Thursday, June 25, 2009

Hak Asasi Manusia Menurut Perspektif Islam

(Disiarkan Berita Harian pada 17 Jun 2009)

Hak asasi manusia adalah berdasarkan kepada perisytiharan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) pada 10 Disember 1948, yang dikenali sebagai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Periystiharan ini telah membahagikan hak asasi manusia kepada empat kebebasan utama iaitu kebebasan daripada ketakutan, kebebasan daripada kemahuan, kebebasan bersuara dan kebebasan kepercayaan. Ia menyenaraikan pelbagai hak asasi manusia, daripada hak sivil dan politik sehinggalah hak ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Hak kemanusiaan yang dinyatakan dalam UDHR itu adalah merujuk kepada hak yang dimiliki oleh semua insan, berdasarkan prinsip bahasa semua insan memiliki satu bentuk hak yang sama, sebagaimana mereka memiliki indentiti insan, yang tidak dipengarahui oleh faktor tempatan, perkauman dan kewarganegaraan.

Pada hakikatnya, hak kemanusiaan itu juga tertakluk kepada hak dari segi perundangan dan hak dari segi moral. Hak kemanusiaan dari segi undang-undang ialah satu bentuk hak yang dinikmati oleh seorang warganegara sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang negara tersebut. Pencabulan hak kemanusiaan yang berkenaan, akan membawa kepada tindakan undang-undang yang sewajarnya, dan ia berbeza dari satu negara ke satu negara yang lain.

Sebagai contoh, walaupun Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan kepada warganegara Malaysia, tetapi ia masih dalam batas-batas tertentu dan tertakluk kepada undang-undang tertentu. Ini kerana Perkara 10 (2) memberikan kuasa kepada Parlimen untuk meluluskan undang-undang yang menyekat kebebasan tersebut dalam batas-batas tertentu.

Perkara 10 (2) Perlembagaan memperuntukkan – ”Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan - (a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan ;”

Selanjutnya Perkara 10 (4) Perlembagaan memperuntukkan – ”Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.”

Oleh sebab itu wujudnya Akta-akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Pendaftaran Pertubuhan dan lain-lain.

Manakala hak kemanusiaan dari segi moral merupakan satu tanggapan moral yang didukung oleh anggota masyarakat. Anggota masyarakat perlu mengakui akan wujudnya hak tertentu yang harus dinikmati oleh individu lain, yang dianggap sebagai “sebahagian daripada sifatnya sebagai manusia”, walaupun ia mungkin tidak termaktub dalam undang-undang. Maka anggota-anggota masyarakat berkenaan perlu cuba mengelakkan diri daripada mencabuli hak masing-masing dengan penuh perasaan moral.

Adalah tidak bermoral dalam negara berbilang kaum dan agama di negara ini, apabila sesuatu kaum mempertikaikan hak sesuatu kaum dan anutan agama kaum yang lain. Adalah tidak bermoral apabila segelintir kaum bukan Islam mempertikaikan fatwa pengharaman penkid suatu masa dahulu, sedangkan orang Islam tidak pernah mempertikaikan tindakan kaum-kaum lain seperti membina tempat bersembahyang sesuka hati tanpa permit dan lesen sah, hatta di bawah pokok dan di tepi-tepi jalan.

Kebebasan menurut kacamata Islam

Terdapat ayat-ayat al-Quran yang memperuntukkan hak-hak manusia yang perlu dihormati. Antara hak-hak tersebut adalah hak untuk hidup, hak untuk mengumpul dan memiliki harta, hak untuk bersendirian tanpa gangguan, hak untuk bergerak, hak ke atas anak-anak, hak untuk keadilan, hak ke atas maruah dan penghormatan seseorang, hak persamaan di bawah undang-undang dan sebagainya.

Hak bersuara boleh dimanifestasikan dalam beberapa keadaan. Pertama hak untuk memberi nasihat kepada orang yang melakukan kesalahan (an-Nasihah). Kedua, hak untuk berunding dan bermesyuarat (as-Syura). Ketiga hak untuk membuat `ijtihad. Keempat hak untuk mengkritik orang lain (Hurriyyat al Mu’aradah). Kelima kebebasan pendapat (Hurriyyat al-Ra’y) dan keenam kebebasan untuk berpersatuan dan ketujuh kebebasan beragama (al-Hurriyyah al-Diniyyah). Kesemua hak ini adalah bersandarkan kepada nas-nas al-Quran yang `sarih’ (nyata).

