelukan Islam tersebut belum didaftarkan. Keadaan ini akan menimbulkan masalah perebutan harta antara waris kedua mereka.

Jika peraturan baharu tersebut dilaksanakan, ia juga adalah sama sekali berlawanan dengan peruntukan Seksyen 112, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003, yang memperuntukkan bahawa menjadi keperluan atau kewajipan (compulsory) kepada Pendaftar Muallaf untuk memberikan Perakuan Memeluk Agama Islam kepada muallaf. Perakuan Memeluk Agama Islam tersebut hendaklah menjadi bukti muktamad tentang fakta-fakta yang dinyatakan dalam Perakuan itu.

Berdasarkan Seksyen 108 dan 109 yang sama, seseorang itu menjadi seorang Islam sebaik-baik sahaja dia habis mengucap dua kalimah syahadah dan selepas itu muallaf tersebut tertakluk kepada obligasi atau tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan seperti seorang Islam.

Muallaf akan dinafikan haknya untuk hidup mengikut kepercayaan agama Islam kerana beliau masih dianggap suami isteri di sisi undang-undang sivil jika proses perceraiannya di mahkamah sivil berpanjangan. Sedangkan jelas mengikut hukum syarak, perkahwinan itu terbubar dalam tempoh tertentu jika pihak yang satu lagi tidak ikut memeluk Islam.

Seksyen 113 Enakmen yang sama pula menyatakan bahawa seseorang yang telah memeluk agama Islam dan pemelukan telah didaftarkan dalam Daftar Muallaf hendaklah, bagi maksud mana-mana undang-undang Persekutuan atau Negeri, dan pada setiap masa diperlakukan sebagai orang Islam. Seseorang yang telah didaftarkan sebagai pemeluk agama Islam juga tertakluk bagi maksud penguatkuasaan mana-mana peruntukan undang-undang di Negeri Sembilan, diperlakukan sebagai orang Islam.

Misalnya tempoh selama dua tahun diambil untuk menyelesaikan perceraian di mahkamah sivil, maka dalam dua tahun tersebut muallaf akan dinafikan haknya sebagai seorang muallaf untuk menerima pengagihan zakat, lantaran belum memiliki Perakuan Memeluk Agama Islam.

Demikianlah sebahagian mudarat yang lebih besar yang berkemungkinan akan berlaku sekiranya peraturan baharu tersebut dilaksanakan. Maka sebaiknya peraturan baharu tersebut ditangguhkan dahulu dengan membuat satu kajian dan penelitian teliti dengan melibatkan pelbagai pihak seperti ulama’, NGO Islam serta golongan muallaf sendiri. Wallahu’alam.

-      Penulis ialah Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com

Wednesday, February 4, 2015

Takrifan syariah, sivil orang hilang

(Mengharmonikan undang-undang orang hilang)



Oleh Musa Awang

Harian Metro, 4 Februari 2015

Al-mafqud merujuk kepada seseorang yang hilang daripada tempat asalnya dalam tempoh yang lama sehingga terputus berita mengenainya dan tidak diketahui sama ada dia masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Status al-mafqud penting untuk masyarakat Islam dan juga bukan Islam kerana proses pembahagian harta al-mafqud akan tergendala sekiranya tidak diketahui sama ada al-mafqud itu masih hidup atau pun sudah mati.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam telah mengumumkan insiden pesawat malang MH370 secara rasmi sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap terkorban.

Pengisytiharan tersebut belum membubarkan status perkahwinan mangsa-mangsa dan sebarang tuntutan ke atas harta pusaka masih belum boleh dibuat. Untuk menentukan status sesuatu perkahwinan terbubar, perintah anggapan kematian (presumption of death) atau perintah pembubaran perkahwinan perlu dikeluarkan oleh mahkamah.

Merujuk kepada Seksyen 18 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) adalah dinyatakan dengan jelas bahawa setiap kematian di negara hendaklah didaftarkan dengan syarat mayatnya dijumpai. Dalam kes mayat tidak dijumpai atau individu yang diklasifikasikan sebagai telah dianggap mati, maka perintah anggapan kematian perlu diperoleh dari mahkamah.

