Wednesday, July 5, 2017

Tanggungjawab wali ke atas anak perempuan

Tanggungjawab wali ke atas anak perempuan
Harian Metro 28 Jun 2017 
Tuan Musa Awang 
Penulis Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). 

Ramai yang sedia maklum seseorang wali itu bertanggungjawab kepada anak perempuan atau saudara perempuannya yang belum berkahwin. Wali, salah satu syarat sah nikah bagi sesebuah perkahwinan, sebagaimana yang dijelaskan sebuah hadis yang bermaksud: Daripada Abi Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali.”-(HR al-Khamsah dan An-Nasa’i) Bagaimana pula dengan tanggungjawab wali terhadap anak perempuannya yang sudah bercerai atau menjadi balu akibat kematian suami? Adakah tanggungjawab terbabit kembali kepada mereka? 

Berdasarkan hadis di atas, peranan wali juga sama dan tidak terlepas terhadap anak perempuan mereka yang berstatus janda (ibu tunggal) atau balu. Anak perempuan yang sudah bercerai dengan suami atau kematian suaminya perlu dibela nasib mereka dengan sebaiknya, termasuk dalam memberikan bantuan berupa keperluan harian, makan minum, tempat tinggal yang sewajarnya serta pendidikan anak mereka. 

Tanggungjawab memberi nafkah 
Tanggungjawab memberikan nafkah dikembalikan kepada wali selepas suami menceraikannya atau meninggal dunia. Puteri kedua Rasulullah SAW bernama Ruqayyah, selepas bercerai dengan suaminya bernama ‘Utbah, maka Baginda SAW yang bertanggungjawab terhadapnya, yang kemudian menikahkan beliau dengan Saidina Uthman bin Affan RA. 

Begitu juga dengan puteri ketiga Baginda SAW bernama Ummu Kulthum yang bercerai dengan suaminya bernama ‘Utaibah. Rasulullah SAW mengambil kembali tanggungjawab dan kemudian dinikahkan dengan Saidina Uthman RA selepas kekandanya Ruqayyah meninggal dunia. Saidatina Hafshah RA selepas suaminya syahid di medan perang Uhud, maka dia kembali kepada bapanya Saidina Umar bin Khattab RA. 

Jika sekiranya wali seorang yang tidak berkemampuan, maka yang bertanggungjawab terhadap ibu tunggal dan balu adalah pemerintah, sama ada dengan mencarikan suami bagi mereka atau memberikan bantuan Baitulmal. Ketika Fatimah binti Qais ditalak tiga oleh suaminya, maka Rasulullah SAW memberikan perlindungan dan memberi tempat kepadanya untuk menghabiskan masa iddah di rumah Ibnu Ummi Maktum sehingga beliau bernikah dengan Usamah bin Zaid RA selepas tamat masa iddahnya dengan bekas suami. 

Ketika Ummu Aiman diceraikan kerana suami tidak dapat menerima keislamannya, Rasulullah SAW memberikan motivasi kepada sahabat dengan menjanjikan pahala besar bagi mereka yang memberikan perhatian kepada ibu tunggal. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Orang yang membantu janda dan orang miskin adalah seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau seperti orang yang selalu mengerjakan puasa di siang hari dan solat di malam hari.” (Hadith Muttafaq ‘Alaih) 

Berdasarkan hadis itu, barang siapa yang belum mampu berjihad di jalan Allah atau belum mampu konsisten melaksanakan qiyamullail pada setiap malam dan puasa sunat pada siang hari, salah satu cara untuk mendapatkan pahala sama ialah dengan cara menyantuni ibu tunggal dan orang miskin. Apatah lagi jika sekiranya membantu wanita yang kematian suami, bersamanya anak yang belum dewasa dan mereka dalam keadaan miskin. Bererti, orang yang membantu akan mendapat pahala yang banyak, yakni pahala membantu wanita yang bersedih selepas ditinggal suami yang selama ini menjadi sandaran hidupnya, pahala menolong orang miskin dan pahala memberi makan anak yatim yang ditinggalkan bapa yang selama ini menafkahi mereka. 

