Friday, March 24, 2017

Raja - Pemegang Amanah Kedaulatan Watan

Harian Metro
15 March 2017
Oleh Musa Awang
Sistem pemerintahan beraja atau ‘monarki’ merupakan sistem pemerintahan yang tertua di dunia iaitu dianggarkan wujud sejak lebih 3000 tahun yang lalu. Ia juga merupakan pencetus kepada jatuh bangunnya peradaban manusia di muka bumi ini,
Contohnya kemakmuran ketamadunan Mesopotamia, Mesir, India, China termasuk Asia Tenggara, hasil dari sistem pemerintahan beraja, sehinggalah lenyap disebabkan perebutan kuasa, penjajahan, konspirasi dan cetusan ideologi baharu.  
Kebanyakan pemerintahan beraja di Asia Tenggara telah bertukar kepada pengaruh kesultanan setelah kedatangan Islam.
Sejarah telah memperlihatkan umur kerajaan-kerajaan Melayu Islam menjangkau hampir ribuan tahun. 
Raja-raja Melayu adalah institusi tradisional orang-orang Melayu paling lama, bersejarah dan penting dalam menghadapi pelbagai cabaran termasuk sejarah getir menghadapi kuasa asing seperti Portugis, Belanda dan Inggeris.
Kehadiran kuasa Eropah ke Tanah Melayu antaranya adalah berpunca daripada persaingan institusi beraja. Pelbagai muslihat dilakukan untuk meruntuhkan institusi beraja di negara ini, dalam usaha kuasa Eropah meluaskan empayar masing-masing. Namun, institusi beraja kita masih terselamat walaupun terpaksa mengubah peranan raja daripada kuasa mutlak kepada kuasa berperlembagaan.
Pada masa ini, daripada jumlah 192 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hanya 43 negara masih mempunyai Institusi Raja ; 16 daripadanya mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Raja Pemerintah di bawah sistem Raja Berperlembagaan, 16 negara lagi mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, 4 sistem Raja Separa Autonomi, dan 7 negara mengamalkan sistem Raja Secara Mutlak.
Institusi raja diluhurkan dengan sebaik-baik pendekatan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri yang menggabungkan institusi raja dengan institusi rakyat, berasaskan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Sepuluh peratus atau 19 daripada 183 Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara-perkara berkaitan raja.
Dari segi undang-undang, raja memainkan peranan penting dalam struktur kerajaan dan struktur negara bangsa. Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara, ialah raja kepada seluruh Persekutuan, dan secara undang-undang Baginda menganggotai tiga cabang kerajaan yang terdiri daripada Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman. Manakala Parlimen terdiri daripada tiga komponen, iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Yang di-Pertuan Agong berperanan menurunkan cap mohor kepada Rang Undang-Undang yang telah diluluskan oleh Badan Perundangan. Baginda mempunyai kuasa memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen. 
Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Baginda juga berkuasa mengampuni dan menangguhkan sesuatu hukuman.
Baginda mempunyai budi bicara melantik seorang Perdana Menteri, berkuasa melantik dan membatalkan lantikan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri, tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen, menitahkan supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu. 
Baginda juga diperuntukkan kuasa membuat pengisytiharan darurat serta mengisytiharkan apa-apa ordinan sekiranya kedua-dua Dewan Parlimen tidak bersidang secara serentak.
Atas nasihat Perdana Menteri, Baginda berkuasa melantik ahli Suruhanjaya Pasukan Polis, dan menurut budi bicara setelah menimbang nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja melantik ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. Majoriti ahli-ahli Majlis Angkatan Tentera adalah atas lantikan Baginda.
Atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, Baginda juga berkuasa melantik Juru Audit Negara, sementara Peguam Negara dilantik oleh Baginda atas nasihat Perdana Menteri.
Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dilantik oleh Baginda selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja dan Baginda dipertanggungjawab untuk memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya mendapat kepercayaan awam.
Dalam perkara-perkara bahawa Baginda perlu bertindak atas nasihat, Baginda tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberi perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan tuntutan syarak, semangat Perlembagaan, undang-undang dan keadilan hingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman.
Baginda juga bertanggungjawab sebagai penaung dan pelindung kepada hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain. Baginda menjadi payung kedaulatan negara, yang memayungi secara saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum, agama, dan parti politik.
Baginda adalah Ketua Agama Islam bagi negeri Baginda di samping berperanan sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
Amat besar peranan dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bukan sekadar untuk menyempurnakan tugas-tugas ceremonial atau menurunkan mohor perkenan kepada setiap dokumen atau nasihat yang dipersembahkan, tanpa pilihan atau tanpa soal atas apa juga nasihat yang diangkat sembah kepada Baginda. 
Baginda berhak untuk tidak memberi perkenan sekiranya nasihat tersebut menyimpang daripada undang-undang atau hukum syarak, atau sekiranya tergelincir dari landasan keadilan atau berunsur penindasan atau boleh memudaratkan negara bangsa.
Ketika situasi semasa yang berhadapan cabaran lebih kompleks dari pelbagai sudut, institusi raja tetap berdiri dalam keistimewaan dan keunggulannya tersendiri, dengan menggabungkan tiga tenaga utama iaitu institusi takhta itu sendiri ; institusi demokrasi (Perlembagaan dan undang-undang), dan institusi moral atas nama Islam.
Doa rakyat jelata pada setiap minggu di hari Jumaat, agar diberi kesejahteraan kepada Yang Di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, berdaulat lagi mulia, gagah lagi perkasa, memerintah secara adil lagi saksama, dan agar negara aman, sentosa, selamat lagi sejahtera. Doa rakyat jelata bukan sekadar permohonan mereka kepada Ilahi, ia juga merupakan seruan, peringatan, dan harapan yang diletakkan kepada institusi Raja.

-       Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Email : sekretariatpgsm@yahoo.com.

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...