Tanggungjawab wali ke atas
anak perempuan
Harian Metro 28 Jun 2017
Tuan Musa Awang
Penulis
Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
E-mel
: sekretariatpgsm@yahoo.com
Ramai
yang sedia maklum seseorang wali itu bertanggungjawab kepada anak perempuan
atau saudara perempuannya yang belum berkahwin. Wali, salah satu syarat sah
nikah bagi sesebuah perkahwinan, sebagaimana yang dijelaskan sebuah hadis yang
bermaksud: Daripada Abi Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada
nikah melainkan dengan adanya wali.”-(HR al-Khamsah dan An-Nasa’i) Bagaimana
pula dengan tanggungjawab wali terhadap anak perempuannya yang sudah bercerai
atau menjadi balu akibat kematian suami? Adakah tanggungjawab terbabit kembali
kepada mereka?
Berdasarkan hadis di atas,
peranan wali juga sama dan tidak terlepas terhadap anak perempuan mereka yang
berstatus janda (ibu tunggal) atau balu. Anak perempuan yang sudah bercerai
dengan suami atau kematian suaminya perlu dibela nasib mereka dengan sebaiknya,
termasuk dalam memberikan bantuan berupa keperluan harian, makan minum, tempat
tinggal yang sewajarnya serta pendidikan anak mereka.
Tanggungjawab
memberi nafkah
Tanggungjawab memberikan
nafkah dikembalikan kepada wali selepas suami menceraikannya atau meninggal
dunia. Puteri kedua Rasulullah SAW bernama Ruqayyah, selepas bercerai dengan
suaminya bernama ‘Utbah, maka Baginda SAW yang bertanggungjawab terhadapnya,
yang kemudian menikahkan beliau dengan Saidina Uthman bin Affan RA.
Begitu
juga dengan puteri ketiga Baginda SAW bernama Ummu Kulthum yang bercerai dengan
suaminya bernama ‘Utaibah. Rasulullah SAW mengambil kembali tanggungjawab dan
kemudian dinikahkan dengan Saidina Uthman RA selepas kekandanya Ruqayyah
meninggal dunia. Saidatina Hafshah RA selepas suaminya syahid di medan perang
Uhud, maka dia kembali kepada bapanya Saidina Umar bin Khattab RA.
Jika
sekiranya wali seorang yang tidak berkemampuan, maka yang bertanggungjawab
terhadap ibu tunggal dan balu adalah pemerintah, sama ada dengan mencarikan
suami bagi mereka atau memberikan bantuan Baitulmal. Ketika
Fatimah binti Qais ditalak tiga oleh suaminya, maka Rasulullah SAW memberikan
perlindungan dan memberi tempat kepadanya untuk menghabiskan masa iddah di
rumah Ibnu Ummi Maktum sehingga beliau bernikah dengan Usamah bin Zaid RA
selepas tamat masa iddahnya dengan bekas suami.
Ketika
Ummu Aiman diceraikan kerana suami tidak dapat menerima keislamannya,
Rasulullah SAW memberikan motivasi kepada sahabat dengan menjanjikan pahala
besar bagi mereka yang memberikan perhatian kepada ibu tunggal. Sabda
Baginda SAW yang bermaksud: “Orang yang membantu janda dan orang miskin adalah
seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau seperti orang yang selalu
mengerjakan puasa di siang hari dan solat di malam hari.” (Hadith Muttafaq
‘Alaih)
Berdasarkan
hadis itu, barang siapa yang belum mampu berjihad di jalan Allah
atau belum mampu konsisten melaksanakan qiyamullail pada setiap malam dan puasa
sunat pada siang hari, salah satu cara untuk mendapatkan
pahala sama ialah dengan cara menyantuni ibu tunggal dan orang miskin. Apatah
lagi jika sekiranya membantu wanita yang kematian suami, bersamanya anak yang
belum dewasa dan mereka dalam keadaan miskin. Bererti, orang yang membantu akan
mendapat pahala yang banyak, yakni pahala membantu wanita yang bersedih selepas
ditinggal suami yang selama ini menjadi sandaran hidupnya, pahala menolong
orang miskin dan pahala memberi makan anak yatim yang ditinggalkan bapa yang
selama ini menafkahi mereka.
