Monday, July 7, 2014

Penguatkuasa agama bawa imej Islam

Oleh Musa Awang

Kontroversi lagi melibatkan penguatkuasa agama. Kali ini isu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke majlis perkahwinan Zarina Abdullah Majid yang dijalankan di sebuah kuil di Petaling Jaya yang dikatakan melanggar Peruntukan Seksyen 4 Enakmen Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Seksyen 4 ialah berkenaan kesalahan memujuk, mempengaruhi, atau menghasut orang berugama Islam supaya mengubah keimanan. Seksyen 4 berbunyi - (1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang berugama Islam - (a) supaya cenderong kepada mana-mana ugama bukan Islam; atau (b) supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana ugama bukan Islam; atau (c) supaya meninggalkan atau tidak suka kepada ugama Islam. Kesalahan ini jika disabitkan, pesalah boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.

Menurut laporan, JAIS mendakwa pengantin perempuan dalam upacara itu beragama Islam, tetapi wanita berkenaan menafikannya dan berkata bapanya menukar agamanya kepada Islam tanpa pengetahuan keluarganya. Hanya nama dan status dalam sijil kelahiran kad pengenalan sahaja dicatatkan sebagai Islam. Zarina berkata ibunya S Vasandamma merupakan seorang Hindu, seperti juga bapanya, S Mahendran ketika pasangan itu berkahwin pada tahun 1980. Bapanya telah menukar nama kepada Abdullah Majid apabila memeluk Islam selepas itu, namun ibunya kekal beragama Hindu. Bapanya bagaimanapun meninggalkan mereka pada 1990 dan beliau dibesarkan oleh ibunya yang kekal beragama Hindu.

Tidak dinafikan, menjadi sesuatu yang memalukan dan akan menimbulkan kemarahan apabila seseorang disiasat pihak berkuasa semasa melangsungkan majlis perkahwinan, boleh menimbulkan tandatanya di kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan tetamu yang hadir, malah boleh menyebabkan majlis tersebut tergendala.

Walaubagaimanapun, penulis percaya bahawa tindakan pegawai JAIS adalah berdasarkan maklumat serta bersumberkan kuasa yang diberikan oleh Enakmen tersebut. Sesuai dengan peranan JAIS untuk menjaga kepentingan agama Islam dan penganut agama Islam di negeri itu. JAIS berhak untuk menjalankan siasatan apabila disyaki berlaku suatu kejadian jenayah di sesuatu lokasi. Dari segi locus, JAIS masih berbidangkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil keterangan wanita itu, kerana dari segi status quo wanita itu masih sebagai seorang beragama Islam, sehinggalah dibuktikan sebaliknya.

Langkah siasatan yang dilakukan di suatu majlis keramaian atau perhimpunan yang sudah pasti dihadiri ramai orang ini menarik untuk diteliti, diamati, diperhalusi untuk dijadikan panduan pada masa-masa akan datang. Beberapa perkara sepatutnya diberi perhatian, kerana tindakan yang tidak wajar akan mengundang tohmahan kepada Islam.

Penguatkuasa agama bukan sahaja bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Syariah, tetapi juga membawa sekali imej Islam pada sebarang tindakannya. Manakah nilaian yang lebih baik untuk menjaga imej Islam semasa menjalankan penguatkuasaan, sepatutnya diberi perhatian terutama apabila melibatkan bukan Islam. Bertindak ketika majlis berlangsung atau menunggu setelah majlis selesai? Adakah jika siasatan dibuat setelah majlis selesai akan menghilangkan bukti atau menyebabkan kesalahan boleh menjadi tidak berlaku?

Allah SWT telah menggariskan beberapa pendekatan yang boleh dipraktikkan oleh seorang Islam dalam berurusan dengan bukan Islam berhubung soal agama. Firman Allah SWT  yang bermaksud “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik ; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” [Surah an-Nahl : 125]

Penguatkuasa undang-undang Syariah bukan sahaja memikul tugas sebagai seorang penguatkuasa, tetapi pada masa adalah seorang dai’e yakni seorang mubaligh yang menyampaikan mesej kepada masyarakat bukan Islam tentang keindahan dan kesyumulan Islam. Allah SWT telah menegaskan bahawasanya tugas kita hanyalah menyampaikan kepada mereka petunjuk, tetapi hanya Allah SWT jualah yang akan memberikan petunjuk yakni hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Petunjuk yang hendak disampaikan bukan sahaja dengan jalan dakwah bil lisan (lidah), bil mal (harta), bil kutub (penulisan), tetapi juga dengan cara dakwah bil hal, yakni dengan tingkah laku, akhlak dan tauladan yang baik yang akan menjadi cerminan terbaik kepada masyarakat bukan Islam.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan  disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” [Surah al-Baqarah: 272]

Islam dan Muslim adalah dua subjek nilai yang berbeza. Islam merujuk kepada satu cara hidup yang terbaik yang dianjurkan oleh Allah SWT yang dijamin sesuai dengan fitrah manusia pada setiap zaman. Pada Islam berdirinya prinsip-prinsip yang menjadi pegangan kepada manusia yang mengimaninya dan golongan manusia inilah yang diistilahkan sebagai Muslim.

Malangnya berlaku pada hari ini, apa yang sampai kepada orang bukan Islam adalah mesej-mesej tentang Muslim, bukannya mesej-mesej tentang Islam. Kesilapan, kecuaian dan ketidaksempurnaan dilakukan oleh seseorang Muslim, tetapi Islam yang menerima hukuman. Justeru, tidak adil untuk Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna itu dihukum atas ketidaksempurnaan atau kegagalan penganutnya dalam menghayati norma-norma yang dianjurkan dalam Islam.

Hikmah daripada insiden ini, membolehkan kita mencari suatu kaedah yang lebih sesuai tentang bagaimana kita hendak menjalankan kuasa-kuasa yang diberi oleh undang-undang, boleh diterima oleh anggota masyarakat tanpa sebarang protes. Kerana sepatutnya seseorang Islam itu tidak akan dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali. Wallahu’alam.
-    
-  - Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...