Showing posts with label Pengurusan Harta Islam. Show all posts
Showing posts with label Pengurusan Harta Islam. Show all posts

Sunday, September 24, 2023

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Oleh SITI AISYAH MOHAMAD Sinar Harian, 25 September 2023


Musa Awang

SHAH ALAM - Pentadbiran pusaka orang Islam wajar melalui proses pembaharuan dengan meminda akta dan enakmen negeri-negeri iaitu meletakkan bidang kuasa di bawah mahkamah syariah sahaja.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, pada masa kini orang Islam terpaksa pergi ke beberapa badan dan agensi untuk menyelesaikan urusan pusaka seperti pejabat tanah, Mahkamah Tinggi Sivil serta Amanah Raya Bhd (AmanahRaya).

Menurutnya, harta pusaka dan faraid hanya melibatkan orang Islam dan merupakan tuntutan agama yang perlu dipenuhi.

“Bagaimanapun, apabila urusan ini hendak dituntut pewarisnya, ia perlu difailkan di mahkamah sivil dan bukan mahkamah syariah yang hanya mengeluarkan perakuan faraid.

“Setakat ini, hanya negeri Sabah yang mempunyai peruntukan undang-undang membenarkan mahkamah syariah memerintahkan pembahagian dan turun milik kepada waris-waris,” katanya kepada pemberita.

Pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwai Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan, pentadbiran pusaka orang Islam memerlukan reformasi dan pembaharuan agar sesuai dengan perkembangan teknologi serta digitalisasi semasa.

Namun, terdapat cabaran dan peluang dalam memperkukuhkan pentadbiran pusaka orang Islam melalui penggunaan teknologi yang sesuai dan inovatif.

Dalam pada itu, Musa berkata, pembaharuan tersebut merupakan satu langkah segera yang perlu dilaksanakan untuk memudahkan urusan orang Islam masa kini.

“Saya harap perkara ini dapat dilihat dan dikaji pihak berkenaan untuk memudahkan (urusan) orang Islam mengenai isu harta pusaka.

“Sekiranya tidak diberikan bidang kuasa ini kepada mahkamah syariah, agak sukar melakukan pembaharuan lain selari dengan perkembangan teknologi semasa,” ujarnya.

 

Tuesday, April 3, 2018

Selesai pembahagian harta ketika hidup


Harian Metro
12 Jan 2018
Musa Awang

Apabila seseorang Islam meninggal dunia, kebiasaannya harta sepeninggalan si mati akan dibahagikan secara faraid, iaitu apabila pemilik harta tidak membahagikan harta ketika hayatnya. Pembahagian harta boleh juga dilakukan oleh seseorang ketika hidup melalui cara pemberian hibah, pemindahan hak milik atau wasiat.



Hukum faraid tidak akan terpakai jika si mati sebelum kematiannya sudah memindahkan hartanya kepada orang lain. Pembahagian atau pemindahan harta ketika hidup kepada anak atau seseorang yang lain boleh dilakukan dengan beberapa cara berikut :

Hibah - Hibah ialah pemberian hak atau harta secara sukarela tanpa paksaan daripada satu pihak kepada satu pihak lain dengan niat dan tujuan yang baik, tanpa ada sebarang syarat, bayaran, imbalan atau balasan.

Dalam Kitab I’annatul Taalbin, juzuk ketiga, di muka surat 168 mendefinisikan hibah sebagai: “Hibah bererti memberi milik sesuatu barang yang mana mengikut kebiasaannya barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang kepada seseorang oleh ahli tabarru’ (orang yang suka membuat kebajikan) dengan tidak ada barang tukaran.”

Pemberian hibah dilakukan ketika seseorang masih hidup dan sihat, pelaksanaannya juga biasa dilakukan ketika pemberi hibah masih hidup. Hibah tidak akan berlaku jika pemberi hibah sekadar berhasrat dan berura-ura saja, tetapi kemudian pemberi hibah meninggal dunia sebelum sempat menyempurnakan pemberiannya.

Dalam keadaan itu, hukum hibah itu mungkin akan berubah menjadi wasiat atau amanah saja.

