Oleh Musa Awang
Minda, Mymetro
27 Disember 2012
Sebahagian daripada kes hadanah
(hak jagaan) anak-anak di Mahkamah Syariah difailkan oleh bapa, walaupun dalam
sesetengah kes, anak yang dituntut masih di bawah umur mumayyiz (umur kecerdikan). Mahkamah tidak boleh menghalang seseorang
membuat tuntutan, namun sebelum sesuatu tindakan dibuat, bapa perlu tahu adakah
mereka berhak terhadap hadanah anak-anak yang masih kecil.
Dari sudut bahasa, hadanah
diambil dari perkataan al-hidn yang
bererti rusuk atau dada, kerana kebiasaannya kanak-kanak akan didukung pada
rusuk atau dada. Dari sudut Syara’, mazhab al-Shafie mendefinisikan hadanah sebagai
menjaga orang yang tidak boleh bersendirian menguruskan dirinya daripada
perkara yang menyakitkannya kerana dia tidak mumayyiz, seperti kanak-kanak dan orang besar yang gila. Juga
dengan mendidik orang tersebut dengan perkara yang memberi maslahah kepadanya sama ada berkaitan pemeliharaan makanan, minuman
dan sebagainya.
Hukum hadanah ke atas
kanak-kanak adalah wajib, kerana mengabaikannya bererti membiarkannya kepada
bahaya dan kebinasaan. Sebab itu apabila ibu dan bapa telah tinggal berasingan
atau telah berlaku perceraian, adalah menjadi kewajipan kepada Mahkamah Syariah
untuk memutuskan berkenaan hadanah kepada salah seorang daripada ibu atau bapa
atau kepada seorang yang lain.
Menurut Syed Sabiq dalam
kitabnya Fiqh As-Sunnah (Juzuk 8) menyatakan bahawa sesungguhnya setiap penjaga
dan anak jagaan masing-masing mempunyai hak. Akan tetapi hak anak atau maslahah anak lebih penting dari hak
penjaganya.
Maka atas dasar
kemaslahatan anak, Islam telah menetapkan hak hadanah kepada seorang ibu,
selama mana dia belum berkahwin lain. Dalam hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan
oleh Abdullah bin Umar bahawa seorang wanita pernah datang kepada Baginda s.a.w
dan bertanya “Ya Rasulullah, anakku
ini, perutkulah yang mengandungnya, susu akulah minumannya dan ribaanku
rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu
daripada aku”. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda, “Engkaulah
yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain”.- (HR
Ahmad dan Abu Dawud)
Ibu diberi keutamaan untuk
mendapat hadanah, kerana ibu mempunyai ciri-ciri dan sifat yang lebih sesuai
untuk tujuan pengasuhan jika dibandingkan dengan bapa. Ibu lebih tahu bagaimana
mendidik anak, lebih sabar, dan ibu mempunyai lebih masa berdampingan dan
bermanja dengan anak-anak berbanding dengan bapa yang sibuk mencari nafkah
untuk keluarga.
Hak dan tanggungjawab ibu
akan berterusan sehingga kanak-kanak tersebut mencapai umur mumayyiz (umur kecerdikan). Seksyen 84 (1)
Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan [Akta 303] memperuntukkan
- Hak hadinah bagi menjaga seseorang
kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun,
jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu
perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga
kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika
kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.
Meskipun syara’ menetapkan
ibu orang yang paling berhak terhadap hadanah, tetapi hak tersebut tertakluk
kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya seorang ibu itu tidak
dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka hak dan tanggungjawab
hadanah tersebut akan jatuh kepada orang yang seterusnya mengikut turutan yang
telah ditetapkan.
Ibu yang telah berkahwin dengan
lelaki lain yang tidak mempunyai hubungan mahram dengan anak itu akan menggugurkan
hak hadanah baginya. Menurut mazhab Syafi’i, seseorang penjaga (hadinah) mestilah
seorang Islam kerana seorang ibu yang kafir atau murtad tidak berhak mengasuh
kanak-kanak kecil. Penjaga juga mestilah berakal waras. Orang gila tidak boleh
menjadi pengasuh kecuali gilanya itu terlalu sedikit, seperti sehari dalam masa
setahun. Ibu yang mempunyai sifat khianat juga tidak berhak menjadi penjaga,
kerana dia tidak akan menjaga kanak-kanak itu dengan sebaik mungkin.
Penjaga juga mestilah
baliqh, merdeka dan wanita yang baik serta bermoral tinggi. Perempuan fasik,
seperti penzina, peminum arak, pencuri dan sebagainya tidak berhak menjadi
pengasuh. Kanak-kanak juga tidak boleh diserahkan kepada ibu jika mereka tidak
mempunyai tempat tinggal tetap, sama ada milik sendiri atau rumah sewa.
Seksyen 82 Akta 303 memperuntukkan bahawa - "syarat-syarat menjadi hadinah ialah -
(a) dia adalah seorang Islam ;
(b) dia adalah sempurna akal ;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak itu '
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah ; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani."
Seksyen 82 Akta 303 memperuntukkan bahawa - "syarat-syarat menjadi hadinah ialah -
(a) dia adalah seorang Islam ;
(b) dia adalah sempurna akal ;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak itu '
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah ; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani."
Mempunyai akhlak yang
mulia adalah menjadi keutamaan kepada orang yang memelihara kanak-kanak pasangan
yang bercerai, bertujuan untuk memelihara kanak-kanak tersebut daripada
sifat-sifat buruk yang boleh merosakkan akhlak. Jika ibu telah hilang kelayakan
untuk hadanah atau meninggal dunia, hak tersebut akan berpindah kepada nenek
sebelah ibu. Jika nenek juga tidak layak, barulah berpindah kepada bapa.
Jika ibu atau nenek masih
hidup dan tidak hilang kelayakannya di sisi Syarak untuk hadanah, maka bapa usahlah
membuang masa mereka dan masa mahkamah menuntut sesuatu yang bukan hak mereka. Cukuplah
bapa menuntut hak melawat (haqqul ziarah)
anak-anak tersebut. Yakinlah dengan Syarak kenapa kaum ibu diberikan keutamaan
menjaga anak-anak.
Apabila sampai umur mumayyiz anak-anak tersebut boleh berfikir
dan membuat pilihan sendiri mana yang terbaik untuk mereka, samada tinggal
bersama ibu atau bapa. Seksyen 84 (2) Akta yang sama memperuntukkan - Setelah tamatnya hak hadinah, penjagaan
adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur
kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal
dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan
selainnya.
Dalam
satu hadith riwayat Imam Ahmad, dikisahkan bahawa Rasulullah s.a.w telah
menyuruh seorang anak yang sudah mumaiyyiz memilih sama ada ibu atau bapa yang
dia suka tinggal. “Wahai
anak! Ini bapamu dan ini ibumu, peganglah tangan siapa yang kamu suka antara
mereka berdua. Lalu anak itu memegang tangan ibunya, lantas ibunya membawa ia
pergi.” (HR Imam Ahmad)
Penulis
ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
No comments:
Post a Comment