Tuesday, November 29, 2011

Tiada kesepakatan laksana fatwa kelirukan umat Islam



Oleh Musa Awang

Peguam Syarie Menulis Berita Harian 30/11/2011

Wanita Muslim sertai ratu cantik cabar ketetapan syariah

PENYERTAAN wanita Islam pada pertandingan ratu cantik pernah menggugat ketenangan masyarakat apabila tiga gadis Melayu menyertai pertandingan itu di Selangor pada 1997.

Baru-baru ini, lima wanita Islam menyertai pertandingan Ratu Cantik Borneo (MBB) 2011 di Kuching, Sarawak, walaupun sudah diberi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Sarawak dan mendapat bantahan pelbagai pihak. Walaupun belum ada undang-undang khusus di Sarawak yang menghalang orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik, tidak bermakna mereka boleh memperagakan aurat pada pertandingan itu.

Dicadangkan supaya diwujudkan jawatankuasa penyelarasan pada peringkat kebangsaan untuk memastikan negeri yang belum mewartakan fatwa sudah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk berbuat demikian Firman Allah SWT bermaksud: “Dan katakan kepada perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami atau bapa atau bapa mentua atau anak atau anak tiri atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan Islam atau hamba atau orang gaji daripada lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti mengenai aurat perempuan dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubat kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, ayat 31)

Kecantikan tubuh wanita Islam bukan untuk dipertontonkan atau dijadikan bahan pertandingan. Wanita Islam perlu memiliki sifat tawaduk dan tidak membanggakan diri. Kecantikan wanita Islam terletak pada ketaatan agama, kemuliaan hati, kelembutan tutur kata dan tindak-tanduk.

Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan untuk mengharamkan wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik pada 1997. Isu terbaru membuka mata kita walaupun selepas lebih 14 tahun fatwa kebangsaan dikeluarkan, masih ada negeri belum menerima dan mewartakan fatwa itu.

Walaupun dari sudut perundangan keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mengikat negeri untuk menerimanya, dari sudut pandangan syarak, keputusan itu suatu fatwa.

Dari sudut lain, ia menunjukkan tiada kesepaduan pendapat dalam urusan umat Islam. Perbezaan adat dan budaya tidak boleh mengubah hukum ditetapkan syarak. Dicadangkan supaya diwujudkan jawatankuasa penyelarasan peringkat kebangsaan untuk memastikan negeri yang belum mewartakan fatwa sudah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk berbuat demikian. Alasan munasabah perlu diberikan negeri yang belum mewartakan fatwa kebangsaan itu termasuk Sarawak. Mereka perlu menyemak semula semua fatwa kebangsaan yang belum diwartakan, terutama larangan ratu cantik Islam.

Suasana mutakhir ini membabitkan ancaman pihak yang menaja hak asasi dan individu secara terbuka, memerlukan tindakan segera pihak berkuasa agama. Ramai gadis terlalu ghairah memperagakan kecantikan pada pertandingan majalah dan akhbar sama ada dalam keadaan mereka mengetahui atau jahil hukum.

Dari segi penguatkuasaan, jika sudah diwartakan, orang yang melakukan tindakan bertentangan dengan fatwa itu boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang jenayah syariah negeri. Seksyen 9 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 2001 (Ordinan 46 Tahun 2001) memperuntukkan: “Mana-mana orang yang bertindak dengan cara menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan majlis dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Tindakan menasihatkan lima peserta terbabit adalah langkah awal yang harus dipuji. Apabila mereka masih menyertai pertandingan itu walaupun diberi nasihat, ia seperti mencabar kewibawaan pihak berkuasa agama. Maka, kajian menjadikan larangan itu dalam bentuk penguatkuasaan undang-undang perlu disegerakan bagi menyekat aktiviti itu terus berleluasa.

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia boleh dihubungi di alamat e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...