Wednesday, December 28, 2011
Kuasa dengar mohon murtad masih hak mahkamah syariah
Mahkamah sivil kendalikan kes kesalahan Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam)
Peguam Syarie Menulis
Berita Harian, 28 Disember 2011
Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com
Khamis lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan bahawa kerajaan dalam usaha untuk menyelaraskan penguatkuasaan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam yang sedia ada di beberapa negeri. Suatu usaha yang baik bagi membendung usaha penyebaran atau dakwah terancang agama bukan Islam kepada umat Islam, yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan.
Mungkin ada yang keliru dengan kenyataan tersebut, seolah-olah kesemua perbicaraan kes murtad akan dibawa ke mahkamah sivil dan bukan lagi mahkamah Syariah. Permohonan pengisytiharan murtad orang Islam masih akan didengar di Mahkamah Syariah kerana ia adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah berdasarkan Seksyen 61 (3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri, bukannya di Mahkamah sivil.
Hanya Mahkamah Syariah yang boleh mengesahkan dan mengisytiharkan seseorang itu telah keluar Islam. Selagi seseorang beragama Islam, ia tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, sehinggalah Mahkamah Syariah mengisytiharkan dirinya telah keluar Islam. Meletakkan kes permohonan murtad di bawah bidangkuasa Mahkamah sivil adalah ibarat menjerut leher umat Islam kerana sebahagian hakim-hakim di mahkamah sivil adalah bukan beragama Islam.
Maksud kes murtad didengar di mahkamah sivil adalah melibatkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan menurut Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam). Enakmen Kawalan tersebut telah sedia ada di Terengganu, Kelantan, Kedah, Melaka, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Terengganu, telah wujud sejak 1980. Undang-undang terbaru adalah Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Negeri Sembilan dan Johor, iaitu pada tahun 1991. Setakat ini cuma Perlis, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang belum ada undang-undang seumpama itu.
Sesetengah pihak termasuk orang Islam sendiri ada yang mempertikaikan undang-undang tersebut kelihatan sebagai menyekat kebebasan beragama yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Suka dijelaskan, kebebasan beragama yang diberikan Perlembagaan adalah hak untuk menganuti dan mengamalkan agama masing-masing, bukan hak untuk mengembangkan anutan atau amalan agama mereka kepada orang Islam.
Kebebasan beragama yang dinyatakan dalam Perkara 11 bukanlah suatu yang mutlak, tetapi tertakluk kepada sekatan-sekatan tertentu. Perkara 11 (1) Perlembagaan memperuntukkan bahawa “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”
Fasal 4 memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam” (Perkara 11 (4)).
Perkara 11 (4) inilah yang menjadi punca kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen untuk membuat undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama bukan di kalangan penganut Islam, sejajar dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama tertinggi dalam negara.
Negeri-negeri yang belum menggubal undang-undang tersebut perlu segera berbuat demikian untuk menjaga kebajikan dan kepentingan umat Islam di negeri tersebut. Namun, jika sekalipun ada undang-undang, tetapi tidak dikuatkuasakan adalah suatu perkara yang amat dikesalkan.
Semua kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) adalah kesalahan-kesalahan boleh tangkap (seizable offence) bagi maksud Kanun Prosedur Jenayah. Pegawai yang diberi kuasa atau pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada Inspektor boleh menangkap tanpa waran sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen tersebut.
Seksyen 10 Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Johor 1991 memperuntukkan “Raja dalam mesyuarat boleh, secara bertulis, melantik mana-mana pegawai awam menjadi seorang pegawai diberikuasa di bawah Enakmen ini.” Pegawai diberikuasa ertinya pegawai awam yang dilantik di bawah Enakmen tersebut. Enakmen negeri Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Melaka menggunakan istilah “pegawai bertauliah” yang mempunyai maksud hampir sama.
Pegawai diberikuasa atau pegawai bertauliah boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang yang disyaki telah melakukan mana-mana kesalahan di bawah Enakmen tersebut, melakukan siasatan, termasuk memohon bantuan mana-mana pegawai polis dalam menjalankan kuasanya. Pegawai diberikuasa bukanlah semestinya pegawai polis atau pegawai penguatkuasa agama. Boleh jadi sesiapa sahaja yang dilantik oleh Raja atau Sultan setiap negeri, dari kalangan pegawai awam samada beragama Islam atau bukan Islam.
Kes-kes berkenaan akan dibicarakan oleh seorang Majistret, kerana undang-undang tersebut bukan sahaja boleh dikenakan ke atas orang Islam yang bersekongkol dengan bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka, tetapi juga boleh dikenakan terhadap orang bukan Islam tersebut.
Tidak pasti, sudah adakah pegawai diberi kuasa ini yang dilantik, dan jika ada, berapa ramaikah yang sudah dilantik. Usaha ke arah melaksanakan undang-undang ini perlu dimulakan dengan melantik pegawai diberi kuasa atau pegawai bertauliah sebagaimana yang dikehendaki oleh Enakmen tersebut.
- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com
Subscribe to:
Posts (Atom)
-
Jika anak masih belajar atau kurang upaya Oleh Musa Awang Mungkin ramai yang tahu bahawa nafkah seorang anak perlu ditanggun...
-
Ikatan boleh batal jika wanita masih isteri orang Peguam Syarie Menulis Berita Harian, 27 Februari 2013. Oleh Musa Awang Tu...
-
Elak masalah semasa meninggal dunia Peguam Syarie Menulis, Berita Harian 12 Disember 2012 MUSA AWANG Menurut Sayyid Qutb, ...
Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM
Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...