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Aku dan orang yang menanggung anak-anak yatim berada di syurga seperti begini,” (Baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah dan merenggangkan sedikit antara kedua jari itu)-(HR Bukhari). 

Wali perlu membantu anak perempuannya yang bercerai atau kematian suami dalam meneruskan kelangsungan hidup, sebagaimana ketika mereka belum berkahwin dulu. Sehingga mereka berkahwin semula dengan perkahwinan yang baru, maka tanggungjawab itu berpindah kepada suaminya yang baru. 

Tanggungjawab terhadap balu 
Dalam hal seorang anak perempuan yang kematian suami, tanggungjawab memberi nafkah untuk dirinya kembali menjadi tanggungjawab wali, bukan dengan membiarkan si anak perempuan bertungkus-lumus mencari nafkah hingga terpaksa keluar bekerja ketika dalam tempoh iddah kematian suaminya. 

Oleh sebab itu, Islam menetapkan dalam kadar pembahagian faraid, bahagian isteri paling sedikit berbanding bahagian yang diterima waris yang lain. Demikian juga matlamatnya kenapa Islam menetapkan kadar bahagian faraid bagi waris lelaki adalah lebih satu bahagian berbanding kadar bahagian waris perempuan. Waris lelaki yang menerima pembahagian faraid berkewajipan dalam menjaga dan mengurus harta saudara perempuannya, termasuk menafkahi mereka, bukan mengkhianati dengan merampas harta mereka atau mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai saudara lelaki. 

Sebagaimana tanggungjawab mereka untuk menjadi wali nikah jika wali mujbir atau wali nikahnya yang lain tidak ada, begitu juga tanggungjawab mereka dalam menyantuni nafkah kepada saudara perempuannya. 

Keistimewaan saudara lelaki yang mengurus saudara perempuannya terdapat dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa menanggung nafkah dua atau tiga anak perempuan atau dua atau tiga saudara perempuan sampai mereka meninggal dunia atau dia yang meninggal dunia, maka Aku dan dia seperti ini (mengisyaratkan dua jari telunjuk dan jari tengah)”-(HR Ahmad). 

Hukum tidak jalankan tanggungjawab 
Waris lelaki yang membiarkan si balu mencari nafkah serta menanggung sendiri keperluan anak yang kematian bapanya suatu tindakan yang zalim kepada si balu dan anak yatim berkenaan. Jika seorang wali mengabaikan mereka dan tidak menjalankan tugas ini sebaiknya, maka wali itu mengkhianati amanah yang Allah berikan. Lebih-lebih lagi di saat mereka amat memerlukan bantuan dan pertolongan. Bayangkan sekiranya wali tidak menggalas peranan itu, kepada siapakah lagi yang selayaknya untuk mereka bergantung harap?

Gugur tanggungjawab seseorang wali itu hanya jika ibu tunggal berkenaan berkemampuan dari segi kewangan, mempunyai simpanan sendiri atau pun masih menerima nafkah yang secukupnya daripada bekas suami selepas bercerai. 

Namun begitu, sebaiknya wali sentiasa memantau dan mengetahui keadaan ibu tunggal itu supaya benar-benar mendapat hak sewajarnya daripada bekas suami, jika bekas suami masih hidup. Tidak boleh sama sekali untuk bersikap berlepas tangan kerana dikhuatiri perkara yang berlaku kepada mereka sebaliknya, yang akan menyebabkan mereka terjerumus dalam perkara tidak baik seperti mendapatkan sumber nafkah daripada jalan yang dilarang syarak. 

Ramai daripada kita yang tidak mengendahkan atau melupakan perkara ini, sedangkan ini amanah Allah SWT. Demikian besarnya tanggungjawab seorang lelaki, bukan hanya kepada anak atau isteri saja tetapi turut kepada orang di bawah pewaliannya.

No comments:

Post a Comment

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...