Harian Metro 10.09.2014
Oleh
Musa Awang
Dalam
Islam, terdapat rahsia dan makna yang besar di sebalik angka tujuh. Allah SWT
menciptakan tujuh lapis langit yang kukuh, kemudian dihiasi langit itu dengan
tujuh gugusan bintang, tujuh lapisan bumi, yang dihiasi dengan tujuh lautan.
Allah juga menjadikan tujuh hari dalam seminggu.
Allah
juga menjadikan tujuh tingkatan neraka. Kemudian Allah menjadikan tiap-tiap
lapisan neraka dengan tujuh pintu. Allah juga menciptakan tujuh lapisan syurga
dan tujuh pintu syurga.
Allah
menjadikan tujuh ayat dalam surah Al-Fatihah, tujuh surah yang panjang di dalam
al-Quran iaitu surah al-Baqarah, al-Imran, al-Maaidah, An-Nissa’, al ‘Araaf, al
An’aam dan al-Anfaal atau at-Taubah, tujuh anggota sujud di dalam solat iaitu
dua hujung jari kaki, dua lutut, dua tapak tangan dan satu dahi, tujuh kali
putaran tawaf mengelilingi kaabah, tujuh kali sa’i antara Bukit Safa dan
Marwah, melontar ketiga-tiga jamrah iaitu Jamrah Al-Ula, Jamrah Al-Wusta dan
Jamrah Al-Aqabah, masing-masing dengan tujuh biji batu.
Angka
tujuh bagai sinonim dengan tahun 2014. Pelbagai peristiwa duka mengisi tahun
ini, seolah-olah ia tahun duka negara.
Pada
awal Sabtu, 8 Mac 2014, negara dikejutkan dengan kehilangan pesawat Boeing
777-200 milik Penerbangan Malaysia MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala
Lumpur ke Beijing terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang
kira-kira pukul 2.40 pagi. Pesawat yang membawa 239 penumpang, termasuk 2 bayi
dan 12 anak kapal itu masih belum ditemui sehingga sekarang.
Pesawat
berkenaan berengin PW4077, RR 877, GE90-77B, dan dikatakan model ini tidak
pernah terbabit dalam sebarang kemalangan udara, kecuali penerbangan Asiana
mendarat cemas di Lapangan Terbang San Francisco mengorbankan tiga remaja
perempuan China pada Julai 2013.
Belum
pun kehilangan dapat dirungkaikan, negara dikejutkan lagi pada Khamis 17 Julai
2014, dengan berita penerbangan pesawat Boeing 777 iaitu MH17 yang berlepas
dari Amsterdam, Belanda menuju ke Kuala Lumpur dilaporkan terhempas di Ukraine
(sempadan Rusia) dan didakwa ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu yang
mampu mencapai ketinggian 72,000 kaki.
Tragedi
pesawat yang dikatakan berada pada kedudukan ketinggian 33,000 kaki itu
mengorbankan 280 penumpang dan 15 anak kapal.
Kedua-dua
peristiwa tragis terbabit tidak mematahkan semangat kita untuk menyambut ulang
tahun sambutan kemerdekaan negara ke-57.
Mengimbau
sejarah, Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan sebagai merdeka secara rasmi
pada 31 Ogos 1957. Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka dengan disaksikan
lebih 20,000 orang, termasuk Raja-Raja Melayu, tetamu khas dari luar negara,
anggota kabinet Kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata.
Selesai
pengisytiharan dibaca, Tunku Abdul Rahman melaungkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh
kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka.
Upacara
ini kemudian disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama
rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera
Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’.
Hanya
Allah yang mengetahui rahsia angka tujuh dan kaitannya dengan pelbagai
peristiwa dan tragedi besar yang menyayat hati sepanjang tahun ini, sehingga
negara terpaksa diisytiharkan berkabung.
Yang
pastinya, sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu perkara itu dengan
sia-sia atau secara kebetulan melainkan di sebaliknya mengandungi suatu hikmah
besar lagi tersembunyi di dalam pengetahuan dan rahsia Allah.
Firman
Allah dalam surah al-Imran ayat 191 bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang
menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka
berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan
bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan
benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari
azab neraka.”
Penulis
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) E-mel:
sekretariatpgsm@yahoo.com
No comments:
Post a Comment