Monday, June 24, 2013

Peguam syarie mesti beragama Islam

Oleh HUSSAINI AMRAN

pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Jun - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa kaedah dan peraturan berkaitan pengamal guaman syarie di Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak dipinda segera bagi memastikan hanya orang Islam dibenarkan menjadi peguam syarie.

Presidennya, Musa Awang (gambar) berkata, ketika ini empat negeri terbabit masih belum meletakkan syarat berkenaan.

Menurut beliau, keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan rayuan peguam bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin mengemukakan permohonan beramal sebagai peguam syarie seharusnya dijadikan iktibar.

"PGSM merafak sembah kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak menitahkan tindakan segera diambil berhubung perkara tersebut.

"Tindakan ini bagi menyekat kehadiran bukan Islam di mahkamah syariah atas kepentingan umat Islam serta mengelak mudarat tertentu atau yang bersifat mendatang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Musa mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang menyifatkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bertindak di luar batas undang-undang ketika enggan memproses permohonan Victoria untuk beramal sebagai peguam syarie.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Aziah Ali.

Tambah Musa, keputusan berkenaan dianggap bukan muktamad kerana prosiding rayuan masih boleh diteruskan di Mahkamah Persekutuan.

Menurut beliau, Kaedah 10, Kaedah-kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 masih terpakai dan salah satu syarat kelayakan untuk seseorang diterima menjadi peguam syarie mestilah beragama Islam.

"Sehubungan itu, bukan Islam tidak layak memohon sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan," katanya.

Musa memberitahu, peraturan tersebut dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 59(2), Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 yang mana MAIWP dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong berkuasa membuat kaedah atau peraturan bagi prosedur, kelayakan, fi dan sebagainya berkenaan peguam syarie.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130623/dn_14/Peguam-syarie-mesti-beragama-Islam#ixzz2X8nggVKd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...