Saturday, December 29, 2012

Ibu lebih sesuai jaga anak


Oleh Musa Awang

Minda, Mymetro
27 Disember 2012

Sebahagian daripada kes hadanah (hak jagaan) anak-anak di Mahkamah Syariah difailkan oleh bapa, walaupun dalam sesetengah kes, anak yang dituntut masih di bawah umur mumayyiz (umur kecerdikan). Mahkamah tidak boleh menghalang seseorang membuat tuntutan, namun sebelum sesuatu tindakan dibuat, bapa perlu tahu adakah mereka berhak terhadap hadanah anak-anak yang masih kecil.

Dari sudut bahasa, hadanah diambil dari perkataan al-hidn yang bererti rusuk atau dada, kerana kebiasaannya kanak-kanak akan didukung pada rusuk atau dada. Dari sudut Syara’, mazhab al-Shafie mendefinisikan hadanah sebagai menjaga orang yang tidak boleh bersendirian menguruskan dirinya daripada perkara yang menyakitkannya kerana dia tidak mumayyiz, seperti kanak-kanak dan orang besar yang gila. Juga dengan mendidik orang tersebut dengan perkara yang memberi maslahah kepadanya sama ada berkaitan pemeliharaan makanan, minuman dan sebagainya.

Hukum hadanah ke atas kanak-kanak adalah wajib, kerana mengabaikannya bererti membiarkannya kepada bahaya dan kebinasaan. Sebab itu apabila ibu dan bapa telah tinggal berasingan atau telah berlaku perceraian, adalah menjadi kewajipan kepada Mahkamah Syariah untuk memutuskan berkenaan hadanah kepada salah seorang daripada ibu atau bapa atau kepada seorang yang lain.

Menurut Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh As-Sunnah (Juzuk 8) menyatakan bahawa sesungguhnya setiap penjaga dan anak jagaan masing-masing mempunyai hak. Akan tetapi hak anak atau maslahah anak lebih penting dari hak penjaganya.

Maka atas dasar kemaslahatan anak, Islam telah menetapkan hak hadanah kepada seorang ibu, selama mana dia belum berkahwin lain. Dalam hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawa seorang wanita pernah datang kepada Baginda s.a.w dan bertanya “Ya Rasulullah, anakku ini, perutkulah yang mengandungnya, susu akulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku”. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda, “Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain”.- (HR Ahmad dan Abu Dawud)

Ibu diberi keutamaan untuk mendapat hadanah, kerana ibu mempunyai ciri-ciri dan sifat yang lebih sesuai untuk tujuan pengasuhan jika dibandingkan dengan bapa. Ibu lebih tahu bagaimana mendidik anak, lebih sabar, dan ibu mempunyai lebih masa berdampingan dan bermanja dengan anak-anak berbanding dengan bapa yang sibuk mencari nafkah untuk keluarga.

Hak dan tanggungjawab ibu akan berterusan sehingga kanak-kanak tersebut mencapai umur mumayyiz (umur kecerdikan). Seksyen 84 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan [Akta 303] memperuntukkan - Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.

Meskipun syara’ menetapkan ibu orang yang paling berhak terhadap hadanah, tetapi hak tersebut tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya seorang ibu itu tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka hak dan tanggungjawab hadanah tersebut akan jatuh kepada orang yang seterusnya mengikut turutan yang telah ditetapkan.

Ibu yang telah berkahwin dengan lelaki lain yang tidak mempunyai hubungan mahram dengan anak itu akan menggugurkan hak hadanah baginya. Menurut mazhab Syafi’i, seseorang penjaga (hadinah) mestilah seorang Islam kerana seorang ibu yang kafir atau murtad tidak berhak mengasuh kanak-kanak kecil. Penjaga juga mestilah berakal waras. Orang gila tidak boleh menjadi pengasuh kecuali gilanya itu terlalu sedikit, seperti sehari dalam masa setahun. Ibu yang mempunyai sifat khianat juga tidak berhak menjadi penjaga, kerana dia tidak akan menjaga kanak-kanak itu dengan sebaik mungkin.

