Sunday, March 29, 2009

Isteri tertekan boleh tuntut Fasakh

SAYA dan suami bekerja sebagai guru dan sudah berkahwin 14 tahun serta mempunyai enam anak. Sepanjang perkahwinan kami, semua gaji saya akan diperuntukkan untuk membeli keperluan rumah tangga dan sekolah anak, sedangkan suami tidak pernah ambil peduli keperluan anak. Suami lebih mendahului orang luar dan jarang berada di rumah. Balik dari sekolah, beliau akan tidur dan apabila bangun, menghabiskan masa di kedai kopi sepanjang hari sehingga lewat malam. Rutin hidup beliau setiap hari benar-benar mengecewakan saya menyebabkan jiwa saya tertekan. Kami sering bergaduh dan saya meminta suami menceraikan saya tetapi tidak dipersetujuinya. Saya sedih apabila suami mengatakan dia tidak mahu melepaskan saya kerana katanya susah mencari isteri yang baik. Disebabkan tindakannya, saya sudah tiada perasaan sayang lagi terhadapnya malah timbul benci, tertekan dan saya sering terfikir untuk membunuh diri. Saya sangat mengharapkan suami berubah dan berada bersama kami sekeluarga di rumah serta mendidik anak yang sedang membesar. Tetapi apabila saya cuba berbincang, beliau akan menolak mentah-mentah semua pendapat saya, umpama menyiram air ke daun keladi. Saya mohon pendapat tuan, apakah yang perlu dilakukan dan apakah ada cara untuk keluar daripada ikatan perkahwinan begini?

Guru tertekan - Pahang

SAYA simpati dengan apa yang puan lalui disebabkan tindakan suami yang kurang bertanggungjawab. Saya melihat setiap individu adalah salah satu juzuk daripada keluarga (usrah) mempunyai peranan masing-masing yang tersendiri.

Individu adalah batu bata dalam pembentukan sesuatu keluarga. Batu bata yang sudah diikat dalam keluarga itu pula adalah sel penting dalam pembentukan masyarakat.

Jika ikatan batu bata individu dalam keluarga itu longgar, maka goyahlah bangunan masyarakat.

Dalam berkeluarga, semua pihak perlu bekerjasama untuk menjadikan perkahwinan berjaya. Islam menetapkan tanggungjawab dan hak suami serta isteri seperti berikut:

Tanggungjawab dan hak suami.

Antara tanggungjawab suami menyediakan nafkah kepada isteri berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan bagi isteri-isteri kamu, hendaklah kamu memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik.” (Hadis riwayat Muslim).

Suami juga mesti bergaul dengan isteri dengan cara yang baik. Firman Allah yang bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik.” (Surah an-Nisa’, ayat 19)

Tanggungjawab dan hak isteri.

Isteri wajib mentaati suami dalam perkara yang bukan maksiat.

Isteri juga tidak boleh membenarkan orang lain memasuki rumah tanpa kebenaran dan keredaan suami.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya ke tempat tidurmu (memasuki rumahmu). (Hadis riwayat Muslim)

Begitu juga dengan maruah, setiap isteri mesti menjaga kemuliaan, kehormatan dan harta benda suami. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan sebaik-baik perkara yang disimpan oleh lelaki? Ia adalah isteri yang salihah; apabila suami melihatnya, dia menggembirakan suaminya, apabila suami menyuruhnya, dia taat, dan apabila suaminya tidak ada bersamanya, dia menjaga dirinya dan harta benda suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Tanggungjawab bapa terhadap anak.

Islam juga mewajibkan bapa secara khusus memberi nafkah kepada anak. Menjaga kebajikan anak, termasuk menyediakan dalam kadar munasabah keperluan untuk hidup, belajar dan kesihatan.

Begitu juga anak wajib dididik supaya sentiasa beribadat dan berakhlak mulia. Tugas mendidik berada di atas kedua ibu dan bapa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Didiklah anak kamu dengan tiga perkara; cintakan Nabi kamu, cintakan ahli keluarga Nabi kamu dan membaca al-Quran.” (Hadis riwayat Dailami)

Kini kita selalu berjumpa dengan masalah hampir sama seperti puan hadapi. Suami tidak bersungguh menjaga kebahagiaan dan menunaikan tanggungjawab dalam keluarga.

Perkembangan ini sangat menyedihkan kerana apabila bapa tidak menjalankan tugasnya dengan baik, anak kurang terbentuk dan hilang hormat kepadanya. Sedangkan anak adalah zuriat dan menjadi pelapis masa depan yang perlu diberi perhatian, didikan serta kasih sayang.

Kadangkala ada suami yang memberi wang sebagai nafkah tetapi tidak mendidik anak dengan baik.

