Tuesday, August 16, 2011

Hak Kebebasan Beragama dan Sekatan Menurut Perlembagaan



Oleh Tuan Musa Awang

Suatu penjelasan perlu dibuat berulang kali, bahawa Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah agama persekutuan, bukan agama rasmi seperti yang biasa dihujahkan oleh pihak-pihak yang tidak memahami konteks perundangan. Mendefiniskan Islam sebagai “agama rasmi” negara adalah tidak tepat kerana perkataan “rasmi” itu tidak pernah disebut dalam Perkara 3. Frasa “agama rasmi” juga akan menyempitkan tafsiran tersebut dan akan menjadikan agama Islam terhad kepada amalan ritual serta upacara rasmi dan keagamaan semata-mata.

Perkara 3 (1) Perlembagaan memperuntukkan bahawa : “Islam ialah agama bagi Persekutuan ; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Islam diiktiraf oleh Perlembagaan sebagai agama tertinggi Negara bukan sahaja berfaktor dari fakta sejarah, yang mana Islam menjadi agama yang dominan di Semenanjung Tanah Melayu sejak kurun ke 12 lagi, tetapi juga sebagai mengiktiraf tonggak dan kekuasaan Raja-Raja yang kesemuanya adalah beragama Islam sewaktu Negara ini dibentuk.

Kedudukan Perkara 3 ini sudah pun diperjelaskan melalui penghakiman-penghakiman yang diputuskan oleh mahkamah, namun ada pihak yang masih mempertikaikannya. Dalam kes Azalina Jailani (Lina Joy) lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & 2 Yang Lain [2007] 3 AMR 693, Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz memberi makna Islam sebagai “bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman”.

Peruntukan Perkara 3 ini amat bersangkut paut dengan kelangsungan kuasa Raja-raja Melayu, sebagai ketua agama Islam di persekutuan dan di negeri-negeri. Peruntukan ini tidak mudah untuk dipinda, kerana ia perlu mendapat perkenan Majlis Raja-raja, walaupun setelah mendapat sokongan dua pertiga ahli parlimen.

Walaupun Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan, tetapi secara harmoninya, penganut-penganut agama lain masih bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka. Ini bukan sahaja diperuntukkan dalam Perkara 3 (1) di atas, malah ditekankan lagi dalam Perkara 11 (1) Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa : “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”

Malah, Perkara 11 (3) Perlembagaan memberikan hak kepada penganut agama-agama ini termasuk agama Islam untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri, menubuh dan menyelenggara yayasan untuk tujuan agama masing-masing dan khairat, memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

Sungguhpun begitu, kebebasan yang diberikan tersebut tidaklah bermaksud agama-agama bukan Islam boleh menyebarkan agama mereka kepada penganut agama Islam. Ini adalah sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama tertinggi dalam Negara. Maka, Perkara 11 (4) memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaaan persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.

Perkara 11 (4) Perlembagaan memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.”

Kebebasan yang diberikan untuk mengamalkan agama masing-masing ini juga tidaklah sehingga membenarkan apa-apa perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang, mendatangkan masalah kepada kesihatan awam dan akhlak individu yang lain. Perkara ini diperuntukkan dalam Perkara 11 (5) Perlembagaan.

Berdasarkan kuasa yang diberikan di bawah perkara 11 (4) Perlembagaan tersebut, maka kerajaan-kerajaan negeri sejak 30 tahun yang lalu telah meluluskan undang-undang untuk mengawal pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam, sebagaimana berikut:-

Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Terengganu, 1980 (Enakmen No. 1/1980)
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Kelantan, 1981 (Enakmen No. 11/1981)
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Kedah, 1988
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Melaka, 1988(Enakmen No. 1/1988)
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Perak, 1988 (Enakmen No. 10/1988)
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988 (Enakmen No. 1/1988)
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Pahang, 1989 (Enakmen No. 5/1989)
Negeri Sembilan: Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam)Negeri Sembilan, 1991
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Johor, 1991 (Enakmen No. 12/1991)

Hanya Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Perlis yang belum menggubal undang-undang sedemikian, walaupun kuasa telah diberikan oleh Perlembagaan.

Tafsiran "agama bukan Islam" yang disebut dalam enakmen ini adalah luas meliputi agama-agama arus utama seperti Kristian, Hindu, Budha, Sikh, Yahudi atau mana-mana cabang atau serpihan dari agama-agama tersebut. Termasuklah juga amalan menyembah roh datuk nenek, animisme, dan lain-lain yang tidak diakui oleh agama Islam sebagai berunsur Islam.