Penjaga juga mestilah baliqh, merdeka dan wanita yang baik serta bermoral tinggi. Perempuan fasik, seperti penzina, peminum arak, pencuri dan sebagainya tidak berhak menjadi pengasuh. Kanak-kanak juga tidak boleh diserahkan kepada ibu jika mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap, sama ada milik sendiri atau rumah sewa. 

Seksyen 82 Akta 303 memperuntukkan bahawa - "syarat-syarat menjadi hadinah ialah -
(a) dia adalah seorang Islam ;
(b) dia adalah sempurna akal ;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak itu '
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah ; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani." 

Mempunyai akhlak yang mulia adalah menjadi keutamaan kepada orang yang memelihara kanak-kanak pasangan yang bercerai, bertujuan untuk memelihara kanak-kanak tersebut daripada sifat-sifat buruk yang boleh merosakkan akhlak. Jika ibu telah hilang kelayakan untuk hadanah atau meninggal dunia, hak tersebut akan berpindah kepada nenek sebelah ibu. Jika nenek juga tidak layak, barulah berpindah kepada bapa.

Jika ibu atau nenek masih hidup dan tidak hilang kelayakannya di sisi Syarak untuk hadanah, maka bapa usahlah membuang masa mereka dan masa mahkamah menuntut sesuatu yang bukan hak mereka. Cukuplah bapa menuntut hak melawat (haqqul ziarah) anak-anak tersebut. Yakinlah dengan Syarak kenapa kaum ibu diberikan keutamaan menjaga anak-anak.

Apabila sampai umur mumayyiz anak-anak tersebut boleh berfikir dan membuat pilihan sendiri mana yang terbaik untuk mereka, samada tinggal bersama ibu atau bapa. Seksyen 84 (2) Akta yang sama memperuntukkan - Setelah tamatnya hak hadinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

Dalam satu hadith riwayat Imam Ahmad, dikisahkan bahawa Rasulullah s.a.w telah menyuruh seorang anak yang sudah mumaiyyiz memilih sama ada ibu atau bapa yang dia suka tinggal. “Wahai anak! Ini bapamu dan ini ibumu, peganglah tangan siapa yang kamu suka antara mereka berdua. Lalu anak itu memegang tangan ibunya, lantas ibunya membawa ia pergi.” (HR Imam Ahmad)

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Sunday, December 23, 2012

Mualaf perlu tukar status agama dalam kad pengenalan

Elak masalah semasa meninggal dunia

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian
12 Disember 2012

MUSA AWANG

Menurut Sayyid Qutb, muallaf ialah golongan manusia yang kembali kepada Islam serta kekal dan beramal kepada Islam. Dikatakan kembali kepada Islam kerana fitrah kelahiran seseorang manusia itu semasa bayi adalah ibarat sehelai kain putih bersih. Ibubapa yang mencorak dan mewarnakan agama bayi itu. Seorang bayi yang dibesarkan dengan agama bukan Islam, dan akhirnya mengambil keputusan memeluk Islam setelah beliau baligh dan berakal, dianggap kembali kepada fitrah kejadiannya semasa bayi.

Golongan muallaf adalah golongan istimewa yang disebut beberapa kali di dalam al-Quran. Antaranya firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah.” – [Surah At-Taubah : 60].

Secara dasarnya, peruntukan tentang muallaf dan tatacara masuk Islam disebut secara khusus dalam Bahagian IX Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), iaitu berkenaan kehendak-kehendak masuk Islam, tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan seorang muallaf, pendaftaran Muallaf, Perakuan Masuk Islam, pengiktirafan muallaf sebagai orang Islam, kaedah menentukan sama ada orang yang tak didaftarkan ialah seorang muallaf, dan sebagainya.

Seksyen 95 Akta 505 tersebut memperuntukkan bahawa seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan mencapai umur lapan belas tahun. Jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya telah mengizinkan kemasukannya.

