Thursday, August 25, 2011

Salam AIDILFITRI

Assalamu'alaikum...

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua Peguam Syarie, rakan-rakan, saudara mara, kaum kerabat dan mereka yang mengenali. Mohon maaf jika ada sebarang kesalahan saya terhadap tuan/puan.

Kepada yang akan pulang ke kampung, hati-hati memandu dan semoga selamat sampai. Kepada yang tidak pulang ke kampung, semoga suasana perayaan anda di kota juga semeriah di desa. Kepada anak-anak yang masih mempunyai ibubapa, jangan lupa memohon maaf kepada kedua ibu bapa. Mohon ampun dan berbuat baiklah sementara mereka masih hidup. Bagi yang ibu atau bapa telah kembali ke rahmatullah, jangan lupa zirahi pusara mereka dan sedekahkanlah al-Yaasin dan al-Faatihah..

Kepada semua, Selamat Hari Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Wednesday, August 24, 2011

Pemeriksaan Gereja Mematuhi Undang-undang


Ada pihak sengaja membutakan mata, memekakkan telinga
Oleh Tuan Musa Awang
Berita Harian 24 Ogos 2011

Ramai yang menyalahkan JAIS dalam isu pemeriksaan JAIS ke Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos 2011 lalu. Banyak pihak yang menghentam JAIS termasuk pimpinan kerajaan Negeri, dan pada masa yang sama JAIS mengambil sikap berdiam diri dan tidak defensif.

Sepatutnya kerajaan negeri Selangor dan umat Islam yang lain memberikan ucapan tahniah dan syabas kepada penguatkuasa JAIS dan pihak polis yang menjalankan tanggungjawab mereka menguatkuasakan undang-undang Syariah yang telah diperkenan oleh DYMM Sultan Selangor, pada malam bulan Ramadhan yang mulia, terpaksa mengetepikan ibadah sunnah dan fadhilat Ramadhan semata-mata untuk melaksanakan tanggungjawab demi agama dan Negara. Tetapi malang, yang berlaku adalah sebaliknya.

Melihat dalam konteks penguatkuasaan undang-undang jenayah Syariah, berpandukan pengalaman saya selama 13 tahun mengendalikan kes-kes jenayah Syariah, saya berpendapat, secara umumnya tidak ada yang kecacatan prosedur dilakukan JAIS dalam tindakan penguatkuasaan tersebut.

Tindakan penguatkuasa JAIS adalah berdasarkan maklumat yang diterima bahawa terdapatnya kehadiran orang Islam dalam satu majlis di gereja tersebut. Kehadiran orang Islam dalam satu majlis yang diadakan di sebuah rumah ibadat bukan Islam, waimma tidak kiralah siapa pun penganjurnya, pada malam hari di bulan Ramadhan (kerana kebiasaannya umat Islam akan berada di surau dan masjid untuk sembahyang tarawikh) adalah satu motif serta menimbulkan syak bahawa mereka telah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995, iaitu menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam di pandang hina.

Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1991 memperuntukkan bahawa : “Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain:- (a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina; (b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

Kesalahan di bawah Seksyen 10 ini adalah kesalahan boleh tangkap (seizable offence) yang lazimnya memberi kuasa kepada penguatkuasa JAIS atau pegawai polis untuk menangkap pesalah tanpa memerlukan waran dari Mahkamah Syariah.

Seksyen 57 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor 2003 menyebutkan jika penguatkuasa JAIS menerima maklumat atau aduan bahawa kesalahan boleh tangkap telah berlaku, maka penguatkuasa JAIS boleh terus pergi menyiasat, dan untuk mengambil apa-apa langkah yang perlu menurut undang-undang. Manakala seksyen 18 (a) Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada penguatkuasa JAIS atau polis untuk menangkap mana-mana orang yang melakukan kesalahan yang boleh ditangkap (seizable offence), tanpa perlu memohon waran dari Mahkamah.