Seseorang yang ingin melaksanakan pemberian harta secara hibah perlu memenuhi rukun hibah untuk menjadikan akad hibah itu sah, iaitu wujudnya lafaz ijab qabul yang jelas daripada pemberi hibah kepada penerima hibah, perlu ditentukan mana-mana harta yang mahu dihibahkan, harta tersebut dimiliki secara sempurna oleh pemilik, tidak bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak dan dilakukan semasa pemberi hibah masih hidup.

Hibah boleh dilakukan secara bertulis atau secara lisan, malah hibah yang dibuat secara lisan perlu diperkukuhkan dengan bukti bertulis atau dengan mengemukakan saksi.

Pada hari ini, pemberian hibah dilakukan dengan menandatangani suatu dokumen deklarasi hibah yang ditandatangani oleh pemilik harta ketika dia masih hidup. Apabila berlaku kematian, maka penerima hibah akan membuat pengesahan hibah itu di Mahkamah Syariah.

Wasiat - Wasiat adalah suatu peluang kepada umat Islam untuk meluaskan pembahagian harta yang mereka akan tinggalkan kepada orang selain daripada ahli waris atau kepada pihak tertentu yang pada pendapat mereka wajar diberikan sebahagian harta mereka.

Pemberian harta secara wasiat mesti berlandaskan kepada empat rukun wasiat iaitu al musi (orang yang berwasiat), al-muso lahu (orang yang diwasiatkan), al-muso bihi (barang yang diwasiatkan) dan sighah iaitu ijab dan qabul. Harta yang diwasiatkan juga hendaklah harta yang dimiliki secara sempurna, bukan masih bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak.

Di dalam isu pemberian wasiat, ada dua syarat yang perlu dipatuhi iaitu, pertama, harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi 1/3 dari jumlah keseluruhan harta si mati. Ini berdasarkan pendapat ulama Sunni yang mendasarkan kesimpulan mereka daripada hadis riwayat Abu Daud R.A bahawa Rasulullah SAW telah mengehadkan wasiat kepada satu pertiga saja.

Syarat kedua, wasiat harta tidak boleh diberikan kepada waris yang tersenarai sebagai penerima faraid seperti ibu, bapa atau anak. Wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan ahli waris. Dalam hadis riwayat Abu Daud R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengurniakan hak kepada setiap yang berhak. Tidak harus wasiat kepada ahli waris.”

Jika seseorang masih ingin mewasiatkan semua harta (melebihi 1/3) atau ingin mewasiatkan harta kepada ahli waris, merujuk kepada nas dan pendapat utama Mazhab Syafie, wasiat berkenaan hukumnya harus, akan tetapi ia tidak boleh dilaksanakan kecuali selepas mendapat persetujuan daripada semua waris lain.

Persetujuan itu perlu dibuat ketika pembuat wasiat hidup dan disahkan semula selepas beliau meninggal dunia. Penerima wasiat atau mana-mana ahli waris boleh membuat pengesahan wasiat itu di mahkamah syariah, sama ada wasiat si mati sah atau tidak. Jika terdapat mana-mana ahli waris yang menolak persetujuan itu, maka hukum asal adalah terpakai, iaitu wasiat kepada ahli waris adalah tidak diharuskan.

Pindah milik - Pembahagian harta berupa tanah atau rumah boleh dilakukan secara pindah milik berdasarkan syarat dan prosedur yang ditetapkan undang-undang iaitu menggunakan Borang 14A, Kanun Tanah Negara, iaitu secara balasan kasih sayang.

Jika pindah milik dilakukan oleh ibu atau bapa kepada anak menggunakan kaedah ini, maka ibu atau bapa itu bukan lagi pemilik berdaftar harta berkenaan.

Ia menjadi hak milik anak. Risikonya berkemungkinan anak akan menghalau ibu bapa daripada menduduki harta itu atau menjual harta berkenaan kerana dihasut pihak ketiga dan sebagainya.

Proses pindah milik dengan cara ini juga hanya boleh dilakukan jika harta itu menjadi milikan sempurna oleh pemilik, bukan masih bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak.

Surat Ikatan Pemegang Amanah (Trust Deed) - Asalnya Trust Deed digunakan untuk ‘memindahkan’ nama daripada ibu bapa kepada anak atau kepada seseorang yang lain, semasa masih hidup.