Seksyen 85 (1) Akta 505 tersebut mensyaratkan seseorang yang masuk Islam mestilah mematuhi kehendak-kehendak berikut, iaitu :-
(a) orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahasa Arab secara semunasabahnya jelas; (b) pada masa mengucap dua kalimah itu, orang itu mestilah sedar bahawa ia bermakna "Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W ialah Pesuruh Allah"; dan (c) pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.



Seseorang yang tidak dapat bercakap boleh mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan cara isyarat yang menunjukkan makna yang dinyatakan dalam perenggan (b) di atas.

Seseorang itu akan dianggap menjadi seorang Islam sebaik sahaja dia habis mengucapkan dua kalimah Syahadah, dan orang itu hendaklah selepas itu disebut sebagai seorang muallaf, dan tertakluk dengan tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang sama seperti orang Islam yang lain.
Seksyen 88 Akta 505 memberikan kuasa kepada Pendaftar Muallaf untuk menyelenggarakan suatu Daftar Muallaf dalam bentuk yang ditetapkan. Pendaftar Muallaf boleh mendaftarkan kemasukan Islam seseorang muallaf dengan mencatatkan nama dan butir-butir lain dalam Daftar Muallaf, termasuk tarikh masuk Islam.

Pendaftar Muallaf kemudiannya akan mengeluarkan Perakuan Masuk Islam kepada muallaf berkenaan, sebagai bukti dan rekod untuk simpanan muallaf berkenaan, serta untuk rekod simpanan pihak Jabatan Agama Islam.

Sebaik sahaja didaftarkan, maka muallaf itu adalah disifatkan sebagai seorang Islam, bagi maksud mana-mana undang-undang Persekutuan atau Negeri. Dan bagi menepati maksud dalam Perlembagaan, sebaik sahaja memeluk Islam dan didaftarkan, muallaf tersebut boleh dikategorikan sebagai berbangsa Melayu menurut tafsiran Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan. Dia juga berhak menerima keistimewaan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan. Ini kerana Perkara 160 memperuntukkan bahawa "Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu. Seorang muallaf juga akan tertakluk di bawah Enakmen atau undang-undang Syariah yang di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Seorang muallaf berhak untuk mendapat pendidikan, keselamatan, dan perlindungan, berhak mendapat bantuan kewangan atau zakat, berhak untuk menuntut penjagaan anak jika berlaku masalah dalam perkahwinan atau jika berlaku perceraian, mempunyai hak untuk meninggalkan dan diberikan harta pusaka, dan lain-lain sepertimana hak seorang yang Islam sejak lahir.

Memang tidak dinafikan, tiada sebarang peruntukan undang-undang yang mewajibkan mualaf untuk menukar nama kepada nama Islam dan menukar kad pengenalan dengan maklumat baharu setelah memeluk Islam. Namun, mereka perlu dinasihatkan untuk berbuat demikian di Jabatan Pendaftaran Negara, supaya tidak timbul masalah kemudian hari, terutama apabila berlaku perkahwinan atau kematian.  

Sekiranya pindaan maklumat Islam tidak dipinda dalam kad pengenalan, akan menjadi kesukaran untuk menentukan status agama muallaf sekiranya mereka memohon sebarang bantuan kewangan, zakat atau bantuan-bantuan lain. Tambahan pula dalam sesetengah kes, seseorang mullaf pada asalnya mungkin masuk Islam di Wilayah Persekutuan, tetapi kemudiannya berhijrah ke negeri lain. Maka rekod asal kemasukan Islamnya berada dengan Pendaftar Muallaf di Wilayah Persekutuan. Kemungkinan besar rekodnya tidak berada di negeri tempat bermastatutinnya yang baru itu. Penulis percaya perlu diujudkan satu sistem pendaftaran muallaf di peringkat pusat (center) yang mengawalselia dan menyimpan rekod pendaftaran serta maklumat semua muallaf di seluruh Negara. 

