Showing posts with label Sinar Harian. Show all posts
Showing posts with label Sinar Harian. Show all posts

Tuesday, August 5, 2025

'Bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri kenakan fatwa ke atas individu Islam masih kekal sah, tak terjejas' - PGSM

Bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri kenakan fatwa ke atas individu Islam masih kekal sah, tak terjejas' - PGSM

Oleh Amir Abd Hamid - Jun 19, 2025 @ 4:52pm

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. Gambar fail

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. Gambar fail

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menegaskan bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk mengenakan fatwa ke atas individu beragama Islam adalah kekal sah dan tidak terjejas.

Penegasan itu sebagai reaksi kepada keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini dalam kes membabitkan Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia.

Presiden PGSM, Musa Awang, berkata keputusan mahkamah tertinggi negara itu hanya mentafsirkan bahawa fatwa terpakai kepada 'orang sebenar' dan bukannya kepada entiti undang-undang seperti syarikat atau pertubuhan.

Beliau berkata, mahkamah tidak sama sekali membatalkan atau menyentuh isi kandungan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sebelum ini.

"Mahkamah Persekutuan tidak membuat sebarang komen terhadap kandungan fatwa yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat.

"Ini bermakna kuasa pihak berkuasa agama negeri untuk mengeluarkan fatwa ke atas penganut Islam masih kekal dan sah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes membabitkan cabaran undang-undang dibuat SIS dan pengasasnya terhadap fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan satu fatwa Selangor yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh diguna pakai terhadap SIS kerana fatwa itu hanya terpakai kepada orang perseorangan beragama Islam dan bukannya syarikat atau pertubuhan.

Susulan itu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan dikemukakan SIS dan pengasasnya, Datin Paduka Zainah Mahfoozah Anwar, berhubung pertikaian keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng ajaran Islam sebenar yang dikeluar dan diwartakan 11 tahun lalu, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Musa berkata, walaupun fatwa itu kini tidak boleh dikuatkuasakan secara langsung ke atas SIS sebagai sebuah pertubuhan, individu Muslim yang menguruskan atau menjadi ahli dalam mana-mana pertubuhan tetap terikat dengan fatwa dikeluarkan.

"Sesebuah pertubuhan tidak bergerak sendiri, ia digerakkan oleh individu. Justeru, individu Muslim yang bertanggungjawab dalam sesebuah pertubuhan itu kekal tertakluk kepada fatwa dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata, penghakiman Mahkamah Persekutuan itu tidak menafikan keabsahan larangan terhadap mana-mana individu Islam daripada menganut fahaman pluralisme, liberalisme, atau fahaman lain yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Sementara itu, Musa berkata, PGSM turut menggesa semua peruntukan undang-undang berkaitan hal ehwal Islam di negara ini disemak dan ditambah baik secara berterusan.

"Usaha penambahbaikan ini perlu membabitkan sesi libat urus dengan pelbagai pihak supaya peruntukan yang ada bukan saja memenuhi kehendak hukum syarak, malah selari dengan kerangka perundangan negara," katanya.

Thursday, April 19, 2018

Janji adalah hutang



TUAN MUSA AWANG 
18 APRIL 2018
Sinar Harian


Menjelang PRU14 ini pelbagai pihak mula menabur janji-janji

MENJELANG pilihan raya umum, kelihatan bagaikan suatu pesta menabur janji-janji, Ada janji yang berkisar tentang perkara-perkara yang mungkin tercapai, yang logik dan boleh diterima akal.

Dan ada juga janji yang tidak munasabah untuk diterima akal, yang diucapkan sekadar untuk menarik perhatian dan meraih sokongan, serta tidak dapat membezakan yang manakah visi dan yang manakah janji.

Visi sepatutnya sebuah paparan perancangan yang akan dilakukan jika terpilih untuk menjadi pemimpin, dan masih dalam batas-batas kewajaran serta rasional. Tetapi jika visi telah dipaparkan menjadi sebuah janji, maka di situlah ia terikat dengan adab-adab dan kehendak yang digariskan syarak.

Pihak yang berjanji sudah pasti memikirkan dan mengkaji sama ada janji yang ditaburkan itu mampu dipenuhi atau tidak.

