Saturday, January 5, 2013

Perutusan Tahun Baru 2013 Presiden PGSM

Assalamu’alaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdullilah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita masih dipanjang umur dan dapat menyaksikan labuhnya tirai tahun 2012 serta terpancar fajar baru 2013. Tentu sebahagian besar atau mungkin kesemua azam kita tahun 2012 telah dimakbulkan Allah SWT, dan kita melangkah ke tahun 2013 ini dengan azam yang baru.

Tahniah kepada pelatih dalam kamar yang telah lulus dalam temuduga dan telah ditauliahkan sebagai Peguam Syarie. Kepada yang gagal, usah putus asa. Cuba lagi di tahun 2013 ini. Tahniah kepada rakan-rakan kita yang melangsungkan perkahwinan sepanjang cuti panjang persekolahan baru-baru ini. 

Tahniah juga kepada rakan-rakan kita yang telah dikurniakan cahayamata. 

Tahniah juga kepada rakan-rakan kita yang telah mendapat tempat untuk melakukan latihan dalam kamar, atau yang bertukar majikan yang baru atau yang membuka firma sendiri. Saya bagi pihak PGSM mengucapkan selamat maju jaya.

Mungkin kita tidak sedar, kebahagian yang kita perolehi atau kejayaan yang kita kecapi dalam perkara-perkara yang disebutkan di atas mempunyai satu elemen yang sama, iaitu “amanah”. Apabila dikaitkan dengan amanah bererti ia akan disoal oleh Allah SWT.

Sabda Baginda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, katanya: “Saya telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: ‘Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan diminta bertanggungjawab atas kepemimpinannya. Seorang ketua negara akan diminta bertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang mengurus rumah tangga akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu atau pekerja yang bertugas memelihara barangan milik majikannya juga akan ditanya perihal yang dipimpinnya. Dan kamu sebagai pemimpin akan ditanya (dipertanggungjawab) atas kepemimpinannya’.” (HR Bukhari dan Muslim).

Jadi, marilah kita sama-sama memastikan amanah yang diletakkan atas bahu setiap dari kita itu dilaksanakan sepanjang tahun 2013 ini.

Bagi pihak kepimpinan PGSM sesi ini (MT & EXCO), saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua Peguam Syarie, pelatih dalam kamar dan pelajar-pelajar, terutama ahli PGSM yang sama-sama menyokong dan mendokong PGSM sepanjang kami memegang tampuk kepimpinan PGSM. Teruskanlah sokongan Tuan/Puan kepada PGSM sepanjang tahun 2013 ini dan seterusnya pada masa-masa akan datang.

Pelbagai program telah dirancang untuk tahun 2013.

Program pertama tahun 2013 ialah Seminar Prosedur Rayuan Jenayah & Mal Di Mahkamah Syariah Selangor : Berdasarkan Kajian Kes pada Sabtu 12 Januari 2013, anjuran bersama PGSM dan Persatuan Pegawai Syariah Selangor (PPSS). Tempat terhad seramai 40 orang sahaja. Silalah Tuan/Puan daftar segera.

Mesyuarat Agung Tahunan PGSM dijadualkan pada 15 Februari 2013. Insya-Allah pada Februari 2013 juga akan diadakan Persidangan Peguam Syarie Negeri Selangor, manakala sekitar Julai 2013 akan diadakan Konvensyen Peguam Syarie Kebangsaan Kali Ke-3 serta Majlis Makan Malam PGSM.

PGSM juga merancang untuk mengadakan Seminar Bagaimana Mengekalkan Kebahagian Rumahtangga, Seminar Pengurusan Harta Islam dan Klinik Guaman Syariah Percuma (Klinik Syariah) untuk masyarakat awam.

Program Tafaqquh akan diteruskan seperti biasa pada Jumaat minggu ketiga setiap bulan. Begitu juga program Skil Advokasi Peguam Syarie, program-program sukan dan riadah dan lain-lain secara berterusan.

PGSM sedang dalam proses menerbitkan buku ilmiah, kompilasi artikel ilmiah serta kompilasi kertas-kertas kerja program. Sekurang-kurangnya 4 buah buku bakal diterbitkan tahun 2013 ini. Insya-Allah. PGSM juga sedang mengumpulkan alasan-alasan penghakiman untuk kes-kes Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah daripada ahli-ahli yang mewakili kes-kes tersebut. Ahli-ahli boleh menghantarkan salinan penghakiman tersebut ke sekretariat PGSM, atau emelkan soft copy kepada sekretariatpgsm@yahoo.com.

