Wednesday, March 23, 2016

Pinda Undang-Undang Elak Aniayai Saudara Baru

Harian Metro
09 Mac 2016

Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Izwan Abdullah lwn. S.Deepa menimbulkan pelbagai polemik perundangan. Ada yang beranggapan ia memberikan lebih kuasa kepada mahkamah sivil berbanding mahkamah syariah, dan meletakkan kedudukan mahkamah syariah lebih rendah berbanding mahkamah sivil. Ada juga yang berpandangan ia menganiayai golongan saudara baru yang memeluk Islam, kerana dikatakan mereka dinafikan hak sebagai warganegara untuk memohon remedi di mahkamah sivil.

Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu memutuskan bahawa “dengan mengenakan perkahwinan sivil di bawah Akta Memperharui Undang-undang (LRA) 1976, mereka terikat dengan peruntukan berkaitan perceraian dan hak jagaan anak daripada perkahwinan itu. Menurut YA Hakim Tan Sri Raus berkata “Perkara di bawah LRA berada dalam bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah sivil terus mempunyai bidang kuasa terhadap mereka, walaupun bekas suami memeluk agama Islam.”

Menurutnya lagi, perbalahan antara Izwan (N Viran) dan Deepa bukan perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.  Artikel 121(1A) yang mengeluarkan bidang kuasa mahkamah sivil mengenai mana-mana perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah tidak menafikan bidang kuasa mahkamah sivil bagi perkara dalam Seksyen 51, LRA 1976. Artikel 121 (1A) diperkenalkan bukan bertujuan mengetepikan bidang kuasa mahkamah sivil, tetapi untuk mengelak sebarang konflik antara keputusan mahkamah syariah dan sivil yang banyak berlaku dalam kes sebelum ini.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa LRA 1976 terus mengikat Izwan meskipun selepas pertukaran agama kepada Islam, kerana mahkamah syariah tidak ada bidangkuasa berhubung permohonan bekas suami untuk membubarkan perkahwinan sivilnya dengan Deepa pada 2003. Mahkamah syariah juga tidak ada bidangkuasa terhadap hak penjagaan anak yang lahir daripada perkahwinan di bawah mahkamah sivil. Mahkamah syariah hanya berbidangkuasa dalam perkara berkaitan perceraian dan hak jagaan anak apabila ia membabitkan perkahwinan Islam, akad nikah mengikut undang-undang Islam. Apabila salah seorang bukan Islam, mahkamah syariah tiada bidangkuasa terhadap kes itu walaupun perkara itu jatuh dalam bidang kuasa mereka. Adalah penting bagi mahkamah sivil dan syariah untuk tidak melampai batas antara bidang kuasa masing-masing.

Menurut mahkamah lagi, pindaan 1988 (Artikel 121 (1A)) kepada Mahkamah Persekutuan untuk menghentikan mahkamah sivil daripada campur tangan dalam hal ehwal Mahkamah Syariah, tetapi tidak termasuk Mahkamah Tinggi daripada memberikan remedi kepada individu jika pasangannya menukar agama kepada Islam.

Penulis berpandangan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut tidak sama sekali merendahkan bidangkuasa mahkamah syariah. Ini kerana mahkamah syariah dan mahkamah sivil mempunyai bidangkuasa masing-masing dan tersendiri yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang. Walaubagaimanapun, akan ada pihak yang akan menggunakan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai hujah mereka untuk menyatakan bahawa bidangkuasa mahkamah syariah lebih rendah berbanding mahkamah sivil.

Konflik perundangan timbul dalam kes tersebut apabila Izwan Abdullah (33) dan S.Deepa (32) yang asalnya berkahwin menurut agama Hindu, tetapi kemudiannya pada Disember 2012, Izwan telah memeluk Islam di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Negeri Sembilan dan pada bulan berikutnya mendaftarkan pertukaran agama 2 anaknya, Shamila (Nurul Nabila), kini 11 tahun dan Mithran (Nabil), 8 tahun.

S.Deepa tidak mempertikaikan pengislaman atau status agama kanak-kanak tersebut, tetapi merebut hak jagaan dua anak berkenaan. Izwan kemudian memohon di Mahkamah Syariah Seremban untuk pembubaran perkahwinannya dengan S.Deepa, yang kemudiannya dibenarkan pada Mei 2013.

Isu perundangan timbul dalam menentukan forum manakah yang boleh membubarkan perkahwinan mereka dan menentukan hak jagaan anak-anak apabila melibatkan pasangan bukan Islam memeluk agama Islam? Di mahkamah sivil atau di mahkamah syariah? Polemik dan salah faham berlaku kerana Mahkamah Tinggi (sivil) Seremban telah mengeluarkan perintah hak jagaan pada April 2014, sedangkan sebelum itu Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah pun mengeluarkan perintah yang sama pada Mac 2013. Perintah mahkamah syariah tersebut memberikan hak jagaan kedua anak kepada bapa kandung mereka manakala ibu kandung diberikan hak lawatan pada bila-bila masa yang munasabah. Perintah mahkamah syariah tersebut juga tidak pernah dibatalkan sehingga ke hari ini.

Sekiranya forum yang sesuai adalah di Mahkamah Tinggi Syariah, tiada masalah bagi Izwan yang telah memeluk Islam, tetapi bagaimana dengan S.Deepa yang masih belum Islam? Ini kerana bidangkuasa mahkamah syariah terhad kepada orang Islam sahaja. Bukan Islam boleh hadir di mahkamah syariah sebagai saksi, tetapi bukan sebagai pihak. Sebaliknya jika forum yang sesuai adalah di Mahkamah Tinggi sivil, tiada memberi masalah kepada S.Deepa tetapi menjadi masalah kepada Izwan. Ini kerana Seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976 hanya memberikan hak kepada pihak yang tidak memeluk Islam untuk memohon remedi di Mahkamah Tinggi sivil. Tiada hak diberikan kepada yang memeluk Islam.

Seksyen 51 tersebut berbunyi - 1) Where one party to a marriage has converted to Islam, the other party who has not so converted may petition for divorce: Provided that no petition under this section shall be presented before the expiration of the period of three months from the date of the conversion. (2) The Court upon dissolving the marriage may make provision for the wife or husband, and for the support, care and custody of the children of the marriage, if any, and may attach any conditions to the decree of the dissolution as it thinks fit.

Dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan tersebut, kerajaan melalui agensi berkenan perlu mengambil tindakan segera meminda Seksyen 51 LRA untuk membolehkan pihak yang memeluk Islam juga boleh memohon remedi membubarkan perkahwinan dan memohon hak jagaan anak di mahkamah sivil sebagaimana hak berkenaan diberikan kepada yang tidak memekuk Islam. Peruntukan ini adalah undang-undang berat sebelah. Selagi tidak dipinda, maka ia akan menganiayai dan menafikan hak saudara baru untuk memohon remedi di mahkamah sivil. Lagi lama masa diambil untuk dipinda maka lagi lama saudara baru dinafikan hak mereka.

Mahkamah Persekutuan telah menjalankan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan untuk mentafsirkan undang-undang. Maka, menjadi tanggungjawab pihak berkenaan pula untuk mencadangkan pindaan kepada mana-mana undang-undang yang tidak relevan, supaya semua orang mendapat hak yang sama sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM. 
Email : sekretariatpgsm@yahoo.com

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...