Kesalahan-kesalahan yang termaktub dalam enakmen itu ialah :-

• Seseorang yang menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seseorang beragama Islam di bawah umur 18 tahun supaya menerima ajaran agama bukan Islam, atau supaya dia menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau aktiviti yang dianjurkan untuk faedah suatu agama bukan Islam, maka ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya (Seksyen 5).

• Seseorang yang mendekati orang Islam bertujuan mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, pertunjukan, mengunjungi, mengatur, berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengannya, atau menghubungi dengan telefon, bagi maksud mendedahkan orang itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan mengenai agama bukan Islam, juga adalah kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama tempoh enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 6).

• Seseorang yang menghantar, menyerahkan, menyebabkan dihantar, diserahkan kepada seorang lain yang beragama Islam di dalam atau di luar negeri, atau dari luar negeri, menghantar atau menyerahkan kepada seorang yang beragama Islam di dalam negeri, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, atau bahan iklan bagi terbitan itu, yang mana tidak diminta oleh orang itu, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara selama tempoh tiga bulan atau kedua-duanya (Seksyen 7).

• Seseorang yang membahagi-bahagikan di suatu tempat awam, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, menyerahkan salinan terbitan itu kepada seorang Islam, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 8).

• Seseorang yang membuat apa-apa tulisan yang diterbitkan dalam apa-apa ucapan atau pernyataan terbuka, atau dalam suatu perhimpunan yang dirancang, atau dalam pernyataan yang diterbit atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang khusus untuk umat Islam sebagaimana disenaraikan dalam Bahagian I (Jadual) Enakmen itu, atau terbitan atau virasinya, menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara, atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu agama bukan Islam adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 9).

Antara perkataan-perkataan yang dilarang digunakan bagi maksud seksyen 9 tersebut ialah - Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Walillahilham, Allahu Akbar, Insyallah, Astaghfirullahal Azim, Tabaraka Allah, Masyaallah, Lahaula Walaquata Illabillahilaliyil Azim.

Semua kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen ini hendaklah disifatkan sebagai kesalahan-kesalahan boleh tangkap (seizable offence) bagi maksud Kanun Prosedur Jenayah, yakni pegawai yang diberi kuasa boleh menyiasat kesalahan di bawah undang-undang ini dan boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang yang disyaki telah melakukan mana-mana kesalahan itu. Kes-kes berkenaan akan dibicarakan oleh seorang Majistret.

Undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam tersebut bukan sahaja boleh dikenakan terhadap bukan Islam, tetapi juga boleh dikenakan ke atas orang Islam yang bersekongkol dengan bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka. Orang Islam juga boleh didakwa menurut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah negeri, iaitu kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina, yang jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada tahun 2002, di Negeri Pahang, dalam kes Pendakwaraya v Krishnan a/l Muthu, tertuduh seorang bukan Islam telah didakwa kerana melakukan kesalahan menyalahi Seksyen 4 (2) (i) Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Ugama Bukan Islam) Pahang 1989. Tertuduh telah disabitkan bersalah dan dihukum dipenjara selama 20 hari dan didenda RM1,500.00.

Mungkin ada penjelasan yang munasabah mengapa undang-undang kawalan agama bukan Islam di kalangan orang Islam masih tidak digubal oleh Parlimen untuk Wilayah-Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) , Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, yang mana ketua agama bagi keempat-empat negeri ini adalah Yang DiPertuan Agong.

Dalam kes Azalina Jailani (Lina Joy) lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & 2 Yang Lain [2007] 3 AMR 693, seorang wanita Melayu telah dibaptiskan di sebuah gereja di Kuala Lumpur. Akan tetapi, tindakan tidak boleh diambil terhadap beliau dan mereka yang terlibat kerana di Wilayah Persekutuan belum wujud Akta Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam).

Timbulnya isu siasatan JAIS terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos 2011 lalu adalah suatu hikmah dan rahmat di bulan Ramadhan yang mulia ini, di mana insiden adalah kali kedua (sebelum ini kes penggunaan kalimah Allah oleh gereja), yang sepatutnya membuka mata pihak-pihak berkenaan, agar segera mencari jalan supaya undang-undang tersebut digubal dan dikuatkuasakan secepat mungkin di Wilayah Persekutuan. Begitu juga dengan pihak berkuasa negeri Perlis. Wallahu’alam.

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...