Monday, March 26, 2012

PGSM Bantah Bukan Islam Jadi Peguam Syarie

March 21, 2012

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mempunyai pandangan yang selari dengan kerajaan pusat berhubung isu orang bukan Islam mahu menjadi peguam syarie di negara ini.

Timbalan Presidennya, Musa Awang berkata, PGSM masih mengekalkan pendiriannya iaitu tidak bersetuju dengan mana-mana bukan Islam yang mahu menjadi peguam syarie.

“PGSM membantah sekeras-kerasnya bukan Islam dibenarkan beramal sebagai peguam di Mahkamah Syariah kerana terdapat halangan Syarak dan undang-undang.

“Orang bukan Islam dialu-alukan untuk belajar undang-undang Syariah tetapi tidak semestinya mereka perlu dibenarkan untuk menjadi Peguam Syarie,” katanya melalui satu kenyataan media.

Katanya, pelajaran yang diperolehi oleh bukan Islam itu adalah sebagai pendedahan, pendidikan dan pengetahuan dan semoga mereka mendapat hidayah dari Allah.

Kelmarin media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai berkata, pelajar jurusan undang-undang boleh mendalami bidang syariah namun ia bukan ‘tiket’ buat mereka terutamanya bukan Islam untuk menjadi peguam syarie.

Beliau dipetik berkata, undang-undang syariah yang dipelajari mereka adalah sebagai pendedahan dalam konteks ilmu pengetahuan.

Dalam pada itu, Musa berkata, PGSM dalam usaha mendapatkan mandat daripada majoriti ahlinya dan Peguam Syarie seluruh Negara bagi memperakui kewujudan Akta Guaman Syarie.

Menurutnya, usaha itu dilakukan kerana berkemungkinan ada di kalangan Peguam Syarie yang tidak bersetuju dengan kewujudan akta tersebut kerana lebih selesa untuk kekal di bawah peraturan atau Kaedah-kaedah Peguam Syarie Negeri.

Katanya, PGSM sedang mengatur program untuk mendapatkan mandat tersebut dan akan mengadakan bengkel perbincangan bagi mendapatkan pandangan atau input di kalangan Peguam Syarie terhadap draf awal Akta tersebut.

Justeru, katanya, PGSM berharap bantuan dari kerajaan terutama Jabatan Perdana Menteri dari segi kewangan memandangkan sumber kewangan PGSM yang terhad.

Wednesday, March 7, 2012

Kecurangan boleh dielak jika pasangan saling memahami



Oleh Tuan Musa Awang

Peguam Syarie Menulis
Berita Harian
07/03/2012

Berpisah jasad, jiwa punca utama rumah tangga musnah

REKOD Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencatatkan 28,035 pasangan bercerai sepanjang 2010. Statistik itu bermakna, secara purata 77 kes perceraian sehari atau tiga kes bagi setiap jam didaftarkan di Malaysia berbanding 135,548 pasangan yang berkahwin tahun sebelumnya. Angka itu mencatatkan peningkatan 144 kes berbanding 27,891 pasangan bercerai sepanjang 2009.

Curang atau kehadiran orang ketiga dikatakan antara punca utama berlaku perceraian di kalangan umat Islam. Faktor lain ialah poligami, kerenah dan campur tangan keluarga yang keterlaluan, masalah kesihatan pasangan seperti kesuburan, masalah hutang, ekonomi, pengangguran, peluang kerja terhad, komitmen kerja, kerjaya terlalu tinggi, cemburu buta, kurang didikan moral, penderaan dan pengabaian. Kecurangan dapat dikesan melalui perubahan awal pasangan. Perubahan yang berlaku pada pasangan akan dapat dilihat dan dirasa dalam hati suami atau isteri kerana suami dan isteri adalah satu jiwa yang memiliki naluri dan empati antara satu sama lain. Isteri dapat mengenal pasti perubahan yang berlaku pada suaminya, begitu juga dengan suami. Cinta jarak jauh, iaitu berpisah jasad dan jiwa punca paling utama boleh merosak alam perkahwinan dan menyebabkan berlaku kecurangan. Boleh jadi suami dan isteri terpisah kerana tuntutan kerjaya, pendidikan atau campur tangan keluarga yang mahukan mereka berpisah atas sebab tertentu.