Di Malaysia, terdapat dua undang-undang berasingan yang menyentuh soal anggapan kematian bagi al-mafqud iaitu di mahkamah sivil dan juga di mahkamah syariah. Perbezaan ketara antara kedua-dua undang-undang tersebut ialah berkenaan tempoh masa yang diperlukan bagi membentuk anggapan bahawa al-mafqud itu telah pun meninggal dunia. Undang-undang sivil mensyaratkan tempoh tujuh tahun manakala undang-undang syariah menetapkan tempoh empat tahun sebagai tempoh yang perlu untuk membentuk anggapan kematian al-mafqud.

Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 (Akta 56) berbunyi “Apabila soalnya ialah sama ada seseorang itu masih hidup atau telah mati, dan dibuktikan bahawa tiada apa-apa khabar telah didengar mengenainya selama tujuh tahun oleh orang yang sepatutnya mendengar khabar mengenainya jika dia masih hidup, beban membuktikan yang dia masih hidup beralih kepada orang yang menegaskannya.”

Dalam kes Tay Soon Pang ([2009] 9 CLJ 778), Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zawawi Salleh menegaskan, berdasarkan Seksyen 108 Akta 56 berkenaan, dua syarat penting untuk membentuk anggapan kematian ialah pertama ; tiada apa-apa khabar yang telah didengar mengenai al-mafqud selama tujuh tahun dan kedua ; ketiadaan khabar itu mestilah dialami oleh orang yang sepatutnya mendengar khabar mengenainya jika dia masih hidup. Sekiranya tempoh tujuh tahun sudah berlalu, mahkamah boleh memutuskan al-mafqud dianggap sebagai sebagai telah mati.

Peruntukan hampir sama terdapat dalam enakmen atau akta syariah negeri-negeri. Contoh, Seksyen 80 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 561) mempunyai peruntukan hampir sama, cuma tempoh tiada apa-apa khabar berita didengar mengenainya adalah selama empat tahun, bukan tujuh tahun.

Pada masa sama, terdapat peruntukan khusus dalam undang-undang syariah bagi maksud membolehkan seorang isteri kepada al-mafqud untuk berkahwin semula. Seksyen 53(1), Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) menyebut bahawa : “Jika suami mana-mana perempuan telah mati, atau dipercayai telah mati, atau telah tidak didengar perkhabaran mengenainya bagi suatu tempoh empat tahun atau lebih, dan hal keadaan adalah sebegitu hingga dia patut, bagi maksud membolehkan perempuan itu berkahwin semula, dianggap mengikut Hukum Syara' sebagai telah mati, maka Mahkamah boleh, di atas permohonan perempuan itu dan selepas apa-apa siasatan yang wajar, mengeluarkan dalam bentuk yang ditetapkan suatu perakuan menganggap kematian suami itu dan Mahkamah boleh di atas permohonan perempuan itu membuat perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 52 .”

Perakuan yang dikeluarkan oleh mahkamah sivil tidak terpakai untuk tujuan membolehkan isteri al-mafqud berkahwin semula. Hanya mahkamah syariah sahaja yang berkuasa memberi perakuan anggapan kematian untuk tujuan itu.

Tidak pasti mengapa undang-undang sivil menetapkan tempoh tujuh tahun untuk menerima anggapan kematian al-mafqud. Tetapi bagi undang-undang syariah, tempoh empat tahun diambil berdasarkan pandangan fuqaha. Misalnya, Imam Malik dan Imam Ahmad menetapkan seseorang hakim boleh memisahkan seorang isteri daripada suaminya yang hilang tanpa khabar berita setelah empat tahun, berdasarkan keputusan yang pernah dibuat oleh Khalifah Umar al-Khattab r.a dalam kes suami hilang di zaman pemerintahannya. Manakala mazhab Hanafi menetapkan jangka hidup manusia selama 90 tahun dan anggapan kematian seseorang al-mafqud adalah apabila telah berlalu 90 tahun sejak kelahirannya.

Mazhab Syafii menetapkan tempoh tujuh tahun, tetapi konsep anggapan kematian yang diterima pakai oleh Mazhab Syafi‘i adalah berdasarkan kaedah istishab, iaitu mengekalkan suatu hukum berasaskan hukum sedia ada selagi tidak ada dalil yang mengubahnya. Maksudnya, seseorang yang hilang dianggap masih hidup sehingga ada bukti yang menunjukkan sebaliknya. Oleh sebab itu harta al-mafqud tidak boleh dibahagikan secara pusaka sehingga suatu tempoh masa tertentu dan hanya mahkamah yang boleh memutuskan tentang status sebenar bahawa al-mafqud itu telah meninggal dunia.

