Monday, September 5, 2011
Jangan abai kebajikan anak
Perceraian tak boleh jadi alasan putus silaturrahim
Oleh Musa Awang
Berita Harian, 31 Ogos 2011
Anak adalah rezeki daripada Allah, maka sewajarnya pasangan suami isteri bersyukur rezeki yang dikurniakan itu.
Firman Allah yang bermaksud, “Kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Dia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” (Surah as-Syura ayat 49 dan 50)
Antara cara kita menunjukkan rasa syukur terhadap Allah s.w.t adalah dengan mengambil berat persoalan anak, amanah yang mesti dicorak menurut perintah dan kehendak-Nya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Setiap anak yang lahir itu adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih). Maka ibu bapanyalah yang bertindak menjadikan ia Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”(HR Muslim dan Baihaqi)
Tugas mendidik anak adalah tanggungjawab kedua ibu dan bapa. Dalam menghadapi cabaran keimanan dan krisis moral hari ini, ibu bapa harus mempersiapkan jiwa dan minda anak dengan ilmu agama yang mencukupi supaya mereka tidak menyimpang dari ajaran Islam sebenar.
Persiapan didikan anak bukan sahaja perlu kepada ilmu-ilmu semasa, tetapi juga ilmu-ilmu menghadapi cabaran masa akan datang. Sayidina Umar al-Khattab r.a. pernah berpesan, “Sesungguhnya anak-anak kamu itu dijadikan untuk generasi lain daripada generasi kamu, dan jadikan mereka untuk menghadapi zaman yang lain dari zaman yang kamu hadapi sekarang ini.”
Namun tidak semua ibu bapa itu dapat mendidik anak-anak mereka secara bersama-sama. Sebahagiannya ditakdirkan bercerai, maka sama ada ibu atau bapa, hendaklah menjaga dan mendidik anak.
Perceraian banyak memberi kesan terhadap anak, samada kesan jangka panjang atau jangka pendek. Kesannya mungkin berbeza antara seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain. Bayi kecil tidak merasakan kehilangan ayahnya jika dibandingkan dengan anak berusia 5 tahun yang sudah rapat dengan ayahnya. Kesan kepada anak lelaki pula berbeza dengan kesan dialami anak perempuan.
Selagi bekas suami isteri tidak dapat menerima qada’ dan qadar Allah, masih bertengkar mengai perceraian mereka, hak lawatan atau hak bersama anak, selagi itulah emosi anak akan terganggu.
Ada pasangan bercerai yang masih bertengkar tentang masa bersama dengan anak, terutama semasa perayaaan Aidilfitri ini, walaupun mereka telah lama bercerai dan masing-masing mempunyai keluarga baru. Ada pula kes di mana sesetengah pihak menafikan terus hak pihak satu lagi untuk bersama anak semasa perayaan Aidilfitri.
Menyambung silaturrahim amat digalakkan oleh Islam, khususnya menyambung kembali tali ikatan yang telah putus, memulihkan ketegangan dalam perhubungan, membina kemesraan dan keakraban, saling bantu membantu serta bertolak ansur.
Dari Anas bin Malik r.a bahwa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan ingin dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.” (HR Al-Bukhari)
Dari Abdullah bin ‘Amr dari Nabi s.a.w bahawa Baginda bersabda yang bermaksud “Orang yang menyambung silaturrahim bukanlah orang yang membalas akan tetapi orang yang menyambung silaturrahim adalah orang yang menyambungnya ketika dia itu terputus.” (HR Al-Bukhari)
Sempena Aidilfitri ini, leraikanlah kekusutan, jernihkan kekeruhan, banyak bersabar, bersikap terbuka dan mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain. Jangan bersikap angkuh dan sombong serta menganggap diri sentiasa betul, kerana inilah punca keretakan hubungan berpanjangan dan berterusan. Utamakan kebajikan anak melebihi kepentingan diri sendiri atau kemarahan kita terhadap apa yang pernah pasangan lakukan.
Allah berfirman yang bermaksud “…Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran ayat 134)
Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya ada seorang laki-laki yang pernah mengadu kepada Rasulullah s.a.w, “Ya Rasulullah, saya mempunyai kerabat. Saya selalu berupaya untuk menyambung silaturahim kepada mereka, tetapi mereka memutuskannya. Saya selalu berupaya untuk berbuat baik kepada mereka, tetapi mereka menyakiti saya. Saya selalu berupaya untuk lemah lembut terhadap mereka, tetapi mereka tak acuh kepada saya.” Maka Rasulullah s.a.w bersabda : “Jika benar seperti apa yang kamu katakan, maka kamu seperti memberi mereka makan debu yang panas, dan selama kamu berbuat demikian maka pertolongan Allah akan sentiasa bersamamu.” (HR Muslim)
Sebagai ibu dan bapa, tunjukkanlah teladan yang baik kepada anak, walaupun selepas bercerai. Seorang pendidik yang berjaya ialah apabila dia sendiri menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak didiknya. Ibu atau bapa yang berjaya pada perspektif anak ialah yang berjaya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada mereka, walaupun setelah bercerai. Ingatlah, persengketaan ibu dan bapa yang berpanjangan adalah suatu contoh teladan yang tidak baik untuk anak.
Tanggungjawab ibu bapa bukan saja memberi atau memastikan makan, minum, pakaian dan tempat tinggal kepada anak, malah lebih dari itu, wajib mendidik dan memberi pelajaran yang baik agar mereka membesar dan menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan Negara, seterusnya mendoakan ibu bapa setelah mereka meninggal dunia. Sempena Aidilfitri ini, lupakanlah sengketa lama, pulihkanlah kembali silaturrahim.
- Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat e-mel maa46050@yahoo.com.
Subscribe to:
Posts (Atom)
-
Jika anak masih belajar atau kurang upaya Oleh Musa Awang Mungkin ramai yang tahu bahawa nafkah seorang anak perlu ditanggun...
-
Ikatan boleh batal jika wanita masih isteri orang Peguam Syarie Menulis Berita Harian, 27 Februari 2013. Oleh Musa Awang Tu...
-
Elak masalah semasa meninggal dunia Peguam Syarie Menulis, Berita Harian 12 Disember 2012 MUSA AWANG Menurut Sayyid Qutb, ...
Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM
Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...