Seksyen 18 (a) menyebutkan “Tanpa menjejaskan peruntukan mana-mana undang-undang bertulis lain, mana-mana Pegawai Penguatkuasa Agama, pegawai polis atau Pegawai Masjid boleh, tanpa perintah daripada Hakim dan tanpa waran, menangkap-(a) mana-mana orang yang kena-mengena dengan apa-apa kesalahan boleh ditangkap di dalam Negeri Selangor atau yang terhadapnya suatu aduan yang munasabah telah dibuat atau maklumat yang boleh dipercayai telah diterima atau syak yang munasabah wujud bahawa dia telah kena-mengena sedemikian”

Saya ingin betulkan persepsi sesetengah orang, tindakan penguatkuasa JAIS dan polis memasuki premis gereja tersebut bukanlah suatu percerobohan kerana mereka bertindak menurut undang-undang. Bagi kesalahan boleh tangkap, Seksyen 11 Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada penguatkuasa JAIS atau polis untuk masuk ke sesuatu premis di mana di dalamnya dipercayai pesalah berada. Menurut Seksyen ini, orang yang tinggal di premis itu atau yang menjaga tempat itu hendaklah membenarkan pegawai terlibat bebas masuk ke dalamnya dan memberikan sepenuh kerjasama termasuk untuk menggeledah tempat premis tersebut, bagi tujuan mencari pesalah. Penguatkuasa JAIS atau polis juga diberi kuasa untuk memeriksa pesalah dan menyita segala barang-barang bukti yang dijumpai padanya selain daripada pakaian yang dipakai oleh orang tersebut (Seksyen 15).

Tiada unsur kekasaran atau keganasan digunakan oleh penguatkuasa JAIS dan pihak polis. Malah, penguatkuasa JAIS telah bertindak bijak apabila memanggil penganjur program tersebut yang juga seorang Muslim, dan sesi temubual itu dibuat di luar dewan. Ia langsung tidak mengganggu majlis yang sedang dijalankan. Pihak penganjur telah berunding selama hampir 1 jam bersama ketua operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis tersebut selesai. Penguatkuasa JAIS dan polis tidak mengganggu perjalanan majlis tersebut, malah menunggu sehingga ianya selesai, walaupun undang-undang membenarkan penguatkuasa JAIS untuk masuk memeriksa premis tersebut.

Seramai 12 orang beragama Islam yang menghadiri majlis tersebut tidak ditangkap, tetapi mereka telah diarah untuk menghadirkan diri di Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk siasatan lanjut. Betapa rasional, lembut dan berhikmahnya cara yang digunakan oleh penguatkuasa JAIS semasa pemeriksaan tersebut, kerana faham bahawa pemeriksaan dan siasatan tersebut melibatkan agama dan komuniti bukan Islam. Namun perkara ini masih dipertikaikan oleh sesetengah pihak yang sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga. Cara selembut manakah lagi yang golongan ini mahukan dalam menguatkuasakan undang-undang yang sedia termaktub?

Walaupun kepelbagaian agama (pluraliti) dalam negara ini merupakan suatu realiti, namun semua pihak perlu juga sedar bahawa Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan Islam sebagai agama tertinggi di Negara ini. Secara harmoninya, penganut-penganut agama lain masih bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka, namun kebebasan yang diberikan tersebut tidaklah bermaksud agama-agama bukan Islam boleh menyebarkan agama mereka kepada penganut agama Islam (Perkara 11 (1)).

Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.”

Di Selangor, telah terdapat Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988 (Enakmen No. 1/1988) yang boleh dikenakan ke atas orang bukan Islam yang menyebarkan agama mereka kepada orang Islam, dan juga kepada orang Islam yang bersengkokol dengan mereka.

Selama ini kita banyak berlembut, cepat menggelabah dan tidak konsisten dalam mempertahankan agama Islam serta dalam menguatkuasakan hak yang terdapat undang-undang negara. Kedua-duanya digadaikan kerana mahukan kemenangan politik sementara, yang akhirnya meruntuhkan dan menghina agama sendiri. Sepatutnya dalam konteks pluraliti agama di Negara ini, orang bukan Islam terlibat yang sepatutnya meminta maaf kepada orang Islam kerana secara terang-terangan membenarkan orang Islam berada dalam pusat ibadah agama mereka?