Dalam kes anggapan kematian Talib Saari ([2010] 1 CLJ (Sya) 493), Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu telah memutuskan bahawa al-mafqud yang hilang sejak tahun 1972 sebagai telah meninggal dunia, berdasarkan “telah berlalunya suatu tempoh yang lama ke atas al-mafqud dari tarikh ianya dilahirkan, yang mana tempoh itu adalah memungkin orang sebayanya telah meninggal dunia”. Mahkamah membuat kesimpulan jika al-mafqud itu masih lagi hidup di tahun 2004, beliau sudah pun berumur 73 atau 74 tahun dan lazimnya pada waktu umur sebegitu, seseorang telah meninggal dunia.

Bagi seorang Islam, pengisytiharan kematian al-mafqud boleh dipohon samada di mahkamah sivil atau di mahkamah syariah. Dalam kes Ridzwan Ibrahim ([2002] 4 CLJ 502), Yang Arif Hakim Heliliah Mohd Yusof berpendapat sedemikian kerana tempoh tujuh tahun yang dikehendaki oleh mahkamah sivil adalah lebih lama daripada empat tahun yang dikehendaki oleh mahkamah syariah. Sekiranya waris enggan menunggu selama tujuh tahun untuk memohon pengisytiharan mahkamah sivil, mereka boleh memohon pengisytiharan di mahkamah syariah setelah menunggu untuk tempoh yang lebih singkat, iaitu empat tahun.

Adalah wajar undang-undang sivil dan syariah diharmonikan dengan menyelaraskan tempoh masa yang diperlukan oleh mahkamah bagi membentuk anggapan kematian al-mafqud. Tempoh masa yang ditetapkan ini merupakan satu ijtihad ulama’ atau budi bicara penggubal undang-undang, dan ia boleh disesuaikan dengan keadaan dan perkembangan semasa, agar dapat mengelakkan berlakunya komplikasi yang berat dari segi konflik undang-undang.


-   - Penulis ialah Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Tuesday, February 3, 2015

Status Perkahwinan Mangsa MH370 Beragama Islam Tidak Terbubar - Peguam Syarie



PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) - Status perkahwinan bagi mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang beragama Islam tidak terbubar walaupun kerajaan mengisytiharkan semua penumpang pesawat malang itu terkorban.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa Awang berkata untuk menentukan status sesuatu perkahwinan terbubar, perintah Anggapan Kematian atau perintah pembubaran perkahwinan perlu dibuat oleh mahkamah.

"Pada pandangan saya walaupun dengan pengisytiharan yang dibuat oleh kerajaan tentang status MH370, ia belum membubarkan status perkahwinan mangsa-mangsa dan sebarang tuntutan ke atas harta pusaka tidak boleh dibuat.

"Hanya mahkamah yang boleh mengeluarkan perintah Anggapan Kematian," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Musa berkata jika pasangan mangsa berhasrat untuk memuktamadkan status perkahwinannya, maka individu berkenaaan boleh memohon perceraian secara fasakh atas alasan suami telah ghaib lebih setahun atau mereka boleh memohon mendapatkan perintah Anggapan Kematian daripada mahkamah.

Musa menjelaskan menurut Seksyen 18 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) adalah dinyatakan dengan jelas bahawa setiap kematian di negara hendaklah didaftarkan dengan syarat mayatnya dijumpai.

Dalam kes mayat tidak dijumpai atau individu yang diklasifikasikan sebagai telah dianggap mati, maka perintah Anggapan Kematian perlu diperoleh di Mahkamah Tinggi berdasarkan Seksyen 108 Akta Keterangan 1950, katanya.

Beliau berkata bagi kes Anggapan Kematian, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan mendaftarkan atau mengeluarkan sijil kematian, sebaliknya hanya akan mengemas kini maklumat individu yang telah dianggap mati oleh Mahkamah Tinggi di dalam sistem jabatan.

"Untuk sebarang urusan berkaitan individu yang telah dianggap mati, waris perlulah menggunakan perintah yang telah dikeluarkan oleh mahkamah" katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan insiden pesawat malang MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap terkorban.

Azharuddin berkata pengisytiharan itu dibuat mengikut Piawaian Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa, yang lazimnya dirujuk sebagai Konvensyen Chicago.

Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang itu hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam, 8 Mac lepas.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapa dalam satu kenyataan di ibu negara berkata hal berkaitan pengagihan harta pusaka, pembubaran status perkahwinan mangsa, atau hukum-hukum lain hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan berasaskan peruntukan undang-undang yang ditetapkan setelah pengesahan atau pensabitan kematian diputuskan oleh mahkamah.

