Sunday, December 23, 2012

Mualaf perlu tukar status agama dalam kad pengenalan

Elak masalah semasa meninggal dunia

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian
12 Disember 2012

MUSA AWANG

Menurut Sayyid Qutb, muallaf ialah golongan manusia yang kembali kepada Islam serta kekal dan beramal kepada Islam. Dikatakan kembali kepada Islam kerana fitrah kelahiran seseorang manusia itu semasa bayi adalah ibarat sehelai kain putih bersih. Ibubapa yang mencorak dan mewarnakan agama bayi itu. Seorang bayi yang dibesarkan dengan agama bukan Islam, dan akhirnya mengambil keputusan memeluk Islam setelah beliau baligh dan berakal, dianggap kembali kepada fitrah kejadiannya semasa bayi.

Golongan muallaf adalah golongan istimewa yang disebut beberapa kali di dalam al-Quran. Antaranya firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah.” – [Surah At-Taubah : 60].

Secara dasarnya, peruntukan tentang muallaf dan tatacara masuk Islam disebut secara khusus dalam Bahagian IX Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), iaitu berkenaan kehendak-kehendak masuk Islam, tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan seorang muallaf, pendaftaran Muallaf, Perakuan Masuk Islam, pengiktirafan muallaf sebagai orang Islam, kaedah menentukan sama ada orang yang tak didaftarkan ialah seorang muallaf, dan sebagainya.

Seksyen 95 Akta 505 tersebut memperuntukkan bahawa seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan mencapai umur lapan belas tahun. Jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya telah mengizinkan kemasukannya.

Seksyen 85 (1) Akta 505 tersebut mensyaratkan seseorang yang masuk Islam mestilah mematuhi kehendak-kehendak berikut, iaitu :-
(a) orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahasa Arab secara semunasabahnya jelas; (b) pada masa mengucap dua kalimah itu, orang itu mestilah sedar bahawa ia bermakna "Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W ialah Pesuruh Allah"; dan (c) pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.



Seseorang yang tidak dapat bercakap boleh mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan cara isyarat yang menunjukkan makna yang dinyatakan dalam perenggan (b) di atas.

Seseorang itu akan dianggap menjadi seorang Islam sebaik sahaja dia habis mengucapkan dua kalimah Syahadah, dan orang itu hendaklah selepas itu disebut sebagai seorang muallaf, dan tertakluk dengan tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang sama seperti orang Islam yang lain.
Seksyen 88 Akta 505 memberikan kuasa kepada Pendaftar Muallaf untuk menyelenggarakan suatu Daftar Muallaf dalam bentuk yang ditetapkan. Pendaftar Muallaf boleh mendaftarkan kemasukan Islam seseorang muallaf dengan mencatatkan nama dan butir-butir lain dalam Daftar Muallaf, termasuk tarikh masuk Islam.

Pendaftar Muallaf kemudiannya akan mengeluarkan Perakuan Masuk Islam kepada muallaf berkenaan, sebagai bukti dan rekod untuk simpanan muallaf berkenaan, serta untuk rekod simpanan pihak Jabatan Agama Islam.

Sebaik sahaja didaftarkan, maka muallaf itu adalah disifatkan sebagai seorang Islam, bagi maksud mana-mana undang-undang Persekutuan atau Negeri. Dan bagi menepati maksud dalam Perlembagaan, sebaik sahaja memeluk Islam dan didaftarkan, muallaf tersebut boleh dikategorikan sebagai berbangsa Melayu menurut tafsiran Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan. Dia juga berhak menerima keistimewaan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan. Ini kerana Perkara 160 memperuntukkan bahawa "Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu. Seorang muallaf juga akan tertakluk di bawah Enakmen atau undang-undang Syariah yang di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Seorang muallaf berhak untuk mendapat pendidikan, keselamatan, dan perlindungan, berhak mendapat bantuan kewangan atau zakat, berhak untuk menuntut penjagaan anak jika berlaku masalah dalam perkahwinan atau jika berlaku perceraian, mempunyai hak untuk meninggalkan dan diberikan harta pusaka, dan lain-lain sepertimana hak seorang yang Islam sejak lahir.

Memang tidak dinafikan, tiada sebarang peruntukan undang-undang yang mewajibkan mualaf untuk menukar nama kepada nama Islam dan menukar kad pengenalan dengan maklumat baharu setelah memeluk Islam. Namun, mereka perlu dinasihatkan untuk berbuat demikian di Jabatan Pendaftaran Negara, supaya tidak timbul masalah kemudian hari, terutama apabila berlaku perkahwinan atau kematian.  

Sekiranya pindaan maklumat Islam tidak dipinda dalam kad pengenalan, akan menjadi kesukaran untuk menentukan status agama muallaf sekiranya mereka memohon sebarang bantuan kewangan, zakat atau bantuan-bantuan lain. Tambahan pula dalam sesetengah kes, seseorang mullaf pada asalnya mungkin masuk Islam di Wilayah Persekutuan, tetapi kemudiannya berhijrah ke negeri lain. Maka rekod asal kemasukan Islamnya berada dengan Pendaftar Muallaf di Wilayah Persekutuan. Kemungkinan besar rekodnya tidak berada di negeri tempat bermastatutinnya yang baru itu. Penulis percaya perlu diujudkan satu sistem pendaftaran muallaf di peringkat pusat (center) yang mengawalselia dan menyimpan rekod pendaftaran serta maklumat semua muallaf di seluruh Negara. 

Masalah juga akan timbul untuk menentukan hak keistimewaan orang tersebut sebagai seorang Melayu sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sekiranya maklumat dalam kad pengenalan masih beragama bukan Islam.

Masalah selanjutnya akan timbul untuk menentukan bidangkuasa Mahkamah ke atas orang tersebut. Jika muallaf itu ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah, maka dia boleh mendakwa sebagai bukan Islam supaya tidak dikenakan dakwaan, kerana butiran dalam kad pengenalannya tidak menyatakan status beragama Islam.

Walaupun Seksyen 92 Akta 505 tersebut menyatakan jika timbul pertikaian tentang status seorang muallaf, dan orang itu tidak didaftarkan dalam Daftar Muallaf atau di bawah mana-mana undang-undang Negeri lain sebagai seorang muallaf, akan tetapi persoalan itu hendaklah diputuskan berdasarkan kepada tatacara kemasukan Islam di peringkat awal. Masalah akan timbul jika rekod-rekod tentang kemasukan itu tidak dikemaskini, hilang atau saksi semasa upacara masuk Islam tersebut juga tidak dapat dikesan.

Justeru, walaupun tidak diwajibkan untuk meminda maklumat baru dalam kad pengenalan, kerajaan perlu menggalakkan muallaf untuk berbuat demikian sebaik sahaja Perakuan Masuk Islam dikeluarkan. Walaupun bukan menjadi kewajipan untuk menukarkan nama, asalkan nama tersebut mempunyai maksud yang baik, namun sekurang-kurangnya maklumat tentang agama baharu perlu dimasukkan dalam kad pengenalan muallaf berkenaan. Suatu tindakan kecil pada masa sekarang, yang boleh mengelakkan mudarat yang lebih besar pada masa akan datang. Wallahu’alam.

-Penulis ialah Presiden PGSM dan boleh dihubungi melalui email sekretariatpgsm@yahoo.com

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...