Tuesday, July 21, 2009

Perosak rumahtangga boleh didakwa



Dalang keretakan hubungan suami isteri rakan kepada Iblis Dasim

Oleh Musa Awang

Artikel ini disiarkan Berita Harian pada 15 Julai 2009)

Kehadiran orang ketiga (third-party) dalam rumahtangga mungkin terdiri daripada kalangan ahli keluarga sendiri, membabitkan campurtangan ibu bapa, mentua, adik beradik atau orang luar adalah sebahagian faktor penyebab keruntuhan rumahtangga.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman dalam satu kenyataan mengakui kehadiran orang ketiga seringkali dikaitkan sebagai punca hubungan suami isteri bergoncang.

Walaupun orang ketiga bukan punca utama perceraian, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat yang dijalankan LPPKN pada tahun 2004, menunjukkan 12 peratus perceraian berpunca daripada kehadiran orang ketiga. Ia merujuk kepada pasangan curang dan isteri enggan dimadukan.

Perbuatan memecah belah atau menjadi dalang punca berlakunya perceraian ini sebenarnya adalah perbuatan dosa dan maksiat serta boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang jenayah Syariah.

Perbuatan memutuskan silaturrahim sesama Muslim adalah amalan masyarakat Arab jahiliyyah. Apabila Islam muncul, Baginda Nabi Muhammad s.a.w membawa perspektif baru, menyeru manusia menjaga silaturrahim. Firman Allah yang bermaksud : “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya ; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah An-Nisa’ ayat 1)

Allah menyeru seluruh umat manusia, tanpa memandang agama, suku, ras, warna kulit, bangsa atau keturunan, supaya bertakwa kepada Allah dengan mengerjakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Allah menciptakan manusia dari ayahanda dan bonda yang satu, iaitu Nabi Adam dan Hawa, maka Allah menyeru manusia untuk menyambung silaturrahim dan dilarang memutuskannya.

Tindakan memutuskan silaturrahim antara suami isteri diperuntukan sebagai suatu kesalahan jenayah dalam Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah setiap negeri. Seksyen 36 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559) memperuntukkan : “Mana-mana orang yang memujuk lari seseorang perempuan bersuami atau membawanya keluar dari atau dengannya apa-apa cara mempengaruhinya supaya meninggalkan kediaman suami isteri yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh memerintahkan perempuan tersebut supaya kembali kepada suaminya.”

Seksyen 37 Akta yang sama memperuntukkan : “Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM2000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah.”

Selanjutnya Seksyen 38 Akta yang sama memperuntukkan : “Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.”

Kesalahan itu tergolong dalam kategori ’kesalahan boleh tangkap’ (seizable offence) menurut Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560), iaitu kesalahan yang lazimnya boleh ditangkap oleh Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) atau pegawai polis tanpa waran.

Memandangkan kesalahan itu adalah mengikut kesalahan jenayah Syariah, maka maklumat tentang kesalahan-kesalahan tersebut hendaklah dibuat kepada PPA. PPA akan menjalankan siasatan, bertujuan untuk menentukan sejauh mana kebenaran sesuatu maklumat itu. Ia bagi mengelakkan berlaku penganiayaan atau tohmah dan sebagainya. Sebanyak mana bukti atau keterangan yang diperlukan akan diambil, untuk menentukan sejauh mana terdapatnya kesalahan yang diadukan itu telah dilakukan oleh seseorang, dan bagi apa-apa tindakan selanjutnya mengikut undang-undang.

Berdasarkan pengalaman mengendalikan kes di Mahkamah Syariah, tidak pernah dilaporkan atau terdengar kesalahan-kesalahan Seksyen 36, 37 atau 38 ini didakwa di Mahkamah Syariah. Kemungkinan tidak ada aduan dibuat, kerana tindakan PPA adalah berdasarkan maklumat dan aduan. Kemungkinan juga kes yang diadukan tidak kukuh dan tidak cukup bukti. Kemungkinan juga aduan hanya tinggal aduan. Kajian terperinci perlu dijalankan mengenainya, sebelum apa-apa rumusan dibuat. Walau apa pun, Hukum Syarak telah jelas dan undang-undang termaktub.

Orang yang menjadi dalang permusuhan dalam rumahtangga ini sebenarnya adalah rakan kepada iblis yang digelar Iblis Dasim, tugasnya mempengaruhi, menggoda, mendorong suami isteri agar melakukan penyelewengan, berlaku curang dan khianat, bertujuan agar suami isteri porak-peranda, akhirnya berlaku perceraian. Apabila berlaku perceraian, maka akan mudah bagi iblis Dasim mengajak suami isteri tadi melakukan kemaksiatan, seperti zina, khalwat dan sebagainya. Iblis Dasim sangat benci kepada rumahtangga yang rukun dan bahagia.

Sesungguhnya Al-Quran telah memberi amaran kepada kaum Muslimin agar jangan mengikuti langkah-langkah Iblis menyesatkan melalui firman Allah yang bermaksud : “Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah svaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Ssurah al-An’am ayat 142

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http : //www.peguamsyarie.org.

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...