Masalah juga akan timbul untuk menentukan hak keistimewaan orang tersebut sebagai seorang Melayu sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sekiranya maklumat dalam kad pengenalan masih beragama bukan Islam.

Masalah selanjutnya akan timbul untuk menentukan bidangkuasa Mahkamah ke atas orang tersebut. Jika muallaf itu ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah, maka dia boleh mendakwa sebagai bukan Islam supaya tidak dikenakan dakwaan, kerana butiran dalam kad pengenalannya tidak menyatakan status beragama Islam.

Walaupun Seksyen 92 Akta 505 tersebut menyatakan jika timbul pertikaian tentang status seorang muallaf, dan orang itu tidak didaftarkan dalam Daftar Muallaf atau di bawah mana-mana undang-undang Negeri lain sebagai seorang muallaf, akan tetapi persoalan itu hendaklah diputuskan berdasarkan kepada tatacara kemasukan Islam di peringkat awal. Masalah akan timbul jika rekod-rekod tentang kemasukan itu tidak dikemaskini, hilang atau saksi semasa upacara masuk Islam tersebut juga tidak dapat dikesan.

Justeru, walaupun tidak diwajibkan untuk meminda maklumat baru dalam kad pengenalan, kerajaan perlu menggalakkan muallaf untuk berbuat demikian sebaik sahaja Perakuan Masuk Islam dikeluarkan. Walaupun bukan menjadi kewajipan untuk menukarkan nama, asalkan nama tersebut mempunyai maksud yang baik, namun sekurang-kurangnya maklumat tentang agama baharu perlu dimasukkan dalam kad pengenalan muallaf berkenaan. Suatu tindakan kecil pada masa sekarang, yang boleh mengelakkan mudarat yang lebih besar pada masa akan datang. Wallahu’alam.

-Penulis ialah Presiden PGSM dan boleh dihubungi melalui email sekretariatpgsm@yahoo.com

Saturday, December 22, 2012

Mangsa perceraian tiada pembelaan


Modul kursus khas patut ada perjelas tanggungjawab terhadap anak

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian 

19 Disember 2012

MUSA AWANG

Apabila sesuatu perkahwinan berakhir dengan perceraian, tidak dapat dinafikan ia akan memberi kesan kepada bapa, ibu dan anak-anak hasil perkahwinan. Namun kesan kepada anak-anak adalah lebih besar berbanding kepada ibu atau bapa.

Statistik pendaftaran cerai mengikut negeri-negeri bagi 10 tahun (2000-2010) menunjukan jumlah perceraian terkumpul bagi sepuluh tahun ialah 197,120 pasangan. Secara purata, perceraian bagi sepuluh tahun ialah sebanyak 19,712 pasangan. Empat negeri yang mempunyai kadar tertinggi perceraian dalam tempoh 10 tahun ialah Selangor,(34,302) diikuti Kelantan (20,880), Johor 19,946 dan Kedah 18,954 pasangan.

Jika secara puratanya setiap pasangan yang bercerai di atas mempunyai sekurang-kurangnya 2 orang anak, maka seramai 394,240 adalah anak-anak mangsa perceraian. Pernahkah suatu kajian dibuat terhadap anak-anak mangsa perceraian ini? Bagaimana nasib mereka, perkembangan pendidikan mereka. Daripada jumlah itu berapa ramaikah yang berjaya dan sebaliknya.

Setakat ini kita tidak ada suatu tindakan atau mekanisme khusus untuk ibu atau bapa atau anak-anak mangsa perceraian ini. Kita sekadar mengumpulkan statistik tanpa apa-apa tindakan drastik.

Anak-anak mangsa perceraian menjalani kehidupan tanpa sokongan dan rangsangan dari ibu bapa, mendorong mereka untuk melakukan perkara negatif seterusnya terlibat dengan gejala sosial. Prestasi belajar anak-anak juga boleh terjejas lantaran gangguan mental kesan dari penceraian.