- BERNAMA


MH370: Muslim next of kin must legally dissolve marriages




FMT Reporters |  January 30, 2015

Spouses must apply for the dissolution of their marriages or obtain Presumption of Death orders before making claims on properties.

PUTRAJAYA: The next of kin of Muslim victims of the MH370 tragedy cannot make claims against their estates until their marriages have been legally dissolved, according to a syariah lawyer.

This is in spite of the government having declared that everyone on board had perished, said Musa Awang, the president of the Syariah Lawyers Association of Malaysia.

“In my opinion, even with the declaration made by the government about the status of MH370, this has not dissolved the marriage status of victims and any claims against an estate cannot be made,” he said.

“Only the court may issue the Presumption of Death order.”
Musa said that a spouse may apply for a dissolution of marriage if the partner has disappeared for more than a year. In the case of MH370 victims, they may apply for the Presumption of Death declaration, he added.

He cited Section 18 of the Registration of Births and Deaths 1957, saying it clearly stated that every death in the country must be registered with the condition that the body was found.

In the case of a body not found or individual had been classified as thought to be dead, then the Presumption of Death order must be obtained from the High Court under Section 108 of the Evidence Act 1950, he said.

He said that in the case of Presumption of Death, the National Registration Department (JPN) would not register or issue a death certificate, but would only update the information in the system.

“For matters pertaining to individuals who have been presumed dead, the next-of-kin must use the order issued by the court,” he added.

Yesterday, Department of Civil Aviation director-general Azharuddin Abdul Rahman officially declared the missing MAS Flight MH370 as having undergone an accident under international aviation rules, and that all 239 passengers and crew aboard were presumed to have lost their lives.

Azharuddin said the declaration was made in accordance with the Standards of Annexes 12 and 13 to the Convention on International Civil Aviation, commonly referred to as the Chicago Convention.

The Boeing 777 aircraft which was carrying 12 crew members and 227 passengers, disappeared from radar screens while en route from Kuala Lumpur to Beijing, about an hour after departing from the KL International Airport at 12.41am on March 8, 2014.

– Bernama

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2015/01/30/mh370-muslim-victims-still-legally-married/

Rotan Didik Anak Bukan Jenayah



Harian Metro, 27 Januari 2015

Oleh Musa Awang

Terbaru, kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim untuk menjadikan perbuatan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 diluluskan. Menurutnya, hukuman terhadap kesalahan merotan anak perlu dilaksanakan kerana negara telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).


Malaysia telah meratifikasikan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak ( CRC ) pada tahun 1995 untuk menegakkan komitmen kepada perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Ratifikasi negara bagaimanapun mengandungi beberapa syarat dalam bentuk “reservation” kepada peruntukan CRC. “Reservation” ini telah dimasukkan kerana dalam beberapa isi Konvensyen tersebut terdapat percanggahan dengan beberapa undang-undang negara dan undang-undang syariah.

Malaysia menerimapakai semua 54 Perkara dalam Konvensyen tersebut kecuali Perkara 1, 2, 7, 13, 14, 15, 28(1)(a) dan 37. Perkara 19 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) menyebutkan bahawa :
“Negara-Negara Pihak hendaklah mengambil segala langkah perundangan, pentadbiran, sosial dan pendidikan yang sewajarnya untuk melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk keganasan fizikal atau mental, kecederaan atau penderaan, pengabaian atau perlakuan cuai, penganiayaan atau eksploitasi, termasuk penderaan seksual, semasa dalam jagaan ibu bapa, penjaga di sisi undang-undang atau mana-mana orang yang menjaga kanak-kanak itu.”

Perkara 19 tersebut tidak menyebut secara khusus mengenai tidak dibenarkan memukul secara ringan seperti menggunakan rotan, hanya menggariskan matlamat utama Konvensyen tersebut untuk melindungi kanak-kanak dari sebarang bentuk keganasan fizikal atau mental keganasan, kecederaan atau penderaan, pengabaian atau pelakuan cuai, penganiayaan atau eksploitasi termasuk penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang di bawah jagaan ibubapa atau penjaga lain.