Katakan seseorang mempunyai tanah satu ekar dan mempunyai dua anak dan dia mahu setiap seorang dapat setengah (1/2) bahagian untuk tanah itu. Maka dalam Trust Deed berkenaan perlu dinamakan dan diletakkan bahagian yang diberikan kepada setiap anak itu, sebelum difailkan ke pejabat tanah.

Nama pemilik asal akan dibatalkan, sebaliknya akan didaftarkan sebagai pemegang amanah kepada anak.

Selepas kematian, anak perlu membuat tuntutan pusaka di Pejabat Pusaka Kecil (jika harta bawah RM2 juta) atau di Mahkamah Tinggi (jika harta lebih RM2 juta), sebagai bukti pemberian bahagian tanah telah dilaksanakan sebelum ini di pejabat tanah secara bertulis melalui Trust Deed.

Selepas perintah atau penghakiman dikeluarkan, maka anak perlu membawa perintah atau penghakiman tersebut ke pejabat tanah untuk mendaftarkan nama mereka di dalam geran sebagai pemilik mengikut bahagian masing-masing.

Proses pendaftaran Trust Deed juga hanya boleh dilakukan jika hartanah itu bebas daripada sebarang halangan (free from all encumbrances), iaitu tidak digadaikan kepada mana-mana bank atau bebas daripada sebarang kaveat oleh mana-mana pihak. Mutakhir ini, ada pihak yang menawarkan khidmat menyediakan dokumen hibah, wasiat dan lain-lain. Perlu dipastikan dokumen yang disediakan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak dan undang-undang kerana jika jika berlaku sebaliknya, ia tidak boleh dilaksanakan.

Ini bukan saja merugikan pelbagai pihak, membuang masa, tidak memenuhi hasrat pemilik asal harta, kadang-kadang boleh menimbulkan perbalahan di kalangan ahli keluarga.
Rujuklah peguam syarie bertauliah dalam memastikan anda mendapat nasihat yang betul mengenai pembahagian harta ketika masih hidup.

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mel: sekretariatpgsm@yahoo.com

Saturday, December 23, 2017

Hibah Umra & Hibah Ruqba. Keharusannya Menurut Pandangan Syarak

Al-‘Umra bermaksud pemberian semasa tempoh hidup penerima hibah atau pemberi hibah dengan syarat harta tersebut dikembalikan setelah kematian penerima hibah. Al-‘Umra juga bermaksud suatu pemberian yang bersifat sementara yang merujuk kepada hayat salah seorang sama ada pemberi hibah atau penerima hibah. 

Sekiranya penerima hibah meninggal dunia maka harta yang dihibahkan itu dikembalikan kepada pemberi hibah. Sebaliknya, jika pemberi hibah meninggal dunia maka harta hibah akan dikembalikan kepada waris pemberi hibah. Contoh lafaz hibah al-‘umra adalah seperti pemberi hibah berkata : “tanah ini aku berikan (hibahkan) kepada kamu semasa kamu hidup dan jika kamu mati maka harta itu kembali kepada aku jika aku masih hidup dan kepada waris aku jika aku telah mati”.

Manakala al-Ruqba pula ialah pemberian dengan syarat kematian salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebagai syarat pemilikan kepada salah satu pihak yang hidup. Al-Ruqba juga bermaksud suatu pemberian bersyarat yang ditentukan oleh pemberi hibah, di mana harta hibah akan menjadi milik penerima hibah sekiranya pemberi hibah meninggal dunia. Tetapi jika penerima hibah meninggal dunia sebelum pemberi hibah maka harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah. Contoh lafaz hibah al-ruqba adalah seperti pemberi hibah berkata: “tanah ini aku berikan kepada kamu sebagai ruqba dan jika kamu mati dulu maka harta itu kembali kepada aku dan jika aku mati dulu maka harta itu untuk kamu”
.
Para fuqaha’ sepakat tidak mengharuskan hibah yang disyaratkan pemilikannya akan terlaksana pada suatu tempoh masa yang akan datang. 

Majoriti ulamak berpendapat hibah yang bersifat sementara seperti hibah ‘umra dan ruqba adalah sah tetapi syaratnya terbatal. Mereka berhujah bahawa jika syarat itu terpakai maka ia bertentangan dengan kehendak akad hibah itu sendiri. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Peliharalah harta kamu dan janganlah kamu (menghibahkannya) secara ‘umra kerana sesungguhnya sesiapa yang (menghibah) sesuatu secara ‘umra, maka ia menjadi milik orang yang dihibahkan”.

