Oleh Musa Awang
Lelaki berpakaian wanita tetap berdosa walaupun untuk kebaikan
TENTU seronok menyaksikan drama atau rancangan bersiri bersama anak pada waktu malam atau hujung minggu sama ada secara percuma atau melalui saluran berbayar. Ini lebih-lebih lagi dengan kemunculan rancangan realiti bagai cendawan tumbuh selepas hujan yang tidak dinafikan banyak melahirkan bakat baru dalam lakonan.
Namun, sama ada kita perasan atau tidak, beberapa rancangan yang menjadi kesukaan kanak-kanak kerap menggunakan pelakon lelaki untuk membawa watak wanita dan memakai pakaian wanita. Dikhuatiri jika keadaan ini dibiarkan, ia akan mempengaruhi pemikiran dan perwatakan kanak-kanak yang gemar menonton rancangan itu.
Walaupun niat mereka mungkin ingin menyampaikan mesej yang baik tetapi banyak lagi cara boleh dilakukan, bukan dengan melanggar hukum yang ditetapkan Islam. Apatah lagi majoriti pelakon terbabit adalah Melayu beragama Islam.
Pakaian yang khusus untuk lelaki tidak boleh dipakai oleh wanita, begitu juga sebaliknya. Rasulullah mengingatkan hal ini dengan tegas menerusi sabdanya yang bermaksud: “Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan.” (HR Bukhari dan Muslim).
Menurut pandangan dikeluarkan oleh Sheikh Yusuf Qardhawi, penerbitan dan dunia lakonan yang harus hendaklah memenuhi beberapa syarat, antaranya :
- Filem dan lakonan mestilah bersih daripada pengaruh kegila-gilaan, fasik atau yang menjejaskan akidah dan akhlak serta syariat Islam ; apa jua filem dan lakonan mengajak masyarakat kepada dosa dan maksiat atau menjurus kepada kriminal atau keganasan dan kebatilan adalah haram.
- Lakonan dan perfileman tidak boleh berlaku percampuran bebas keterlaluan dan persentuhan antara lelaki dan wanita serta pendedahan aurat wanita dan lelaki, ini untuk menjaga fitnah dan syubhah.
- Ia ada kepentingan kesedaran kepada masyarakat (ada unsur pengajaran, iktibar dan keagamaan). Jika sesuatu produk filem atau lakonan memenuhi syarat minimum di atas, maka ia adalah harus dan halal.
Bagaimanapun terdapat sedikit pengecualian atau klausa selamat (safety clause) dalam peruntukan tersebut, di mana terdapat perkataan ‘atas tujuan bermoral’, yakni seseorang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam tidak boleh dikenakan tindakan melainkan dia berpakaian sedemikian untuk tujuan tidak bermoral atau untuk tujuan maksiat. Jika seseorang lelaki saja-saja memakai pakaian perempuan di tempat awam, atau berlagak seperti perempuan di tempat awam, tanpa tujuan melakukan maksiat, maka dia tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Peruntukan yang hampir sama juga terdapat di Negeri Selangor, Johor, Perak, Terengganu, Pulau Pinang, Sarawak, walaupun terdapat sedikit perbezaan dari segi tempoh hukuman penjara. Penulis berpandangan peruntukan ini perlu dipinda kerana ia berlawanan dengan kehendak Hukum Syarak yang mengharamkan lelaki menyerupai perempuan tidak kira untuk tujuan apa sekalipun.
Peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sembilan, Kedah, Sabah, dan Kelantan lebih bertepatan dengan Hukum Syarak. Sebagai contoh, Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 memperuntukkan: “Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”
Hukuman bagi kesalahan berlagak seperti perempuan di Perlis lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain. Seksyen 7 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991 memperuntukkan bahawa “(1) Mana-mana orang lelaki yang berlagak seperti perempuan (tasyabbuh) di mana-mana tempat awam adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”
Merujuk kepada kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dr Wahbah
al-Zuhaili menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu
juga sebaliknya, haram wanita menyerupai lelaki. Sabda Rasulullah s.a.w yang
bermaksud : Daripada Ibn Anas r.a berkata Rasulullah melaknat mereka yang
menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki
daripada kalangan wanita (HR al-Bukhari).
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul
Ridzuan yang bersidang pada 18 Disember 2008 bersamaan 20 Zulhijjah 1429H
memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak
laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki menyerupai wanita (mak
nyah/ pondan) sama ada dari segi pakaian, penampilan dan gerak laku serta
naluri seksual seperti wanita adalah haram di sisi Islam.
Jawatankuasa Fatwa juga menggesa ibu bapa dan masyarakat
Islam supaya memberi perhatian serius terhadap gejala ini serta menekankan
pendidikan, tunjuk ajar sebaik-baiknya kepada anak mereka khususnya dalam aspek
berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan
kerana berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.
Ramai ibu bapa sekarang sibuk dengan kerjaya. Tidak mahu
diganggu anak dan serahkan anak kepada televisyen. Lebih mudah dan murah. Kita
tidak mahu ibu bapa terpaksa membayar harga yang mahal untuk memulihkan kembali
personaliti dan disiplin anak yang tercemar akibat pengaruh televisyen.
- Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Penulis boleh dihubungi sekretariatpgsm@yahoo.com.
Artikel ini disiarkan dalam MyMetro pada 31/10/2012
No comments:
Post a Comment