Untuk makluman, draf Akta Profesion Guaman Syarie sedang dalam peringkat kedua, yang mana PGSM akan mengadakan mesyuarat dengan JAKIM dan Peguam Negara pada Januari 2013 untuk memuktamadkan draf tersebut. Buat masa ini, perbincangan draf tersebut dibuat dalam Jawatankuasa Kecil Draf APGS di bawah PGSM, dianggotai oleh kesemua MT PGSM, Exco Profesion Guaman Syarie, beberapa orang Exco lain serta beberapa orang ahli senior yang dilantik oleh PGSM.

Program latihan Peguam Syarie panel untuk YBGK juga akan diteruskan ke negeri-negeri di utara, pantai timur, Sabah, Sarawak, dan seterusnya program latihan fasal kedua pula akan menyusul. Untuk makluman, PGSM telah dilantik sebagai lembaga pengarah dalam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. 

Juga, wakil PGSM telah dilantik dalam Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor, Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah, Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Sembilan dan terkini PGSM sedang memperjuangkan supaya ada wakil PGSM dalam Jawatankuasa Peguam Syarie Wilayah Persekutuan yang tidak ada wakil peguam syarie sejak sekian lama.

Insya-Allah, dengan sokongan Tuan/Puan, kesemua perancangan tahun 2013 ini akan dilaksanakan dengan betul dan mengikut jadual. Marilah kita bersama-sama merealisasikan masa depan yang lebih baik untuk profesion tercinta ini, dalam mencari redha Allah SWT. Ia tidak akan menjadi sebuah mimpi sahaja, malahan ia akan berada dalam rangkulan kita jika kita sanggup merancang dengan teliti dan bekerja keras bagi mencapainya. Sesungguhnya hari-hari yang terbaik kita berada di hadapan kita. Selamat tahun Baru 2013.

Terima kasih.
“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

MUSA AWANG
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
18 Safar 1434H bersamaaan 31 Disember 2012.

Tuesday, January 1, 2013

Isteri bukan tempat suami lepas kemarahan

Peguam Syarie Menulis
Berita Harian, 02 Januari 2013

Oleh Musa Awang

Tirai 2012 ditutup dengan suatu kejadian yang menyayat hati berlaku di Kedah beberapa hari lalu. Seorang suri rumah berusia 17 tahun ditemui mati dipercayai dibunuh suami yang baru dikahwini enam bulan lalu.

Kejadian dipercayai akibat rasa cemburu suami mangsa yang mengesyaki isterinya menjalin hubungan dengan lelaki lain. Ini bukan kejadian pertama tahun ini kerana Julai lalu, seorang eksekutif pentadbiran sebuah stesen televisyen disyaki dibunuh suaminya.

Apabila melafazkan ijab kabul menikahi isteri, ramai suami menganggap isteri menjadi hak miliknya dan dia mempunyai hak atau kuasa penuh terhadap isteri. Disebabkan anggapan salah inilah, suami sering bertindak sesuka hati terhadap isteri hingga sanggup memukul, mencederakan dan membunuh.

Hakikatnya, isteri adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada suami. Apabila suami melafazkan ‘aku terima nikahnya’, bererti suami telah membuat suatu perjanjian syarie yang kuat untuk menerima amanah serta tanggungjawab dipindahkan dari datuk, bapa atau adik beradik lelaki isteri kepada suami.

Sabda Rasulullah SAW: “Takutlah kepada Allah mengenai wanita (isterimu). Sebab dia engkau ambil (kahwin) dengan amanah daripada Allah.” (Riwayat Muslim)

Antara ucapan Rasulullah SAW di Padang Arafah ketika menunaikan haji terakhir pada 10 hijrah, Baginda meninggalkan pesanan kepada suami: “Ingatlah bahawa kaum hawa itu adalah kejadian Allah yang bersifat lemah dan berada di sampingmu. Mereka tidak sekuat tenagamu. Kamu mengambil mereka untuk bersamamu sebagai suatu amanah daripada Tuhan dan mereka halal bagimu dengan kalimah Allah. Oleh yang demikian, takutlah kepada Allah dalam segala urusan yang berkaitan wanita. Terimalah wasiat ini untuk bergaul dengan baik bersama mereka.”

