Wednesday, September 8, 2010

Sumbang mahram bukti kedangkalan agama, adat resam



Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian 08/09/2010

Islam melaknat orang melakukan perkara terkutuk di dunia dan akhirat

RAMADAN kali ini banyak menguji keimanan sebagai umat Islam. Menatap akhbar sepanjang Ramadan, kita dihidangkan berita meruntun jiwa dan menyayat hati. Kisah adik beradik dirogol abang kandung, datuk merogol cucu dan adik merogol kakak sendiri.

Sumbang mahram ialah perbuatan zina yang dilakukan seseorang yang ada pertalian darah atau keturunan dengan mangsa atau hubungan jenis antara mereka yang mempunyai tali persaudaraan dan perkahwinan mereka tidak sah di sisi agama, undang-undang serta adat resam.

Islam melaknat orang melakukan sumbang mahram di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT bermaksud: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan berikut), ibu kamu, anak kamu dan saudara kamu, saudara bapa kamu, saudara ibu kamu, anak saudara kamu yang lelaki, dan anak saudara kamu yang perempuan dan ibu kamu yang telah menyusukan kamu....”(Surah an-Nisa’: 23)

Sumbang mahram bukan saja merosakkan kesihatan fizikal, mental dan sosial yang berpotensi tinggi menghasilkan keturunan secara biologi lemah fizikal dan mental (cacat), tetapi juga suatu bukti kedangkalan agama serta adat resam.

Sumbang mahram ialah jenayah menurut Seksyen 376A dan Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak melebihi 20 puluh tahun serta sebatan.

Sumbang mahram dikenakan hukuman menurut Seksyen 20, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, (Akta 559), yang memperuntukkan: “Mana-mana orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”

Mengikut statistik Polis Bukit Aman, sepanjang 2000 hingga 2007, Johor dan Selangor mencatatkan kes sumbang mahram tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 308 kes daripada keseluruhan 2,158 kes dilaporkan kepada polis.

Sabah mencatatkan jumlah kedua tertinggi iaitu sebanyak 258 kes, diikuti Perak (197), Kedah (195), Pahang (164) dan Sarawak (136). Terengganu mencatatkan sebanyak 109 kes, Kelantan (107), Negeri Sembilan (102), Melaka (101), Kuala Lumpur (96), Pulau Pinang (59) dan Perlis (18).

Statistik kes sumbang mahram kerap dilaporkan. Namun, ada juga mangsa tidak membuat laporan khuatir si pelaku akan dipenjarakan atau hilang mata pencarian. Ada juga mangsa diugut supaya tidak melaporkan jenayah itu. Dalam kebanyakan kes, sumbang mahram tidak dilaporkan serta merta.

Kajian Dr Abdul Hadi Zakaria, pada 1996 dan laporannya diterbitkan Januari 1998 dengan tajuk ‘Haruan Makan Anak: Inses di Semenanjung Malaysia’ menunjukkan dari 1992 hingga 1994, 30 peratus kes rogol dilaporkan membabitkan sumbang mahram.

Pelaku utama jenayah ini ialah bapa kandung (48.8 peratus) dan diikuti bapa tiri (24.4 peratus). Si pelaku lain ialah bapa saudara, abang ipar dan datuk. Kebanyakan kes sumbang mahram berlaku di rumah kediaman mangsa.

Kajian juga menunjukkan kes sumbang mahram membabitkan mangsa yang muda, iaitu 54.9 peratus dari mereka berumur antara 11 hingga 15 tahun manakala umur si pelaku pula dari semuda 18 hingga 65 tahun.

Antara punca berlaku sumbang mahram ialah kegagalan atau kecuaian isteri memuaskan keperluan suami akibat tuntutan kerja, kepenatan, kelemahan iman, ketandusan ilmu dan kurang penghayatan agama.

Kelemahan agama menjadi lebih parah jika mereka terdedah dengan gambar atau filem porno yang mudah dimuat turun atau dipindahkan ke dalam telefon bimbit.

Islam melarang lelaki dan wanita berdua-duaan di tempat sunyi kerana akan muncul syaitan yang menghasut ke arah kejahatan seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak berada di tempat sunyi antara seorang lelaki dan seorang wanita kecuali yang ketiganya adalah syaitan.”

Islam juga mensyariatkan supaya dipisahkan tempat tidur anak dan ibu bapa sejak mereka berusia tujuh tahun serta mengajarkan kepada mereka supaya memberi salam serta meminta izin terlebih dulu sebelum masuk ke bilik ibu bapa.

Islam mensyariatkan supaya bilik untuk anak gadis diasingkan dengan bilik anak lelaki apabila mereka akil baligh, serta menekankan batas aurat, pergaulan antara ibu bapa dengan anak dan adik beradik berlainan jantina. Perasaan malu mendedahkan aurat perlu ditekankan sejak anak kecil lagi.

Firman Allah bermaksud: “Wahai anak Adam, sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat kepada hamba-Nya supaya mereka mengenang dan bersyukur)."(Surah Al-A'raaf: 26)

Walaupun ahli keluarga boleh membuka aurat dalam kalangan mereka tetapi tidak sehingga menampakkan bahagian antara pusat dan lutut, berpakaian terlalu nipis, seksi atau mengikut bentuk badan. Anak juga perlu ditekankan larangan berzina dan melakukan dosa besar.

Peningkatan kadar perceraian, dikhuatiri kanak-kanak terdedah kepada risiko gejala sumbang mahram. Jika seseorang ibu berkahwin semula, anak perempuan akan tinggal serumah dengan bapa tiri, menjadikan risiko mereka terdedah kepada penganiayaan seksual bapa tiri.

Bagi kes yang membabitkan adik beradik, keluarga yang bercerai akan menyumbang kepada faktor ini kerana si ibu keluar rumah untuk mencari rezeki dengan meninggalkan abang menjaga adik di rumah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...