Sememangnya itulah yang diajar oleh Islam, iaitu memelihara dan kasihan belas terhadap kanak-kanak. Rasulullah SAW sendiri menggambarkan kanak-kanak sebagai bunga-bunga di dalam kebun Allah SWT. Mereka adalah pemimpin ummah pada masa akan datang. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW dari Abu Hurairah r.a bermaksud: “Bukan dari kalangan kami orang yang tidak kasihan belas terhadap anak-anak.” [HR Bukhari]. Dalam hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang tidak menyayangi anak-anak tidak akan disayangi dan dirahmati Allah.”

Walaupun Malaysia terikat dengan Konvensyen antarabangsa tersebut, dalam menggubal undang-undang yang akan terpakai kepada rakyat Negara ini, kerajaan perlu melihat kepada sosio budaya, adat dan amalan agama masyarakat di negara ini, terutama masyarakat majoriti yang beragama Islam.
Merotan atau memukul anak bagi tujuan mendidik dan mendisiplin anak adalah diharuskan dalam Islam, iaitu taktala anak mula berumur 10 tahun sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Ajar anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun, dan (sekiranya mereka enggan) pukul mereka apabila mencecah 10 tahun”. (HR Abu Daud).

Walaupun Islam mengharuskan memukul atau merotan anak untuk tujuan mendidik, namun keharusan tersebut adalah dengan syarat yang ketat. Pendekatan mendidik dengan pukulan adalah kaedah yang terakhir, iaitu setelah semua cara diplomasi tidak berjaya. Sekiranya ini kesalahan pertama, ibu bapa hendaklah memberi peluang untuk anak dan memaafkan kesalahan mereka dengan membuat perjanjian untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Berdasarkan hadith riwayat Abu Daud di atas, tidak boleh memukul anak yang belum sampai usia 10 tahun. Jangan memukul anak ketika ibu atau bapa berada dalam keadaan sangat marah, dibimbangi tidak dapat mengawal diri dan pukulan akan menjadi melampaui batas yang diharuskan syarak. Ibu bapa perlu elak dari memukul kawasan badan yang menyakitkan dan menimbulkan bahaya sampingan seperti kepala, muka, dada dan perut.

Pukulan bagi kesalahan pertama seharusnya tidak keras dan tidak memedihkan. Pukulan itu pula hendaklah pada tangan dan kaki menggunakan rotan yang lembut. Pukulan mendidik cukup sekali atau tidak melebihi 3 kali sebagaimana hadith Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Tidak boleh merotan melebihi 10 kali melainkan pada hukum hudud” (HR Bukhari).

Yang penting, pukulan itu dilakukan sendiri oleh ibu atau bapa, bukan diserahkan kepada orang lain yang mungkin boleh menimbulkan kesan yang lain. Rotan yang digunakan mestilah tidak terlalu keras, tidak pula terlalu lembut atau basah atau lembab, sehinggalah boleh meninggalkan bekas dan kerosakan yang teruk pada kulit ; dilarang pukulan di bahagian kemaluan, muka serta seluruh kepala. Sebahagian ulama’ salaf mencadangkan agar dirotan di tapak tangan dan kaki ; tidak mengangkat tangan sehingga boleh kelihatan ketiaknya ; tidak bertujuan menyakitkan atau mencederakan atau mendera anak, tetapi untuk tujuan memberi peringatan dan pengajaran.

Sekiranya mendidik anak dengan rotan dikanunkan sebagai suatu kesalahan jenayah, dikhuatiri undang-undang tersebut akan dimanipulasi oleh pihak-pihak yang mahu merampas anak dari jagaan ibu atau bapa. Hanya disebabkan pukulan rotan yang ringan untuk tujuan mendidik, pihak yang ingin mengambil anak akan membuat laporan polis, kemudian ibu atau bapa yang menjaga anak akan ditahan. Akhirnya akan menyebabkan perpisahan antara anak-anak dengan ibu atau bapa.

Seperti yang berlaku di Sweden,  ibu atau bapa yang ditahan akan dipisahkan dengan anak-anak berkenaan sehingga berusia 18 tahun, dan anak-anak akan diperintah mahkamah untuk diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat yang berkemungkinan berbeza agama. Kesan psikologi memisahkan anak-anak dengan ibu bapa adalah lebih besar mudaratnya jika dibandingkan dengan kesan pukulan rotan untuk tujuan mendidik anak.

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com.

Raja - Pemegang Amanah Kedaulatan Watan

Harian Metro 15 March 2017 Oleh Musa Awang Sistem pemerintahan beraja atau ‘monarki’ merupakan sistem pemerintahan yang tertua di du...