Walaupun bapa memberi nafkah kepada anaknya sekalipun, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melepaskan terus tanggungjawabnya mendidik anak kerana semua ibu bapa adalah penjaga dan mereka akan dipersoalkan di akhirat kelak mengenai orang di bawah jagaannya.

Jika suami puan masih berterusan mengabaikan tanggungjawab nafkah terhadap anak, puan boleh mengemukakan tuntutan di Mahkamah Syariah supaya suami diperintahkan membayar nafkah anak dalam jumlah sewajarnya.

Perintah pembayaran nafkah anak juga boleh dibuat dengan cara potongan gaji suami.

Tetapi perlulah diingatkan bahawa campur tangan mahkamah adalah jalan atau pilihan terakhir. Cubalah berbincang dengan cara baik dan penuh hikmah.

Sekiranya nasihat atau kata-kata puan terhadap suami bagai mencurah air ke daun keladi, sebaiknya puan berusaha mendapatkan nasihat atau pertolongan daripada ahli keluarga lebih tua dan matang yang disegani suami.

Individu itu mestilah seorang yang tidak memihak kepada mana-mana pihak, kata-kata dan nasihatnya didengar dan diterima oleh suami.

Jika usaha ini juga tidak berjaya, puan panjangkan perkara ini ke Bahagian Perundangan Keluarga Jabatan Agama Islam tempat puan tinggal.

Biarlah pegawai kaunseling di jabatan berkenaan berjumpa dan menasihatkan suami.

Kadangkala suami akan mendengar nasihat dan teguran yang dibuat pegawai kaunseling ini.

Jauhkan fikiran puan daripada memikirkan perkara yang menyesatkan seperti membunuh diri.

Membunuh diri bukan saja berdosa besar, malah puan tidak akan mencium bau syurga. Membunuh diri juga bukan penamat masalah.

Fikirkanlah nasib anak puan yang masih memerlukan belaian seorang ibu yang penyayang dan mulia.

Sebagai orang Islam, kembalilah kepada ajaran Islam yang syumul dan lengkap.

Banyakkan berdoa, sembahyang hajat dan memohon keampunan daripada Allah. Mudah-mudahan Allah membuka hati suami untuk menjadi suami yang baik yang akan dikenang baik sepanjang hayat oleh isteri dan anak.

Apabila segala ikhtiar gagal dan puan tidak mahu lagi berada dalam ikatan perkahwinan, maka puan boleh menuntut fasakh atau cerai taklik atas alasan pengabaian nafkah oleh suami terhadap diri puan.

Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar dan soalan boleh dikirim ke exco_pgsm@yahoo.com

[sumber : berita harian, Oleh Musa Awang]

PANDUAN TANGANI NUSYUZ

KEBELAKANGAN ini banyak berlaku kejadian isteri derhaka dan tidak mentaati suami (nusyuz). Ia bukan saja berlaku kepada rakan saya, malah juga saudara mara saya sendiri. Saya khuatir jika ia merebak pula kepada isteri saya. Apakah sebenarnya punca nusyuz, adakah disebabkan suami atau isteri. Jika ia berlaku, sebagai suami apa yang patut saya lakukan? Benarkan nusyuz akan memberi kesan kepada nafkah, mutaah dan harta sepencarian isteri, jika berlaku perceraian.

Suami Risau, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.


NUSYUZ membawa erti derhaka ataupun ingkar kepada perintah suami pada perkara yang sah di sisi syarak untuk melakukannya. Nusyuz mungkin berpunca daripada isteri, suami atau faktor luaran.

Sikap ego isteri yang mempunyai kelebihan dari segi kecantikan paras, kelulusan tinggi, kekayaan ataupun pangkat dan kedudukan lebih tinggi daripada suami, ketidakmampuan dan kegagalan suami menyediakan perkara yang dikehendaki isteri boleh menyebabkan isteri derhaka kepada suami. Isteri yang berpangkat dan berjawatan lebih tinggi daripada suami, mungkin tidak menghormati arahan suami, meninggikan suara apabila tidak bersetuju dan sebagainya.
Nusyuz juga berpunca daripada suami bengis, panas baran dan sentiasa mencari kesalahan isteri. Isteri tertekan, cuba melepaskan diri sehingga berlakulah kejadian keluar dari rumah tanpa izin, bersikap dingin ketika melayani suami, selalu bermasam muka dan seumpamanya.

Suami bersifat bakhil yang tidak melengkapi keperluan rumah tangga dengan sempurna walhal mempunyai harta yang banyak, juga berkemungkinan menjadi punca nusyuz.

