18 OGOS,
2012
PERUTUSAN
AIDILFITRI, 1 SYAWAL 1433H
oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(PGSM)
kepada seluruh Peguam Syarie, Pelatih Dalam Kamar
dan seluruh masyarakat Islam.
Assalamualaikum w.b.t
Syukur
ke hadrat Allah s.w.t, solawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.
InsyaAllah, kita semua akan
menyambut 1 Syawal 1433H. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat
hari raya Aidilfitri khususnya kepada seluruh Peguam Syarie, Pelatih Dalam
Kamar, pelajar-pelajar Syariah dan undang-undang di universiti-universiti
tempatan dan luar Negara, serta seluruh umat Islam ; “Taqabbalullah
minna waminka (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”
Aidilfitri
adalah hari kemenangan bagi umat Islam yang bertakwa, setelah sebulan menahan
lapar dan dahaga serta berjuang mengawal nafsu sepanjang Ramadhan. Aidilfitri juga
adalah hari kesyukuran kerana kita kembali kepada fitrah kejadian manusia yang
perlu makan dan minum di siang hari. Setelah
melaksanakan ibadat puasa selama sebulan dengan sempurna, kita bukan sahaja
mendapat rahmat malah mendapat keampunan daripada Allah dan pembebasan daripada
api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan
semata-mata kerana Allah nescaya diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu"
[HR Bukhari].
Oleh itu, setelah kita mendapat keampunan Allah s.w.t,
maka sudah tentulah kita menjadi seperti kembali kepada fitrah, laksana bayi
yang baru dilahirkan. Maka kemenangan dan kesyukuran ini tidak wajar sama
sekali diraikan dengan membakar mercun atau bunga api, atau menyambutnya dengan melakukan amalan dan acara-acara yang sama sekali
bercanggah Syarak, tetapi sambutan ini perlu diisi dengan pujian terhadap Allah
s.w.t, melahirkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t dengan bertakbir dan
bertahmid, dan bersifat ihsan kepada insan yang lain sebagai salah satu tanda
kesyukuran itu.
Rakan-rakan Peguam Syarie,
serta seluruh umat Islam sekalian.
Kita
disyariatkan untuk melaungkan takbir bermula dari tenggelamnya matahari akhir
Ramadan sehingga sejurus sebelum solat Aidilfitri didirikan, dengan suara
yang nyaring secara beramai-ramai dan dengan penuh bersemangat. Firman Allah s.w.t : ”…
dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), serta
kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana telah mendapat pertunjuk-Nya kepada
kamu dan supaya kamu bersyukur” –
[al-Baqarah:185].
Jika sepanjang bulan Ramadan kita
telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan qiyamullail, maka semangat mengerjakan qiyam Ramadan haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah
bulan Ramadan. Kita juga disunatkan menunaikan puasa 6 hari pada bulan Syawal.
Disunatkan mandi di pagi hari raya,
sebelum solat Aidilfitri, sama
ada bagi orang yang akan pergi menunaikan solat maupun tidak. Ali
bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi
setiap hari? Beliau menjawab : “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan
ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri."
Disunatkan memakai pakaian yang terbaik dan
indah yang ada untuk pergi menunaikan solat Aidilfitri serta memakai
wangi-wangian. Imam Syafie r.a berkata : Aku lebih menyukai
seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu
pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan
majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan
memakai wangi-wangian. [Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’i]
Disunatkan menjamah makanan sebelum
berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala prasangka
atau andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Kebiasaannya,
Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari
raya. Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada
pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’
berkata : Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah
s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR al-Bukhari]
Disunatkan
juga pergi menuju ke tempat solat Aidilfitri melalui satu jalan dan balik melalui
jalan yang lain.
Memohon maaf dan memaafkan kesalahan orang lain adalah
amalan amat mulia dan merupakan suatu tradisi yang patut dijadikan amalan. Ia
mesti dilakukan dengan ikhlas, di samping membina keazaman untuk tidak
mengulangi perbuatan salah yang boleh menyinggung, menghina dan menjadikan
orang lain berkecil hati dengan sikap dan perbuatan kita.
Ziarah
menziarahi sanak saudara dan sahabat handai, bermaaf-maafan antara satu sama
lain bermula dari orang yang paling hampir seperti ibu bapa, suami isteri
anak-anak, kaum kerabat dan rakan dan taulan, dan banyakkan bersedekah kepada
fakir dan miskin. Ziarah kita dengan anak-anak
harus dapat memperkenalkan kepada mereka kaum keluarga lain.
