Harian Metro
09 Mac 2016
Keputusan
Mahkamah Persekutuan dalam kes Izwan Abdullah lwn. S.Deepa menimbulkan pelbagai
polemik perundangan. Ada yang beranggapan ia memberikan lebih kuasa kepada mahkamah
sivil berbanding mahkamah syariah, dan meletakkan kedudukan mahkamah syariah
lebih rendah berbanding mahkamah sivil. Ada juga yang berpandangan ia menganiayai
golongan saudara baru yang memeluk Islam, kerana dikatakan mereka dinafikan hak
sebagai warganegara untuk memohon remedi di mahkamah sivil.
Mahkamah
Persekutuan pada Februari lalu memutuskan bahawa “dengan mengenakan perkahwinan
sivil di bawah Akta Memperharui Undang-undang (LRA) 1976, mereka terikat dengan
peruntukan berkaitan perceraian dan hak jagaan anak daripada perkahwinan itu.
Menurut YA Hakim Tan Sri Raus berkata “Perkara di bawah LRA berada dalam bidang
kuasa mahkamah sivil dan mahkamah sivil terus mempunyai bidang kuasa terhadap
mereka, walaupun bekas suami memeluk agama Islam.”
Menurutnya
lagi, perbalahan antara Izwan (N Viran) dan Deepa bukan perkara dalam bidang
kuasa Mahkamah Tinggi Syariah. Artikel
121(1A) yang mengeluarkan bidang kuasa mahkamah sivil mengenai mana-mana
perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah tidak menafikan bidang kuasa
mahkamah sivil bagi perkara dalam Seksyen 51, LRA 1976. Artikel 121 (1A)
diperkenalkan bukan bertujuan mengetepikan bidang kuasa mahkamah sivil, tetapi untuk
mengelak sebarang konflik antara keputusan mahkamah syariah dan sivil yang
banyak berlaku dalam kes sebelum ini.
Mahkamah
Persekutuan memutuskan bahawa LRA 1976 terus mengikat Izwan meskipun selepas
pertukaran agama kepada Islam, kerana mahkamah syariah tidak ada bidangkuasa
berhubung permohonan bekas suami untuk membubarkan perkahwinan sivilnya dengan
Deepa pada 2003. Mahkamah syariah juga tidak ada bidangkuasa terhadap hak
penjagaan anak yang lahir daripada perkahwinan di bawah mahkamah sivil.
Mahkamah syariah hanya berbidangkuasa dalam perkara berkaitan perceraian dan
hak jagaan anak apabila ia membabitkan perkahwinan Islam, akad nikah mengikut
undang-undang Islam. Apabila salah seorang bukan Islam, mahkamah syariah tiada
bidangkuasa terhadap kes itu walaupun perkara itu jatuh dalam bidang kuasa
mereka. Adalah penting bagi mahkamah sivil dan syariah untuk tidak melampai
batas antara bidang kuasa masing-masing.
Menurut
mahkamah lagi, pindaan 1988 (Artikel 121 (1A)) kepada Mahkamah Persekutuan
untuk menghentikan mahkamah sivil daripada campur tangan dalam hal ehwal
Mahkamah Syariah, tetapi tidak termasuk Mahkamah Tinggi daripada memberikan
remedi kepada individu jika pasangannya menukar agama kepada Islam.
Penulis
berpandangan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut tidak sama sekali
merendahkan bidangkuasa mahkamah syariah. Ini kerana mahkamah syariah dan
mahkamah sivil mempunyai bidangkuasa masing-masing dan tersendiri yang
diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang. Walaubagaimanapun, akan
ada pihak yang akan menggunakan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai
hujah mereka untuk menyatakan bahawa bidangkuasa mahkamah syariah lebih rendah
berbanding mahkamah sivil.
Konflik
perundangan timbul dalam kes tersebut apabila Izwan Abdullah (33) dan S.Deepa
(32) yang asalnya berkahwin menurut agama Hindu, tetapi kemudiannya pada Disember
2012, Izwan telah memeluk Islam di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Negeri
Sembilan dan pada bulan berikutnya mendaftarkan pertukaran agama 2 anaknya,
Shamila (Nurul Nabila), kini 11 tahun dan Mithran (Nabil), 8 tahun.
