Tuesday, July 8, 2014

Pendekatan nabi bantu gelandangan

Harian Metro
08.07.2014

Di zaman Rasulullah SAW, semasa Baginda sedang berkumpul dengan para sahabat, datang seorang pengemis meminta-minta. Melihat kehadiran pengemis itu, Rasulullah lantas bertanya, "Apakah kamu mempunyai sesuatu di rumahmu?" Pengemis itu menjawab, "Tentu, saya mempunyai pakaian yang biasa dipakai sehari-hari dan sebuah cangkir." Rasulullah SAW lalu meminta pengemis itu mengambil barang-barang tersebut dan serahkan kepada Baginda.

Pengemis itu terus bergegas pulang ke rumah dan kembali dengan membawa cangkir. Rasulullah SAW mengambil cangkir itu dan menawarkannya  kepada para sahabat yang ada. "Adakah di antara kalian yang ingin membeli ini?" Salah seorang sahabat sanggup membeli cangkir itu dengan harga dua dirham.

Rasulullah kemudian memberikan dua dirham yang dibayar oleh sahabat itu kepada si pengemis. Rasul berpesan kepada si pengemis itu agar menggunakan wang itu untuk membeli makanan buat keluarganya, dan baki digunakan untuk membeli kapak. "(Dengan kapak itu) Carilah kayu yang banyak dan juallah. Selama dua minggu ini aku tidak ingin melihatmu," sabda Rasulullah SAW.

Dua minggu kemudian, pengemis itu datang lagi menghadap Rasulullah SAW. Kali ini tidak untuk mengemis, tetapi dengan membawa wang 10 dirham hasil dari jualan kayu. Rasulullah SAW kemudian menyuruhnya untuk membeli pakaian dan makanan untuk keluarganya dengan wang itu.

Rasulullah bersabda, "Hal ini lebih baik bagi kamu, kerana meminta-meminta hanya akan membuat noda di wajahmu di akhirat nanti. Tidak layak bagi seseorang meminta-minta kecuali dalam tiga hal, fakir miskin yang benar-benar tidak mempunyai sesuatu, hutang yang tidak bisa terbayar, dan penyakit yang membuat seseorang tidak boleh berusaha."

Riwayat ini menggambarkan bagaimana Rasulullah SAW membantu pengemis atau gelandangan yang masih mempunyai keupayaan dan sihat, dengan menunjukkan cara bagaimana orang itu boleh berusaha dan hidup berdikari, bukan dengan memberikan wang atau makanan percuma. Rasulullah SAW telah lama memberikan panduan kepada kita dalam menangani masalah pengemis dan gelandangan ini.

Gelandangan mungkin berbeza dengan pengemis. Gelandangan ialah orang-orang yang hidup dalam keadaan tidak sesuai dengan norma kehidupan yang layak dalam masyarakat setempat, serta tidak mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan yang tetap di wilayah tertentu dan hidup mengembara di tempat umum. Sedangkan, pengemis adalah orang-orang yang mendapatkan penghasilan dengan meminta-minta di muka umum dengan pelbagai cara dan alasan untuk mengharapkan belas kasihan dari orang lain.

Pada 2011, nasib golongan gelandangan dibela menerusi projek perintis Pusat Intervensi Anjung Singgah di ibu negara. Lebih 100 gelandangan mengunjungi pusat ini untuk mendapatkan makanan percuma bernilai 13 ringgit yang disajikan, bermula 12 tengah hari hingga 1.30 petang.  Mereka juga diberikan tempat menginap sementara untuk selama dua minggu, sebelum memperolehi pekerjaan.

Agak terkejut dan pelik dengan pengumuman terbaru Kementerian Wilayah Persekutuan mengehadkan aktiviti pemberian bantuan dan makanan kepada gelandangan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hanya boleh dilakukan dalam lingkungan dua kilometer dari pusat bandar, dengan tujuan menghalang golongan gelandangan sewenang-wenangnya menjadikan kaki lima ibu kota sebagai tempat tinggal mereka sekali gus mengundang imej buruk terhadap bandar raya ini. Pihak kementerian tidak mahu golongan gelandangan hanya mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak dan tidak mahu bekerja sedangkan mereka mempunyai tubuh badan yang sihat dan mampu untuk bekerja.
Ya, benar kita mahukan sebuah bandaraya yang bebas dari golongan pengemis dan gelandangan. Kita semua mahu begitu, bukan kementerian sahaja. Namun adakah langkah itu akan menyelesaikan isu gelandangan? Tidakkah ia akan membiakkan masalah gelandangan baharu, di tempat yang lain? Umpama menyapu sampah di atas lantai rumah tetapi sampah disorok di bawah karpet.

Golongan gelandangan yang memenuhi bandaraya Kuala Lumpur bukan sahaja golongan yang terlantar dan tidak mempunyai pekerjaan, tetapi juga golongan yang benar-benar susah, golongan yang ditinggalkan kerana tua dan berpenyakit kronik, golongan tua, wanita dan kanak-kanak pengemis yang didalangi sindiket, golongan imigran dan golongan penagih. Apa pula langkah kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah golongan-golongan ini?

Peranan kolektif institusi zakat juga boleh membantu menyelesaikan masalah ini. Golongan fakir, miskin, dibawah belenggu perhambaan (Fir Riqab), orang-orang berhutang (Al-Gharimin), dan orang-orang bermusafir yang terlantar (Ibnu Sabil) adalah antara asnaf-asnaf yang berhak menerima zakat.

Fir Riqab pada dasarnya bererti membebaskan atau menamatkan seseorang itu daripada amalan perhambaan. Amalan perhambaan dalam konteks tradisi sudah tiada. Namun takrif Ar Riqab ini boleh diperluaskan lagi kepada segala bentuk perhambaan dan penindasan yang ada pada hari ini, seperti cengkaman sindiket golongan-golongan berkuasa ke atas golongan yang lemah yang dipaksa mengemis, dan sebagainya.

Masalah gelandangan, jika tidak ditangani dengan metod dan solusi yang betul, ia akan menjadi lebih membiak dan parah. Beberapa hari selepas pengumuman langkah kerajaan tersebut, beberapa pengemis dan gelandangan sudah mula kelihatan di lampu-lampu isyarat dan beberapa premis di bandar Shah Alam. Tidak mustahil akan merebak pula ke Bandar-bandar lain. Wallahu’alam.


- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sekretariatpgsm@yahoo.com

No comments:

Post a Comment

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...