Kejadian di awal Ramadhan ini sepatutnya membuka mata dan minda sekalian umat Islam di Negara ini, untuk bermuhasabah, memikirkan di mana kedudukan dan jatidiri mereka pada masa kini.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Email : sekretariatpgsm@yahoo.com

Sunday, August 21, 2011

Peguam Syarie minta JAIS hati-hati

Malaysiakini

Selepas serbuah ke sebuah gereja di Petaling Jaya minggu lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diminta berhati-hati menangani isu penyebaran agama Kristian terhadap orang Islam.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang (kiri) berkata, jika tidak berhati-hari, ia berpotensi menjadi “isu lain”.

“Kita kena waspada dengan dakyah pihak (agama) lain,” ketika ditanya tentang nasihat NGO itu kepada JAIS dalam keadaan isu itu semakin panas.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Musa berpendapat kes itu amat bergantung kepada 12 orang saksi beragama Islam yang diminta membantu siasatan tetapi dilaporkan gagal hadir ke sesi itu.

“Sekarang JAIS kena pastikan 12 orang ini dapat hadir ke mahkamah. Silapnya dulu tak tangkap terus (ketika pemeriksaan), tetapi dilepas,” katanya.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam dilaporkan akan mengeluarkan waran tangkap ke atas 12 individu yang hadir dalam majlis di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) kerana tidak seorang pun yang hadir.

Ditanya tentang tanggapan sesetengah pihak yang meragui asas serbuan JAIS kerana belum mendedahkan sebarang bukti, Musa tidak bersetuju jabatan itu melayan permintaan sebegitu.

“Ia pasti akan mengganggu proses siasatan,” katanya.
Berhubung tiadannya siasatan terhadap gereja itu, Musa menjelaskan bahawa JAIS tidak mempunyai kuasa menyiasat individu bukan Islam sebaliknya ia tertakluk kepada kuasa polis.

Perbaiki Sistem Agihan JKM, Baitulmal

9th, Ogos 2011
Oleh SUSAN ALBERT KASSIM

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal perlu mengkaji semula dan memperbaiki kaedah pengagihan dana kebajikan kepada mereka yang layak menerima bagi mengelakkan masyarakat Islam tercicir sehingga menyebabkan golongan ini mendapat bantuan daripada gereja.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, dakwaan bahawa ada segelintir masyarakat sukar mendapat sumbangan dari JKM dan Baitulmal menunjukkan terdapat kelemahan dalam sistem sedia ada yang diguna pakai sekarang.
“Cadangan penambahbaikan ini perlu dilihat dari aspek positif. Pihak Baitulmal perlu lebih agresif dan turun padang, mencari punca dan masalah kenapa masalah tersebut timbul,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Menurut beliau, dana yang dipegang oleh Baitulmal merupakan amanah daripada seluruh umat Islam yang mengeluarkan zakat.

“Pendedahan media tentang isu ini boleh menyebabkan kebolehpercayaan umat Islam terhadap institusi itu terjejas dan ditakuti pihak yang mengeluarkan zakat akan membelakangi Baitulmal,” katanya.

Mengulas mengenai isu berhubung dakwaan pujukan dari gereja terhadap umat Islam untuk menerima bantuan, PGSM menurut beliau menganggap ia sebagai satu usaha dakyah dan dakwah terancam yang perlu ditangani segera.

Katanya, antara usaha yang boleh dilakukan adalah dengan menguatkuasakan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam.

Sehubungan itu, Musa berkata, PGSM tetap menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menguatkuasakan undang-undang Syariah seperti yang termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan Enakmen Prosedur Jenayah Syariah Selangor 2003.

Tuesday, August 16, 2011

Hak Kebebasan Beragama dan Sekatan Menurut Perlembagaan



Oleh Tuan Musa Awang

Suatu penjelasan perlu dibuat berulang kali, bahawa Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah agama persekutuan, bukan agama rasmi seperti yang biasa dihujahkan oleh pihak-pihak yang tidak memahami konteks perundangan. Mendefiniskan Islam sebagai “agama rasmi” negara adalah tidak tepat kerana perkataan “rasmi” itu tidak pernah disebut dalam Perkara 3. Frasa “agama rasmi” juga akan menyempitkan tafsiran tersebut dan akan menjadikan agama Islam terhad kepada amalan ritual serta upacara rasmi dan keagamaan semata-mata.