Sebahagian daripada fuqaha’ mazhab Hanbali, Imam Malik, Imam al-Zuhri, Abu Thur dan lain-lain serta qawl al-qadim Imam Syafie berpendapat bahawa hibah ‘umra adalah harus dan syaratnya sah jika tidak dinyatakan oleh pemberi hibah bahawa harta yang dihibahkan akan menjadi milik waris penerima hibah selepas kematian penerima hibah. Ini bermakna harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah selepas kematian penerima hibah.

Sementara pendapat lain pula mengambil pendekatan bahawa hibah yang bersifat sementara pada hakikatnya bukanlah hibah tetapi ia adalah ‘ariyah (peminjaman). 

Imam Abu Hanifah dan Imam Malik mengharuskan hibah ‘umra tetapi tidak mengharuskan hibah ruqba. Pandangan mereka adalah berpandukan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang telah mengharuskan hibah ‘umra dan membatalkan hibah ruqba. Namun hadis ini dikritik oleh Imam Ahmad kerana ia tidak diketahui kesahihannya. Mereka juga berpendapat bahawa hibah ruqba adalah hibah ta’liq ke atas sesuatu yang tidak jelas dari segi tempoh ia akan terlaksana.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa antara isu penting yang membawa perbezaan pandangan di kalangan fuqaha’ mengenai hibah ‘umra dan hibah ruqba ialah tertumpu kepada unsur hibah yang bersifat sementara dan hibah sesuatu yang dita’liqkan dengan hayat seseorang. 

Kedua-dua isu ini telah menimbulkan reaksi yang berbeza di kalangan fuqaha’. Mazhab yang mengatakan hibah ‘umra dan hibah ruqba tidak diharuskan adalah berpandukan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Janganlah kamu memberi (hibah) sama ada secara ‘umra atau ruqba”.


Mazhab yang mengharuskan hibah ‘umra dan hibah ruqba pula berhujah dengan hadis yang bermaksud :

“(Hibah) ‘umra dan ruqba adalah diharuskan bagi mereka”.

Dalam penyediaan Hibah Umra atau Hibah Ruqba, sebaik-baiknya rujuklah Peguam Syarie yang bertauliah yang biasa menyediakan dokumen Hibah dan biasa mengendalikan kes pengesahan hibah di Mahkamah Syariah.

- Musa Awang, Presiden PGSM.

Wednesday, February 4, 2015

Takrifan syariah, sivil orang hilang

(Mengharmonikan undang-undang orang hilang)



Oleh Musa Awang

Harian Metro, 4 Februari 2015

Al-mafqud merujuk kepada seseorang yang hilang daripada tempat asalnya dalam tempoh yang lama sehingga terputus berita mengenainya dan tidak diketahui sama ada dia masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Status al-mafqud penting untuk masyarakat Islam dan juga bukan Islam kerana proses pembahagian harta al-mafqud akan tergendala sekiranya tidak diketahui sama ada al-mafqud itu masih hidup atau pun sudah mati.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam telah mengumumkan insiden pesawat malang MH370 secara rasmi sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap terkorban.

Pengisytiharan tersebut belum membubarkan status perkahwinan mangsa-mangsa dan sebarang tuntutan ke atas harta pusaka masih belum boleh dibuat. Untuk menentukan status sesuatu perkahwinan terbubar, perintah anggapan kematian (presumption of death) atau perintah pembubaran perkahwinan perlu dikeluarkan oleh mahkamah.

Merujuk kepada Seksyen 18 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) adalah dinyatakan dengan jelas bahawa setiap kematian di negara hendaklah didaftarkan dengan syarat mayatnya dijumpai. Dalam kes mayat tidak dijumpai atau individu yang diklasifikasikan sebagai telah dianggap mati, maka perintah anggapan kematian perlu diperoleh dari mahkamah.

Di Malaysia, terdapat dua undang-undang berasingan yang menyentuh soal anggapan kematian bagi al-mafqud iaitu di mahkamah sivil dan juga di mahkamah syariah. Perbezaan ketara antara kedua-dua undang-undang tersebut ialah berkenaan tempoh masa yang diperlukan bagi membentuk anggapan bahawa al-mafqud itu telah pun meninggal dunia. Undang-undang sivil mensyaratkan tempoh tujuh tahun manakala undang-undang syariah menetapkan tempoh empat tahun sebagai tempoh yang perlu untuk membentuk anggapan kematian al-mafqud.

Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 (Akta 56) berbunyi “Apabila soalnya ialah sama ada seseorang itu masih hidup atau telah mati, dan dibuktikan bahawa tiada apa-apa khabar telah didengar mengenainya selama tujuh tahun oleh orang yang sepatutnya mendengar khabar mengenainya jika dia masih hidup, beban membuktikan yang dia masih hidup beralih kepada orang yang menegaskannya.”

Dalam kes Tay Soon Pang ([2009] 9 CLJ 778), Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zawawi Salleh menegaskan, berdasarkan Seksyen 108 Akta 56 berkenaan, dua syarat penting untuk membentuk anggapan kematian ialah pertama ; tiada apa-apa khabar yang telah didengar mengenai al-mafqud selama tujuh tahun dan kedua ; ketiadaan khabar itu mestilah dialami oleh orang yang sepatutnya mendengar khabar mengenainya jika dia masih hidup. Sekiranya tempoh tujuh tahun sudah berlalu, mahkamah boleh memutuskan al-mafqud dianggap sebagai sebagai telah mati.

Peruntukan hampir sama terdapat dalam enakmen atau akta syariah negeri-negeri. Contoh, Seksyen 80 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 561) mempunyai peruntukan hampir sama, cuma tempoh tiada apa-apa khabar berita didengar mengenainya adalah selama empat tahun, bukan tujuh tahun.

Pada masa sama, terdapat peruntukan khusus dalam undang-undang syariah bagi maksud membolehkan seorang isteri kepada al-mafqud untuk berkahwin semula. Seksyen 53(1), Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) menyebut bahawa : “Jika suami mana-mana perempuan telah mati, atau dipercayai telah mati, atau telah tidak didengar perkhabaran mengenainya bagi suatu tempoh empat tahun atau lebih, dan hal keadaan adalah sebegitu hingga dia patut, bagi maksud membolehkan perempuan itu berkahwin semula, dianggap mengikut Hukum Syara' sebagai telah mati, maka Mahkamah boleh, di atas permohonan perempuan itu dan selepas apa-apa siasatan yang wajar, mengeluarkan dalam bentuk yang ditetapkan suatu perakuan menganggap kematian suami itu dan Mahkamah boleh di atas permohonan perempuan itu membuat perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 52 .”

Perakuan yang dikeluarkan oleh mahkamah sivil tidak terpakai untuk tujuan membolehkan isteri al-mafqud berkahwin semula. Hanya mahkamah syariah sahaja yang berkuasa memberi perakuan anggapan kematian untuk tujuan itu.

Tidak pasti mengapa undang-undang sivil menetapkan tempoh tujuh tahun untuk menerima anggapan kematian al-mafqud. Tetapi bagi undang-undang syariah, tempoh empat tahun diambil berdasarkan pandangan fuqaha. Misalnya, Imam Malik dan Imam Ahmad menetapkan seseorang hakim boleh memisahkan seorang isteri daripada suaminya yang hilang tanpa khabar berita setelah empat tahun, berdasarkan keputusan yang pernah dibuat oleh Khalifah Umar al-Khattab r.a dalam kes suami hilang di zaman pemerintahannya. Manakala mazhab Hanafi menetapkan jangka hidup manusia selama 90 tahun dan anggapan kematian seseorang al-mafqud adalah apabila telah berlalu 90 tahun sejak kelahirannya.

Mazhab Syafii menetapkan tempoh tujuh tahun, tetapi konsep anggapan kematian yang diterima pakai oleh Mazhab Syafi‘i adalah berdasarkan kaedah istishab, iaitu mengekalkan suatu hukum berasaskan hukum sedia ada selagi tidak ada dalil yang mengubahnya. Maksudnya, seseorang yang hilang dianggap masih hidup sehingga ada bukti yang menunjukkan sebaliknya. Oleh sebab itu harta al-mafqud tidak boleh dibahagikan secara pusaka sehingga suatu tempoh masa tertentu dan hanya mahkamah yang boleh memutuskan tentang status sebenar bahawa al-mafqud itu telah meninggal dunia.

