Sunday, April 10, 2011

Isu Bukti Video Seks – Antara Zina dan Takzir




Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Selepas tulisan saya disiarkan dalam Malaysiakini yang menjawab pandangan Presiden PPMM, Zainur Rijal Abu Bakar, beliau ada menghubungi saya, meminta saya membaca penjelasan beliau terhadap bidasan Dr Juanda Jaya. Tulisan saya dikeluarkan dahulu sebelum jawapan atau penjelasan diberikan oleh Tuan Zainur.

Tulisan saya bukan berniat menjatuhkan atau memenangkan sesiapa, tetapi cuba merungkai kekeliruan masyarakat tentang isu ini. Penjelasan Zainur Rijal jelas, beliau tidak pernah menyatakan kesalahan zina boleh disabitkan hanya dengan bukti video sahaja, tetapi menyatakan bahawa bukti video boleh jadikan sebagai sebahagian bahan bukti di Mahkamah Syariah. Jika benar apa yang dijelaskan oleh Zainur Rijal, nampaknya ada pihak cuba memanipulasi pihak-pihak tertentu untuk kepentingan beliau dalam isu ini. Berhati-hatilah, dalam dunia hari ini. Fitnah berada di mana-mana. Maka penjelasan yang diberikan oleh Zainur Rijal adalah jalan terbaik untuk memperbetulkan salah faham.

Dalam bahasa yang paling mudah, jika si A dituduh di Mahkamah Syariah atas kesalahan melakukan zina atau melakukan persetubuhan luar nikah, dan si A tidak mengaku bersalah, kes dibicarakan dengan pendakwa tidak mengemukakan saksi yang melihat kejadian tersebut, tetapi hanya mengemukakan bukti video seks, adakah si A boleh disabitkan dengan kesalahan tersebut dan dikenakan hukuman?

Bukan semua orang boleh memahami undang-undang keterangan Islam. Namun mutakhir ini, akibat kerapkali isu-isu berkaitan pertuduhan di Mahkamah disalah tafsir, maka kesedaran masyarakat mengenai konsep undang-undang keterangan juga perlu diberi perhatian. Sebelum ini, isu sumpah dalam masjid oleh mangsa yang dikatakan diliwat, dan yang terkini isu video seks. Kemudian selepas itu, pelbagai pihak meminta yang dituduh bersumpah, termasuk yang tidak faham tentang sumpah. Sikit-sikit sumpah, sikit-sikit suruh sumpah, macam kita zaman kanak-kanak dulu.

Apabila perkara yang sepatutnya hanya dibahaskan dalam Mahkamah telah menjadi perbahasan umum, maka persoalan undang-undang keterangan dan pembuktian juga menjadi perbualan umum. Jadi adalah perlu dijelaskan tentang undang-undang keterangan dalam Islam.

Menurut Ibn Qayyim, konsep al-Bayyinah membawa maksud yang amat luas merangkumi pelbagai bentuk pembuktian, apa sahaja yang boleh menjelaskan dan menunjukkan kebenaran, termasuk al-Shahadah, al-Iqrar, al-Yamin dan al-Qarinah. Konsep ini merupakan intipati daripada ayat 25, Surah al-Hadid yang bermaksud ““Demi sesungguhnya kami telah utuskan rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan (al-bayyinat) yang nyata”.

Seksyen 3, Akta Keterangan Mahkamah Syariah mendefiniskan ‘al-Bayyinah’ sebagai keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah. Dari sudut pembuktian melalui konsep al-Bayyinah, al-Iqrar (pengakuan) merupakan bukti yang paling tinggi nilainya diikuti oleh al-Shahadah (kesaksian), al-Yamin (sumpah) dan al-Qarinah (tanda).

Al-Iqrar ialah pengakuan seseorang dengan kerelaannya sendiri tanpa ada paksaan atau pengaruh pihak lain. Dalam Akta Keterangan Mahkamah Syariah, al-Iqrar merujuk kepada suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap mana-mana orang lain berkenaan dengan sesuatu hak, dan pengakuan hanya boleh diterima pakai sebagai sabitan sekiranya ia dibuat di dalam Mahkamah, di hadapan Hakim atau di luar mahkamah di hadapan dua orang saksi yang aqil, baligh dan ‘adil.

Al-Shahadah (kesaksian) merupakan pembuktian yang tinggi selepas al-Iqrar. Akta Keterangan Mahkamah Syariah menerima apa-apa keterangan yang diberikan di Mahkamah dengan menggunakan lafaz “asyhadu” (aku bersaksi) untuk membuktikan sesuatu hak atau kepentingan sebagai al-Shahadah. Al-Shahadah dalam kes zina memerlukan 4 orang saksi lelaki yang adil yang menyaksikan sendiri perbuatan tersebut tanpa sebarang halangan atau keraguan (syubhah).