Perkara 3 (1) Perlembagaan memperuntukkan bahawa : “Islam ialah agama bagi Persekutuan ; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Islam diiktiraf oleh Perlembagaan sebagai agama tertinggi Negara bukan sahaja berfaktor dari fakta sejarah, yang mana Islam menjadi agama yang dominan di Semenanjung Tanah Melayu sejak kurun ke 12 lagi, tetapi juga sebagai mengiktiraf tonggak dan kekuasaan Raja-Raja yang kesemuanya adalah beragama Islam sewaktu Negara ini dibentuk.

Kedudukan Perkara 3 ini sudah pun diperjelaskan melalui penghakiman-penghakiman yang diputuskan oleh mahkamah, namun ada pihak yang masih mempertikaikannya. Dalam kes Azalina Jailani (Lina Joy) lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & 2 Yang Lain [2007] 3 AMR 693, Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz memberi makna Islam sebagai “bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman”.

Peruntukan Perkara 3 ini amat bersangkut paut dengan kelangsungan kuasa Raja-raja Melayu, sebagai ketua agama Islam di persekutuan dan di negeri-negeri. Peruntukan ini tidak mudah untuk dipinda, kerana ia perlu mendapat perkenan Majlis Raja-raja, walaupun setelah mendapat sokongan dua pertiga ahli parlimen.

Walaupun Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan, tetapi secara harmoninya, penganut-penganut agama lain masih bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka. Ini bukan sahaja diperuntukkan dalam Perkara 3 (1) di atas, malah ditekankan lagi dalam Perkara 11 (1) Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa : “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”

Malah, Perkara 11 (3) Perlembagaan memberikan hak kepada penganut agama-agama ini termasuk agama Islam untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri, menubuh dan menyelenggara yayasan untuk tujuan agama masing-masing dan khairat, memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

Sungguhpun begitu, kebebasan yang diberikan tersebut tidaklah bermaksud agama-agama bukan Islam boleh menyebarkan agama mereka kepada penganut agama Islam. Ini adalah sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama tertinggi dalam Negara. Maka, Perkara 11 (4) memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaaan persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.

Perkara 11 (4) Perlembagaan memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.”

Kebebasan yang diberikan untuk mengamalkan agama masing-masing ini juga tidaklah sehingga membenarkan apa-apa perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang, mendatangkan masalah kepada kesihatan awam dan akhlak individu yang lain. Perkara ini diperuntukkan dalam Perkara 11 (5) Perlembagaan.

Berdasarkan kuasa yang diberikan di bawah perkara 11 (4) Perlembagaan tersebut, maka kerajaan-kerajaan negeri sejak 30 tahun yang lalu telah meluluskan undang-undang untuk mengawal pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam, sebagaimana berikut:-

Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Terengganu, 1980 (Enakmen No. 1/1980)
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Kelantan, 1981 (Enakmen No. 11/1981)
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Kedah, 1988
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Melaka, 1988(Enakmen No. 1/1988)
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Perak, 1988 (Enakmen No. 10/1988)
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988 (Enakmen No. 1/1988)
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Pahang, 1989 (Enakmen No. 5/1989)
Negeri Sembilan: Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam)Negeri Sembilan, 1991
Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Johor, 1991 (Enakmen No. 12/1991)

Hanya Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Perlis yang belum menggubal undang-undang sedemikian, walaupun kuasa telah diberikan oleh Perlembagaan.

Tafsiran "agama bukan Islam" yang disebut dalam enakmen ini adalah luas meliputi agama-agama arus utama seperti Kristian, Hindu, Budha, Sikh, Yahudi atau mana-mana cabang atau serpihan dari agama-agama tersebut. Termasuklah juga amalan menyembah roh datuk nenek, animisme, dan lain-lain yang tidak diakui oleh agama Islam sebagai berunsur Islam.