Hakikatnya, walaupun perkahwinan telah berakhir, ibu atau bapa masih perlu menjaga dan mendidik anak-anak. Sebahagian besar ibu atau bapa masih bergelut dengan perasaan sedih, marah dan dendam masing-masing, hingga terbawa-bawa ke dalam proses penjagaan dan pendidikan anak-anak. Ada sesetengah ibu atau bapa menghasut anak-anak supaya membenci antara satu sama lain dan meletakkan kesalahan terhadap pasangan masing-masing, yang akhirnya mencetuskan hubungan yang tidak baik dan permusuhan yang berpanjangan antara ibu atau bapa dengan anak-anak. Masalah dan konflik yang dialami oleh ibu bapa menjadikan anak-anak sebagai mangsanya.

Sebahagian yang lain mengheret sama anak-anak ke kancah pertelingkahan dan tuntutan mereka di Mahkamah Syariah, dengan membawa sekali anak-anak setiap kali pendengaran kes di Mahkamah Syariah. Ada pula yang menjadikan anak-anak sebagai saksi kepada tuntutan mereka.
Sebahagian ibu pula bergelut dengan tanggungjawab mencari nafkah untuk diri sendiri dan anak-anak, kerana bapa melupakan terus tanggungjawab nafkah selepas berpisah dengan ibu. Krisis kewangan bertambah serius tatkala bilangan anak yang ramai dan masih kecil.
Sebahagian yang lain menjadikan alasan bapa tidak memberikan nafkah untuk menghalang atau menafikan hak bapa untuk melawat dan bersama anak-anak. Sementelahan pula, bapa juga menggunakan alasan tidak dapat berjumpa anak-anak bagi menidakkan pemberian nafkah kepada anak-anak.

Sebahagian yang lain pula cuba membeli kasih sayang anak-anak dengan memberikan apa sahaja yang diminta, menjadikan anak-anak manja dan besar kepala. Tanpa disedari, keadaan-keadaan ini merperkotak-katikkan hidup anak-anak.

Kalau dahulu ibu, bapa dan anak berada di bawah satu bumbung. Selepas bercerai, ibu atau bapa pasti akan tinggal di dua rumah yang berasingan. Salah satu pihak akan menjaga anak dan salah satu pihak tidak. Dalam sesetengah keadaan, anak-anak dibahagi-bahagikan antara ibu atau bapa, menyebabkan anak-anak juga terpisah antara satu sama lain. Sebahagian ibu atau bapa juga akan mempunyai keluarga yang baru.

Memang lazim bagi seorang ibu atau bapa untuk cuba berbaik-baik dan menambat hati anak-anak apabila bercerai. Satu pihak akan menjaga anak-anak dan pihak satu lagi hak melawat atau hak bersama pada hujung minggu. Keadaan ini pastu menyukarkan pihak untuk mendisiplinkan dan menetapkan peraturan bagi anak-anak. Cerita-cerita bersama ibu akan sampai kepada bapa. Begitu juga sebaliknya cerita-cerita bersama bapa akan sampai kepada ibu. Cerita-cerita ini juga sebahagiannya akan digunakan untuk memburuk-burukkan atau melaga-lagakan antara satu sama lain.

Lambat-laun ibu bapa dan anak-anak perlu menyedari wujudnya kasih sayang yang berbeza. Walaupun ibu bapa tidak lagi saling menyayangi, namun hubungan ibu bapa dengan anak tetap tidak akan terputus. Anak-anak mungkin akan bersikap negatif sekiranya mereka tidak dijelaskan perkara sebenar dan betul. Mereka mungkin beranggapan perhubungan mereka dengan ibu atau bapa juga akan berakhir.

Pastinya sekiranya keadaaan-keadaan yang disebutkan ini gagal diatasi dengan baik, dibimbangi akan menjerumuskan masa hadapan negara kepada isu-isu sosial yang lain. Berkemungkinan besar juga masalah-masalah sosial yang kita sedang hadapi sekarang ini sedikit sebanyak ada hubungkait dengan fenomena ini?