Al-yamīn (sumpah) pula ialah suatu lafaz yang digunakan untuk menyatakan (mensabitkan) haknya terhadap sesuatu perkara atau menafikan sesuatu perkara di hadapan hakim dengan menyebut nama Allah s.w.t atau sifat-sifat-Nya. Al-yamīn hanya terpakai dalam kes mal (sivil) sahaja dan tidak boleh dilaksanakan di dalam kes jenayah seperti zina, liwat dan qazaf.

Akta Keterangan Mahkamah Syariah mendefiniskan al-Qarinah sebagai keterangan keadaan (circumstantial evidence) dan fakta yang relevan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan ini termasuk dokumen-dokumen, fakta-fakta berkaitan satu sama lain, kenyataan pakar, alat audio dan visual, bukti forensik, kaedah saintifik seperti DNA dan cap jari. Pembuktian melalui al-Qarinah memerlukan bukti sampingan dan bukti lain untuk menyokong atau mensabitkannnya.

Penerimaan pembuktian melalui kaedah saintifik adalah selari dengan roh prinsip Islam yang terdapat di dalam beberapa ayat al-Qur’an. Sebagai contoh, firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Qiyamah, ayat 3-4 yang bermaksud “Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-belulangnya (dan menghidupkannya semula)? Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya) segala tulang jari-jemarinya dengan sempurna”.

Islam juga meminta kita mendapatkan pandangan orang yang pakar dalam sesuatu perkara. Firman Allah dalam Surah al-Anbiya’ ayat, yang bermaksud : “Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat) ; maka bertanyalah kamu kepada Ahluz-Zikri (mereka yang pakar) jika kamu tidak mengetahui. “

Pembuktian melalui keterangan forensik sama ada ujian DNA, ketulenan video atau gambar, cap jari dan sebagainya masih boleh diterima pakai sebagai bukti sampingan, dan ianya adalah al-Qarinah, sebahagian daripada al-Bayyinah. Akan tetapi, kedudukan pembuktian melalui al-Qarinah tidak sama nilainya seperti al-Iqrar, al-Syahadah dan al-Yamin. Ianya boleh berfungsi untuk membantu pihak pendakwaan atau pembelaan sekurang-kurangnya di peringkat ghalabah al-zan (melampaui alasan munasabah) dalam kes takzir. Akan tetapi, sabitan kes melalui pembuktian al-Qarinah tidak diterima pakai dalam kes hudud atau qisas.

Berbalik kepada isu yang dikemukakan di atas, boleh atau tidak seseorang itu disabitkan dengan kesalahan zina atau persetubuhan luar nikah apabila pendakwa tidak dapat mengemukakan 4 orang saksi sebagaimana dikehendaki Hukum Syarak? Manakala hukuman yang terdapat dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah adalah berbentuk hukuman takzir, tidak sampai ke tahap hadd zina. Persoalannya, adakah apabila hukumannya takzir, maka kita ingin menyatakan bahawa beban pembuktiannya cukup sekadar al-Qarinah sahaja?
Pada pandangan saya, beban pembuktian untuk mensabitkan kesalahan zina masih memerlukan beban bukti samada al-Iqrar atau as-Shahadah dengan 4 orang saksi, meskipun hukumannya berupa hukuman takzir. Perbuatan masih tetap zina, cuma hukuman sahaja bukan hukuman hudud sebagaimana ditetapkan Islam. Jika pendakwa tidak boleh membuktikan dengan cara al-iqrar atau as-Shahadah, maka si pelaku tidak boleh disabitkan dengan kesalahan zina. Mungkin boleh disabitkan dengan kesalahan muqaddimah zina (persediaan melakukan zina) atau khalwat yang mana hukumannya adalah takzir.

Oleh sebab itulah saya menyeru supaya perkara ini boleh diselesaikan segera, supaya bab-bab Hukum Syarak ini dibahaskan oleh ahluz-zikri sahaja, bukan oleh orang masyarakat awam atau orang politik yang tiada latar belakang agama, yang mungkin memberi pandangan yang salah dah menyimpang.

Marilah kita sama-sama merenung hadith daripada Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah saw. Bersabda ; “Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat darIpada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah s.w.t. berfirman kepada mereka, “Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendikiawan ) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)”. - H.R Termizi.

Wallahu’alam.

- Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...