Tazkirah ada di sekeliling kita. Apa sahaja yang
mengembalikan ingatan kita kepada keesaan Allah s.w.t dan kekerdilan diri kita
di sisi Allah s.w.t adalah suatu tazkirah. Menziarahi pusara sanak saudara yang
telah meninggal dunia merupakan suatu tazkirah yang mengingatkan kita bahawa
kita juga akan kembali kepada Allah s.w.t seperti mereka.
Menziarahi orang tua yang uzur, menginsafi diri kita bahawa
kita juga akan tua. Bayangkan diri kita bakal menjadi seperti orang tua yang
kita ziarahi. Ia memberikan kita keinsafan bahawa tidak ada sesuatu yang kekal
di alam ini, melainkan Allah s.w.t.
Memberi sedekah kepada orang miskin, fakir dan anak yatim
juga adalah satu tazkirah, mengingatkan kita bahawa kita perlu bersyukur dengan
rezeki yang Allah s.w.t kurniakan, sentiasa membantu insan yang memerlukan, dan
di dalam harta-harta yang kita perolehi sebenarnya ada hak insan yang kurang
bernasib baik.
Rakan-rakan Peguam Syarie,
serta seluruh umat Islam sekalian.
Janganlah kita rosakkan hari kemenangan selepas bergelut
dengan cabaran hawa nafsu dengan menyerahkan diri dirasuk oleh pengaruh iblis
dan syaitan semula.
Kebesaran Allah s.w.t yang dilafazkan dalam takbir dan
tahmid di Aidilfitri adalah lambang perubahan diri untuk melakukan sebanyak mungkin
kebaikan dan menghindarkan kemungkaran walaupun sedikit. Itulah natijah Ramadan
yang kita lalui dan maksud Syawal yang bakal dirayakan.
Rakan-rakan Peguam Syarie
sekalian.
Insya-Allah pada bulan September
ini, PGSM akan mengadakan aktiviti-aktiviti berikut –
• Jumaat 14 September
2012, jam 12.00 tengahari hingga 3.30 petang - Majlis Sambutan Aidilfitri PGSM
bertempat di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Jemputlah
datang beramai-ramai. (Pengarah - Puan Noorafizah Abdul Aziz)
• Pada hari yang sama,
jam 10.30 pagi - Pelancaran Klinik Guaman Syarie Percuma PGSM bertempat di
Bilik Tauliah, Tingkat 4 MSWP Kuala Lumpur. (Pengarah - Puan Shanizah Ngatiman)
• Jumaat, 21 September,
2012, jam 9.30 pagi hingga 1.00 tengahari – Muzakarah Arahan Amalan JKSM-PGSM
bertempat di Bilik Seminar, Tingkat 4 MSWP Kuala Lumpur. (Pengarah - TH Azmi
Tan Sri Rais)
• Jumaat, 21 September,
2012, jam 3.00 petang – Kelas Tafaqquh bertempat di Pusat Gerakan PGSM, Seksyen
23, Shah Alam, Selangor. (Pengarah - Tn Mohd Azlin (Yup)).
• Sabtu, 22 September,
2012 – Program Latihan Peguam Syarie YBGK-PGSM peringkat Negeri Sembilan.
(Pengarah - Puan Suziyani Mat Jusoh)
• Jumaat, 28 September,
2012 – Lawatan HELWA ke Baitul Ehsan, Sabak Bernam. (Pengarah - Puan Noorafizah
Abd Aziz)
Marilah sama-sama kita
menghidupkan program yang dirancang ini. Boleh hubungi Sekretariat PGSM atau
Pengarah program berkenaan, untuk maklumat lanjut.
Akhir kata, sekali lagi,
saya mewakili semua pimpinan PGSM Sesi 2012-2015 mengucapkan selamat hari raya
Aidilfitri. Kepada yang pulang ke kampong, berhati-hati memandu dan berikan
konsentrasi sepenuhnya kepada pemanduan. Semoga selamat tiba ke destinasi.
Maafkan jika ada salah silap saya dan semua pimpinan di bawah saya, kemaafan
zahir dan batin. Taqabbalullah minna waminka. Wallahu’alam.
“Meletakkan
Hak Kepada Yang Berhak.”
MUSA AWANG
Presiden PGSM
Sabtu, 18 Ogos 2012.