Wednesday, March 10, 2010

Kuasa Sultan hanya kurangkan hukuman

Mufti bertindak sebagai penasihat sebelum hukum syariah dilaksana

Oleh Tuan Musa Awang

Isu Kartika Sari belum lagi reda, walaupun sudah menampakkan titik noktahnya. Penulis menerima soalan dari masyarakat setiap kali isu ini timbul, adakah Kartika akan ampunkan oleh Baginda Sultan Pahang, ataupun hukuman sebat akan tetap dilaksanakan? Jawapan Penulis kepada mereka, tunggu dan lihat. Walau apapun keputusannya, ia adalah suatu yang positif terhadap perkembangan undang-undang Jenayah Islam di Pahang khususnya dan di Malaysia amnya.

Mahkamah Syariah memang sering dijadikan sasaran oleh pihak yang tidak senang dengan kewujudannya, baik oleh bukan Islam malah oleh orang Islam sendiri, tanpa justifikasi dan alasan yang kukuh. Walhal Mahkamah Syariah dan undang-undang yang terpakai di Mahkamah Syariah adalah berpaksikan kepada hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.
Malah ada juga pihak bukan beragama Islam yang berani mencadangkan supaya hukuman sebat Syariah dihapuskan. Cadangan ini adalah suatu yang melampau batas dan perlu dihentikan segera. Kenapa pula mereka mencampuri urusan umat Islam, sedangkan umat Islam tidak pernah mencampuri urusan agama mereka? Kerana umat Islam berpegang kepada firman Allah dalam Surah al-Kaafirun ayat 6 yang bermaksud : “Kamu dengan agama kamu dan kami dengan agama kami.”

Bukan Islam juga tidak perlu khuatir kerana undang-undang jenayah Islam dan hukuman sebat hanya dikenakan kepada orang yang beragama Islam sahaja. Kesalahan meminum minuman yang memabukkan di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Enakmen No. 8 Tahun 1982) jelas menyebutkan perkataan orang Islam, iaitu - “Sesiapa jua orang Islam dalam mana-mana kedai atau tempat awam, menjual, membeli atau meminum arak adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila sabit bolehlah dihukum denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya dan sebat tidak lebih daripada enam kali sebatan.”

Di setiap negeri, Sultan adalah sebagai Ketua Agama dan mempunyai bidang kuasa perkara-perkara berkaitan dengan hal-hal agama Islam serta pentadbiran agama Islam. Bagi negeri yang tidak mempunyai institusi beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Wilayah dan Sabah, Ketua Agama yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran agama Islam ialah Yang Di Pertuan Agung.

Sebagai Ketua Agama Negeri, Baginda Sultan mempunyai kuasa ekslusif untuk mengurangkan atau meringankan, menambah atau mengubah apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Kuasa ekslusif ini terbahagi kepada 2 keadaan berikut iaitu pertama apabila pesalah itu membuat permohonan rayuan kepada Baginda Sultan dan kedua apabila Baginda Sultan sendiri berkenan memberi pengampunan walaupun tidak dirayu atau dipohon oleh pesalah.

Dalam keadaan pertama, Seksyen 209 Enakmen 8 Tahun 1982 memperuntukkan bahawa Baginda Sultan mempunyai kuasa untuk mengurangkan, menambah atau mengubah apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan dengan syarat rayuan telah dibuat oleh pesalah terlebih dahulu di Mahkamah Ulangbicara (rayuan) dan notis rayuannya hendaklah diserahkan dalam tempoh 10 hari dari tarikh tamatnya ulangbicara kes itu. Dalam isu Kartika, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang menjatuhkan hukuman denda dan sebatan terhadap Kartika adalah bersifat muktamad kerana Kartika tidak merayu dan tempoh rayuan juga sudah tamat.

Namun dalam keadaan yang kedua, Baginda Sultan juga mempunyai kuasa untuk meringankan mana-mana hukuman dengan menggantikan hukuman yang berat kepada hukuman yang lebih ringan, walaupun tidak dirayu atau atau dimohon oleh pesalah atau tanpa persetujuan pesalah. Seksyen 133 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2004 (Enakmen No. 9 Tahun 2004) memperuntukkan bahawa :- “Yang di-Pertua Negeri atas nasihat Mufti boleh, tanpa persetujuan orang yang telah dihukum, meringankan mana-mana satu daripada hukuman yang berikut dengan menggantikannya dengan mana-mana hukuman yang disebut selepasnya, iaitu- (a) sebat; (b) pemenjaraan; atau (c) denda.”
Penulis memperbetulkan pemahaman sesetengah pihak, kuasa Baginda Sultan yang diberikan oleh undang-undang adalah untuk meringankan hukuman yang telah dijatuhkan, daripada hukuman yang lebih berat (seperti sebatan) kepada hukuman yang lebih ringan (seperti penjara atau denda). Bukanlah bermaksud bahawa Baginda Sultan mempunyai kuasa untuk mengampunkan terus kesalahan yang telah disabitkan oleh Mahkamah Syariah tersebut.

Dalam menjalankan kuasa menurut kehendak peruntukan Seksyen 133 tersebut, Mufti Negeri dikehendaki memberi nasihat kepada Baginda Sultan sebelum kuasa meringankan hukuman itu dilaksanakan. Mufti akan memberi nasihat kepada Baginda Sultan berdasarkan hukum Syarak, samada hukuman 6 sebatan atas kesalahan meminum arak selari dengan Hukum Syarak atau tidak. Apatah lagi dalam situasi di mana Kartika Sari sendiri reda atas hukuman itu dan tidak berhasrat merayu, dan juga perlu mengambilikira bahawa pada Februari lalu 3 orang wanita telah dilaksanakan hukuman sebatan Syariah di Penjara Kajang, dan mereka mengakui mereka tidak merasai sebarang kesakitan atau kezaliman akibat sebatan itu, malah merasa insaf dan bertaubat. Kuasa Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama dan tonggak agama perlu dijalankan dengan sebaik-baiknya, kerana ia adalah benteng terakhir yang diharapkan oleh rakyat bagi mempertahankan Islam sejajar dengan sumpah baginda mempertahankan Islam pada setiap masa semasa menduduki takhta baginda. Kuasa yang bakal dilaksanakan oleh Baginda ini juga akan menjadi panduan dan ikutan kepada kes-kes berikutnya pada masa-masa akan datang.

Apa pun keputusan yang akan dibuat, masyarakat Islam keseluruhan sedang menunggu sesuatu yang terbaik untuk umat Islam dan perkembangan undang-undang Syariah di Malaysia. Hukuman tetap perlu dilaksanakan, walaupun mungkin akan diringankan. Undang-undang yang berkuat kuasa perlu ditegakkan, supaya undang-undang Syariah dan pihak-pihak yang menegakkan dan mempertahankan undang-undang berkenaan tidak menjadi bahan ejekan dan diperlekehkan. Mahkamah Syariah tidak wajar disalahkan apabila membuat keputusan berdasarkan undang-undang sedia ada, kerana Mahkamah Syariah hanya sebagai badan pelaksana kepada undang-undang yang digubal secara sah.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh dihubungi di Sekretariat 03-2274 1499 atau e-mail sekretariatpgsm@yahoo.com

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...