Tuesday, March 22, 2011

Hak rayuan tak boleh disalah guna aniaya orang




Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com
Berita Harian 16/03/2011

Pihak tidak puas hati keputusan kena mohon mahkamah lebih tinggi semak semula kes

TIDAK semua yang mengemukakan tuntutan di Mahkamah Syariah memperoleh apa yang dituntut. Ada tuntutan ditolak atau diluluskan sebahagiannya saja dan selebihnya ditolak mahkamah. Pihak tidak berpuashati dengan keputusan itu boleh mengemukakan rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Dalam kitab Nazariah Al-Da’wa, karya Muhammad Naim Abdul Salam, Jilid 1, memetik kisah Zubyah Al-Asad: “Apabila Sayidina Ali menjadi Kadi di Yaman, Sayidina Ali menjatuhkan hukuman bagi orang yang pertama masuk ke dalam lubang perangkap singa mendapat satu perempat diat, kedua satu pertiga diat, ketiga mendapat separuh diat dan keempat mendapat diat penuh.

Diat ini dikenakan kepada kabilah yang berasak-asak di sekeliling lubang perangkap singa tadi, kerana mereka menyebabkan orang pertama jatuh, diikuti yang kedua kerana ditarik oleh yang pertama.

Orang ketiga pula ditarik orang kedua dan seterusnya menyebabkan semuanya mati. Yang pertama mendapat satu perempat kerana dia menyebabkan tiga kematian. Yang kedua mendapat satu pertiga kerana dia menyebabkan dua kematian. Yang ketiga mendapat separuh kerana dia menyebabkan satu kematian dan keempat mendapat diat penuh kerana dia tidak menyebabkan kematian sesiapa.

Sebahagian kabilah ini tidak berpuas hati hukuman Saidina Ali. Mereka kemudian menghadap Rasulullah SAW memohon dilihat semula kes mereka dan hukuman dijatuhkan Saidina Ali disemak semula. Rasulullah SAW menyemak semula kes itu dan bersetuju dengan hukuman dijatuhkan Saidina Ali.

Dalil ini membuktikan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, boleh merayu atau menyemak keputusan itu ke mahkamah lebih tinggi.

Di negara ini, hirarki Mahkamah Syariah didahului Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan paling tinggi Mahkamah Rayuan Syariah. Keputusan Mahkamah Rendah Syariah perlu dirayu ke Mahkamah Tinggi Syariah, dan jika masih tidak berpuashati dirayu ke Mahkamah Rayuan Syariah.

Bidang kuasa mendengar dan memutuskan rayuan ini diperuntukkan dengan jelas dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri. Mengambil contoh Seksyen 67 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) memperuntukkan: “Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan rayuan terhadap apa-apa keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidang kuasa asalnya”.

Seksyen 63 (1) Enakmen sama memperuntukkan bahawa: “Rayuan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah daripada apa-apa keputusan sesuatu Mahkamah Rendah Syariah (a) dalam bidang kuasa jenayahnya, oleh pihak pendakwa atau orang yang disabitkan dan rayuan itu boleh sama ada terhadap keputusan pembebasan, sabitan atau hukuman atau mana-mana daripadanya.

Manakala dalam (b) membabitkan bidang kuasa malnya (i) oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu, jika amaun dituntut itu tidak kurang daripada satu ribu ringgit; (ii) dalam semua kes membabitkan apa-apa keputusan mengenai taraf diri, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu; (iii) dalam semua kes berhubungan dengan nafkah orang tanggungan, oleh mana-mana orang terkilan dengan keputusan itu, dengan syarat tiada rayuan boleh dibuat terhadap keputusan yang dibuat dengan persetujuan; (c) dalam apa-apa kes lain, jika Mahkamah Tinggi Syariah memberikan kebenaran untuk merayu”.

Apabila ada pihak tidak berpuashati merayu, pihak satu lagi tidak perlu marah atau menyalahkan Mahkamah Syariah jika kesnya lambat dan tertangguh akibat rayuan dikemukakan pihak tidak berpuas hati itu. Kerana ia hak diberikan hukum syarak dan undang-undang kepada pihak yang berkenaan. Mahkamah hanya menjalankan kuasa diberikan syarak dan undang-undang.

Walaupun hukum syarak dan undang-undang membenarkan pihak tidak berpuas hati membuat rayuan, namun janganlah hak ini digunakan pihak berkenaan untuk menzalimi pihak satu lagi.

Contoh, dalam kes mahkamah membenarkan tuntutan fasakh isteri, kadang-kadang si suami membuat rayuan atas dasar semata-mata menganiayai isteri atau menggantung isteri tidak bertali, sedangkan pasangan ini tiada persefahaman dan tidak lagi tinggal sebumbung. Dalam keadaan ini, ia ditegah syarak, kerana menganiayai dan menzalimi sesama manusia.

Allah berfirman bermaksud; “Sesungguhnya Allah menyuruh berbuat keadilan dan kebajikan, memberi (hak yang sepatutnya) kepada kaum kerabat, dan (Allah) melarang kamu melakukan kekejaman dan kemungkaran. Dia memberi pengajaran kepada kamu agar dapat mengambil pengajaran.” (Surah An-Nahl ayat 90).

Sehingga kini, ada beberapa negeri di mana Mahkamah Rayuan Syariah masih belum bersidang kerana ketiadaan panel rayuan atau panel rayuan belum dilantik secara rasmi, yang memberi makna bahawa rayuan pihak terbabit tidak dapat didengar dan diputuskan.

Keadaan ini perlu diselesaikan segera supaya umat Islam tidak melemparkan tohmahan kepada Mahkamah Syariah atas kelewatan itu dan tidak menzalimi pihak terbabit.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com.

Raja - Pemegang Amanah Kedaulatan Watan

Harian Metro 15 March 2017 Oleh Musa Awang Sistem pemerintahan beraja atau ‘monarki’ merupakan sistem pemerintahan yang tertua di du...