Wednesday, January 14, 2015

Tambah hierarki Mahkamah Syariah

Harian Metro, Khamis 1 Januari 2015

Oleh Musa awang

Hari ini, peningkatan kes-kes Syariah bukan sahaja dari segi kuantiti, malah melibatkan persoalan teknikal undang-undang yang semakin kompleks. Kes-kes di Mahkamah Syariah tidak tertumpu kepada kes-kes kekeluargaan sahaja, tetapi turut melibatkan persoalan undang-undang yang berkepentingan awam seperti pertukaran agama dan tuntutan yang berkaitan dengannya, kes-kes yang melibatkan warganegara asing dan konflik bidangkuasa yang rumit.

Isu yang diputuskan oleh pentadbir atau pihak berkuasa agama Islam, walaupun melibatkan kepentingan agama dan maslahah umat Islam, telah dibawa untuk diputuskan oleh mahkamah sivil. Sebagai contoh permohonan seorang wanita bukan Islam yang memohon sebagai peguam syarie yang ditolak diperingkat pentadbiran, telah dibawa ke mahkamah sivil. Terbaru isu fatwa Mufti Negeri Selangor berhubung pengharaman sebuah NGO juga telah dibawa ke mahkamah sivil.

Sepatutnya isu terbabit didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Dan Mahkamah Syariah yang hendak memutuskan isu-isu tersebut perlulah mahkamah yang lebih berkompeten dan berwibawa.

Pada masa kini, Mahkamah Rayuan Syariah di setiap negeri merupakan mahkamah tertinggi yang mempunyai kuasa untuk mendengar rayuan daripada Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah dalam negeri tersebut, meliputi kes mal dan jenayah. Di samping itu, ia juga mempunyai kuasa pengawasan dan penyemakan.

Sejak kemerdekaan, hieraki Mahkamah Tinggi Syariah di negeri-negeri dan juga Wilayah-Wilayah Persekutuan hanya mempunyai dua tingkatan (2 tier system) prosiding rayuan sahaja, iaitu rayuan dari Mahkamah Tinggi Syariah Negeri ke Mahkamah Rayuan Syariah Negeri. Sekiranya pihak-pihak masih tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah Rayuan Syariah, tiada lagi forum untuk membuat rayuan atau semakan.

Sebagai contoh, dalam kes Yang Amat Mulia Tengku Ibrahim Bin Sultan Ismail Nasiruddin Shah lwn Kerajaan Negeri Terengganu berhubung dengan tuntutan harta pusaka Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III, keputusan telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, tetapi pihak-pihak yang tidak berpuashati, tidak mempunyai peluang untuk merayu ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, dalam kes Hawa binti Embong lwn Ahmad bin Muda, pihak responden yang tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Terengganu telah memohon semakan ke Mahkamah Rayuan Syariah iaitu mahkamah yang sama. Sedangkan sesuatu semakan hendaklah dibuat kepada mahkamah yang lebih tinggi.

Berbeza dengan sistem rayuan di mahkamah sivil, keputusan Mahkamah Tinggi sivil boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan sivil dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan.  Keadaan ini menggambarkan ketidakseimbangan dalam proses keadilan di mahkamah syariah antara rayuan daripada mahkamah rendah yang mempunyai 2 peringkat rayuan dengan Mahkamah Tinggi Syariah yang hanya mempunyai 1 peringkat rayuan sahaja.

Pelihara sistem keadilan
Sehubungan ini, kewajipan mewujudkan satu peringkat (tier) rayuan tertinggi iaitu Mahkamah Rayuan Khas Syariah (atau waimma nama lain yang lebih sesuai) perlu dilaksanakan segera oleh pihak Kerajaan dan Pihak Berkuasa Negeri-negeri supaya tuntutan memelihara sistem keadilan menurut hukum syarak dapat dilaksanakan kepada semua pihak dengan adil dan saksama sepertimana juga sistem kehakiman sivil.

Pihak yang masih tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Negeri masih boleh merayu ke satu tingkat lagi mahkamah rayuan yang dianggotai oleh lebih ramai panel-panel hakim. Ini tentu akan memberikan kepuasan hati kepada pihak-pihak yang bertikai disamping memperkasakan institusi mahkamah syariah di mata masyarakat Islam khususnya dan keseluruhan masyarakat secara umum.

Penubuhan setingkat lagi mahkamah rayuan khas syariah negeri ini menampakkan penzahiran usaha-usaha Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri terhadap kedudukan, kemuliaan dan keistimewaan institusi Raja-Raja Melayu dan institusi-institusi pengurusan agama Islam di bawah naungan Baginda, yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh setiap negeri.

Cadangan ini tidaklah sampai perlu membina suatu sistem atau prasarana baru, sekadar mempertingkatkan perjawatan dan menggunapakai prasarana sedia wujud.

Penubuhan mahkamah rayuan khas syariah juga menjadi satu proses dan mekanisme menyelaraskan keputusan undang-undang Islam di seluruh Malaysia, melalui keputusan kes yang diputuskan oleh ahli panel rayuan syariah yang sama di semua negeri yang merupakan keputusan yang muktamad dan tertinggi bagi sistem perundangan syariah.

Ia boleh direalisasikan dengan kaedah perlantikan ahli panel hakim tetap rayuan khas syariah terdiri daripada gabungan ahli-ahli panel tetap peringkat pusat dan ahli-ahli panel sidang yang dicadangkan oleh pihak berkuasa agama Islam Negeri. Manakala Pengerusi Panel Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Khas Syariah Negeri masih dikekalkan kuasanya kepada Ketua Hakim Syarie Negeri.

Keputusan undang-undang Islam yang selaras berkeupayaan memelihara dan memartabatkan fungsi institusi Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama atas kapasiti pemerintah dan Ulil Amri.

Pihak yang mendapat kesan tidak langsung berhubung cadangan pewujudan mahkamah rayuan khas syariah ini adalah Peguam Syarie, memandangkan bidang perkhidmatan guaman syarie buat masa ini amatlah terbatas berbanding dengan rakan-rakan mereka yang menjalankan perkhidmatan guaman sivil.

Cadangan pewujudan mahkamah rayuan khas syariah ini langsung tidak akan mengurangkan kuasa Sultan atau Raja atau SPBYDP Agong sebagai Ketua Agama di negeri-negeri dan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Melaka, dan tidak melibatkan sebarang pindaan ke atas mana-mana Perkara, Jadual serta Bahagian di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Cadangan ini hanya melibatkan pindaan kepada undang-undang sedia ada yang terdapat dalam Akta atau Enakmen atau Ordinan Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri-negeri sahaja. Pindaan ini hanya perlu dibentang dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri sahaja. Wallahu’alam.

- Penulis ialah Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com                                                            

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...