Keadaan ‘weekend couple’ perlu ditangani dengan baik. Pada permulaannya perpisahan mungkin manis, apatah lagi jika masa bertemu hanya di hujung minggu, tetapi jika tidak ditangani dengan baik, lama kelamaan boleh merenggut kemanisan cinta dan kasih sayang suami isteri.

Kecurangan juga disebabkan seks yang diabaikan. Bagi pasangan muda dan sihat, masalah seks menjadi keutamaan yang mesti dipenuhi kedua-duanya. Jika salah satu pihak mengabaikannya, maka ada pihak yang akan merajuk, putus asa dan berasa tidak disayangi.

Kemudian pasangan ini mencari alternatif untuk melupakan masalah dengan pasangan. Alasan kerja atau terbabit dengan hobi baru dijadikan alasan untuk menjauhkan diri daripada pasangan, pada masa sama menjalin cinta dengan kekasih baru.

Kita perlu sedar, perkahwinan ialah sebuah tanggungjawab. Tanggungjawab pada diri sendiri, pada pasangan dan pada keluarga. Jika salah satu pihak mengabaikan tanggungjawab, tidak mustahil pasangan akan berlaku curang. Suami yang tidak memberikan nafkah boleh menyebabkan isteri bergantung harap kepada orang lain untuk sumber kewangan.

Pergaduhan kecil dalam rumah tangga jika dibiarkan akan menjadi barah yang merosakkan perkahwinan. Bibit awal pertengkaran mungkin boleh mengakibatkan tidur berpaling muka atau berjauhan dan jika terus dibiarkan akan membawa kepada tidur berasingan. Sebumbung, tetapi hati semakin jauh, tinggal di bilik berasingan. Akhirnya, boleh merosakkan alam rumah tangga.

Sesetengah orang berlaku curang akibat terlalu dikongkong oleh pasangan, hidupnya diatur atau dikawal ketat kebebasannya. Orang seperti ini berlaku curang kerana mahu membuktikan kepada pasangan bahawa dia masih berharga atau menjadi rebutan di mata orang lain dan pada masa sama mahu memberi pelajaran berguna kepada pasangan. Kecurangan dimulai dengan berbohong kepada pasangan.

Kecurangan juga mungkin disebabkan rasa marah yang lama dipendam dalam diri pasangan. Dia mungkin tidak meluahkan untuk mengelak berlaku sengketa, tetapi kemarahan itu dibebaskan dengan melakukan kecurangan. Masalah komunikasi boleh membuatkan percintaan menjadi hambar. Terlalu pendiam, tidak sama matang, kurang berjenaka, kurang bercerita masalah atau peristiwa dan kurang mengucap kata cinta dengan pasangan. Pada masa sama, muncul orang lain yang dapat mengisi kebejatan komunikasi ini dengan pandai berbicara, mengambil hati, berlawak dan berkongsi idea dan pendapat.

Kebahagiaan berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Setiap pasangan perlu tahu membahagiakan antara satu sama lain. Memberi dan menerima, bukan menerima saja. Bila si dia berasa tidak bahagia bersama, boleh jadi dia akan mencari pengganti lain untuk mendapatkan kebahagiaan, yang definisi kebahagiaan yang dicarinya mungkin berbeza dan kadang-kadang tidak jelas.

Syarak mengharamkan isteri menyimpan rasa suka apatah lagi rasa cinta kepada lelaki selain suami. Jika isteri bercinta dengan lelaki lain, isteri ini boleh dikategorikan sebagai curang. Kegagalan suami menunaikan tanggungjawab bukanlah alasan untuk isteri beralih kasih.

Jika isteri berlaku curang terhadap suami, maka isteri perlu keluar daripada perkahwinan. Begitu juga dengan suami. Jika isteri tidak dapat dipegang dengan cara makruf, maka perlu dilepaskan mereka secara baik. Firman Allah SWT bermaksud: “...maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan baik, atau lepaskan mereka dengan baik...” (Surah al-Baqarah: 231)

Kecurangan dalam rumah tangga dapat dielakkan sekiranya kedua-dua pasangan mempunyai niat yang ikhlas ketika berkahwin dan bersedia menerima pasangan seadanya, susah senang bersama, saling memperbaiki diri demi keharmonian rumah tangga, bukannya berterusan melakukan kesilapan sama.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat emel maa46050@yahoo.com.

Raja - Pemegang Amanah Kedaulatan Watan

Harian Metro 15 March 2017 Oleh Musa Awang Sistem pemerintahan beraja atau ‘monarki’ merupakan sistem pemerintahan yang tertua di du...