Monday, June 10, 2013

Seri Paduka lambang penyatuan bangsa



Peguam Syarie Menulis
Berita Harian 05/06/2013

Oleh Musa Awang

Ketua negara bagi Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong ialah jawatan eksekutif yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Perkara 38 Perlembagaan, jawatan ini digilirkan setiap lima tahun sekali, antara sembilan pemerintah negeri Melayu. Apabila seseorang pemerintah negeri menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong, seorang kerabat diraja akan dilantik sebagai pemangku dalam negeri berkenaan.
Sistem penggiliran Raja-Raja Melayu dari negeri yang dulunya dikenali Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang) dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor).

Sistem penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong ini unik, kerana Malaysia negara tunggal di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara seperti ini.

Sistem ini juga gabungan antara tradisi feudal berasaskan keturunan darah dengan konsep moden berasaskan Perlembagaan.

Sistem pemerintahan Raja berperlembagaan negara ini menjadi lambang negara berdaulat, bebas dan merdeka serta lambang perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

Perkara 39 Perlembagaan memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan adalah hak Yang di-Pertuan Agong. Walaupun ada beberapa pengecualian dalam Perlembagaan mengenai kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, secara lazim, baginda menerima nasihat daripada Jemaah Menteri dalam menjalankan kuasa eksekutif baginda.
Tiga fungsi dalam Perlembagaan

Seri Paduka mempunyai kuasa bertindak mengikut budi bicara baginda dalam tiga fungsi Perlembagaan iaitu melantik seorang Perdana Menteri, bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen dan meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan mengambil tindakan dalam mesyuarat itu.

Dalam kuasa perundangan, Yang di-Pertuan Agong adalah sebahagian daripada komponen Parlimen, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Baginda mempunyai kuasa memanggil Parlimen bermesyuarat dari semasa ke semasa, memberhentikan dan membubarkan Parlimen, memberi ucapan dalam mana-mana majlis Parlimen dan memperkenankan Rang Undang-Undang.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa melantik dua senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk tiap-tiap Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya, serta berkuasa melantik 40 orang senator lain.

Dalam kuasa kehakiman, Yang di-Pertuan Agong berfungsi melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Agung, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi, atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa melantik Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah bagi Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Peristiharan darurat
Berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan perisytiharan darurat apabila berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku seperti keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraan awam dalam Persekutuan atau negeri dalam keadaan terancam.

Yang di-Pertuan Agong juga pemerintah tertinggi angkatan bersenjata, mempunyai kuasa mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan Mahkamah Tentera dan semua kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, sebagai sumber penghormatan dan kebesaran, fungsi diplomatik dengan melantik diplomat Malaysia di luar negara dan menerima mengadap diplomat asing serta menghadiri majlis.

Selanjutnya, Perkara 3 (3) dan (5) Perlembagaan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua agama Islam bagi negeri yang tiada raja seperti Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan. Di negeri lain, ketua agama Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan.

Sebagai Ketua agama Islam, Yang di-Pertuan Agong pelindung kepada kesucian agama Islam di negara ini.

Ketua umat Islam, ketua eksekutif seluruh rakyat
Justeru, Seri Paduka bukan saja ketua kepada umat Islam, tetapi juga ketua eksekutif bagi seluruh rakyat termasuk bukan Islam dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Dalam sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama, dalam situasi masing-masing berusaha memperjuangkan hak asasi, budaya, adat resam dan agama mereka, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja tetap menjadi penyelamat ketegangan politik dan perkauman serta menjadi simbol perpaduan rakyat.

Kita, selaku rakyat yang berpayung di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong seharusnya sentiasa memberikan taat setia tidak berbelah bahagi kepada pemerintah tertinggi negara ini dan mengelak diri daripada terbabit dengan sebarang tindakan mempertikai perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, termasuk mempertikai kesucian agama Islam sebagai agama persekutuan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Go to Link - http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SeriPadukalambangpenyatuanbangsa/Article

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...