Hasil tinjauan penulis mendapati sukar bagi pasangan yang bercerai untuk mendapatkan ilmu tentang teknik dan tanggungjawab selepas berlaku perceraian. Kalau kursus sebelum perkahwinan ada disediakan oleh semua jabatan agama Islam mahupun ada yang diswastakan, tetapi tidak bagi kursus untuk pasangan selepas perceraian.

Maka pihak-pihak yang berkenaan perlu mencari satu modul kursus khas untuk menyampaikan ilmu-ilmu tentang teknik keibubapaan, disiplin waktu dan tanggungjawab sebagai ibu atau bapa kepada pasangan yang bercerai. Kursus ini mungkin boleh diadakan secara tertutup dan diwajibkan kepada mereka yang telah selesai kes perceraian mereka di Mahkamah Syariah, juga kepada anak-anak kepada pasangan ini.

Perceraian telah berlaku, bukan lagi masanya untuk mencari siapa salah. Namun kehidupan perlu diteruskan, anak-anak perlu dibesarkan dengan cara yang baik dan sihat menurut kehendak hukum Syarak. Kesan akibat kesilapan ibu atau bapa tidak seharusnya dibebankan kepada anak-anak. Wallahu’alam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Sunday, December 9, 2012

Urusan agama serah pada yang ahli


Peguam Syarie Menulis, Berita Harian

MUSA AWANG


Semasa bertitah pada majlis Ambang Hijrah dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1434H di Shah Alam minggu lepas, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan ahli politik di negara ini supaya tidak menyalahgunakan hukum agama dan tafsiran al-Quran sebagai modal politik bagi meraih sokongan. Baginda juga melarang mereka mencampur adukkan hal ehwal agama dengan permasalahan politik kerana ia boleh mengeliru dan memecahbelahkan masyarakat.

Penulis amat bersetuju dengan titah baginda, kekeliruan yang timbul sejak akhir-akhir ini berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya menterjemah ayat suci al-Quran tanpa mempelajarinya. Ada orang yang tidak berilmu atau orang tidak layak mentafsir ayat-ayat al-Quran atau perkara berkaitan hukum Allah melakukan tafsiran mengikut fahaman dan kehendak masing-masing yang tidak menepati makna yang sebenarnya.

Lebih malang lagi, beberapa pemimpin politik dari kalangan bukan Islam pun dilihat cuba mentafsirkan al-Quran, lantaran melihat orang Islam sendiri tidak kira latarbelakang pendidikan begitu mudah mentafsirkan kitab suci itu.

Kitab suci Al-Quran bukan untuk sekadar dibaca begitu sahaja, malahan perlu diberikan tafsiran dan dihayati sewajarnya. Namun bagaimanakah cara tafsiran sebetulnya yang patut dilakukan? Adakah seorang doktor perubatan atau doktor gigi atau seorang pakar ekonomi, pakar undang-undang atau pakar politik boleh mentafsirkan al-Quran mengikut pandangan atau tafsirannya sendiri?

Ilmu agama termasuk berkaitan dengan hukum hudud tidak boleh ditafsir hanya berpandukan buku atau sebaran maklumat di internet atau youtube sahaja, tetapi perlu merujuk dan bertalaqqi dengan ulama, menelaah lembaran dan helaian kitab secara langsung di hadapan guru.

Islam tidak melarang seseorang untuk memberikan pandangan atau berhujah, tetapi bukanlah bermaksud bebas mentafsirkan kalam Allah dan hukum Allah dalam al-Quran dengan menggunakan logik akal semata-mata tanpa sebarang ilmu. Bukan semua orang mempunyai kelayakan untuk mentafsir al-Quran. Serahkanlah kepada ulamak atau orang yang layak sahaja untuk berbuat demikian.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud : ‘Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (alim ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya.’ (Surah al-Nahl: Ayat 43)

Ulama bermaksud seseorang yang menguasai ilmu Allah SWT dengan sangat mendalam dan memiliki akhlak terpuji dengan syarat-syarat tertentu sebagai ulama. Berbeza dengan perkataan alim yang beerti orang yang mengetahui akan tetapi belum tentu orang itu mendalami.

