Monday, August 3, 2009

PGSM kesal kenyataan Shahrizat, Lo' Lo'

Utusan Malaysia
23/07/2009

KUALA LUMPUR 22 Julai - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kesal dengan kenyataan dua ahli politik yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman sebatan ke atas model wanita kerana meminum arak.
Timbalan Presidennya, Musa Awang berkata, adalah tidak wajar kedua-dua tokoh berkenaan mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia seolah-olah cuba mencabar dan menghina keputusan mahkamah.

''Sebarang ketidakpuasan hati dengan keputusan mahkamah hendaklah dibuat melalui tatacara dan prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ahli Parlimen Titiwangsa dari Pas, Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali hari ini yang melahirkan perasaan terkejut dengan hukuman sebatan enam kali yang dikenakan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang disifatkan mereka sangat keras.
Keputusan yang dibuat oleh Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus turut melibatkan hukuman denda RM5,000 selepas model pelancongan yang berasal dari Sungai Siput, Perak mengaku bersalah.

Musa berkata, apa yang diputuskan oleh Abdul Rahman masih ringan berbanding hukuman sebenar menurut hukum syarak yang membolehkan pesalah dihukum sehingga 40 sebatan sebagaimana pada zaman Nabi Muhammad SAW dan sahabat- sahabat.

''Kami tidak menafikan bahawa tidak terdapat hukuman sebat di Mahkamah Sivil untuk pesalah wanita, lelaki berumur 50 tahun (kecuali atas kesalahan rogol) atau pesakit mental, tetapi perlu ditegaskan bahawa dalam Islam tiada beza antara pesalah lelaki dan wanita.

''Walaupun kedua-dua tokoh ini berniat baik untuk memperjuangkan nasib wanita, tetapi mereka perlu faham bahawa kaedah dan cara pelaksanaan hukuman sebat yang ditetapkan oleh Mahkamah Syariah amat berbeza dengan Mahkamah Sivil," katanya.
Kata beliau, prosedur untuk menjalankan hukuman sebat di Pahang ada diperincikan secara jelas dalam Seksyen 125 dan Seksyen 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 iaitu:
- Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat daripada rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.
- Kalau pesalah itu hamil, hukuman hendaklah dilaksanakan selepas dua bulan dia melahirkan anak.
- Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh pegawai kesihatan kerajaan.
- Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran pegawai perubatan kerajaan.
- Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
- Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk.
- Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat tidak mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
- Pegawai perubatan kerajaan akan memperakukan sama ada pesalah itu masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan.

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...