Dalam kes anggapan kematian Talib Saari ([2010] 1 CLJ (Sya) 493), Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu telah memutuskan bahawa al-mafqud yang hilang sejak tahun 1972 sebagai telah meninggal dunia, berdasarkan “telah berlalunya suatu tempoh yang lama ke atas al-mafqud dari tarikh ianya dilahirkan, yang mana tempoh itu adalah memungkin orang sebayanya telah meninggal dunia”. Mahkamah membuat kesimpulan jika al-mafqud itu masih lagi hidup di tahun 2004, beliau sudah pun berumur 73 atau 74 tahun dan lazimnya pada waktu umur sebegitu, seseorang telah meninggal dunia.

Bagi seorang Islam, pengisytiharan kematian al-mafqud boleh dipohon samada di mahkamah sivil atau di mahkamah syariah. Dalam kes Ridzwan Ibrahim ([2002] 4 CLJ 502), Yang Arif Hakim Heliliah Mohd Yusof berpendapat sedemikian kerana tempoh tujuh tahun yang dikehendaki oleh mahkamah sivil adalah lebih lama daripada empat tahun yang dikehendaki oleh mahkamah syariah. Sekiranya waris enggan menunggu selama tujuh tahun untuk memohon pengisytiharan mahkamah sivil, mereka boleh memohon pengisytiharan di mahkamah syariah setelah menunggu untuk tempoh yang lebih singkat, iaitu empat tahun.

Adalah wajar undang-undang sivil dan syariah diharmonikan dengan menyelaraskan tempoh masa yang diperlukan oleh mahkamah bagi membentuk anggapan kematian al-mafqud. Tempoh masa yang ditetapkan ini merupakan satu ijtihad ulama’ atau budi bicara penggubal undang-undang, dan ia boleh disesuaikan dengan keadaan dan perkembangan semasa, agar dapat mengelakkan berlakunya komplikasi yang berat dari segi konflik undang-undang.


-   - Penulis ialah Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Tuesday, July 12, 2011

Hibah bantu ekonomi, semai kasih sayang


Peguam Syarie Menulis: Hibah bantu ekonomi, semai kasih sayang

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian 2011/07/13

Pemilik boleh beri harta secara sukarela ketika hidup tanpa harapkan balasan

HIBAH mungkin suatu yang asing dan jarang di dengar masyarakat Islam di negara ini berbanding zakat, sedekah, hadiah, wakaf atau wasiat. Namun, hibah bukanlah instrumen kewangan yang baru kerana sudah wujud sejak awal Islam lagi.

Hibah ialah suatu akad mengandungi pemberian milik seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Hibah diberi atas dasar kasih sayang sesama manusia.

Hibah dibolehkan sama ada kepada ahli keluarga (waris) atau bukan ahli keluarga, hatta kepada bukan Islam. Islam juga tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan kerana harta yang hendak dihibahkan daripada milik pemberi hibah.

Terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan. Walaupun begitu, jika harta hendak dihibahkan kepada anak-anak, Islam menggalakkan ia dibuat secara adil.

Jumhur ulama Hanafi, Maliki dan Syafie berpendapat, sunat menyamakan pemberian antara anak. Melebihkan pemberian kepada seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah. Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak adalah perkara yang wajib.

Sesuatu akad hibah tidak akan terbentuk melainkan selepas memenuhi empat rukun hibah iaitu pemberi hibah (al-Wahib); penerima hibah (al-Mawhub lahu); barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub) dan sighah iaitu ijab dan kabul. Setiap rukun itu pula mempunyai syarat tertentu.

Disyaratkan pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian, sempurna akal, baligh, mestilah tuan punya barang yang dihibahkan dan mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya. Penerima hibah pula boleh terdiri daripada sesiapa saja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta.

Penerima hibah yang belum akil baligh, kanak-kanak atau kurang upaya, hibah boleh dibuat melalui walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah juga disyaratkan boleh memegang, menguasai atau mengawal harta dihibahkan.

Barang atau harta yang hendak dihibah hendaklah barang atau harta yang halal, mempunyai nilai di sisi syarak, milik pemberi hibah, boleh diserah milik dan benar-benar wujud semasa dihibahkan.

Barang atau harta yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan daripada penggadai atau peminjam. Manakala, sighah hibah disyaratkan ada persamaan antara ijab dan qabul serta tidak bersyarat.