Ulama ialah mereka yang mampu menyingkap dan memahami dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW dengan sempurna, memahami dalil-dalil dan penjelasan daripada ulama silam, bahkan ada di antara mereka menghafal ratusan ribu hadis, matan-matan ilmu dan sebagainya lagi untuk melayakkan mereka diistilahkan sebagai seorang ulama. Mereka juga istiqamah dengan ilmu-ilmu yang mereka perolehi itu dan tidak cenderong kepada mana-mana pihak yang berkepentingan dalam menyatakan kebenaran dan hak.

Ulama sebeginilah yang diiktiraf sebagai pewaris para nabi oleh Rasulullah SAW sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis yang bermaksud – ‘Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna’. (HR Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Dalam hadith yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud – ‘Sesungguhnya Allah Taala tidak mencabut ilmu dengan menghilangkan ilmu daripada manusia akan tetapi Allah Taala mencabut ilmu dengan mematikan para ulama’. (HR al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi)

Menurut Imam Syatibi, hadis ini menjadi hujah bahawa guru adalah kunci bagi ilmu dan keperluan mempelajari ilmu terus daripada dada-dada guru. Sebarang persoalan yang tidak difahami boleh terus secara langsung bertanya kepada guru atau ulama untuk mendapatkan penjelasan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud - Ilmu itu seperti gudang dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga kamu diberikan rahmat oleh Allah Taala. Maka sesungguhnya dari satu pertanyaan itu diberikan pahala akan empat orang. Pertamanya orang yang bertanya. Keduanya guru yang menjawab. Ketiganya orang yang mendengar jawapan itu. Keempatnya orang yang cinta kepada mereka’.  (HR Abu Nuaim)

Ilmu syariat atau agama Islam dan kefahamannya perlu dirujuk kepada ahli ilmu berkenaan yang boleh dipercayai. Ilmu agama adalah sesuatu yang sangat rumit dan memerlukan penjelasan daripada ulama berbanding dengan ilmu-ilmu keduniaan lain. Seseorang yang tidak berilmu dalam mentafsir cuba mentafsir al-Quran mengikut kecenderungannya, sedangkan tidak ada kelayakan untuk berbuat demikian, boleh merosakkan kesucian al-Quran, mencemarkan kesucian Islam, dan mengharubirukan masyarakat Islam.


Golongan yang hanya membaca beberapa buku atau buku hadis, tetapi mendakwa mereka sudah pakar dan mampu berijtihad di dalam urusan agama, tanpa bimbingan daripada pakar agama, bukan sahaja akan terus sesat dengan kefahamannya, apabila dia berbicara dan mengeluarkan pendapat boleh menyesatkan orang lain pula. Lebih-lebih lagi jika dia bercakap sesuatu yang bukan dalam bidangnya. Inilah bahaya besar yang sedang menghantui umat Islam mutakhir ini.

Orang ini boleh didakwa menurut Seksyen 9 atau 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, iaitu kesalahan Mempersendakan, dll, ayat Al-Quran dan Hadith atau kesalahan Menghina atau menyebabkan dipandang hina, dll., agama Islam.



Seksyen 9 Enakmen memperuntukkan bahawa : "Mana-mana orang yang, dengan kata-katanya atau perbuatannya, mempersendakan,   menghina, mencemuh atau menyebab-kan dipandang hina ayat-ayat Al-Quran atau Hadith adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Manakala Seksyen 10 Enakmen sama memperuntukkan : "Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain :- menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina; (b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau  (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya."
Wallahu’alam.

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Raja - Pemegang Amanah Kedaulatan Watan

Harian Metro 15 March 2017 Oleh Musa Awang Sistem pemerintahan beraja atau ‘monarki’ merupakan sistem pemerintahan yang tertua di du...