Nusyuz boleh berlaku akibat sikap suami berpoligami tetapi tidak berlaku adil di antara isterinya. Isteri yang menjadi mangsa ketidakadilan mencari jalan keluar yang salah dengan melakukan hubungan sulit dengan lelaki lain, keluar rumah tanpa keizinan suami, bekerja di tempat maksiat dan sebagainya. Nusyuz juga mungkin berpunca daripada suami yang mengadakan hubungan dengan perempuan lain, tidak memberikan nafkah sara diri kepada isteri dan anak-anak, memperkecil-kecilkan kebolehan isteri dan menghina keturunan isteri.

Nusyuz juga boleh berpunca kerana pengaruh luar seperti hasutan mentua yang tidak merestui perkahwinan mereka, umpatan dan fitnah daripada jiran, rakan dan pengaruh masa.

Walau apa pun situasi dan puncanya, Islam menggalakkan pihak yang menghadapi masalah ini tidak mengambil jalan singkat sehingga boleh merosakkan diri, anak dan keluarga. Pihak perlu banyak bersabar dan membawa masalah yang dihadapinya itu kepada pihak yang boleh menyelesaikan masalah mereka.

Suami sebagai ‘raa’in’ (pemimpin), yang diberi kekuatan akal dan jiwa, sebagai pelindung keluarga mestilah bertindak bijaksana dan berhikmah. Islam menggariskan kaedah menangani isteri nusyuz dengan dimulai oleh kaedah menasihati isteri, jika tidak berjaya dipulaukan isteri (mengasingkan diri dari tempat tidur isteri), jika tidak berjaya juga seterusnya dengan memukul isteri dengan pukulan pengajaran yang tidak mencederakan. Kemudian dengan pelantikan orang tengah, dan akhirnya perceraian adalah jalan terakhir.

Punca nusyuz haruslah diselidiki dan dikenal pasti suami, sebelum menasihati isteri dengan cara yang baik dan penuh bijaksana. Wanita digambarkan Rasulullah dalam hadis Baginda ibarat sebatang tulang bengkok. Sekiranya dibetulkan dengan kuat, maka ia akan patah.

Selepas kaedah pertama menemui jalan buntu, maka suami boleh menggunakan kaedah pemulauan atau meninggalkan isteri dari tempat tidurnya. Tempoh masa bagi pemulauan ini ialah selama tiga hari berdasarkan kepada kiasan tindakan yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap isteri Baginda Sayyidatina Safiah apabila Baginda marah terhadapnya. Apabila isteri mula sedar dan insaf, maka suami hendaklah menerimanya kembali serta menggaulinya dengan cara baik.

Kaedah memukul dua kaedah yang dinyatakan di atas tidak berjaya. Namun begitu, terdapat syarat perlu dipatuhi, iaitu suami hendaklah yakin dan nyata isteri menderhaka menurut kehendak syarak. Suami juga hendaklah memastikan pukulan itu tidak melukakan atau mencederakan dan tidak boleh dibuat di tempat yang berbahaya seperti muka dan dada serta tidak menggunakan alat yang boleh mencederakan. Pukul adalah untuk tujuan pengajaran, bukan penganiayaan.

Selepas dilaksanakan keseluruhan kaedah dianjurkan tetapi masih menemui jalan buntu, suami hendaklah menyerahkan urusan ini wakil dari keluarga pihak isteri dan wakil dari pihak suami.

Suami yang tidak memilih perceraian, berhak memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mensabitkan isterinya nusyuz dan memohon perintah supaya isterinya kembali taat kepadanya. Sub-Seksyen 59 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan menyatakan antara sebab boleh disabitkan nusyuz ialah apabila isteri menjauhkan dirinya dari suaminya; meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain.

Sekiranya isteri disabitkan dengan kesalahan nusyuz oleh mahkamah, maka ia memberi kesan terhadap nafkah sepatutnya diperoleh sama ada dalam tempoh perkahwinan ataupun selepas perceraian, sebagai mana diperuntukkan di dalam seksyen 59 (1) Akta yang sama bahawa : “Tertakluk kepada Hukum Syara’ dan pengesahan mahkamah , seseorang isteri tidaklah berhak mendapatkan nafkah apabila ia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya…” Pensabitan nusyuz tidak memberi kesan kepada tuntutan mutaah atau harta sepencarian.

Isteri yang disabitkan nusyuz masih boleh menggugurkan sabitan iaitu dengan cara membuktikan kepada mahkamah beliau insaf dan bertaubat kembali mentaati suami sebagai mana sebelumnya. Di dalam ceraian (3) Seksyen tersebut “Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.”

Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.
Sila layari http://www.peguam syarie.org

Raja - Pemegang Amanah Kedaulatan Watan

Harian Metro 15 March 2017 Oleh Musa Awang Sistem pemerintahan beraja atau ‘monarki’ merupakan sistem pemerintahan yang tertua di du...