Oleh
Tuan Musa Awang
Musibah
banjir tahun ini bermula Terengganu pada 15 Disember 2014, diikuti oleh
Kelantan sehari berikutnya, dan dua hari berikutnya ke Pahang. Banjir melanda
Perak pada 23 Disember 2014 kemudian diikuti oleh Johor dan Selangor pada 26
Disember 2014.
Jumlah
mangsa banjir di tujuh negeri tersebut mencecah lebih 150,000 orang dengan
Kelantan mencatat jumlah tertinggi. Selain negeri-negeri pantai timur di
Malaysia, daerah-daerah seperti Yala, Narathiwat, Pattani di Thailand, Aceh,
Bandung, Jawa Tengah di Indonesia, serta lima lagi daerah di Sri Lanka, turut
mengalami nasib yang sama.
Banjir
besar kali ini lebih teruk daripada banjir besar yang telah berlaku pada tahun
1926, 1967 dan 2004, berpunca daripada hujan lebat sebanyak 255mm, selama 24
jam sejak 21 Disember 2014. Malah sehingga ke hari ini, hujan lebat masih
berterusan di beberapa negeri. Di samping itu, fenomena “new moon” iaitu
fenomena air pasang surut yang dipengaruhi oleh kedudukan bulan yang hampir
dengan bumi juga menjadi penyumbang utama kepada kejadian banjir besar ini.
Terdapat
pelbagai sudut pandang mengenai musibah yang menimpa. Ada yang menyalahkan satu
sama lain, dan ada juga yang menerima suratan takdir qada’ dan qadar Allah SWT.
Bahasa cinta Allah
Apa
yang kita perlu lihat dengan mata hati kita, di sebalik titis-titis hujan lebat
yang jatuh dari langit tanpa reda, hakikatnya Allah SWT membawa bahasa cinta-Nya
kepada manusia bahawa Allah SWT kasihkan manusia. Ada hikmah dan kebaikan yang
Allah SWT hendak tunjukkan.
Firman
Allah SWT yang bermaksud, “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh
sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan
Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali.” (Al Baqarah [02] : 156)
Andai
musibah banjir ini tidak berlaku, pasti manusia akan dilekakan dengan sambutan
dan konsert di ambang tahun baru, di mana hampir semua negeri akan menyambutnya
dengan hiburan yang biasanya akan berakhir dengan maksiat.
Disebabkan
bencana yang berlaku, sambutan secara hiburan ini telah dibatalkan dan
digantikan dengan acara lain yang lebih bermanfaat. Masjid-masjid dan
surau-surau diwarnai dgn bacaan yasin, tahlil dan solat hajat. Jika tidak kerana
musibah banjir, barangkali jemaah hanya datang untuk bersolat sahaja.
Dana
kerajaan dapat disalurkan pada jalan yang betul kepada mangsa-mangsa banjir.
Jika tidak, ia akan digunakan untuk membiayai sambutan hiburan, membakar bunga
api dan sebagainya bagi sambutan ambang tahun baru.
Musibah
banjir ini memberi ruang dan peluang kepada rakyat yang tidak ditimpa musibah tersebut
memberi sedekah dan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dengan pelbagai
cara, samada dalam bentuk bantuan kewangan, tenaga sebagai sukarelawan, dan
dengan doa yang baik kepada mangsa-mangsa. Musibah menyatukan semua masyarakat
dalam Negara ini tanpa mengira status, darjat keturunan, agama atau bangsa.
Kasih
Allah SWT melalui musibah ini diperlihatkan dengan semua para pemimpin turun
padang ke tempat musibah, termasuk perdana menteri YAB Dato; Seri Mohd Najib
Tun Abdul Razak yang sanggup balik dari urusannya di Hawaii, Amerika Syarikat
terus ke Kota Bharu, Kelantan.
Musibah
besar kali ini sepatutnya membuka mata kerajaan negeri yang memegang tampuk
pentadbiran negeri, untuk memikirkan inisiatif yang lebih serius bagi mengatasi
masalah banjir yang berlaku setiap tahun, dengan mengambil kira faktor geografi,
sistem perparitan, aktiviti pembalakan atau penebangan hutan tanpa kawalan, dan
sebagainya.
Kerajaan
negeri dan kerajaan persekutuan harus bekerjasama dalam mengenalpasti
masalah-masalah untuk mengatasi masalah banjir, tanpa saling tuduh menuduh. Jika
mereka masih berbalah, bumi yang sedia rosak akan merosakkan alam keseluruhan
dan segalanya.
Firman
Allah SWT yang bermaksud, ”Telah nampak kerosakan di darat dan di laut
disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah (SWT) merasakan kepada mereka
sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali ke jalan yang
benar” (Surah ar-Rum [30] : 41)
Musibah
banjir kali ini juga menzahirkan kemunculan semakin ramai golongan ‘al-fasiqun’
dalam masyarakat, iaitu orang yang fasiq atau derhaka kepada Allah SWT dengan
menyebarkan berita-berita berunsur fitnah dan tohmah, yang lebih besar dosanya
dari dosa membunuh.
Lebih
malang lagi apabila para pengguna laman sosial yang lain, gemar menyebarkan
fitnah dan tohmahan berkenaan banjir yang sedang melanda tersebut tanpa usul
periksa tentang kesahihan maklumat tersebut. Musibah ini sama besar dengan
musibah banjir itu sendiri, yang perlu ditangani segera. Tindakan Suruhanjaya
Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menjejaki empat orang yang memulakan
berita palsu tersebut wajar diberi pujian dan usaha tersebut perlu diperhebatkan
pada masa-masa akan dating supaya golongan al-fasiqun ini diberi pengajaran
yang sebaik-baiknya.
Diampunkan dosa
Allah
SWT memelihara umat manusia dengan kasih-Nya. Bentuk
pemeliharaan Allah SWT terhadap manusia tidak bersifat seragam atau sama. Terhindar
dari bahaya dan musibah adalah salah satu dari sekian banyak pemeliharaan Allah
SWT.
Tetapi
bukan bermakna orang yang ditimpa musibah itu tidak dipelihara oleh Allah SWT. Firman
Allah SWT yang bermaksud, "Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian
kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan
buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.
Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi
wa innaa ilaihi raaji'uun". [Surah al-Baqarah [2] : 155-156]
Hikmah
yang paling tersirat, orang Islam yang ditimpa musibah dan sabar dengan ujian
tersebut akan diampunkan dosa-dosanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Tiadalah
seorang Mukmin yang ditimpa musibah tertusuk duri atau lebih (teruk) daripada itu
melainkan dengannya (musibah tersebut) Allah akan menghapuskan sebahagian
daripada dosa-dosanya." [HR Bukhari dan Muslim]
Wallahu’alam.
- Penulis ialah Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(PGSM). E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com.