Harian
Metro
08.07.2014
Di
zaman Rasulullah SAW, semasa Baginda sedang berkumpul dengan para sahabat,
datang seorang pengemis meminta-minta. Melihat kehadiran pengemis itu,
Rasulullah lantas bertanya, "Apakah kamu mempunyai sesuatu di
rumahmu?" Pengemis itu menjawab, "Tentu, saya mempunyai pakaian yang
biasa dipakai sehari-hari dan sebuah cangkir." Rasulullah SAW lalu meminta
pengemis itu mengambil barang-barang tersebut dan serahkan kepada Baginda.
Pengemis
itu terus bergegas pulang ke rumah dan kembali dengan membawa cangkir.
Rasulullah SAW mengambil cangkir itu dan menawarkannya kepada para sahabat yang ada. "Adakah di
antara kalian yang ingin membeli ini?" Salah seorang sahabat sanggup
membeli cangkir itu dengan harga dua dirham.
Rasulullah
kemudian memberikan dua dirham yang dibayar oleh sahabat itu kepada si
pengemis. Rasul berpesan kepada si pengemis itu agar menggunakan wang itu untuk
membeli makanan buat keluarganya, dan baki digunakan untuk membeli kapak.
"(Dengan kapak itu) Carilah kayu yang banyak dan juallah. Selama dua
minggu ini aku tidak ingin melihatmu," sabda Rasulullah SAW.
Dua
minggu kemudian, pengemis itu datang lagi menghadap Rasulullah SAW. Kali ini
tidak untuk mengemis, tetapi dengan membawa wang 10 dirham hasil dari jualan
kayu. Rasulullah SAW kemudian menyuruhnya untuk membeli pakaian dan makanan
untuk keluarganya dengan wang itu.
Rasulullah
bersabda, "Hal ini lebih baik bagi kamu, kerana meminta-meminta hanya akan
membuat noda di wajahmu di akhirat nanti. Tidak layak bagi seseorang
meminta-minta kecuali dalam tiga hal, fakir miskin yang benar-benar tidak
mempunyai sesuatu, hutang yang tidak bisa terbayar, dan penyakit yang membuat
seseorang tidak boleh berusaha."
Riwayat
ini menggambarkan bagaimana Rasulullah SAW membantu pengemis atau gelandangan
yang masih mempunyai keupayaan dan sihat, dengan menunjukkan cara bagaimana
orang itu boleh berusaha dan hidup berdikari, bukan dengan memberikan wang atau
makanan percuma. Rasulullah SAW telah lama memberikan panduan kepada kita dalam
menangani masalah pengemis dan gelandangan ini.
Gelandangan
mungkin berbeza dengan pengemis. Gelandangan ialah orang-orang yang hidup dalam
keadaan tidak sesuai dengan norma kehidupan yang layak dalam masyarakat
setempat, serta tidak mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan yang tetap di
wilayah tertentu dan hidup mengembara di tempat umum. Sedangkan, pengemis
adalah orang-orang yang mendapatkan penghasilan dengan meminta-minta di muka
umum dengan pelbagai cara dan alasan untuk mengharapkan belas kasihan dari
orang lain.
Pada
2011, nasib golongan gelandangan dibela menerusi projek perintis Pusat
Intervensi Anjung Singgah di ibu negara. Lebih 100 gelandangan mengunjungi
pusat ini untuk mendapatkan makanan percuma bernilai 13 ringgit yang disajikan,
bermula 12 tengah hari hingga 1.30 petang.
Mereka juga diberikan tempat menginap sementara untuk selama dua minggu,
sebelum memperolehi pekerjaan.
Agak
terkejut dan pelik dengan pengumuman terbaru Kementerian Wilayah Persekutuan
mengehadkan aktiviti pemberian bantuan dan makanan kepada gelandangan oleh
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hanya boleh dilakukan dalam lingkungan dua
kilometer dari pusat bandar, dengan tujuan menghalang golongan gelandangan
sewenang-wenangnya menjadikan kaki lima ibu kota sebagai tempat tinggal mereka
sekali gus mengundang imej buruk terhadap bandar raya ini. Pihak kementerian
tidak mahu golongan gelandangan hanya mengharapkan bantuan daripada mana-mana
pihak dan tidak mahu bekerja sedangkan mereka mempunyai tubuh badan yang sihat
dan mampu untuk bekerja.
Ya,
benar kita mahukan sebuah bandaraya yang bebas dari golongan pengemis dan
gelandangan. Kita semua mahu begitu, bukan kementerian sahaja. Namun adakah
langkah itu akan menyelesaikan isu gelandangan? Tidakkah ia akan membiakkan
masalah gelandangan baharu, di tempat yang lain? Umpama menyapu sampah di atas
lantai rumah tetapi sampah disorok di bawah karpet.
Golongan
gelandangan yang memenuhi bandaraya Kuala Lumpur bukan sahaja golongan yang
terlantar dan tidak mempunyai pekerjaan, tetapi juga golongan yang benar-benar
susah, golongan yang ditinggalkan kerana tua dan berpenyakit kronik, golongan
tua, wanita dan kanak-kanak pengemis yang didalangi sindiket, golongan imigran
dan golongan penagih. Apa pula langkah kerajaan untuk membantu menyelesaikan
masalah golongan-golongan ini?
Peranan
kolektif institusi zakat juga boleh membantu menyelesaikan masalah ini.
Golongan fakir, miskin, dibawah belenggu perhambaan (Fir Riqab), orang-orang berhutang
(Al-Gharimin), dan orang-orang bermusafir yang terlantar (Ibnu Sabil) adalah
antara asnaf-asnaf yang berhak menerima zakat.
Fir
Riqab pada dasarnya bererti membebaskan atau menamatkan seseorang itu daripada
amalan perhambaan. Amalan perhambaan dalam konteks tradisi sudah tiada. Namun
takrif Ar Riqab ini boleh diperluaskan lagi kepada segala bentuk perhambaan dan
penindasan yang ada pada hari ini, seperti cengkaman sindiket golongan-golongan
berkuasa ke atas golongan yang lemah yang dipaksa mengemis, dan sebagainya.
Masalah
gelandangan, jika tidak ditangani dengan metod dan solusi yang betul, ia akan
menjadi lebih membiak dan parah. Beberapa hari selepas pengumuman langkah
kerajaan tersebut, beberapa pengemis dan gelandangan sudah mula kelihatan di
lampu-lampu isyarat dan beberapa premis di bandar Shah Alam. Tidak mustahil
akan merebak pula ke Bandar-bandar lain. Wallahu’alam.
- Penulis ialah Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sekretariatpgsm@yahoo.com