Saturday, January 2, 2010

Keratan akhbar - Selesai segera isu tangguh hukuman sebat: NGO

Selesai segera isu tangguh hukuman sebat: NGO

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu isu penangguhan hukuman sebat yang dikenakan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, dapat diselesaikan segera bagi memastikan kredibiliti badan yang berkaitan dalam pelaksanaan hukuman itu tidak terus dipersendakan.

Naib Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata perlu itu perlu disegerakan kerana ia memberikan impak yang cukup besar bukan saja terhadap individu yang dihukum malah memberi kesan emosi dan psikologi terhadap keluarga terdekat individu berkenaan.

"Pelaksanaan hukuman yang segera terhadap Kartika bukan saja untuk dirinya tetapi bagi memastikan kredibiliti institusi kehakiman syariah tidak dipersendakan," katanya mengulas laporan akhbar semalam mengenai status terkini model sambilan berkenaan yang kini sedang dalam proses perceraian dengan suaminya, Mohamad Afandi Amir, 38.

Laporan berkenaan menyebut, Mohamad Afandi, yang juga warga Singapura dijadual memfailkan permohonan cerai itu di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar seminggu dua lagi. Beliau dikatakan melafazkan cerai di rumah mereka di Singapura Mei lalu sebelum melaporkan lafaz berkenaan di Mahkamah Syariah Bishan, Singapura, sehari kemudian.

Ditanya mengenai tindakan dilakukan suami Kartika, Dr Harlina berkata, apa yang dilakukan pasangan itu adalah sesuatu yang sangat peribadi untuk dibincangkan.

Namun, katanya, insiden yang berlaku itu menunjukkan kesan negatif yang dialami Kartika walaupun mereka ada sebab peribadi yang tersendiri kesan daripada kelewatan pelaksanaan hukuman yang sudah dijatuhkan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata penangguhan hukuman sebat itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk suami Kartika melafazkan cerai.

Beliau berkata, mungkin ada banyak sebab lain yang mengakibatkan pasangan itu mahu bercerai dan penangguhan itu hanya sebagai alasan untuk membolehkan pasangan itu bercerai.

Kartika dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas disabitkan dengan kesalahan meminum arak.

Isu Kalimah Allah - Kerajaan digesa cepat buat rayuan

Kerajaan digesa cepat buat rayuan

________________________________________

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Kerajaan digesa mempercepatkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab. Rahim berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menggunakan saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu yang disifatkan merobek sensitiviti umat Islam.

“ABIM juga memohon campur tangan Majlis Raja-Raja untuk menghentikan segera polemik penggunaan kalimah Allah ini.

“Gesaan ini selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa raja-raja Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa KDN telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.
Mohamad Raimi berkata, keputusan itu tidak bertepatan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa di antara agama-agama lain di negara ini.

“Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau autoriti agama Islam adalah tidak sah,” katanya.
Timbalan Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang pula berkata, keputusan itu bukan sahaja satu pukulan yang hebat terhadap agama Islam.

Menurutnya, PGSM tetap berpendirian perkataan Allah hanya eksklusif kepada penganut Islam.
“Bagaimanapun, PGSM akur dengan keputusan tersebut kerana menghormati mahkamah, namun akan mengkaji keputusan itu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk membawanya ke mahkamah yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim, Muhamad Burok turut kecewa dengan keputusan itu dan mahu kerajaan mengambil langkah sewajarnya kerana perkataan Allah bukan satu mainan terutamanya untuk orang bukan Islam.

Menurutnya, perkataan Allah ditauhidkan sebagai ‘satu’ dan bukannya tuhan seperti yang difahami orang bukan Islam.

“Umat Islam memahami penggunaan perkataan Allah mengikut syahadah iaitu Allah adalah satu dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah dan ini bertentangan dengan pemahaman orang bukan Islam,” katanya.

Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin pula berkata, keputusan itu dilihat bertentangan dengan undang-undang yang terdapat di 10 negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
“JIM berasakan perlu penglibatan Mahkamah Syariah dalam isu melibatkan penggunaan kalimah Allah,” katanya.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan bersama KDN untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Menurutnya, dalam konteks masyarakat Malaysia dan Melayu, kalimah Allah adalah bersifat eksklusif yang hanya merujuk kepada konsep tuhan yang difahami oleh umat Islam sahaja.

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...