Menurut mazhab Syafie dan Abu Hanifah, penerimaan barang (al-qabd) adalah syarat sah hibah. Al-qabd bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta itu.

Ertinya, akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa jika sekadar ada ijab dan kabul semata-mata, melainkan selepas berlaku penerimaan barang oleh penerima hibah. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya.

Jika berlaku kematian antara salah satu pihak sebelum penerimaan barang, maka hibah terbatal.

Bagi harta tak alih seperti rumah dan tanah, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta seperti menyerah kunci dan seumpamanya. Bagi harta alih pula, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta dengan harta lain.

Satu kelebihan hibah berbanding wasiat, seorang boleh menghibahkan hartanya kepada waris atau seseorang lain semasa dia masih hidup dan jumlahnya tidak terhad. Berbanding wasiat, kadar yang boleh diwasiatkan terhad satu pertiga daripada keseluruhan harta dan tidak boleh mewasiatkan harta kepada waris yang berhak menerima pusaka kecuali dengan persetujuan waris lain.

Deklarasi hibah perlu dibuat secara bertulis, dengan khidmat peguam syarie bertauliah, supaya dokumen itu tidak berlawanan dengan hukum syarak dan undang-undang. Hibah secara bertulis atau sempat dilaksanakan semasa pemberi hibah masih hidup mungkin tidak mendatangkan masalah.

Jika isu mengenai hibah timbul selepas pemberi hibah mati dan hibah tidak dibuat secara bertulis, pengesahan status hibah perlu di buat di Mahkamah Syariah. Masalah mungkin timbul ialah saksi tidak cukup, saksi sudah meninggal dunia atau kesaksian yang tidak konsisten.

Hibah dapat membantu ekonomi umat Islam, merapatkan ikatan persaudaraan dan pertalian kasih sayang sesama insan. Konsep hibah wajar disuburkan kembali dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Kata orang, harta tidak boleh dibawa mati. Namun, disebabkan harta yang tidak diurus dengan baik berdasarkan peraturan dan hukum Allah semasa hidup, maka roh si mati tidak aman di alam kubur, lantaran waris yang masih hidup berebut sesama sendiri.

INFO

HIBAH
•Hibah dibolehkan sama ada kepada ahli keluarga (waris) atau bukan ahli keluarga, hatta kepada bukan Islam.
•Jika harta hendak dihibahkan kepada anak, Islam menggalakkan ia dibuat secara adil.
•Empat rukun hibah iaitu pemberi hibah (al-Wahib); penerima hibah (al-Mawhub lahu); barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub) dan sighah iaitu ijab dan kabul. Setiap rukun itu pula mempunyai syarat tertentu.
•Penerima hibah yang belum akil baligh, kanak-kanak atau kurang upaya, hibah boleh dibuat melalui walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya.
•Barang atau harta yang hendak dihibah hendaklah barang atau harta yang halal.


Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui e-mel maa46050@yahoo.com

Tuesday, April 19, 2011

Wasiat tak sah jika bertentangan syarak



Oleh Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Berita Harian 2011/04/20

Dokumen perlu disimpan pewasiat, peguam syarie bagi elak pemalsuan

WASIAT adalah satu dokumen yang mempunyai kuat kuasa undang-undang membolehkan seseorang menentukan cara bagaimana harta bendanya dibahagi setelah berlaku kematian. Islam mensyaratkan wasiat tidak boleh kepada waris yang berhak menerima pusaka, tidak boleh melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan si mati dan tidak boleh dibuat bagi tujuan yang dilarang oleh syarak. Waris akan mendapat dua pertiga daripada pusaka secara faraid untuk dibahagikan sesama mereka. Oleh itu, wasiat kepada waris yang berhak menerima pusaka dikhuatiri mengganggu imbangan bahagian yang ditetapkan syarak.

Wasiat kepada ahli waris sama ada lebih satu pertiga atau tidak, adalah diharuskan dan menjadi sah menurut hukum syarak jika semua ahli waris yang berhak menerima pusaka bersetuju dengan wasiat berkenaan.

Persetujuan waris diambil kira ialah selepas kematian orang yang membuat wasiat, bukan sebelumnya. Jika salah seorang mempertikaikan atau tidak bersetuju, maka wasiat itu perlu disahkan di Mahkamah Syariah.

