PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) - Status perkahwinan
bagi mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang beragama
Islam tidak terbubar walaupun kerajaan mengisytiharkan semua penumpang pesawat
malang itu terkorban.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa
Awang berkata untuk menentukan status sesuatu perkahwinan terbubar, perintah
Anggapan Kematian atau perintah pembubaran perkahwinan perlu dibuat oleh
mahkamah.
"Pada pandangan saya walaupun dengan
pengisytiharan yang dibuat oleh kerajaan tentang status MH370, ia belum
membubarkan status perkahwinan mangsa-mangsa dan sebarang tuntutan ke atas harta
pusaka tidak boleh dibuat.
"Hanya mahkamah yang boleh mengeluarkan
perintah Anggapan Kematian," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Musa berkata jika pasangan mangsa berhasrat untuk memuktamadkan status perkahwinannya, maka individu berkenaaan boleh memohon perceraian secara fasakh atas alasan suami telah ghaib lebih setahun atau mereka boleh memohon mendapatkan perintah Anggapan Kematian daripada mahkamah.
Musa menjelaskan menurut Seksyen 18 Akta
Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) adalah dinyatakan dengan
jelas bahawa setiap kematian di negara hendaklah didaftarkan dengan syarat
mayatnya dijumpai.
Dalam kes mayat tidak dijumpai atau individu yang diklasifikasikan sebagai telah dianggap mati, maka perintah Anggapan Kematian perlu diperoleh di Mahkamah Tinggi berdasarkan Seksyen 108 Akta Keterangan 1950, katanya.
Dalam kes mayat tidak dijumpai atau individu yang diklasifikasikan sebagai telah dianggap mati, maka perintah Anggapan Kematian perlu diperoleh di Mahkamah Tinggi berdasarkan Seksyen 108 Akta Keterangan 1950, katanya.
Beliau berkata bagi kes Anggapan Kematian, Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan mendaftarkan atau mengeluarkan sijil
kematian, sebaliknya hanya akan mengemas kini maklumat individu yang telah
dianggap mati oleh Mahkamah Tinggi di dalam sistem jabatan.
"Untuk sebarang urusan berkaitan individu yang
telah dianggap mati, waris perlulah menggunakan perintah yang telah dikeluarkan
oleh mahkamah" katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam
Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan insiden pesawat malang MH370 secara
rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan
antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap
terkorban.
Azharuddin berkata pengisytiharan itu dibuat
mengikut Piawaian Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa,
yang lazimnya dirujuk sebagai Konvensyen Chicago.
Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal
dan 227 penumpang itu hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala
Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam, 8 Mac lepas.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapa dalam satu kenyataan di ibu negara
berkata hal berkaitan pengagihan harta pusaka, pembubaran status perkahwinan
mangsa, atau hukum-hukum lain hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan
berasaskan peruntukan undang-undang yang ditetapkan setelah pengesahan atau
pensabitan kematian diputuskan oleh mahkamah.
- BERNAMA
- BERNAMA