Islam memerintahkan umatnya supaya melaksanakan pendekatan dakwah secara berhikmah dan penuh dengan nasihat. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Hak kebebasan yang dituntut oleh sebilangan wanita Muslim, hak kebebasan akhbar, hak kebebasan bersuara, hak kebebasan beragama dan tuntutan kebebasan lain perlu dilihat daripada sudut neraca Islam, supaya tidak terkeliru dengan kebebasan yang ditaja oleh barat. Barat sedang menjana pemikiran bahawa setiap individu boleh melakukan apa saja menurut kehendak hati dan nafsu biarpun ia bercanggah dengan kehendak agama dan bertentangan nilai kemanusiaan yang luhur.

Islam daripada awal lagi sudah menjamin kebebasan selaras dengan fitrah kejadian manusia. Bahkan, Islam tidak membenarkan unsur paksaan wujud dalam ajarannya yang suci. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud : “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Namun, ini tidak bermakna seorang Muslim bebas bertukar agama tanpa sebarang had. Kalimah syahadah adalah sebagai satu ikrar atau perjanjian yang termeteri antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ikrar dan perjanjian itu wajib dikota, dan sesiapa yang murtad bererti dia sudah melanggar perjanjian itu. Wajarlah Allah mengenakan hukuman keras terhadapnya.

Yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara dalam Islam ialah kebebasan menyatakan pendapat, buah fikiran, teguran dan kritikan membina kepada pihak bertanggungjawab. Termasuk juga kebebasan akhbar dan internet yang menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat umum, bukan melaporkan berita yang tidak benar, cerita-cerita yang tidak berfaedah, atau mempamerkan gambar-gambar yang kurang sopan. Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 19 yang bermaksud : - “sesungguhnya orang yang suka menghebohkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman,mereka akan beroleh azab yang amat pedih didunia dan diakhirat,dan allah mengetahui (segala perkara) sedangkan kamu tidak mengetahui”.

Islam memerintahkan umatnya supaya menyatakan kebenaran Islam sebagaimana dapat difahami daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesiapa ada melihat kemungkaran di hadapan kamu maka hendaklah kamu mengubah dan mencegahnya dengan tangan kamu (dengan kuasa yang ada pada kamu), jika kamu tidak mampu (dengan tangan kamu) maka hendaklah kamu ubah dengan lidah. Jika kamu masih lagi tidak mampu, maka hendaklah kamu ubah dengan hati. Itu adalah selemah iman.” (Hadis riwayat Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Pidato perdana Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebaik saja beliau diangkat sebagai khalifah pertama dalam Islam, memberi hak kepada rakyat jelata untuk bersuara memberikan pandangan dan kritikan kepada kepemimpinan beliau : “Wahai manusia! Aku telah dipilih untuk memimpin kamu padahal aku bukanlah orang yang paling baik daripada kalangan kamu. Jika aku melakukan perkara yang betul maka hendaklah kamu semua membantuku dan jika aku melakukan penyelewengan maka hendaklah kamu memperbetulkan aku.”

Islam juga menegaskan bahawa setiap Muslim berkewajipan mempertahankan maruah dan hak masing-masing. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :- “Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan maruahnya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya adalah syahid dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya adalah syahid.” (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i dan Tirmizi)

Ulama terkenal Syeikh al-Mutawalli al-Sya’rawi menegaskan, kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud pada setiap insan. Malah, kebebasan itu sebenarnya bersifat relatif iaitu dengan maksud ia tidak mengganggu kebebasan orang lain dan tidak bercanggah dengan ajaran agama. Dan jika ada unsur gangguan dan percanggahan dengan agama, masyarakat ramai akan bertindak mencegah perbuatan yang melampaui batas itu.

Kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud dalam masyarakat madani kerana masyarakat bertamaddun ialah masyarakat yang dikawal oleh sistem, peraturan dan undang-undang. Golongan yang menjadikan hawa nafsu sebagai panduan bukanlah masyarakat yang bebas, sebaliknya adalah masyarakat yang sesat.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http: ///www.peguamsyarie.org.

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...