Mahkamah akan kembali kepada kaedah asal wasiat dalam Islam, iaitu tidak boleh kepada ahli waris dan tidak melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta peninggalan si mati.

Seseorang pembuat wasiat boleh menarik balik wasiatnya dengan melakukan sesuatu perbuatan (secara nyata) atau keadaan menunjukkan niatnya (tersirat), dengan menjalankan urus niaga berkaitan harta diwasiatkan atau melupuskan hartanya sehingga habis sama sekali.

Mutakhir ini, banyak syarikat menawarkan produk membuat wasiat kepada orang Islam. Sebelum menandatangani apa-apa dokumen wasiat, dapatkan nasihat peguam syarie atau mereka yang pakar mengenainya.

Dikhuatiri dokumen wasiat yang disediakan tidak memenuhi atau berlawanan dengan kehendak hukum syarak. Banyak kes berlaku, dokumen wasiat di bawa ke Mahkamah Syariah untuk disahkan, didapati tidak sah dan berlawanan hukum syarak.

Dokumen wasiat itu menjadi sia-sia sedangkan perbelanjaan besar dikeluarkan untuk penyediaan dokumen wasiat. Sebaiknya terus merujuk kepada peguam syarie yang arif untuk membuat surat wasiat menurut kehendak undang-undang dan hukum syarak.

Wasiat menjadi tidak sah jika pelaksanaannya tidak betul, bertentangan hukum syarak, pewasiat tidak sihat akal dan tidak berkemampuan memahami apa dibuat semasa wasiat dilaksanakan, wasiat dibuat secara paksa atau di bawah pengaruh orang lain.

Wasiat yang dibuat perlu disimpan oleh pewasiat atau peguam syarie bagi menjamin tahap kerahsiaan dan mengelakkan daripada berlaku pemalsuan atau pindaan tanpa izin pembuat wasiat.

Wasiat sebaiknya disemak setiap enam bulan bagi membolehkan perubahan dibuat oleh pewasiat. Wasiat baru boleh dibuat bagi menggantikan atau membatalkan wasiat terdahulu.

Bagi memastikan wasiat mempunyai kuat kuasa undang-undang, maka ia hendaklah dibuat secara bertulis oleh pewasiat berumur 18 tahun ke atas, bukan benefisiari, suami atau isteri kepada benefisiari yang dinamakan dalam wasiat, ditandatangani dua saksi dan bertarikh.

Seruan membuat wasiat seperti mana firman Allah yang bermaksud: “Diwajibkan atas kamu, apabila seseorang antara kamu kedatangan tanda-tanda maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya secara makruf, ini adalah kewajipan atas orang yang bertaqwa. Maka barang siapa yang mengubah wasiat itu setelah ia mendengarnya, sesungguhnya dosanya adalah bagi orang yang mengubahnya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Akan tetapi barang siapa khuatir terhadap orang yang berwasiat itu berlaku berat sebelah atau berbuat dosa, lalu ia mendamaikan antara mereka, maka tiadalah dosa baginya, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Baqarah, ayat 180-182)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Secerdik-cerdik manusia ialah yang paling banyak ingatannya kepada kematian serta yang paling banyak persiapannya untuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang yang benar-benar cerdik dan mereka pergi ke alam baqa’ dengan membawa kemuliaan dunia serta kemuliaan akhirat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Abiddunya)

Wasiat dalam Islam berperanan mempercepatkan pentadbiran pusaka selepas si mati meninggal dunia, mengurangkan pertikaian antara waris, memastikan pembahagian harta si mati terpelihara menurut syarak dan untuk memelihara hak waris.

Wasiat juga membolehkan wasi ditentukan sendiri untuk melaksanakan hasrat orang yang membuat wasiat, menentukan harta pewasiat diberikan kepada orang ditentukan sehingga masa ditetapkan menurut wasiat.

Pembahagian harta melalui wasiat juga mampu menyelamatkan ahli keluarga daripada duka dan mengalami kesusahan kerana masa depan mereka dijamin melalui warisan yang ditinggalkan serta memastikan anak ditinggalkan kepada penjaga yang dipercayai.

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi di alamat emel seksretariatpgsm@yahoo.com

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...