S.Deepa
tidak mempertikaikan pengislaman atau status agama kanak-kanak tersebut, tetapi
merebut hak jagaan dua anak berkenaan. Izwan kemudian memohon di Mahkamah
Syariah Seremban untuk pembubaran perkahwinannya dengan S.Deepa, yang
kemudiannya dibenarkan pada Mei 2013.
Isu
perundangan timbul dalam menentukan forum manakah yang boleh membubarkan
perkahwinan mereka dan menentukan hak jagaan anak-anak apabila melibatkan
pasangan bukan Islam memeluk agama Islam? Di mahkamah sivil atau di mahkamah syariah?
Polemik dan salah faham berlaku kerana Mahkamah Tinggi (sivil) Seremban telah
mengeluarkan perintah hak jagaan pada April 2014, sedangkan sebelum itu Mahkamah
Tinggi Syariah Seremban telah pun mengeluarkan perintah yang sama pada Mac 2013.
Perintah mahkamah syariah tersebut memberikan hak jagaan kedua anak kepada bapa
kandung mereka manakala ibu kandung diberikan hak lawatan pada bila-bila masa
yang munasabah. Perintah mahkamah syariah tersebut juga tidak pernah dibatalkan
sehingga ke hari ini.
Sekiranya
forum yang sesuai adalah di Mahkamah Tinggi Syariah, tiada masalah bagi Izwan
yang telah memeluk Islam, tetapi bagaimana dengan S.Deepa yang masih belum
Islam? Ini kerana bidangkuasa mahkamah syariah terhad kepada orang Islam sahaja.
Bukan Islam boleh hadir di mahkamah syariah sebagai saksi, tetapi bukan sebagai
pihak. Sebaliknya jika forum yang sesuai adalah di Mahkamah Tinggi sivil, tiada
memberi masalah kepada S.Deepa tetapi menjadi masalah kepada Izwan. Ini kerana Seksyen
51 Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976 hanya
memberikan hak kepada pihak yang tidak memeluk Islam untuk memohon remedi di
Mahkamah Tinggi sivil. Tiada hak diberikan kepada yang memeluk Islam.
Seksyen
51 tersebut berbunyi - 1) Where one party
to a marriage has converted to Islam, the other party who has not so converted
may petition for divorce: Provided that no petition under this section shall be
presented before the expiration of the period of three months from the date of
the conversion. (2) The Court upon dissolving the marriage may make provision
for the wife or husband, and for the support, care and custody of the children
of the marriage, if any, and may attach any conditions to the decree of the
dissolution as it thinks fit.
Dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan tersebut, kerajaan melalui agensi berkenan perlu mengambil tindakan segera meminda Seksyen 51 LRA untuk membolehkan pihak yang memeluk Islam juga boleh memohon remedi membubarkan perkahwinan dan memohon hak jagaan anak di mahkamah sivil sebagaimana hak berkenaan diberikan kepada yang tidak memekuk Islam. Peruntukan ini adalah undang-undang berat sebelah. Selagi tidak dipinda, maka ia akan menganiayai dan menafikan hak saudara baru untuk memohon remedi di mahkamah sivil. Lagi lama masa diambil untuk dipinda maka lagi lama saudara baru dinafikan hak mereka.
Mahkamah Persekutuan telah menjalankan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan untuk mentafsirkan undang-undang. Maka, menjadi tanggungjawab pihak berkenaan pula untuk mencadangkan pindaan kepada mana-mana undang-undang yang tidak relevan, supaya semua orang mendapat hak yang sama sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM.
Email : sekretariatpgsm@yahoo.com
Dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan tersebut, kerajaan melalui agensi berkenan perlu mengambil tindakan segera meminda Seksyen 51 LRA untuk membolehkan pihak yang memeluk Islam juga boleh memohon remedi membubarkan perkahwinan dan memohon hak jagaan anak di mahkamah sivil sebagaimana hak berkenaan diberikan kepada yang tidak memekuk Islam. Peruntukan ini adalah undang-undang berat sebelah. Selagi tidak dipinda, maka ia akan menganiayai dan menafikan hak saudara baru untuk memohon remedi di mahkamah sivil. Lagi lama masa diambil untuk dipinda maka lagi lama saudara baru dinafikan hak mereka.
Mahkamah Persekutuan telah menjalankan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan untuk mentafsirkan undang-undang. Maka, menjadi tanggungjawab pihak berkenaan pula untuk mencadangkan pindaan kepada mana-mana undang-undang yang tidak relevan, supaya semua orang mendapat hak yang sama sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM.
Email : sekretariatpgsm@yahoo.com