Kesalahan-kesalahan yang termaktub dalam enakmen itu ialah :-

• Seseorang yang menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seseorang beragama Islam di bawah umur 18 tahun supaya menerima ajaran agama bukan Islam, atau supaya dia menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau aktiviti yang dianjurkan untuk faedah suatu agama bukan Islam, maka ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya (Seksyen 5).

• Seseorang yang mendekati orang Islam bertujuan mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, pertunjukan, mengunjungi, mengatur, berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengannya, atau menghubungi dengan telefon, bagi maksud mendedahkan orang itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan mengenai agama bukan Islam, juga adalah kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama tempoh enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 6).

• Seseorang yang menghantar, menyerahkan, menyebabkan dihantar, diserahkan kepada seorang lain yang beragama Islam di dalam atau di luar negeri, atau dari luar negeri, menghantar atau menyerahkan kepada seorang yang beragama Islam di dalam negeri, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, atau bahan iklan bagi terbitan itu, yang mana tidak diminta oleh orang itu, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara selama tempoh tiga bulan atau kedua-duanya (Seksyen 7).

• Seseorang yang membahagi-bahagikan di suatu tempat awam, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, menyerahkan salinan terbitan itu kepada seorang Islam, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 8).

• Seseorang yang membuat apa-apa tulisan yang diterbitkan dalam apa-apa ucapan atau pernyataan terbuka, atau dalam suatu perhimpunan yang dirancang, atau dalam pernyataan yang diterbit atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang khusus untuk umat Islam sebagaimana disenaraikan dalam Bahagian I (Jadual) Enakmen itu, atau terbitan atau virasinya, menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara, atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu agama bukan Islam adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 9).

Antara perkataan-perkataan yang dilarang digunakan bagi maksud seksyen 9 tersebut ialah - Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Walillahilham, Allahu Akbar, Insyallah, Astaghfirullahal Azim, Tabaraka Allah, Masyaallah, Lahaula Walaquata Illabillahilaliyil Azim.

Semua kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen ini hendaklah disifatkan sebagai kesalahan-kesalahan boleh tangkap (seizable offence) bagi maksud Kanun Prosedur Jenayah, yakni pegawai yang diberi kuasa boleh menyiasat kesalahan di bawah undang-undang ini dan boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang yang disyaki telah melakukan mana-mana kesalahan itu. Kes-kes berkenaan akan dibicarakan oleh seorang Majistret.

Undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam tersebut bukan sahaja boleh dikenakan terhadap bukan Islam, tetapi juga boleh dikenakan ke atas orang Islam yang bersekongkol dengan bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka. Orang Islam juga boleh didakwa menurut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah negeri, iaitu kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina, yang jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada tahun 2002, di Negeri Pahang, dalam kes Pendakwaraya v Krishnan a/l Muthu, tertuduh seorang bukan Islam telah didakwa kerana melakukan kesalahan menyalahi Seksyen 4 (2) (i) Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Ugama Bukan Islam) Pahang 1989. Tertuduh telah disabitkan bersalah dan dihukum dipenjara selama 20 hari dan didenda RM1,500.00.

Mungkin ada penjelasan yang munasabah mengapa undang-undang kawalan agama bukan Islam di kalangan orang Islam masih tidak digubal oleh Parlimen untuk Wilayah-Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) , Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, yang mana ketua agama bagi keempat-empat negeri ini adalah Yang DiPertuan Agong.

Dalam kes Azalina Jailani (Lina Joy) lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & 2 Yang Lain [2007] 3 AMR 693, seorang wanita Melayu telah dibaptiskan di sebuah gereja di Kuala Lumpur. Akan tetapi, tindakan tidak boleh diambil terhadap beliau dan mereka yang terlibat kerana di Wilayah Persekutuan belum wujud Akta Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam).

