Saturday, February 19, 2011

Hari kekasih bukan ajaran Islam



Oleh Tuan Musa Awang

Adalah menjadi suatu yang ironis apabila ada sebahagian masyarakat Islam negara ini menyambut hari kekasih pada 14 Februari. Lebih menyedihkan lagi, ada pihak yang mempromosikan hari kekasih di kaca televisyen, di dada akhbar dan media lain, tanpa mengetahui asal usul dan sejarahnya.

Valentine adalah kisah sejarah seorang Pendeta agama Nasrani bernama St. Valentine yang hidup zaman Raja Romawi Claudius II (268 - 270 M). Valentine telah menentang beberapa perintah Claudius II termasuk mengajak manusia kepada agama Nasrani, lalu Cladius II memerintahkan untuk menangkapnya dan menghukumnya mati pada tanggal 14 Februari 270M. Untuk mengagungkan dia, maka para pengikutnya memperingati tarikh kematian St. Valentine sebagai 'upacara keagamaan'. Dalam versi yang lain, diceritakan bahawa semasa dalam penjara, Valentine berkenalan dengan putri seorang penjaga penjara yang diserang penyakit. Dia berusaha merawatnya sehingga sembuh dan jatuh cinta kepadanya. Sebelum dihukum mati, dia mengirim sebuah kad yang bertulis “Dari yang tulus cintanya, Valentine.”

Valentine juga dikaitkan dengan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol, iaitu pada 14 Februari 1492. Merayakan hari kekasih boleh diibaratkan memperingati tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol. Terdapat beberapa lagi riwayat tentang asal usul hari kekasih. Namun, walau apa pun sejarahnya, kita sebagai umat Islam harus sedar bahawa amalan hari kekasih ini bukanlah tradisi atau amalan Islam. Allah s.w.t telah melarang kita mengikut sesuatu perkara secara membuta tuli, melainkan sesuatu yang bersumber dari Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah Al-An’am : 116)

Dalam surah yang lain, Allah s.w.t berfirman, “Dan janganlah kamu megikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawabnya”. (Surah Al-Isra : 36). Hadis Rasulullah s.a.w pula bermaksud “Barang siapa yang meniru atau mengikuti suatu kaum (agama) maka dia termasuk kaum (agama) itu”.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 November 2005 telah membincangkan hukum orang Islam menyambut hari kekasih, dan memutuskan bahawa amalan merayakan hari kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Islam amat mementingkan kasih sayang. Bahkan Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud “Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga ia cinta kepada saudaranya seperti cintanya kepada diri sendiri”. Islam bukan agama yang menyekat atau menghalang untuk penganutnya meluahkan kasih sayang tetapi apa yang disekat adalah perbuatan maksiat yang dilakukan semasa menyatakan kasih sayang itu.

Malangnya apa yang berlaku, hari kekasih telah dipromosikan di negara ini dan telah berjaya mempengaruhi jiwa sebahagian kecil rakyat Muslim negara ini. Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan hari kekasih ini membuka pintu perzinaan. Dalam satu laporan media sekitar Februari 2007, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”

Di hari kekasih, ramai di kalangan golongan muda ingin membuktikan tanda cinta sejati kepada pasangan masing-masing dengan membeli bunga dan coklat sebagai tanda cinta. Tidak cukup dengan itu, maruah diri pula digadaikan bagi membuktikan cinta. Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 anak tak sah taraf yakni anak yang didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Secara purata, 2,500 kes anak tak sah taraf direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari, atau 1 kes dalam setiap 17 minit. Menurut statistik tersebut, 44 % atau sebanyak 30,978 pendaftaran kelahiran anak tak sah taraf dari 1999 hingga 2003 adalah melibatkan anak orang Islam. Suatu angka yang perlu direnungkan bersama dan dicarikan jalan penyelesaiannya.

Mana-mana orang Islam yang masih mengamalkan atau merayakan hari kekasih boleh didakwa menurut peruntukan Seksyen 9, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), iaitu kesalahan menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama, yang memperuntukkan bahawa :- “Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Penguatkuasaan undang-undang mungkin bukanlah jalan terbaik untuk membanteras amalan segelintir umat Islam yang menyambut hari kekasih, lantaran kadar hukumannya yang rendah dan tidak mampu memberi keinsafan atau mendidik pesalah. Alternatifnya adalah pemberi pengajaran dan pendidikan kepada remaja sejak dibangku sekolah, bahawa amalan merayakan hari kekasih tersebut bukanlah dari ajaran Islam dan ia adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Sehari selepas hari Kekasih pada tahun ini, kita akan menyambut hari kelahiran Bapa Kasih Sayang umat Islam, iaitu hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Semoga dengan sambutan maulidurrasul sejurus selepas hari kekasih pada tahun ini akan melupakan kita terus kepada nama dan sambutan perayaan hari kekasih. Wallahu’alam.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...