Rasulullah
SAW pernah bersabda: “Aku dan orang yang menanggung anak-anak yatim berada di
syurga seperti begini,” (Baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari
tengah dan merenggangkan sedikit antara kedua jari itu)-(HR Bukhari).
Wali
perlu membantu anak perempuannya yang bercerai atau kematian suami dalam
meneruskan kelangsungan hidup, sebagaimana ketika mereka belum berkahwin dulu.
Sehingga mereka berkahwin semula dengan perkahwinan yang baru, maka
tanggungjawab itu berpindah kepada suaminya yang baru.
Tanggungjawab
terhadap balu
Dalam hal seorang anak
perempuan yang kematian suami, tanggungjawab memberi nafkah untuk dirinya
kembali menjadi tanggungjawab wali, bukan dengan membiarkan si anak perempuan
bertungkus-lumus mencari nafkah hingga terpaksa keluar bekerja ketika dalam
tempoh iddah kematian suaminya.
Oleh sebab itu, Islam menetapkan dalam kadar
pembahagian faraid, bahagian isteri paling sedikit berbanding bahagian yang
diterima waris yang lain. Demikian juga matlamatnya
kenapa Islam menetapkan kadar bahagian faraid bagi waris lelaki adalah lebih
satu bahagian berbanding kadar bahagian waris perempuan. Waris lelaki yang
menerima pembahagian faraid berkewajipan dalam menjaga dan mengurus harta
saudara perempuannya, termasuk menafkahi mereka, bukan mengkhianati dengan
merampas harta mereka atau mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai saudara lelaki.
Sebagaimana tanggungjawab mereka untuk menjadi wali nikah jika wali mujbir atau
wali nikahnya yang lain tidak ada, begitu juga tanggungjawab mereka dalam
menyantuni nafkah kepada saudara perempuannya.
Keistimewaan
saudara lelaki yang mengurus saudara perempuannya terdapat dalam hadis
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa menanggung nafkah dua atau tiga
anak perempuan atau dua atau tiga saudara perempuan sampai mereka meninggal
dunia atau dia yang meninggal dunia, maka Aku dan dia seperti ini (mengisyaratkan
dua jari telunjuk dan jari tengah)”-(HR Ahmad).
Hukum
tidak jalankan tanggungjawab
Waris
lelaki yang membiarkan si balu mencari nafkah serta menanggung sendiri
keperluan anak yang kematian bapanya suatu tindakan yang zalim kepada si balu
dan anak yatim berkenaan. Jika seorang wali
mengabaikan mereka dan tidak menjalankan tugas ini sebaiknya, maka wali itu
mengkhianati amanah yang Allah berikan. Lebih-lebih lagi di saat mereka amat
memerlukan bantuan dan pertolongan. Bayangkan sekiranya wali tidak menggalas
peranan itu, kepada siapakah lagi yang selayaknya untuk mereka bergantung
harap?
Gugur tanggungjawab seseorang wali itu hanya jika ibu tunggal berkenaan
berkemampuan dari segi kewangan, mempunyai simpanan sendiri atau pun masih
menerima nafkah yang secukupnya daripada bekas suami selepas bercerai.
Namun
begitu, sebaiknya wali sentiasa memantau dan mengetahui keadaan ibu tunggal itu
supaya benar-benar mendapat hak sewajarnya daripada bekas suami, jika bekas
suami masih hidup. Tidak boleh sama sekali
untuk bersikap berlepas tangan kerana dikhuatiri perkara yang berlaku kepada
mereka sebaliknya, yang akan menyebabkan mereka terjerumus dalam perkara tidak
baik seperti mendapatkan sumber nafkah daripada jalan yang dilarang syarak.
Ramai
daripada kita yang tidak mengendahkan atau melupakan perkara ini, sedangkan ini
amanah Allah SWT. Demikian besarnya tanggungjawab seorang lelaki, bukan hanya
kepada anak atau isteri saja tetapi turut kepada orang di bawah pewaliannya.