Amanah adalah satu taklif (tanggungjawab) bukannya tasyrif (kemuliaan).  Menurut Imam al-Ghazali, amanah ialah suatu yang paling berat untuk dilaksanakan dan amanah ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Realitinya, di luar sana banyak berlaku kes membabitkan keganasan rumah tangga terutama kes suami memukul isteri hingga mendatangkan kecederaan serius.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang dilaporkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kei pada April lalu, sebanyak 18,124 kes keganasan rumah tangga dilaporkan daripada 2007 sehingga 2011. Sebanyak 3,756 kes pada 2007, 3,769 kes (2008), 3,643 (2009), 3,173 (2010) dan 3,277 (2011).

Walaupun statistik menunjukkan aliran mendatar, perkara ini tetap perlu dipandang serius. Laporan menunjukkan majoriti kes keganasan rumah tangga (54 peratus) berlaku ketika awal perkahwinan berpunca daripada perselisihan faham antara suami isteri. Faktor lain ialah kewangan, di bawah pengaruh alkohol, cemburu dan masalah anak.

Statistik juga menunjukkan kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga adalah wanita berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun iaitu 35 peratus daripada jumlah kes keseluruhan. Manakala pelaku pula kebanyakan berusia 26 hingga 35 tahun.

Tinjauan di Mahkamah Syariah pula mendapati penderaan fizikal dan mental oleh suami adalah antara faktor semakin ramai wanita Islam menuntut cerai secara fasakh, kerana tidak mampu lagi bertahan dengan sikap suami mereka.
Bentuk penderaan dan penganiayaan yang dialami termasuk suami memukul, mencederakan, mengabaikan nafkah batin, mencerca, maki hamun, berkata-kata nista, panggilan kesat dan menghina isteri serta ahli keluarganya.

Antara tempoh dari 2008 sehingga 2010, bilangan yang menuntut fasakh mencecah sehingga 14,419 kes, dengan bilangan mendaftar pada 2010 meningkat 36 peratus berbanding dua tahun sebelum itu.

Alasan penganiayaan oleh suami adalah alasan kedua terbesar selepas masalah nafkah yang diadukan oleh isteri dalam tuntutan fasakh untuk membubarkan perkahwinan.

Namun, ramai juga wanita Melayu yang masih mengambil sikap bersabar dan tetap mempertahankan rumah tangga walaupun kes penderaan serta penganiayaan oleh suami berlarutan untuk tempoh yang lama.

Sebabnya, masih sayang, memberi peluang kepada suami untuk berubah, memikirkan masa depan anak, menjaga air muka keluarga dan lain-lain.

Tidak dinafikan, mungkin ada sikap derhaka atau nusyuz isteri yang perlu diperbetulkan suami. Namun dalam menangani masalah isteri derhaka, Islam telah menggariskan panduan yang jelas dalam al-Quran.

Tindakan yang perlu dilakukan suami ialah bersabar, memberi nasihat, memisahkan tempat tidur dan memukul, tetapi ada caranya serta tidak mencederakan.

Rasulullah SAW tidak pernah memukul isteri Baginda walaupun dengan pukulan kecil, malah Baginda mengingatkan suami dengan sabda: “Janganlah salah seorang dari kamu dengan sengaja memukul isterinya seperti memukul hamba kerana pada akhirnya kamu akan menidurinya juga.” (Riwayat Ahmad)
Jika tidak berjaya, krisis itu dirujuk kepada hakam untuk mencari penyelesaian. Jika ini juga tidak berhasil pilihan terakhir suami, jika dia mahu, ialah menceraikan isterinya dengan talak satu.

Sebelum menasihati isteri, suami sepatutnya terlebih dulu melakukan muhasabah, mencari di mana kelemahan dan kesalahan diri. Inilah yang adil bagi isteri dan bijak bagi seorang lelaki yang diberikan kekuatan akal serta fizikal oleh Allah.

Suami yang benar-benar menjaga amanah dipertanggungjawabkan kepadanya akan memperlakukan isterinya dengan sifat terpuji serta sabar. Isteri adalah amanah yang perlu dibentuk, dijagai, dipupuk dan dikasihi.

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...