Timbulnya isu siasatan JAIS terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos 2011 lalu adalah suatu hikmah dan rahmat di bulan Ramadhan yang mulia ini, di mana insiden adalah kali kedua (sebelum ini kes penggunaan kalimah Allah oleh gereja), yang sepatutnya membuka mata pihak-pihak berkenaan, agar segera mencari jalan supaya undang-undang tersebut digubal dan dikuatkuasakan secepat mungkin di Wilayah Persekutuan. Begitu juga dengan pihak berkuasa negeri Perlis. Wallahu’alam.

Sunday, August 14, 2011


Gay kahwin: Halang sebelum parah


ARKIB Mingguan Malaysia : 14/08/2011

Oleh MOHAMMED SOFIAN BAHAROM dan NORMAIRAH JAMALUDDIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kerajaan digesa menghalang cadangan paderi gay warganegara Malaysia, Pastor Ou Yang Wen Feng untuk berkahwin dengan 'kekasihnya' di negara ini.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, jika perkahwinan itu dibiarkan berlaku, nescaya keruntuhan akhlak yang dahsyat bakal tercetus dalam kalangan rakyat negara ini.

"Jika perkahwinan itu dibiar berlangsung, ia akan memperlihatkan bahawa kita membenarkan perkahwinan seumpama itu di negara ini.

"Seterusnya, dia (Wen Feng) akan dijadikan idola oleh minoriti gay atau lesbian yang pada ketika itu berasa diri mereka diiktiraf dan dihargai.

"Akhirnya, komuniti ini akan menubuhkan NGO mereka sendiri dan bertambah berpengaruh sehingga mampu mengikis identiti agama dan bangsa semua orang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Wen Feng yang membuat pengakuan terbuka untuk melangsungkan perkahwinan dengan 'kekasihnya' seorang lelaki warga Afrika-Amerika pada hujung bulan ini atau awal bulan depan dengan majlis itu bakal diadakan di New York, Amerika Syarikat dan juga di negara ini.

Jelas Mohd. Jurit, berdasarkan pemerhatiannya, budaya songsang itu sebenarnya semakin menular dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mungkin disebabkan pengaruh media Barat yang gemar 'menghalalkan' watak gay pada cerita-cerita popularnya.

"Pencegahan awal seperti menghalang perkahwinan sebegini adalah amat penting bagi menjamin akhlak rakyat tidak runtuh. NGO juga perlu bersatu tanpa mengira fahaman politik dalam menentang perkembangan negatif ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, perkahwinan sejenis adalah bertentangan dari segi moral serta budaya dan tidak diterima di negara ini.

"Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis. Saya pasti masyarakat mengetahui hal ini, tetapi mengapa dia (Wen Feng) masih berdegil mahu melakukan majlis perkahwinan di sini.

"Jika dia masih mahu melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya di sini bulan depan, bererti dia sudah melanggar Perlembagaan negara," tambahnya.

Tuesday, August 9, 2011

Perbaiki cara dakwah elak umat dipedaya


Peguam Syarie Menulis Berita Harian, 10/08/2011

Oleh Musa Awang

JKM, Baitulmal perlu ubah kaedah agih dana pastikan tiada tercicir

INSIDEN pemeriksaan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya mendedahkan sekali pengakuan orang Islam yang dipujuk secara berterusan untuk mendekati gereja walaupun selepas membuat keputusan untuk tidak lagi menerima bantuan kewangan dihulurkan.

Menurut pengadu, gereja itu akan menelefon dua hingga tiga kali sebulan untuk bertanyakan khabar dan masalah. Mereka turut menawarkan individu berkenaan dan anak tinggal di asrama yang disediakan di pusat ibadah itu dan sanggup menanggung segala keperluan termasuk persekolahan anak.

Individu terbabit pada mulanya sanggup menerima bantuan yang dihulurkan gereja bagi memastikan anak mereka meneruskan kehidupan, selepas gagal mendapat bantuan Baitulmal.

Minggu lepas, seorang rakan penulis bertemu satu keluarga malang yang bergelut dalam kepayahan hidup. Nasib malang keluarga ini dihidu dan dibantu persatuan Buddha sebanyak RM300 sebulan. Nasib baik iman dan pegangan agama keluarga ini utuh dan tidak mudah terpengaruh.