Janji adalah suatu akad, iaitu suatu simpulan yang mengikat antara pihak yang mengucapkan janji dan pihak yang menerima janji. Lebih-lebih lagi jika pihak yang menerima janji mengotakan apa yang ditawarkan oleh pihak yang berjanji. 

Akad perjanjian yang dibuat secara bertulis boleh ditagih atau dituntut. Malangnya, tidak demikian dengan janji mulut, tiada surat perjanjian hitam dan putih. Sekadar dalam bentuk kata-kata si pembuat janji. Jika si pembuat janji mengelak, si penerima janji tidak punyai apa-apa sebagai dasar untuk menuntut janji berkenaan.

Berjanji adalah harus, menetapi janji adalah wajib. Oleh sebab itu, tidak mengotakan janji yang telah dipersetujui bererti haram dan mungkar di sisi ALLAH SWT. Firman-Nya yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad janji itu.” (Surah Al-Ma’idah : 1)

Dalam surah yang lain, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud, “dan tepatilah perjanjian dengan ALLAH apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah (mu) itu sesudah meneguhkannya, sedang kamu sudah menjadikan ALLAH sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpah itu).” (Surah An-Nahl : 91)

Janji tetap janji dan wajib ditepati bila tiba tempoh yang dijanjikan, melainkan janji untuk membuat sesuatu yang dilarang syariat, atau terdapat hal yang lebih baik dibandingkan dengan janji yang dibuatnya, atau tidak dapat ditunaikan kerana sakit, pengsan, hilang akal, atau keuzuran lain yang diharuskan syarak.

Melanggar atau meremehkan janji sama halnya dengan meremehkan hukum syarak, dan merupakan sebahagian tanda-tanda orang munafik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga keadaan. Jika ia berkata ia berdusta, jika ia berjanji ia mengingkari, dan apabila diberi amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya.” (HR Bukhari, Muslim).

Perbuatan memungkiri janji akan memberikan implikasi yang buruk kepada pihak-pihak yang terlibat. Misalnya, boleh merenggangkan hubungan persahabatan yang terjalin, hilang rasa hormat dan menghargai antara satu sama lain, berlaku perselisihan faham, hilang keyakinan serta kepercayaan antara satu sama lain.

Menunaikan janji adalah ciri-ciri orang beriman. Mengingkari janji merupakan sifat dan perbuatan syaitan, kerana syaitan itu ialah makhluk yang memberikan janji-janji dan membangkitkan angan-angan kosong pada manusia, padahal yang dijanjikan itu hanyalah tipu daya belaka.

Oleh sebab itu, adab semasa berjanji ialah dengan melafazkan ucapan ‘insya-Allah’ bagi setiap janji yang dibuat. Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti melainkan hendaklah disertakan dengan berkata ‘insya-Allah’.” (Surah al-Kahfi ayat 23).

Walaupun disertakan ‘insya-Allah, bukan bermakna ia suatu pilihan kepada pembuat janji, sama ada mahu ditepati dan dipenuhi atau tidak. Ucapan ‘insya-Allah adalah bertujuan untuk mengelak daripada berdosa jika tidak dapat memenuhi perkara yang dijanjikan, dan merupakan suatu azam yang bersungguh-sungguh untuk berusaha memenuhi segala janji, supaya tidak termasuk dalam golongan orang munafik yang dibenci oleh ALLAH SWT.

Demikianlah betapa agama Islam sangat mengambil berat dalam soal janji, walaupun dibuat secara lisan. Berjanjilah dalam perkara-perkara yang mampu ditepati dan ditunaikan. Jangan menganggap janji suatu hal yang remeh dan dijadikan barang mainan. Nasib rakyat tidak wajar dijadikan bahan lelucon.

Membuat pilihan yang tepat semasa pilihan raya umum adalah hak dan kebijaksanaan rakyat. Rakyat bijak perlu mengimbau lima tahun ke belakang, dengan menilai pihak manakah yang pernah berjanji dan menepati, dan pihak manakah yang pernah, berjanji tetapi masih berhutang janji-janjinya. Wallahualam. 

* Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...