Jika terbukti benar dakwaan itu, ia adalah dakyah terancam yang perlu ditangani segera dengan menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam yang sedia ada di kebanyakan negeri, sejak tahun 1988.

Kesalahan yang termaktub dalam enakmen itu ialah:

• Seseorang yang menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seseorang beragama Islam di bawah umur 18 tahun supaya menerima ajaran agama bukan Islam, atau supaya dia menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau aktiviti yang dianjurkan untuk faedah suatu agama bukan Islam, maka ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya (Seksyen 5).

• Seseorang yang mendekati orang Islam bertujuan mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, pertunjukan, mengunjungi, mengatur, berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengannya, atau menghubungi dengan telefon, bagi maksud mendedahkan orang itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan mengenai agama bukan Islam, juga adalah kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama tempoh enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 6).
• Seseorang yang menghantar, menyerahkan, menyebabkan dihantar, diserahkan kepada seorang lain yang beragama Islam di dalam atau di luar negeri, atau dari luar negeri, menghantar atau menyerahkan kepada seorang yang beragama Islam di dalam negeri, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, atau bahan iklan bagi terbitan itu, yang mana tidak diminta oleh orang itu, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara selama tempoh tiga bulan atau kedua-duanya (Seksyen 7).

• Seseorang yang membahagi-bahagikan di suatu tempat awam, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, menyerahkan salinan terbitan itu kepada seorang Islam, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 8).

• Seseorang yang membuat apa-apa tulisan yang diterbitkan dalam apa-apa ucapan atau pernyataan terbuka, atau dalam suatu perhimpunan yang dirancang, atau dalam pernyataan yang diterbit atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang khusus untuk umat Islam sebagaimana disenaraikan dalam Bahagian I Enakmen itu, atau terbitan atau virasinya, menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara, atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu agama bukan Islam adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 9).

Sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan ini boleh ditangkap tanpa waran. Sebagai umat Islam, kita melenting kalau ada ancaman dakwah daripada agama lain. Tetapi kita perlu sedar bahawa itu adalah strategi proaktif mereka.

Kita perlu menilai adakah strategi dakwah kita dapat menyaingi mereka atau kita hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan hidayah Allah? Adakah kita hendak menyalahkan pihak gereja yang me ngambil inisiatif membantu mereka dalam kesusahan tanpa perlu melalui proses tapisan ketat?

Kebenaran dakwaan ada masyarakat susah menerima sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal perlu dilihat dari aspek positif bahawa masih ada kelemahan sistem yang diguna pakai sekarang.

JKM dan Baitulmal perlu mengkaji kaedah mengumpul data dan maklumat masyarakat fakir miskin serta menambah baik kaedah pengagihan dana kebajikan kepada masyarakat layak menerimanya, supaya tidak ada lagi masyarakat Islam tercicir, yang akhirnya dipujuk pihak tertentu untuk menerima bantuan dari gereja.

Baitulmal perlu lebih agresif mencari punca dan masalah kenapa ada pihak yang susah mendapatkan bantuan kerana dana yang dipegang badan itu adalah amanah seluruh umat Islam yang mengeluarkan zakat.

Pengajaran boleh diambil dari sejarah Islam, diriwayatkan bahawa pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab, beliau sanggup memikul gandum untuk diagihkan kepada orang miskin kerana mengambil berat tanggungjawabnya menjaga kebajikan umat Islam.

Pada zaman Khalifah Umar Abd Aziz pula, wang zakat tidak dapat diagihkan kepada umat Islam kerana kemiskinan sifar, yakni tiada orang memerlukan wang zakat lalu ia digunakan untuk memerdekakan hamba abdi di Eropah.

Pihak yang diamanahkan menjaga kebajikan umat Islam di negara ini perlu membuat transformasi cara kerja secepat mungkin bersesuaian kehendak semasa, mengurangkan birokrasi dan lebih praktikal. Sebagai pembayar zakat, sudah pasti kita mahukan perubahan ini berlaku segera.

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...